:: RANCANGAN MALAYSIA KE TUJUH (1996-2000) ::
BAB 05 : PEMBANGUNAN WILAYAH

II : KEMAJUAN, 1991-95


5.04 Teras pembangunan wilayah dalam tempoh RME adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan sosial dan ekonomi di antara wilayah dan negeri di samping meningkatkan taraf serta kualiti hidup penduduk terutamanya di negeri kurang maju. Kemajuan yang besar telah dicapai dalam usaha mempelbagai asas ekonomi negeri dan memperluaskan infrastruktur fizikal, ekonomi dan sosial bagi meningkatkan pembangunan. Pertumbuhan ekonomi yang kukuh, peningkatan pembandaran dan pembangunan sosioŽekonomi telah menaikkan pendapatan purata dan taraf serta kualiti hidup penduduk. Kemajuan juga telah diperolehi dalam usaha mencapai objektif kerjasama ekonomi rantau kecil melalui pembentukan dan pelaksanaan tiga kawasan Pertumbuhan Segitiga.

Pertumbuhan dan Taburan Penduduk mengikut Negeri

5.05 Perubahan saiz dan taburan penduduk di peringkat subnasional boleh memberi gambaran mengenai penumpuan penduduk di sesuatu kawasan dan di mana pembangunan sepatutnya ditumpukan serta meningkatkan kefahaman mengenai proses pembandaran negara. Berdasarkan kepada Banci Penduduk dan Perumahan, 1991, Malaysia mempunyai penduduk seramai 18.55 juta pada tahun 1991 dengan empat per lima atau 14.96 juta tinggal di Semenanjung. Selangor adalah negeri yang mempunyai penduduk paling ramai iaitu 2.43 juta, diikuti oleh Johor iaitu 2.19 juta seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-1. Kedua-dua negeri ini mencatatkan sebanyak 25 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Perak yang merupakan negeri paling ramai penduduk dalam dekad tujuh dan lapan puluhan telah merosot ke tempat ketiga disebabkan kadar pertumbuhan penduduknya yang terus rendah. Sabah yang penduduknya seramai 1.87 juta pada tahun 1991 telah melebihi penduduk Sarawak buat pertama kalinya disebabkan kadar pertumbuhan penduduknya yang tinggi. Sabah telah mengalami pertambahan penduduk yang ketara dengan bilangan penduduknya menjadi kira-kira 10 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia pada tahun 1991 berbanding hanya 7.6 peratus pada tahun 1980.

5.06 Corak penghijrahan di antara negeri dan peningkatan kadar semulajadi penduduk telah mempengaruhi taburan dan struktur penduduk di peringkat subnasional. Dalam tempoh 1980-91, Sabah telah mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk yang tertinggi sebanyak 5.2 peratus setahun, diikuti oleh Selangor 4.3 peratus setahun. Kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi di Sabah adalah terutamanya disebabkan oleh kemasukan migran negara luar yang ramai ke negeri tersebut. Berdasarkan Banci 1991, daripada sejumlah 300,000 migran yang masuk dari negara luar ke negara ini dalam tempoh 1986-91, kira-kira 40.8 peratus telah memasuki Sabah. Kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi di Selangor sebahagian besarnya disebabkan migrasi masuk bersih yang tinggi ke negeri tersebut. Migran yang masuk ke Selangor terdiri daripada mereka yang tertarik kepada peluang pekerjaan yang semakin meningkat berikutan pertumbuhan ekonomi negeri tersebut yang pesat di samping mereka yang bekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetapi memilih untuk menetap di Selangor. Di samping itu, Kelantan dan Terengganu, masingŽmasing mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi sebanyak 2.8 peratus dan 3.6 peratus setahun disebabkan kadar kesuburan yang lebih tinggi di negeri-negeri berkenaan. Walau bagaimanapun, Perak mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk yang terendah sebanyak 0.9 peratus setahun. Di samping kadar pertumbuhan semulajadi yang rendah, Perak terus menjadi antara negeri utama yang mengalami pengaliran keluar penduduk terutama ke negeri jirannya iaitu Selangor.

5.07Bagi tempoh 1991-95, penduduk Malaysia meningkat sebanyak 2.7 peratus setahun, mencapai 20.69 juta pada tahun 1995 seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-1. Kadar pertumbuhan penduduk yang secara relatifnya tinggi ini adalah disebabkan peningkatan yang ketara penduduk bukan warganegara dalam tempoh Rancangan. Sabah terus mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk tertinggi sebanyak 2 peratus setahun disebabkan kadar kesuburan dan migrasi masuk dari luar negara yang tinggi. Selangor juga telah mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi sebanyak 3.7 peratus setahun dan mencapai 2.82 juta pada tahun 1995. Dari segi migrasi, Selangor terus menjadi negeri penerima bersih dalam tempoh ini. Kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi di Kelantan dan Terengganu adalah disebabkan kadar pertambahan semulajadi yang lebih tinggi di negeri-negeri berkenaan. Sebaliknya, Perak terus mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk yang terendah diikuti oleh Melaka, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Negeri-negeri ini terus mengalami kadar pertambahan semulajadi yang rendah. Di samping itu, migrasi keluar yang tinggi ke negeri jiran juga menyumbang kepada kadar pertumbuhan penduduk yang rendah di negeri-negeri tersebut.

Pembangunan Ekonomi Negeri

5.08 Pertumbuhan ekonomi yang kukuh di peringkat negeri telah menyumbangkan kepada prestasi ekonomi Malaysia yang menggalakkan yang berkembang sebanyak 8.7 peratus setahun dalam tempoh RME. Tahap aktiviti ekonomi dan pendapatan penduduk di setiap negeri telah meningkat seperti ditunjukkan oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan KDNK per kapita. Tujuh negeri telah mencatat kadar pertumbuhan KDNK yang lebih tinggi daripada purata negara dengan Selangor berkembang sebanyak 10.9 peratus setahun seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-2. Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Melaka telah berkembang melebihi 9.0 peratus setahun manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, masing-masing berkembang pada kadar 8.8 peratus setahun. Pertumbuhan ekonomi yang sederhana dialami oleh Terengganu, Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Negeri-negeri berkenaan telah mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK kurang daripada purata negara iaitu di antara 5.0 peratus hingga 8.0 peratus setahun.

5.09 Dari segi kadar pertumbuhan KDNK mengikut aktiviti ekonomi, sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan telah menjadi daya penggerak utama kepada pertumbuhan di semua negeri. Sektor pembuatan yang berkembang sebanyak 13.3 peratus setahun telah mencatatkan kadar pertumbuhan dua angka di kebanyakan negeri. Selangor yang merupakan negeri paling pesat berkembang terus menjadi pusat perindustrian utama negara dengan sektor pembuatan berkembang sebanyak 12.9 peratus setahun. Sektor ini menyumbangkan lebih separuh daripada jumlah nilai ditambah negeri dan lebih daripada satu per tiga jumlah nilai ditambah sektor pembuatan negara. Kemudahan infrastruktur yang baik di Selangor terus menjadikannya destinasi utama pelaburan sektor pembuatan khususnya industri elektrik dan elektronik, perabot, perusahaan makanan dan logam yang dibentuk. Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor juga mencatatkan kadar pertumbuhan sektor pembuatan yang tinggi di antara 11.8 peratus hingga 16.2 peratus setahun. Sektor-sektor kecil yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi di negeriŽnegeri berkenaan termasuklah industri elektrik dan elektronik serta tekstil dan pakaian.

5.10 Ekonomi Negeri-negeri Sarawak, Pahang, Kedah, Sabah dan Terengganu yang berasaskan sektor pertanian dan perlombongan juga telah mencatatkan kadar pertumbuhan sektor pembuatan yang tinggi di antara 14.7 peratus hingga 19.4 peratus setahun dalam tempoh Rancangan. Pertumbuhan pesat sektor pembuatan di Kedah adalah tertumpu di kawasan perindustrian Sungai Petani dan Kulim. Ini adalah disebabkan terutamanya oleh kesan limpahan aktiviti pembuatan dari Pulau Pinang. Sektor pembuatan juga telah muncul sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi di Pahang, Sabah, Sarawak dan Terengganu dengan pembangunan pesat industri kayu dan yang berasaskan kayu serta petrokimia.

5.11 Sektor pembinaan telah mencatatkan kadar pertumbuhan dua angka di kebanyakan negeri. Pertumbuhan yang menggalakkan sektor ini telah didorong oleh pelaksanaan projek infrastruktur serta hartanah kediaman dan bukan kediaman. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sektor pembinaan telah berkembang dengan memberangsangkan iaitu sebanyak 17.4 peratus setahun terutamanya berikutan daripada pelaksanaan projek-projek besar seperti Kuala Lumpur City Centre dan sistem Rel Transit Ringan. Di Selangor, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang serta pembangunan pesat bangunan komersil dan kediaman telah menyumbang kepada pertumbuhan yang kukuh sektor ini sebanyak 12.7 peratus setahun.

5.12 Sektor perkhidmatan di kebanyakan negeri berkembang pada kadar di antara 7.8 peratus hingga 10.6 peratus setahun selaras dengan perluasan sektor pembuatan dan pembinaan. Sektor perkhidmatan telah menyumbangkan 83 peratus daripada jumlah nilai ditambah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan berkembang pada kadar 10.1 peratus setahun. Di Selangor, sektor tersebut juga berkembang pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 10.6 peratus setahun dalam tempoh berkenaan. Pertumbuhan yang pesat sektor ini di kedua-dua negeri tersebut adalah hasil daripada perluasan sektor kecil kewangan, hartanah dan perkhidmatan perniagaan; perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran serta pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi. Kedua-dua negeri ini menyumbangkan kira-kira 41 peratus daripada jumlah nilai ditambah sektor perkhidmatan di peringkat negara.

5.13 Sektor pertanian telah berkembang pada kadar 2.0 peratus setahun dalam tempoh RME dengan bahagiannya kepada KDNK negara berkurang menjadi 13.6 peratus pada tahun 1995. Namun begitu, sektor pertanian yang masih kekal sebagai sektor penting di kebanyakan negeri secara amnya berkembang pada kadar di antara 2.0 peratus hingga 3.3 peratus setahun. Sebaliknya, Sarawak pula mencatatkan kadar pertumbuhan yang negatif sebanyak 0.3 peratus setahun disebabkan kemerosotan pengeluaran kayu balak. Sekiranya pengeluaran kayu balak tidak diambilkira, kadar pertumbuhan sektor pertanian di Sarawak ialah 2.4 peratus setahun. Negeri-negeri lain seperti Pahang dan Sabah juga mencatatkan kemerosotan pengeluaran kayu balak selaras dengan dasar Kerajaan mengenai pengurusan sumber hutan yang mampan. Walau bagaimanapun, Pahang dan Sabah telah mencatat pertumbuhan sektor pertanian yang tertinggi masing-masing pada kadar 3.3 peratus dan 3.1 peratus setahun. Sektor tersebut telah menyumbangkan kira-kira satu per tiga daripada jumlah nilai ditambah negeri masing-masing. Pertumbuhan ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan pengeluaran minyak sawit yang tinggi di kedua-dua negeri tersebut, didorong oleh harga minyak sawit yang kukuh. Johor mencatatkan kadar pertumbuhan sektor pertanian sebanyak 2.4 peratus setahun disebabkan peningkatan pengeluaran minyak sawit yang berupaya mengimbangi kemerosotan pengeluaran getah.

5.14 Sektor perlombongan telah berkembang pada kadar 2.9 peratus setahun dengan pengeluaran minyak mentah dan gas asli sebagai penyumbang utama. Terengganu adalah pengeluar terbesar minyak mentah dan gas asli, diikuti Sarawak dan Sabah. Sektor perlombongan yang telah berkembang sebanyak 6.9 peratus setahun di Terengganu adalah penyumbang terpenting kepada pertumbuhan ekonominya dan menyumbangkan lebih daripada separuh nilai ditambah negeri tersebut pada tahun 1995. Sumbangan sektor perlombongan kepada jumlah nilai ditambah Sarawak dan Sabah masing-masing adalah sebanyak 28.7 peratus dan 13.7 peratus pada tahun 1995. Walau bagaimanapun, pengeluaran minyak mentah di Sarawak kekal di tahap semasa manakala di Sabah telah berkurangan selaras dengan Dasar Susutan Negara untuk mengekalkan sumber petroleum. Kemerosotan pengeluaran timah yang berterusan telah menyebabkan kadar pertumbuhan negatif sektor perlombongan di Pahang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, peningkatan aktiviti kuari bagi menyokong perkembangan projek pembinaan terutamanya di Johor, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Selangor telah dapat mengimbangi prestasi yang rendah sektor perlombongan di negeri berkenaan.

5.15 Struktur ekonomi negeri terus mengalami peralihan yang ketara dengan pergantungan kepada sektor pertama1 semakin berkurangan. Peralihan struktur yang paling ketara di kalangan negeri telah dialami oleh Sabah dengan sumbangan sektor kedua2 dan ketiga3 kepada jumlah nilai ditambah negeri tersebut meningkat daripada 43.5 peratus pada tahun 1990 kepada 55.4 peratus pada tahun 1995. Ini diikuti oleh Kedah yang meningkat daripada 68.1 peratus kepada 79.7 peratus dalam tempoh yang sama. Peralihan struktur juga dialami oleh negeri-negeri yang lain seperti Sarawak, Perlis, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang dahulunya lebih bergantung kepada sektor pertama.

5.16 Berikutan daripada suasana ekonomi yang menggalakkan dalam tempoh Rancangan, gunatenaga di peringkat negeri berkembang di antara 2.1 peratus hingga 5.6 peratus setahun seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-3. Kadar pertumbuhan gunatenaga yang tinggi ini adalah hasil daripada perluasan yang pesat aktiviti pembuatan dan pembinaan di berbagai-bagai negeri. Dari segi pewujudan pekerjaan, sebahagian besar pekerjaan baru telah diwujudkan di Johor, Sabah, Selangor dan Sarawak. Daripada sejumlah 1.2 juta pekerjaan baru yang telah diwujudkan, lebih daripada separuh adalah disumbangkan oleh sektor pembuatan, kebanyakannya di Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor. Sektor pembinaan yang menyumbangkan kira-kira satu per lima daripada jumlah pekerjaan yang diwujudkan adalah merupakan penyumbang kedua terbesar di kebanyakan negeri.

5.17 Walaupun kadar pertumbuhan tenaga buruh adalah tinggi iaitu sebanyak 2.9 peratus setahun, namun pertumbuhan pesat ekonomi telah menyebabkan permintaan ke atas buruh secara relatifnya menjadi lebih kukuh. Berikutan daripada itu, kadar pengangguran telah berkurang agak ketara dengan beberapa negeri mencatatkan kadar yang kurang daripada 2.0 peratus pada tahun 1995. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran yang terendah masingŽmasing sebanyak 0.5 peratus dan 0.7 peratus. Permintaan yang besar ke atas buruh di beberapa negeri juga telah menimbulkan masalah kekurangan buruh bagi beberapa sektor terutamanya di negeri-negeri koridor pantai barat. Walau bagaimanapun, Sabah dan Terengganu terus mengalami kadar pengangguran yang tinggi iaitu masing-masing sebanyak 5.6 peratus dan 5.1 peratus dalam tempoh Rancangan. Walaupun permintaan ke atas buruh di negeri-negeri ini adalah tinggi tetapi bilangan pekerjaan yang diwujudkan masih tidak mencukupi untuk memenuhi penawaran buruh yang besar di negeri berkenaan.

5.18 Pertumbuhan ekonomi di beberapa negeri sebahagian besarnya disebabkan peningkatan pelaburan swasta yang ketara terutamanya bagi sektor pembuatan. Jumlah pelaburan dalam projek pembuatan yang telah diluluskan meningkat sekali ganda daripada RM58.6 bilion dalam tempoh 1986-90 kepada RM116.2 bilion dalam tempoh RME seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-4. Daripada jumlah pelaburan tersebut, Selangor menerima pelaburan modal tertinggi sebanyak RM21.6 bilion, sebahagian besarnya adalah untuk industri elektrik dan elektronik serta peralatan pengangkutan. Terengganu menerima cadangan pelaburan modal yang kedua tertinggi bernilai RM16.4 bilion terutamanya untuk industri pembuatan besi dan keluli, kimia dan keluaran kimia serta penapisan petroleum. Johor pula menarik pelaburan modal sejumlah RM13.4 bilion untuk industri seperti elektrik dan elektronik, makanan serta tekstil dan keluaran tekstil.

5.19 Langkah telah diambil oleh Kerajaan untuk menggalakkan penyertaan yang lebih besar sektor swasta bagi menerajui pertumbuhan industri pembuatan di negeriŽnegeri pantai timur Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Dalam hubungan ini, Kerajaan telah mempercepatkan pembangunan kawasan perindustrian dalam tempoh Rancangan. Sejumlah 3,926 hektar kawasan perindustrian telah dibangunkan di negeri-negeri tersebut merangkumi 41.7 peratus daripada jumlah kawasan perindustrian yang dibangunkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, seluas 1,284 hektar telah dibangunkan di Sarawak, sebahagian besarnya khusus untuk industri berasaskan kayu di Estet Perindustrian Kuala Baram dan Tanjung Manis. Di samping itu, sejumlah 1,025 hektar tanah perindustrian juga telah dimajukan di Pahang dan 656 hektar di Terengganu terutamanya untuk industri petrokimia serta kayu dan yang berasaskan kayu. Selaras dengan strategi Kerajaan untuk menubuhkan pusat pembangunan kemahiran di setiap negeri melalui kerjasama sektor swasta dan Kerajaan Negeri, pusat pembangunan kemahiran juga telah ditubuhkan di Pahang, Sarawak dan Terengganu. Ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran teknikal tenaga kerja di negeri-negeri berkenaan.

5.20 Kerajaan juga telah memperkenalkan beberapa insentif bagi menggalakkan pengagihan industri yang lebih seimbang dan menarik lebih banyak pelaburan ke negeriŽnegeri pantai timur Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Syarikat yang layak mendapat taraf perintis telah diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 85 peratus daripada pendapatan berkanun mereka untuk tempoh selama lima tahun jika menempatkan kilang mereka di negeri-negeri pantai timur Semenanjung serta Sabah dan Sarawak berbanding dengan pengecualian hanya sebanyak 70 peratus sekiranya menempatkan kilang di kawasan yang lain. Elaun cukai pelaburan juga telah dinaikkan daripada 60 peratus kepada 80 peratus untuk projek yang ditempatkan di kawasan yang diwartakan. Di samping itu, elaun infrastruktur sebanyak 100 peratus telah diberi untuk perbelanjaan yang dikeluarkan bagi pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jeti, jambatan, jalan sambungan, kabel elektrik, penyediaan air paip dan peralatan guna semula air sisa.

5.21 Prestasi pertumbuhan ekonomi yang kukuh di peringkat negeri digambarkan oleh peningkatan KDNK per kapita seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-2. NegeriŽnegeri yang mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan juga telah mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK per kapita yang tinggi. Perkembangan pesat aktiviti perindustrian dan perkhidmatan telah menyumbang kepada pertumbuhan KDNK per kapita yang tinggi di negeri-negeri berkenaan. Pulau Pinang mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK per kapita yang tertinggi sebanyak 8.2 peratus setahun dalam tempoh Rancangan. Sebaliknya, Sabah pula mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK per kapita yang negatif iaitu sebanyak 0.8 peratus setahun berikutan daripada kadar pertumbuhan penduduknya yang tinggi iaitu sebanyak 6.2 peratus setahun. Dari segi tahap KDNK per kapita, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai KDNK per kapita yang tertinggi pada tahun 1995 iaitu sekali ganda melebihi purata negara manakala KDNK per kapita Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang adalah kira-kira setengah kali lebih tinggi daripada purata negara.

5.22 Pertumbuhan ekonomi yang kukuh telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan isirumah di semua negeri dalam tempoh Rancangan. Pendapatan bulanan purata isirumah telah berkembang di antara 3.9 peratus hingga 11.2 peratus setahun seperti ditunjukkan dalam Jadual 5Ž5. Perkembangan peluang pekerjaan yang pesat di dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan terutamanya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung telah meningkatkan bilangan penerima pendapatan bagi setiap isirumah dengan ketara. Di samping itu, harga getah dan minyak sawit yang tinggi pada tahun 1995 juga telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan isirumah luar bandar di semua negeri. Selangor telah mencatatkan peningkatan pendapatan isirumah yang tertinggi sebanyak 11.2 peratus setahun diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 11 peratus setahun dan Johor sebanyak 10.7 peratus setahun. Pendapatan bulanan purata isirumah di Sarawak telah meningkat sebanyak 8.1 peratus setahun berikutan daripada perluasan aktiviti pembuatan dan pembinaan di negeri tersebut. Walau bagaimanapun, pendapatan isirumah di Sabah meningkat pada kadar yang lebih perlahan iaitu 3.9 peratus setahun. Keupayaan yang rendah untuk memperolehi pendapatan di kalangan penduduk bukan warganegara yang berjumlah kira-kira satu per lima daripada penduduk Sabah telah menyumbangkan kepada pertumbuhan yang perlahan ini. Pendapatan isirumah penduduk warganegara di Sabah meningkat sebanyak 4.3 peratus setahun dalam tempoh Rancangan.

5.23 Selaras dengan peningkatan tahap pendapatan isirumah, kadar kemiskinan di semua negeri juga telah berkurang dalam tempoh Rancangan. Kedah mencatatkan pengurangan kadar kemiskinan yang paling tinggi berikutan daripada perluasan peluang pekerjaan di sektor pembuatan serta pengukuhan harga getah dan minyak sawit yang telah menyumbang ke arah peningkatan pendapatan isirumah luar bandar di negeri tersebut. Sarawak, Perak, Sabah, Terengganu dan Melaka juga telah mencatatkan pengurangan yang besar dalam kadar kemiskinan berbanding dengan negeri yang lain. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kadar kemiskinan yang terendah dengan wujudnya peluang pekerjaan yang banyak di negeri tersebut.

5.24 Walaupun kadar kemiskinan di Sabah, Terengganu dan Kelantan telah berkurang dengan ketara, negeri-negeri tersebut masih mencatatkan kadar kemiskinan yang tertinggi pada tahun 1995 iaitu masing-masing sebanyak 26.4 peratus, 23.7 peratus dan 23.2 peratus. Sabah mencatatkan bilangan isirumah miskin paling ramai berjumlah 116,500 dengan satu per tiga daripadanya adalah rakyat bukan warganegara. Kadar kemiskinan di Sabah pada tahun 1995 bagi warganegara ialah 22.6 peratus manakala di kalangan bukan warganegara ialah 38.9 peratus. Kelantan telah mencatatkan bilangan isirumah miskin yang kedua paling ramai berjumlah 61,900. Kadar kemiskinan yang tinggi di negeri-negeri berkenaan disebabkan kurangnya aktiviti ekonomi yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan di sektor pembuatan dan perkhidmatan kepada ahli isirumah miskin. Di samping itu, pergantungan berterusan isirumah miskin kepada aktiviti pertanian dan luar bandar yang tradisional telah menyebabkan pulangan dan pendapatan yang rendah kepada isirumah luar bandar. Oleh yang demikian, Sabah, Terengganu dan Kelantan telah mencatatkan kadar kemiskinan yang tertinggi di kalangan isirumah luar bandar masing-masing sebanyak 34.3 peratus, 33.5 peratus dan 27.4 peratus.

5.25 Kualiti hidup penduduk di semua negeri juga telah bertambah baik hasil daripada usaha Kerajaan yang berterusan menyedia dan meningkatkan pelbagai kemudahan infrastruktur fizikal dan sosial. Keadaan ini digambarkan oleh petunjuk sosio-ekonomi seperti kadar kematian bayi, bilangan doktor setiap 10,000 penduduk, kadar celik huruf, liputan bekalan air paip dan elektrik seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-6. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor berada di tahap paling tinggi dari segi menikmati kemudahan perkhidmatan sosial manakala Sabah, Kelantan dan Sarawak adalah yang terendah. Bagi kemudahan asas, kemajuan yang besar telah dicapai dalam meningkatkan liputan kemudahan bekalan air paip dan elektrik di Sabah dan Sarawak. Peratus penduduk yang dibekalkan dengan air paip di Sabah telah meningkat daripada 64.3 peratus pada tahun 1990 kepada 77.3 peratus pada tahun 1995 manakala di Sarawak meningkat daripada 70.1 peratus kepada 85.3 peratus dalam tempoh yang sama. Peratus penduduk yang menikmati kemudahan elektrik di Sabah pula telah meningkat daripada 48 peratus pada tahun 1990 kepada 78 peratus pada tahun 1995 manakala di Sarawak meningkat daripada 52 peratus kepada 80 peratus bagi tempoh yang sama.

5.26 Dalam tempoh RME, sejumlah RM22.6 bilion atau lebih satu per tiga daripada belanjawan pembangunan telah diperuntukkan kepada projek pelbagai negeri yang memberi manfaat kepada rakyat di berbagai-bagai negeri. Di antara projek tersebut termasuk pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya, lapangan terbang dan landasan kereta api. Pembangunan pesat rangkaian pengangkutan dan komunikasi bukan sahaja telah melancarkan pengaliran sumber, barangan dan perkhidmatan tetapi juga membantu penyebaran dan limpahan aktiviti ekonomi dan manfaat pembangunan merentasi negeri.

5.27 Pencapaian pembangunan ekonomi negeri bukan sahaja dapat digambarkan oleh tahap aktiviti ekonomi dan pendapatan seperti yang ditunjukkan oleh perubahan KDNK dan KDNK per kapita tetapi juga merangkumi tahap dan kualiti hidup sebagaimana dapat dilihat daripada berbagaiŽbagai petunjuk sosio-ekonomi. Berdasarkan kepada tahap KDNK per kapita pada tahun 1995, empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan kedudukan yang lebih tinggi daripada purata negara. Berdasarkan kepada indeks komposit pembangunan4 yang dibentuk daripada gabungan petunjuk pembangunan sosial dan ekonomi, tujuh negeri didapati mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada purata negara pada tahun 1995. Negeri-negeri tersebut ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Perak. Walau bagaimanapun, Terengganu yang mencatatkan KDNK per kapita yang lebih tinggi daripada purata negara mempunyai indeks komposit pembangunan yang lebih rendah daripada purata negara. Negeri-negeri lain iaitu Sabah, Kelantan, Sarawak, Perlis, Kedah, dan Pahang juga mempunyai indeks komposit pembangunan di bawah purata negara.

Pembangunan Bandar

5.28 Dalam tempoh Rancangan, kepesatan kegiatan ekonomi bandar telah memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Keadaan ini terjadi adalah hasil daripada perluasan aktiviti ekonomi di pusat-pusat bandar terutamanya di sektor pembuatan dan pembinaan. Asas ekonomi bandar yang disokong oleh rangkaian perdagangan, perniagaan, kewangan dan pengangkutan telah dapat menyediakan rantaian ekonomi yang penting dan ini telah membolehkan ekonomi negara bergerak secara cekap. Hasilnya, penduduk bandar telah menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan kualiti hidup yang lebih baik.

5.29 Peluang ekonomi yang lebih besar yang terdapat di pusat-pusat bandar terus menarik migrasi masuk penduduk. Ini mengakibatkan tumpuan penduduk di pusat-pusat bandar tersebut semakin meningkat. Penduduk bandar juga menjadi semakin besar berikutan daripada penakrifan semula kawasan bandar5 pada tahun 1991 yang mengambilkira kawasan tepubina yang bersempadan dengannya. Oleh itu, penduduk bandar telah meningkat daripada 4.75 juta pada tahun 1980 kepada 9.47 juta pada tahun 1991. Sehubungan dengan itu, kadar pembandaran telah meningkat daripada 34.2 peratus kepada 51.1 peratus dalam tempoh yang sama seperti ditunjukkan dalam Jadual 5-7. Peningkatan kadar pembandaran ini turut digambarkan oleh pertambahan bilangan bandar yang ditakrifkan sebagai kawasan bandar daripada 67 pada tahun 1980 kepada 129 pada tahun 1991.

5.30 Taburan penduduk di kalangan pusat bandar telah menunjukkan corak yang serupa di antara tahun 1980 dan 1991 dengan lebih 70 peratus daripada penduduk bandar mendiami pusat bandar yang mempunyai penduduk melebihi 75,000 orang. Tumpuan terbesar penduduk bandar ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di ibu negeri dengan 11 daripadanya mempunyai penduduk melebihi 150,000 orang. Penumpuan penduduk yang melebihi 120,000 orang juga berlaku di pusat komersil seperti Klang, Taiping, Sibu dan Tawau.

5.31 Dalam tempoh 1991-95, penduduk bandar telah berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun, menjadi 11.3 juta orang pada tahun 1995. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Perak telah mencatatkan kadar pembandaran melebihi purata negara. Dari segi pertumbuhan penduduk bandar, Sabah dan Selangor masing-masing telah mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan purata yang tertinggi sebanyak 7.9 peratus dan 6.1 peratus setahun disebabkan migran masuk yang besar ke kawasan bandar.

5.32 Penduduk bandar memperolehi pendapatan yang lebih tinggi hasil daripada perluasan aktiviti ekonomi bandar. Pendapatan bulanan purata isirumah bandar meningkat pada kadar 8.1 peratus setahun daripada RM1,617 pada tahun 1990 kepada RM2,596 pada tahun 1995 berbanding dengan luar bandar yang meningkat sebanyak 5.3 peratus setahun dalam tempoh yang sama. Isirumah bandar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memperolehi pendapatan yang tertinggi manakala mereka yang berada di Selangor dan Sarawak memperolehi pendapatan yang lebih tinggi daripada purata negara pada tahun 1995. Walaupun isirumah bandar di Perak, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Pahang memperolehi pendapatan di bawah purata negara, pendapatan mereka juga telah meningkat di antara 4.9 peratus dan 7.9 peratus setahun dalam tempoh Rancangan. Faktor ekonomi terus menjadi penentu kepada pertumbuhan yang tinggi pendapatan isirumah di kawasan bandar.

5.33 Pusat bandar yang dilengkapi dengan kemudahan moden yang berkualiti seperti pendidikan, perubatan, telekomunikasi dan perkhidmatan bandar bukan sahaja menyediakan peluang ekonomi yang lebih banyak tetapi juga kualiti hidup yang lebih baik kepada penduduknya. Di samping itu, kebanyakan bandar besar juga menjadi pusat pentadbiran, aktiviti kebudayaan, sukan dan rekreasi. Pusat-pusat bandar di tiga negeri yang paling tinggi kadar pembandarannya iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang masih menjadi tempat kediaman yang menarik kerana kepadatan penduduknya tidaklah begitu sesak seperti mana yang dialami oleh bandar raya utama yang lain di dunia. Bandar besar seperti Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru juga mempunyai pusat bandar yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan ekonomi.

5.34 Walau bagaimanapun, pertumbuhan pusat bandar ini telah menambahkan kesesakan, meningkatkan nilai hartanah dan kos upah serta mencemarkan alam sekitar. Di antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan untuk mengurangkan masalah tersebut termasuk menyedia dan meningkatkan kemudahan infrastruktur serta melaksanakan dasar penyebaran terutamanya yang berkaitan dengan penempatan semula industri. Usaha-usaha ini telah memberi sumbangan kepada perkembangan bandar satelit yang mengelilingi pusat bandar ini.

5.35 Bandar satelit yang telah berkembang di sekitar pusat bandar besar termasuk Petaling Jaya, Sungai Buloh, Ampang, Serdang, Sri Kembangan, Kajang dan Selayang di Lembah Klang; Sungai Ara, Perai, Gelugor, Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah di Pulau Pinang serta Pasir Gudang, Ulu Tiram, Skudai dan Senai di Johor Bahru. Rangkaian sistem pengangkutan yang lebih baik hasil daripada pembinaan dan peningkatan jalan dan lebuh raya serta pertambahan hubungan kereta api juga membantu penyebaran penduduk ke bandar satelit. Penyebaran penduduk keluar dari pusat bandar telah menghasilkan taburan penduduk yang lebih tersebar dan membantu mengekalkan kualiti hidup di kawasan bandar. Penyebaran penduduk yang serupa juga berlaku dari Sungai Petani ke Kulim, Seremban ke Senawang, Kuantan ke Cukai dan Kerteh, Kota Kinabalu ke Donggongon serta Kuching ke kawasan pinggir bandarnya.

5.36 Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan telah melaksanakan beberapa program untuk menangani isu perumahan kos rendah yang tidak mencukupi yang telah menyebabkan berlakunya peningkatan penempatan setinggan di pusat bandar. Di antara langkah yang telah diambil adalah penubuhan sebuah tabung bagi mempercepatkan pembinaan perumahan kos rendah dan keperluan bagi pemaju memperuntukkan sebanyak 30 peratus daripada skim perumahan mereka untuk pembinaan rumah kos rendah.

5.37 Usaha juga telah diambil untuk mengekalkan kualiti alam sekitar bandar dengan mengambilkira pertimbangan alam sekitar dalam perancangan bandar dan pembukaan tanah, memperbaiki sistem pembetungan negara serta aktiviti pembersihan sungai. Untuk mengurangkan berlakunya banjir kilat di bandar yang disebabkan pengaliran air yang berlebihan dan pemendapan, beberapa projek tebatan banjir telah dilaksanakan di Kuala Lumpur, Seremban, Alor Setar, Georgetown, Kota Bharu, Ipoh dan Pekan. Walau bagaimanapun, sebahagian besar daripada peruntukan Rancangan berjumlah RM315 juta untuk projek tebatan banjir di bandar telah disalurkan kepada Projek Tebatan Banjir Lembah Klang dan Program Perparitan Kuala Lumpur disebabkan masalah yang serius di kawasan berkenaan. Di samping itu, pelan induk perparitan telah disediakan untuk enam bandar iaitu Sungai Petani, Kulim, Cukai, Batu Pahat, Miri dan Sibu bagi menangani keperluan perparitan dan kawalan banjir di kawasan tersebut.

5.38 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terus memainkan peranannya dalam menangani keperluan penduduk bandar yang semakin meningkat ke arah menikmati kualiti hidup yang lebih baik. PBT telah menyediakan banyak perkhidmatan termasuk perkhidmatan am baik pulih bandar, perumahan awam dan kemudahan kemasyarakatan. Bagi membolehkan fungsi tersebut dilaksanakan dengan cekap, langkah perlu diambil untuk mempertingkatkan punca kewangan PBT. Usaha telah diambil oleh PBT untuk meningkatkan kutipan hasil melalui pengkomputeran sistem pengutipan cukai taksiran. Usaha lain bagi menambah hasil ialah dengan meningkatkan sebanyak lapan kali ganda pemberian geran tahunan berasaskan kaedah keseimbangan di Semenanjung Malaysia daripada RM46.7 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelima kepada RM386.6 juta dalam tempoh RME. Walaupun pelbagai usaha telah dibuat, PBT masih menghadapi kekangan berhubung dengan modal dan sumber manusia yang telah menjejaskan keupayaan dan kecekapan dalam memberi perkhidmatan mereka.

Pembangunan Luar Bandar

5.39 Berikutan daripada peningkatan kadar pembandaran, penduduk luar bandar yang merupakan kira-kira 49 peratus daripada jumlah penduduk negara pada tahun 1991 telah berkurang kepada 45.3 peratus pada tahun 1995. Walau bagaimanapun, penekanan terus diberi kepada pembangunan luar bandar ke arah meningkatkan produktiviti dan pendapatan isirumah luar bandar. Beberapa program seperti pembangunan pertanian, perindustrian, infrastruktur dan sumber manusia telah dilaksanakan untuk memaju dan memodenkan ekonomi luar bandar. Pelaksanaan program tersebut telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan bulanan purata isirumah luar bandar daripada RM951 pada tahun 1990 kepada RM1,300 pada tahun 1995 dan pengurangan kadar kemiskinan luar bandar daripada 21.8 peratus kepada 18 peratus bagi tempoh yang sama.

5.40 Program pembangunan tanah dan pertanian terus menjadi komponen utama pembangunan luar bandar. Dalam tempoh Rancangan, seluas 353,730 hektar telah ditanam semula dan dipulihkan sementara 290,450 hektar kawasan baru dimajukan. Seluas 305,420 hektar tanah pertanian telah ditanam semula terutamanya dengan kelapa sawit, getah, koko dan nanas untuk mendapatkan hasil yang lebih tinggi manakala 48,310 hektar telah disatu dan dipulihkan untuk mencapai ekonomi bidangan yang lebih baik. Pembangunan tanah bagi tempoh Rancangan adalah sebahagian besarnya tertumpu di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, empat Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) iaitu IADP Perlis serta fasa pertama IADP Pahang Barat, IADP Kalaka-Saribas di Sarawak dan IADP Kemasin-Semerak di Kelantan telah disiapkan dalam tempoh Rancangan yang memberi manfaat kepada 354,300 keluarga tani.

5.41 Berkaitan dengan pembangunan industri luar bandar, tapak industri baru telah dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah bagi penubuhan kilang di kawasan luar bandar. Seluas 286.7 hektar tanah industri telah dimajukan dalam tempoh Rancangan yang mewujudkan pekerjaan kepada kira-kira 12,700 orang. Di samping itu, 707 industri luar bandar yang terlibat dalam pemprosesan makanan, kayu, pembuatan tekstil dan pakaian serta pemprosesan filem dan percetakan telah menerima bantuan untuk meningkatkan proses pengeluaran. Sejumlah 14,519 pengusaha luar bandar juga telah diberi latihan bagi memperbaiki kemahiran perniagaan dan pengurusan mereka.

5.42 Penyediaan kemudahan infrastruktur fizikal dan sosial dalam tempoh Rancangan telah meningkatkan tahap dan kualiti hidup penduduk luar bandar. Dari segi infrastruktur fizikal, Kerajaan telah membina jalan baru sepanjang 5,445 kilometer. Di samping itu, kira-kira 384,200 isirumah luar bandar juga telah disediakan dengan kemudahan air paip manakala 77,440 isirumah disediakan kemudahan elektrik.

5.43 Walaupun program pembangunan luar bandar telah menyumbang ke arah meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan isirumah luar bandar, ketidaksamaan pendapatan di antara isirumah bandar dan luar bandar semakin meluas dalam tempoh Rancangan. Nisbah ketidaksamaan pendapatan di antara isirumah luar bandar dan bandar semakin meluas daripada 1:1.7 pada tahun 1990 kepada 1:2.0 pada tahun 1995. Keadaan ini terutamanya disebabkan pergantungan berterusan isirumah luar bandar kepada aktiviti pertanian sebagai sumber utama pendapatan, peluang perniagaan yang terhad di samping kekangan modal dan kurangnya daya saingan industri luar bandar.

Kerjasama Rantau Kecil

5.44 Kerjasama ekonomi rantau kecil di kalangan negara yang berjiran adalah merupakan alat penting yang memberi sumbangan kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi. Menerusi kerjasama tersebut, adalah dijangkakan pembangunan ekonomi rantau kecil ini akan dapat dipercepatkan dengan mengeksploitasi kesalinglengkapan ekonomi dan faedah berbanding rantau berkenaan. Kerjasama sedemikian adalah penting dalam konteks kesejagatan perdagangan antarabangsa dan penyatuan di kalangan negara rantau kecil akan membolehkan Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka bersaing dengan lebih berkesan di arena antarabangsa. Kerjasama ekonomi rantau kecil melalui pembentukan Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Singapura (IMS-GT)6, Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT)7 dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina(BIMPŽEAGA)8 telah membuka peluang perdagangan dan pelaburan yang lebih besar di kalangan negara yang terlibat. Satu daripada objektif utama Pertumbuhan Segitiga adalah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup penduduk komponen negara yang terlibat melalui pewujudan peluang pekerjaan baru dan peningkatan pendapatan. Di antara sektor yang telah dikenalpasti untuk kerjasama ekonomi ialah pertanian, pembuatan, pelancongan, infrastruktur, tenaga, perkhidmatan kewangan dan pembangunan sumber manusia.

5.45 Sektor swasta telah diberi peranan utama dalam membangun dan melaksanakan projek usahasama di kawasan Segitiga. Sebaliknya, Kerajaan negara-negara anggota berfungsi sebagai fasilitator kepada pembangunan projek Pertumbuhan Segitiga dengan memainkan peranan di antaranya, mengurangkan halangan perundangan dan tatacara yang menjejaskan kecekapan pergerakan faktor pengeluaran di kawasan rantau kecil ini. Suatu mekanisme yang mempunyai tiga tahap perundingan melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta telah ditubuhkan di kalangan negara yang terlibat. Mekanisme perundingan ini terdiri daripada mesyuarat-mesyuarat oleh Majlis Bersama Perdagangan, Pegawai Kanan Kerajaan dan Menteri yang terlibat di dalam Pertumbuhan Segitiga.

5.46 Sejak penubuhan ketiga-tiga Pertumbuhan Segitiga ini, beberapa projek usaha sama sektor swasta telah dilaksanakan manakala beberapa projek lagi sedang dipertimbangkan. Dalam hubungan ini, sejumlah 54 Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani oleh syarikat-syarikat Malaysia dengan rakan kongsi mereka dari negara-negara anggota. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 40 adalah di kawasan IMT-GT dan 14 di kawasan BIMP-EAGA.

5.47 Untuk pembangunan IMT-GT, tumpuan telah diberi kepada penyediaan infrastruktur fizikal sokongan, galakan pelancongan dan usaha memudahkan aktiviti perdagangan. Projek-projek yang sedang dilaksanakan termasuk mewujudkan hubungan udara di antara Ipoh-Medan dan Pulau Pinang-Banda Aceh. Perkhidmatan pelayaran dan perkapalan telah pun beroperasi di antara Pulau Pinang, Langkawi, Kuala Perlis di Malaysia dengan Belawan dan Lhokseumawe di Sumatera, Indonesia serta Satun di selatan Thailand. Di samping itu, perkhidmatan pengangkutan barangan juga diwujudkan di antara Pulau Pinang, Bukit Kayu Hitam dan Hat Yai. Kadar bayaran telekomunikasi di kawasan IMT-GT juga telah dikurangkan untuk memudahkan urus niaga. Pelaksanaan projek tersebut telah menyumbang kepada peningkatan jumlah dagangan seperti keluaran pertanian, hasil laut dan elektronik di samping memudahkan pergerakan buruh dan modal melintasi sempadan negaraŽnegara anggota Pertumbuhan Segitiga. Promosi pakej produk pelancongan telah dilaksanakan secara bersama oleh pertubuhan dan agensi pelancongan di kawasan IMT-GT. Sektor swasta Malaysia juga terlibat dalam beberapa projek pelaburan di kawasan IMT-GT. Projek tersebut termasuklah pembinaan 14 unit bangunan perindustrian di Kawasan Industri Medan, hotel tiga bintang di Medan dan kemudahan tempat penyimpanan sejuk di Sabang, Aceh. Malaysia juga menerima pelaburan dari negara anggota lain di rantau kecil. Dalam hubungan ini, lima projek yang melibatkan pelabur Indonesia dan Thailand telah diluluskan dalam bidang industri tekstil, bukan logam,kayu dan keluaran kayu serta makanan.

5.48 Di kawasan BIMP-EAGA, tumpuan telah diberi kepada penyediaan kemudahan sokongan dalam bentuk infrastruktur fizikal dan pembangunan industri yang berasaskan sumber. Dalam hal ini, beberapa MOU telah ditandatangani untuk mempertingkat dan memperluaskan rangkaian hubungan udara dan telekomunikasi. Laluan kapal di antara wilayah di kawasan rantau kecil juga telah dipertingkatkan dengan pewujudan perkhidmatan feri di antara Zamboanga di Filipina dan Sandakan di Sabah serta di antara General Santos City di Filipina dan Bitung di Indonesia. Pelabur Filipina telah melabur dalam industri pengetinan makanan dan perikanan di Sabah manakala syarikat Malaysia pula telah melabur dalam industri perladangan kelapa sawit di Kalimantan serta cari gali minyak dan gas di Mindanao.

5.49 Di kawasan IMS-GT, penekanan telah diberi kepada penyediaan kemudahan infrastruktur serta pelaksanaan projek perindustrian dan pertanian. Beberapa projek usaha sama dua hala telah dilaksanakan oleh sektor swasta negara-negara yang terlibat. Dalam tempoh Rancangan, hubungan pengangkutan dan infrastruktur di kawasan IMS-GT terus dipertingkatkan. Di samping perkhidmatan sedia ada, perkhidmatan feri yang menghubungkan Tanjung Belungkor di Johor dan Changi di Singapura serta Pasir Gudang di Johor dan Batam di Indonesia telah diwujudkan. Mengenai projek pertanian, beberapa syarikat Malaysia telah melabur di sektor perladangan kelapa sawit di Riau, Indonesia.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM