:: RANCANGAN MALAYSIA KE TUJUH (1996-2000) ::
BAB 01 : MATLAMAT DAN RANGKA DASAR

III : TERAS PEMBANGUNAN RANCANGAN MALAYSIA KETUJUH


1.18 Bagi menyokong dan mengekalkan proses pembangunan, Malaysia perlu menangani cabaran tersebut. Kerajaan akan terus berusaha mengekalkan kestabilan sosial dan politik serta pengurusan ekonomi yang cekap bertujuan menyediakan persekitaran yang baik bagi mencapai pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama sejajar dengan matlamat DPN. Usaha mewujudkan ekonomi yang lebih seimbang, mempunyai asas yang luas, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa tetap penting bagi menyediakan asas yang lebih kukuh untuk mencapai pertumbuhan yang mampan terutamanya dalam proses peralihan ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

1.19 Teras RMT adalah untuk meningkatkan pertumbuhan potensi keluaran, memesatkan peralihan struktur dan pembangunan yang seimbang. Dengan persaingan yang lebih besar daripada ekonomi yang baru muncul bagi mendapatkan sumber modal manakala buruh pula semakin berkurangan, tumpuan RMT adalah untuk mempercepatkan peningkatan produktiviti dan kecekapan terutamanya melalui inisiatif sektor swasta. Penekanan yang khusus akan diberi kepada usaha meningkatkan kemahiran, mendalamkan modal dan membangunkan teknologi. Aspek yang penting adalah meningkatkan kecekapan dan produktiviti penggunaan sumber yang akan memperkukuhkan daya saingan negara.

Kestabilan Ekonomi Makro

1.20 Dalam tempoh RMT, pengurusan ekonomi makro akan memberi tumpuan kepada mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan kestabilan bagi memudahkan pencapaian objektif sosio-ekonomi dalam konteks perkembangan ekonomi yang pesat. KDNK mengikut nilai sebenar dijangka tumbuh dengan pesat pada kadar purata 8.0 peratus setahun dengan kadar inflasi yang rendah. Usaha memerangi inflasi akan diteruskan melalui dasar fiskal dan kewangan yang bersesuaian serta langkah pentadbiran dan penyesuaian penawaran.

1.21 Agregat kewangan akan terus menjadi sasaran dasar kewangan jangka sederhana yang bertujuan mengurus kecairan dengan lebih berkesan. Sungguhpun pengurusan kewangan menjadi lebih rumit dengan meningkatnya mobiliti modal diperingkat antarabangsa, penyesuaian dasar yang bertepatan akan dilaksana bagi menghapuskan pengaruh ketidakstabilan tersebut. Kadar faedah akan dikekalkan pada paras yang dapat menggalak tabungan dan pelaburan. Pada masa yang sama, perhatian yang lebih akan ditumpukan kepada perbezaan kadar faedah untuk mengurangkan pengaliran masuk dana spekulatif. Faktor ketidakstabilan ini akan diambil kira dalam dasar tukaran asing terutamanya bertujuan menggalakkan pencapaian kadar tukaran yang stabil.

1.22 Dasar fiskal akan memperkukuhkan lagi dasar kewangan dalam usaha membendung tekanan harga. Penekanan terhadap perbelanjaan mengurus yang terkawal akan diteruskan selaras dengan dasar fiskal yang berhemat sementara perancangan pelaburan sektor awam akan mengambil kira kedudukan keseluruhan kewangan sektor awam, kedudukan imbangan pembayaran dan keupayaan untuk melaksanakan program pembangunan. Defisit belanjawan akan dibendung di tahap yang sewajarnya manakala penggunaan dana yang dipinjam akan diminimumkan. Disiplin kewangan ini akan mengurangkan lagi beban hutang negara serta pergantungan terhadap pembiayaan dari luar negara dan seterusnya mengelakkan kesan buruk daripada pergerakan kadar tukaran asing.

1.23 Sungguhpun pembiayaan pelaburan awam tidak merupakan satu masalah, namun untuk memenuhi keperluan pelaburan swasta yang besar dan pelbagai adalah merupakan satu cabaran. Jumlah pelaburan yang terlibat akan memerlukan instrumen pembiayaan yang baru, galakan tabungan yang lebih berkesan serta penggemblengan sumber melalui pasaran modal dan sistem perbankan. Galakan tabungan yang tinggi akan membendung kenaikan harga dan ini akan melembabkan pertumbuhan penggunaan serta menggembleng dana dalam negeri yang akan digunakan untuk membiayai pelaburan. Usaha untuk terus membangunkan pasaran modal yang dinamik dan inovatif akan meningkatkan penggemblengan sumber bagi memenuhi keperluan dana yang semakin meningkat. Pembangunan seiring dalam pasaran ekuiti dan sekuriti hutang swasta akan menyediakan sumber yang diperlukan oleh sektor swasta bagi membiayai pelaburan termasuk bagi projek infrastruktur yang besar.

1.24 Usaha akan diambil untuk memperkukuhkan kedudukan imbangan keseluruhan imbangan pembayaran supaya dapat mengekalkan tahap rizab antarabangsa yang mencukupi. Seperti pada masa lalu, defisit akaun semasa dijangka dibiayai sepenuhnya oleh FDI yang baru serta melalui pelaburan semula. Asas ekonomi yang kukuh, kestabilan politik dan sosial serta pengluasan peluang perniagaan akan terus menarik pelabur asing. Peningkatan potensi pembangunan juga akan mendorong pelabur melabur semula keuntungan yang diperolehi. Lebih ramai pelabur Malaysia dijangka melabur ke luar negara untuk menjalin hubungan strategik dan membentuk rangkaian dengan rakan asing, meneroka pasaran luar negara, menggunakan input tempatan bagi usahaniaga ke luar negara dan mewujudkan struktur pengeluaran di peringkat antarabangsa. Oleh yang demikian, penglibatan aktif pelabur Malaysia dalam berbagai bidang pelaburan di luar negara akan digalakkan dalam bidang seperti perumahan, industri pembuatan, pemasangan kenderaan, minyak dan gas serta pembangunan infrastruktur. Pelabur Malaysia perlu mendapatkan dana bagi pelaburan tersebut daripada pasaran modal antarabangsa.

1.25 Pada masa yang sama, langkah tambahan akan diambil untuk memperbaiki kedudukan akaun semasa imbangan pembayaran. Memandangkan defisit yang tegar ini sebahagian besarnya berpunca daripada akaun perkhidmatan terutamanya pengaliran keluar keuntungan, bayaran dividen dan faedah serta pembayaran tambang dan insurans yang tinggi, usaha yang lebih gigih akan diambil untuk mengatasi masalah ini. Galakan secara agresif bagi membangunkan perkhidmatan terpilih untuk dieksport seperti pendidikan, pelancongan, kesihatan dan perkhidmatan juruperunding akan membantu mengurangkan defisit dalam akaun perkhidmatan. Usaha akan diambil untuk mencapai integrasi pengeluaran yang lebih kukuh supaya negara mampu mengeluarkan barangan modal dan perantaraan yang akan mengurangkan defisit apabila penggunaan input tempatan meningkat pada masa hadapan. Namun demikian, disebabkan sifat struktur defisit ini, hasil daripada langkah yang diambil akan hanya dapat dilihat pada akhir tempoh Rancangan.

Pengurangan Kemiskinan dan Penyusunan Semula Masyarakat

1.26 Dalam tempoh RMT, usaha akan diteruskan untuk mengurangkan lagi kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan di antara kumpulan etnik dan kumpulan pendapatan serta wilayah. Jangkaan prestasi ekonomi yang lebih baik akan meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan meneruskan falsafah asas pembangunan yang menekankan pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama. Program pengagihan yang sedia ada akan diperbaiki dan diperteguh bagi meningkatkan keberkesanan usaha membentuk asas perpaduan nasional yang lebih kukuh.

1.27 Usaha akan ditumpukan untuk mengurangkan kadar kemiskinan ke tahap 5.5 peratus manakala kemiskinan di kalangan golongan termiskin akan dapat dibasmi sepenuhnya menjelang tahun 2000. Dalam hubungan ini, program membasmi kemiskinan termasuk Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) akan ditumpukan kepada pengurangan kemiskinan di kawasan dan di kalangan kumpulan yang kadar kemiskinannya tinggi.

1.28 Dalam usaha meningkatkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang lebih berdaya maju, usahawan Bumiputera digalak menceburi industri strategik seperti industri aerospace, automotif, jentera dan kejuruteraan, petrokimia dan telekomunikasi. Program secara berpakej seperti pembangunan vendor dan francais yang telah diperkenalkan dalam tempoh RME akan terus diperluaskan. Bagi meningkatkan lagi penyertaan usahawan Bumiputera dalam industri strategik, latihan khusus akan diberi untuk meningkatkan pengetahuan teknikal di samping mewujudkan semangat mencapai matlamat bersama di kalangan mereka. Usaha juga akan diambil untuk menggalakkan lebih banyak entiti sektor swasta termasuk syarikat multinasional (MNC) melibatkan diri sebagai syarikat tunjang atau pemberi francais.

1.29 Usaha akan terus diambil untuk menyusun semula corak gunatenaga supaya menggambarkan komposisi etnik penduduk negara. Perhatian khusus akan diberi untuk meningkatkan penawaran tenaga kerja Bumiputera dalam bidang profesional dan pengurusan melalui pendidikan dan latihan. Bumiputera akan disediakan dengan lebih banyak kemudahan untuk membolehkan mereka memperolehi kemahiran yang sesuai, pendedahan serta pengalaman yang perlu seperti yang dikehendaki oleh sektor swasta.

1.30 Dalam usaha meningkatkan hak milik ekuiti, penyertaan dan penguasaan Bumiputera dalam sektor korporat, Bumiputera akan dilengkapkan dengan kemahiran yang perlu untuk mengurus dan mentadbir harta dan kekayaan mereka secara berterusan. Individu, institusi dan agensi amanah Bumiputera akan digalak mengembangkan aktiviti mereka dan menerokai pasaran baru melalui hubungan perniagaan di luar negara dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi syarikat kecil Bumiputera lain untuk menyertai aktiviti yang berkaitan. Di samping itu, usaha akan menjurus kepada peningkatan dan penggemblengan tabungan Bumiputera dalam tabung amanah dan koperasi serta sumber yang berteraskan Islam seperti zakat, wakaf dan Baitulmal.

1.31 Dalam tempoh RMT, pendapatan isirumah dijangka meningkat selaras dengan jangkaan pertumbuhan KDNK mengikut nilai sebenar yang tinggi. Walau bagaimanapun, memandangkan wujudnya ketidaksamaan pendapatan yang semakin meluas di antara kumpulan etnik, kumpulan pendapatan dan di antara isirumah di bandar dan di luar bandar dalam tempoh RME, usaha akan terus diambil untuk memastikan kesan daripada ketidaksamaan tersebut akan diminimumkan. Kumpulan pendapatan pertengahan akan terus berkembang dan ini dijangka mengurangkan ketidaksamaan pendapatan di kalangan kumpulan pendapatan. Di samping itu, program dan projek pendidikan dan latihan, kesihatan dan kemudahan sosial yang lain serta aktiviti menjana pendapatan dijangka terus meningkatkan taraf hidup penduduk dalam kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah.

1.32 Memandangkan kepesatan kadar pembandaran, Kerajaan akan mengambil langkah perlu untuk mengawal peningkatan bilangan golongan miskin di bandar. Sungguhpun kadar kemiskinan di kalangan kumpulan miskin dan termiskin telah berkurangan, bilangan isirumah miskin di kawasan bandar telah meningkat sedikit terutamanya berikutan daripada penakrifan semula kawasan bandar pada tahun 1991. Bagi mengurangkan bilangan golongan miskin di bandar, Kerajaan akan memberi keutamaan kepada projek yang boleh menjana pendapatan serta menyediakan kemudahan asas yang mencukupi termasuk perumahan kos rendah.
f
Pertumbuhan Yang Didorong Oleh Produktiviti

1.33 Pada masa lalu, pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong terutamanya oleh input melalui pelaburan, dengan modal menyumbang hampir separuh daripada pertumbuhan potensi output. RMT akan mengalihkan tumpuan daripada strategi pertumbuhan yang didorong oleh input kepada pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti dengan meningkatkan sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (TFP). TFP merujuk kepada output tambahan yang dijana melalui peningkatan kecekapan hasil daripada kemajuan pendidikan, kemahiran dan kepakaran pekerja, perolehan teknik dan pengetahuan pengurusan yang tinggi, kemajuan dalam organisasi, berikutan daripada pengkhususan, pengenalan teknologi baru dan inovasi atau peningkatan teknologi sedia ada serta kemajuan IT. Peningkatan TFP akan membolehkan ekonomi menjana output yang lebih banyak daripada sumber yang sama dan seterusnya beralih ke arah laluan pertumbuhan yang lebih tinggi.

1.34 Dalam tempoh RMT, pertumbuhan gunatenaga dijangka berada pada kadar purata 2.8 peratus setahun, lebih rendah daripada 3.4 peratus yang dicapai dalam tempoh RME dan dengan itu mengurangkan sumbangan buruh kepada pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan yang lebih perlahan ini dijangka berikutan daripada amalan penjimatan buruh yang lebih tinggi selaras dengan ekonomi yang bergerak ke arah penggunaan modal yang lebih intensif. Pada masa yang sama, pertumbuhan pelaburan swasta yang kukuh pada kadar 16.6 peratus dalam tempoh RME dijangka berkurang kepada 7.8 peratus, walaupun jumlah pelaburan yang besar bernilai RM385 bilion diperlukan untuk mencapai matlamat RMT. Faktor tersebut menunjukkan bahawa prospek masa hadapan ekonomi Malaysia bergantung kepada kejayaan peningkatan produktiviti untuk menggerakkan ekonomi.

1.35 Peningkatan kemahiran, pendalaman modal, pembangunan teknologi dan kemajuan organisasi akan menjadi tunjang kepada peralihan ekonomi Malaysia ke arah pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti. Dengan sebahagian besar tenaga buruh yang terdiri daripada peringkat usia muda, pelaburan dalam tenaga manusia untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja membolehkan setiap unit buruh menghasilkan lebih banyak output atau produk yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi. Program pembangunan kemahiran yang dipergiatkan dalam tempoh RMT akan meningkatkan penawaran tenaga manusia yang berkemampuan dan pakar dalam bidang teknikal. Dengan kualiti tenaga kerja yang lebih baik, jangkamasa pembelajaran dan tempoh memperolehi pulangan daripada penggunaan sistem automasi yang lebih maju serta perolehan teknologi baru akan dapat dipendekkan. Ini akan menyokong usaha peralihan ke arah industri berteknologi tinggi dan berintensif modal.

1.36 Pertumbuhan produktiviti buruh adalah juga berkaitan dengan tahap pendalaman modal yang menyebabkan kenaikan dalam nisbah modal-buruh. Proses pendalaman modal yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah dirangsang oleh kemasukan pelaburan asing yang besar terutamanya dalam sektor pembuatan dan proses ini dijangka akan berterusan. Sumber bagi proses ini dijangka berpunca daripada kedua-dua pelaburan asing dan tempatan. Pelaburan besar yang dirancang dalam sektor pembuatan serta banyaknya projek infrastruktur besar yang akan terus dilaksanakan dalam tempoh RMT akan membantu pembentukan modal dalam negeri. Di samping itu, persekitaran yang sesuai serta insentif yang menarik akan terus merangsang pelaburan asing dan tempatan.

1.37 Usaha untuk merealisasikan kecekapan penggunaan sumber modal tambahan adalah penting untuk meningkatkan produktiviti buruh dan modal. Permintaan terhadap tenaga buruh akan dikurangkan bukan sahaja melalui peningkatan nisbah modal kepada buruh tetapi juga melalui peningkatan intensiti kemahiran dalam proses pengeluaran. Perubahan ini adalah perlu memandangkan ekonomi akan terus mengalami gunatenaga penuh. Di samping itu, kecekapan pengurusan perlu dipertingkatkan manakala hubungan antara majikan dan pekerja perlu diperkukuhkan bagi mendapat manfaat daripada pertambahan produktiviti.

1.38 Kadar pelaburan fizikal yang tinggi perlu digandingkan dengan peningkatan dalam pembangunan teknologi dan pengurusan. Manfaat daripada pembangunan teknologi bukan sahaja diperolehi melalui inovasi perintis atau penemuan baru tetapi termasuk juga penguasaan teknologi sedia ada serta mengikuti perubahan yang sering berlaku di samping

mempelajari teknologi baru untuk diguna, diubahsuai dan dimajukan. Di samping berusaha untuk memupuk pembangunan teknologi tempatan, industri Malaysia perlu terus mendapatkan teknologi daripada negara maju yang lain. Pembaharuan yang mudah mungkin dapat diperolehi secara berinteraksi dengan pasaran dan firma yang berkaitan seperti sub-kontraktor dan pembekal barangan dan perkhidmatan. Kehadiran banyak MNC di Malaysia juga sepatutnya membantu proses ini.

1.39 Bagi mendapatkan manfaat daripada kewujudan MNC, usaha akan dimulakan untuk membangunkan Malaysia sebagai lokasi yang menarik dan berpotensi menjadi pusat kecemerlangan P&P dalam keluaran pembuatan terpilih seperti industri elektronik, getah dan industri berasaskan kayu tropika. Dengan meningkatnya globalisasi, banyak MNC telah menempatkan kemudahan P&P di beberapa lokasi baru di luar negara asal mereka. Dalam hubungan ini, MNC yang berkaitan digalak menempatkan kemudahan P&P mereka di negara ini. Usaha akan diambil untuk mewujudkan persekitaran yang perlu termasuk membentuk sistem pendidikan yang memberi penekanan kepada S&T, mengukuhkan institusi teknikal dan saintifik di samping memupuk nilai budaya yang boleh menggalakkan inovasi. Kerajaan juga akan terus melaksanakan dasar perdagangan dan ekonomi yang mendorong persaingan di kalangan firma dalam negeri bagi mempercepatkan proses pencapaian teknologi dan menjadikannya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa. Kerajaan akan menyediakan sokongan perlu untuk menarik pakar, ahli sains dan ahli teknologi dari negara asing.

1.40 Perhatian akan diberi kepada pertumbuhan komponen bukan fizikal bagi pelaburan yang meliputi kaedah pengurusan dan persekitaran institusi. Komponen ini seringkali ketinggalan jika dibandingkan dengan komponen fizikal. Ini akan menyediakan lebih banyak peluang bagi modal merealisasikan potensi produktif sepenuhnya. Peluang untuk mewujudkan perkongsian pintar dengan manfaat bersama di peringkat nasional dan antarabangsa akan diperkukuhkan. Ini akan membantu meningkatkan perkembangan perniagaan. Pemupukan sikap positif terhadap kerja merupakan satu lagi faktor penting yang akan menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi. Kesungguhan bekerja merupakan pelengkap kepada pelaburan modal, kemahiran serta kepakaran pengurusan dalam proses pengeluaran melalui peningkatan produktiviti yang lebih tinggi.

Peningkatan Daya Saingan

1.41 Satu lagi aspek penting dalam teras pembangunan adalah usaha meningkatkan daya saingan antarabangsa dalam menghadapi persaingan global yang lebih hebat, kemajuan teknologi dan pasaran pengguna yang berubah. Memandangkan lebih banyak negara akan menyertai proses globalisasi, dunia akan memasuki era persaingan yang kian meningkat di mana negara akan bersaing bukan sahaja dengan negara pesaing dalam kumpulannya sendiri tetapi juga dengan negara pendatang baru yang akan sentiasa muncul. Dalam hubungan ini, Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka akan menentukan keutamaan dan membuat komitmen yang perlu bagi membolehkannya bersaing dengan lebih berkesan di pasaran antarabangsa.

1.42 Asas ekonomi untuk Malaysia meningkatkan daya saingan telah sedia ada seperti dicerminkan melalui suasana politik yang stabil, persekitaran ekonomi yang menggalakkan, dasar dan peraturan yang menyokong, keupayaan kewangan yang kukuh, kemudahan infrastruktur yang mencukupi dan tenaga kerja yang berpendidikan, mudahsuai dan mudahlatih. Dalam tempoh RMT, usaha akan terus diambil untuk memperkukuhkan kelebihan daya saingan negara. Secara khusus, Malaysia perlu memperkembang dan memperteguhkan daya saingan kelompok industri, mengukuhkan lagi asas ekonomi dan infrastruktur, memperbaiki persekitaran institusi sokongan, memperluas dan memperkuatkan rangkaian pasaran dunia, mengekalkan insentif dan dasar pelaburan yang sesuai, memastikan kestabilan harga serta kos menjalankan perniagaan yang rendah di samping meningkatkan kualiti hidup. Prestasi ekonomi masa hadapan akan lebih bergantung kepada keupayaan menggunakan faktor¬faktor ini untuk mencapai prestasi daya saingan yang terbaik.

1.43 Keadaan gunatenaga yang menggalakkan dalam tempoh RME telah memberi manfaat kepada pekerja melalui upah yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kenaikan upah yang tidak disertai dengan peningkatan produktiviti dalam jangkamasa panjang akan menambah tekanan inflasi, mengurangkan kelebihan daya saingan dan merendahkan taraf hidup pekerja. Sektor awam dan swasta perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan supaya upah yang lebih tinggi dapat dikekalkan. Dalam hubungan ini, kesatuan sekerja perlu mengubah sikap daripada hanya memperjuangkan upah yang tinggi kepada usaha yang lebih giat untuk menggalakkan ahlinya meningkatkan produktiviti. Kesatuan sekerja perlu memperluaskan usaha melatih pekerja bagi memastikan kemahiran yang lebih tinggi bagi membolehkan mereka memperolehi upah dan keadaan kerja yang lebih baik. Di samping itu, keharmonian industri perlu terus dibina dan dipupuk bagi menyediakan persekitaran pertumbuhan produktiviti yang lebih baik dan suasana perundingan upah yang sihat. Majikan dan kesatuan sekerja perlu terus berusaha memupuk hubungan industri yang positif yang saling memberi manfaat kepada semua pihak.

Perindustrian Masa Hadapan

1.44 Pengilang Malaysia akan digalak mengambil strategi baru yang akan membolehkan mereka menumpukan pengeluaran bagi pasaran dunia. Dengan memasuki pasaran antarabangsa, firma akan mampu meraih peluang baru dan lebih luas daripada pasaran yang lebih pelbagai, pada masa yang sama membolehkan mereka memperkenalkan intensiti modal yang lebih tinggi dan mendapat manfaat daripada penggunaan teknologi. Peralihan daripada bergantung kepada pasaran dalam negeri kepada pengeluaran untuk pasaran eksport ini memerlukan firma menceburi operasi pengeluaran berskala besar dan meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi mendapat manfaat ekonomi bidangan. Pengeluaran secara besar-besaran bagi pasaran dunia akan meningkatkan penggunaan teknologi dan kepakaran tenaga manusia dengan lebih tinggi dan oleh itu akan menambah kecekapan dan produktiviti yang seterusnya membawa kepada unit kos pengeluaran yang lebih rendah. Akhirnya, usaha ini akan meningkatkan kualiti dan output barangan tempatan dan memperbaiki daya saingan eksport Malaysia. Ini akan menghasilkan bekalan keluaran yang secukupnya seperti simen, automobil dan keluaran besi yang telah mencatatkan peningkatan permintaan di luar jangka dalam pasaran dalam negeri sepanjang tempoh RME. Di samping itu, pendekatan secara global bagi perindustrian akan juga membantu mengurangkan kandungan import dalam keluaran tempatan dan seterusnya memperbaiki kedudukan imbangan pembayaran.

1.45 Bagi menjayakan strategi ini, industri perlu menekankan kepada P&P dan standard kualiti serta mempergiatkan usaha secara berterusan dalam proses inovasi dan kemajuan keluaran. Perubahan yang strategik dalam pengeluaran hendaklah disertai dengan pemasaran keluaran Malaysia secara agresif dan bersungguh-sungguh dalam pasaran tradisional dan baru.

1.46 Bagi memastikan pendekatan baru ini membawa kepada rantaian di antara dan di dalam industri yang perlu, ianya harus disokong dengan pembangunan industri barangan modal dan perantaraan secara serentak serta industri sokongan kecil dan sederhana yang kukuh. Di samping itu, langkah dan strategi yang bersesuaian akan dilaksanakan untuk memperkukuhkan asas industri melalui pembangunan industri yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, teknologi termaju, berintensif kemahiran serta berintensif pengetahuan.

1.47 Kerajaan akan mewujudkan persekitaran yang membolehkan firma meningkatkan kelebihan daya saingan dalam industri yang telah kukuh dengan memperkenalkan teknologi dan kaedah yang lebih canggih serta meneroka bidang yang lebih maju. Sebagai satu cara memperluas aktiviti ekonomi, dasar awam akan memberi sokongan kepada firma tempatan melabur dalam industri baru yang boleh menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi. Pembangunan kelompok perindustrian akan digalakkan supaya prestasi yang tinggi daripada industri utama akan meresap ke bawah dan memberi manfaat kepada semua industri yang berkaitan. Kelompok industri adalah merupakan satu gabungan firma dan industri yang saling berhubungkait secara menegak mahupun secara mendatar. Setiap kelompok akan mempunyai industri utama yang dibantu oleh pembekal komponen, bahan mentah, perkhidmatan sokongan dan infrastruktur khusus bagi kelompok masing-masing. Kelompok industri perlu terus berkembang dan menghasilkan kelompok baru untuk menambahkan lagi nilai dan pendalaman industri.

1.48 Pada masa yang sama, firma Malaysia perlu membina dan membangunkan kaedah baru dalam rangkaian perniagaan supaya menjalin hubungan sinergi di kalangan ahli perniagaan dan pasaran luar. Ini termasuk pembahagian proses pengeluaran secara terpilih dengan mengekalkan pengeluaran yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi di Malaysia sementara kewujudan jalinan sokongan pengeluaran di luar negeri mengikut tahap kemahiran dan teknologi di negara berkenaan.

Pembangunan Sumber Manusia

1.49 Dalam tempoh RMT, teras utama usaha membangunkan sumber manusia ialah penyediaan asas sumber manusia yang kukuh bagi pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan menghadapi persaingan global. Memandangkan ekonomi akan beralih kepada pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti, penekanan akan diberi kepada usaha meningkatkan kecekapan penggunaan buruh serta penggunaan modal dan teknologi dalam pengeluaran secara intensif.

1.50 Ekonomi yang didorong oleh produktiviti memerlukan tahap profesional dan kemahiran tenaga manusia serta kepakaran pentadbiran dan pengurusan yang lebih tinggi. Dalam hubungan ini, usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga buruh, menggalakkan peningkatan keupayaan dan inisiatif pengurusan serta memajukan pengetahuan saintifik dan teknologi akan terus dilaksanakan dalam tempoh Rancangan.

1.51 Kerajaan akan terus memainkan peranan utama dalam pembangunan sumber manusia. Institusi pendidikan dan latihan kemahiran akan diperkembang, dinaiktaraf dan disusun semula di mana perlu untuk meningkatkan kemahiran dan menjadikan latihan lebih bersesuaian dengan keperluan industri. Sistem pendidikan, khususnya pendidikan tinggi, akan disusun semula dan kemasukan pelajar dalam bidang kejuruteraan dan sains perlu dilipatgandakan bagi menambah graduan dalam jurusan tersebut. Kepesatan pembangunan perindustrian memerlukan lebih banyak kepakaran dan latihan ijazah lanjutan terutamanya dalam bidang teknologi kejuruteraan. Di samping itu, penekanan akan diberi kepada usaha menggalakkan penggunaan IT dalam bidang yang khusus, pengetahuan komputer dan bidang sokongan lain.

1.52 Bagi melengkapkan usaha Kerajaan dalam pembangunan sumber manusia, penglibatan sektor swasta dengan kerjasama sektor awam yang lebih giat akan digalakkan dalam pendidikan tinggi dan latihan kemahiran. Pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971 dan pengenalan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, 1996 akan membolehkan sektor swasta memainkan peranan yang lebih besar dalam pendidikan tinggi. Penekanan akan juga diberi kepada usaha menggalakkan latihan yang berasaskan perusahaan bagi melatih semula pekerja dalam bidang kemahiran baru yang diperlukan mengikut kepesatan perubahan teknologi. Di samping itu, skim perantisan baru akan dilaksana untuk menambah bekalan tenaga manusia mahir dalam negeri. Memandangkan ekonomi sedang menuju ke arah penggunaan modal yang lebih intensif serta proses pengeluaran yang lebih canggih, permintaan terhadap tenaga kerja yang berkemahiran tinggi akan meningkat. Bagi memenuhi permintaan ini, usaha bersama di antara sektor awam dan swasta akan ditingkatkan bagi menubuhkan institusi latihan kemahiran tinggi terutamanya dalam bidang teknologi baru. Dengan pelaksanaan usaha ini, pengeluaran tenaga mahir dan berpendidikan dijangka meningkat pada akhir tempoh Rancangan.

1.53 Dalam pasaran buruh yang dinamik, penyelarasan di antara upah dan pertumbuhan produktiviti akan membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan daya saingan eksport Malaysia. Dengan itu, Kerajaan akan meneruskan usaha menggalakkan penggunaan mekanisme upah yang berkaitan dengan produktiviti secara lebih meluas dalam ekonomi. Penyelarasan yang baik di antara permintaan dan penawaran tenaga manusia melalui sistem maklumat pasaran buruh yang lebih sempurna akan memperlengkapkan lagi usaha menggunakan sumber tenaga manusia yang sedia ada dengan lebih cekap.

1.54 Usaha untuk menambah penawaran tenaga manusia bagi pasaran buruh akan melibatkan galakan lebih meluas kepada peningkatan penyertaan wanita serta pengambilan pekerja sektor awam yang akan bersara. Langkah yang akan diambil oleh Kerajaan termasuk meminda Akta Kerja, 1955 bagi menambah lebih banyak peluang pekerjaan sambilan serta meningkatkan amalan kerja fleksibel dalam sektor swasta bagi menambah penyertaan wanita yang lebih besar dalam tenaga kerja serta menubuhkan unit khas bagi mempercepatkan pengambilan semula kakitangan bersara di sektor awam secara terpilih.

Pembangunan Teknologi

1.55 Penggunaan teknologi yang lebih meluas dan pembangunan keupayaan dalam negeri yang lebih kukuh merupakan faktor utama dalam mencapai objektif pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti dan daya saingan industri. Dasar yang sesuai dan perubahan institusi yang bertujuan memperkukuhkan S&T, meningkatkan P&P dan memperbaiki pengurusannya akan dilaksanakan. Di samping itu, kerjasama di antara industri dengan universiti dan institusi penyelidikan dalam pembangunan teknologi akan dipereratkan. Usaha ini akan membantu meninggikan keupayaan teknologi dalam sektor awam dan swasta.

1.56 Strategi bagi perancangan dan pelaksanaan S&T akan diubahsuai bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan agensi penyelidikan supaya peranan mereka dalam mempercepatkan pemindahan teknologi dapat ditingkatkan dan hubungan di antara institusi P&P, akademia dan industri akan dirapatkan. Pembiayaan bagi P&P akan ditambah untuk memperkukuhkan lagi keupayaan dalam negeri dalam teknologi penting seperti bahan termaju, bio-teknologi, teknologi automasi pembuatan, elektronik dan IT. Penubuhan pusat kecemerlangan di kalangan dan di antara universiti dan insititusi penyelidikan serta usaha pengkomersilan aktiviti P&P akan juga disokong. Institusi yang terlibat dengan aktiviti P&P akan digalakkan bekerjasama dengan lebih erat untuk meningkatkan daya inovasi serta memastikan kemahiran dan pengetahuan yang dimajukan mempunyai kaitan dengan industri. Penekanan yang lebih akan diberi kepada usaha menggalakkan pembiayaan bersama dan program usahasama di antara industri dan institusi sektor awam dalam penyelidikan bagi tujuan memindahkan hasil penyelidikan untuk kegunaan industri dan komersil.

1.57 Pra-syarat utama kejayaan strategi baru untuk kemajuan teknologi bergantung kepada penglibatan sektor swasta. Kerajaan akan terus menyediakan insentif fiskal dan kewangan yang lebih baik serta kemudahan infrastruktur yang sesuai terutama bagi industri kecil dan sederhana (IKS) serta merangsang aktiviti P&P dan inovasi teknologi di kalangan sektor swasta. Dalam hubungan ini, industri dijangka menerokai peluang yang luas untuk meningkatkan kedudukan daya saingan negara dalam pasaran dunia dengan meningkatkan produktiviti dan keluaran serta perkhidmatan melalui pengembangan aktiviti P&P. IKS akan digalak menggunakan inovasi dan teknologi yang telah dibangunkan bagi meningkatkan operasi mereka.

1.58 Bagi meningkatkan lagi keupayaan inovasi, Kerajaan akan menambah pelaburan dalam pendidikan saintifik dan teknologi serta membangunkan sumber manusia dalam bidang teknikal dan penyelidikan. Perhatian akan juga ditumpukan terhadap orientasi semula pendidikan sains dan teknologi bagi memupuk kreativiti dan inovasi di kalangan golongan muda. Penekanan yang lebih akan diberi kepada pembangunan kumpulan teras ahli sains, penyelidik, ahli teknologi dan pendidik yang bertaraf tinggi yang dapat memainkan peranan penting dalam memajukan teknologi dalam negeri.

Teknologi Maklumat

1.59 IT akan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara terutamanya dalam meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saingan. Peranan penting maklumat dalam membuat keputusan mengenai pelaburan dan persaingan global telah meletakkan IT sebagai teraju pembangunan ekonomi. Dalam tempoh RMT, teras pembangunan IT ialah untuk memajukan lagi infrastruktur IT bagi membentuk asas yang kukuh untuk membina ekonomi perindustrian yang berasaskan pengetahuan serta membentuk masyarakat yang kaya dengan maklumat. IT akan meresap ke semua sektor dan meningkatkan sumbangan sektor-sektor tersebut kepada pertumbuhan ekonomi.

1.60 Menyedari betapa pentingnya IT sebagai pemangkin pembangunan nasional, Kerajaan telahpun memulakan pembinaan Koridor Raya Multimedia yang merentangi dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang baru di Sepang. Koridor Raya Multimedia ini akan disokong dengan infrastruktur fizikal dan maklumat yang bertaraf antarabangsa. Kerajaan akan melaksanakan pembangunaan KLIA dan pusat pentadbiran baru Kerajaan Persekutuan di Putrajaya yang dilengkapi dengan teknologi komunikasi dan
infrastruktur IT yang canggih dan terkini. Sektor swasta, khasnya syarikat multimedia bertaraf dunia, akan digalak untuk menempatkan perniagaan mereka di koridor ini bagi menjalankan aktiviti pembuatan jarak jauh serta memperkenalkan barangan dan perkhidmatan IT yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi bagi membolehkan Malaysia menjadi pusat IT serantau.

1.61 Sumbangan sektor pembuatan akan dipertingkatkan lagi dengan mengintegrasikan IT dalam proses pengeluaran yang akan membantu pengeluar meningkatkan pengeluaran, mengurangkan kos dan memastikan keluaran yang berkualiti. Bagi IKS, pelaburan dalam IT akan digalakkan dengan memberi kesedaran mengenai faedah yang diperolehi serta menyediakan khidmat sokongan untuk menjalankan kajian perundingan dan projek penyelidikan secara usaha sama.

1.62 Peranan sokongan sektor perkhidmatan akan terus diperkukuh melalui usaha pembangunan sektor perkhidmatan untuk menjadi sektor yang moden, cekap dan berdaya saing. Usaha tersebut sangat bergantung kepada kepesatan modenisasi dan integrasi IT bagi aktiviti sektor tersebut. Bagi sektor awam, program pembangunan IT termasuk penyediaan Pelan Sistem Maklumat terperinci untuk mewujudkan pangkalan data bagi tujuan strategik dan membuat keputusan serta memudahkan sektor swasta mendapat maklumat.

1.63 Pembangunan dalam teknologi komputer, komunikasi dan teknologi multimedia yang menyebabkan pengaliran maklumat yang tidak terhad serta perubahan struktur organisasi dan operasi di samping perubahan kawalan hakmilik, pentadbiran dan peraturan yang sedia ada memerlukan kajian semula dijalankan ke atas undang-undang, peraturan dan mekanisme. Kajian semula tersebut adalah perlu bagi memastikan hak dan keselamatan negara, organisasi dan individu dilindungi. Pada masa yang sama, undang-undang dan peraturan semasa yang menghalang pertumbuhan IT akan dikaji semula.

1.64 Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program IT di berbagai sektor ekonomi, pembangunan sumber manusia adalah sangat perlu untuk memenuhi permintaan yang meningkat terhadap tenaga kerja yang berkemampuan dan berpengetahuan komputer. Tenaga kerja IT yang profesional perlu dipupuk
untuk menampung keperluan pembangunan yang pesat dalam teknologi baru dan penggunaannya dalam bidang am dan khusus. Bagi tujuan ini, program pendidikan dan latihan akan dikaji semula untuk merangkumi kajian dan latihan dalam bidang IT di berbagai peringkat pendidikan dan latihan.

Penswastaan

1.65 Pendekatan pragmatik program penswastaan telah menghasilkan kejayaan dalam pelaksanaannya dalam tempoh RME. Ini telah memberi sumbangan yang besar dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui kepesatan pelaburan, perkembangan sektor korporat, peningkatan kecekapan dan produktiviti, peningkatan daya saingan dalam beberapa sektor dan menjana kesan pengganda dalam ekonomi. Kecekapan dan produktiviti entiti yang diswastakan telah bertambah melalui peningkatan mutu perkhidmatan dan sistem pengurusan serta perkembangan sikap positif di samping perubahan minda pekerja.

1.66 Seperti yang diharapkan, program penswastaan telah mengurangkan beban pentadbiran Kerajaan dari segi pengambilan, kenaikan pangkat dan latihan kakitangan. Semenjak tahun 1983, sebanyak 11.4 peratus daripada jumlah tenaga kerja sektor awam telah dipindahkan ke sektor swasta. Program penswastaan ini telah dapat menjimatkan perbelanjaan Kerajaan sama ada melalui perbelanjaan modal, jualan harta dan ekuiti atau daripada hasil cukai korporat yang bukan sahaja membolehkan Kerajaan mengurangkan pinjaman tetapi juga telah membolehkan penambahan sumber sedia ada untuk membiayai projek pembangunan sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan.

1.67 Penswastaan juga telah meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia memperolehi teknologi baru dan kepakaran sama ada melalui kontrak pengurusan, khidmat juruperunding atau pelaburan baru yang khusus dalam bidang telekomunikasi, pengangkutan dan kemudahan awam. Penglibatan Bumiputera dalam ekonomi juga dapat diperkukuhkan melalui penswastaan sebagaimana yang dapat dilihat daripada penyertaan mereka melalui pemilikan ekuiti dan pengurusan. Penswastaan juga telah memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia termasuk golongan yang berpendapatan rendah. Penglibatan secara meluas ini telah dicapai melalui penawaran saham kepada orang awam, pekerja entiti yang telah diswasta serta pelabur institusi.

1.68 Dalam tempoh RMT, program penswastaan akan dipercepatkan bagi mempertingkatkan kecekapan dan produktiviti, mengekalkan pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan lagi beban kewangan dan pentadbiran sektor awam. Peranan badan kawalselia akan diperkukuh untuk memastikan ianya berfungsi secara berkesan supaya kepentingan Kerajaan dan orang awam dapat dilindungi. Bagi menentukan bayaran yang dikenakan kepada pengguna adalah munasabah, Kerajaan akan mengambil berat terhadap tindakan mengenakan kos yang tidak sepatutnya ditanggung oleh orang awam. Penyertaan Bumiputera akan terus diberi penekanan dan usahawan Malaysia akan digalak untuk melibatkan diri dalam projek penswastaan di luar negara.

Pembangunan Mampan

1.69 Pembangunan mampan akan terus diberi penekanan dalam tempoh RMT untuk memastikan kesejahteraan generasi masa kini tidak akan mengorbankan kepentingan generasi akan datang. Ini memerlukan integrasi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam proses pembangunan. Kualiti alam sekitar akan dipertingkatkan dan sumber akan digunakan dengan lebih cekap bagi memastikan peningkatan taraf hidup dapat dicapai tanpa mengenepikan keperluan, kepentingan dan kebajikan generasi akan datang.

1.70 Dalam tempoh RME, Malaysia telah memperkenalkan beberapa langkah untuk memulihara alam sekitar dan memelihara sumber semulajadi. Semua projek utama dikehendaki menjalankan penilaian kesan alam sekitar. Di samping itu, kualiti udara dan air telah diawasi dengan teliti. Malaysia juga telah mengambil langkah yang perlu untuk memulihara hutan melalui program menghutan semula dan mengharamkan eksport balak di samping kawalan yang ketat terhadap pembalakan secara haram. Usaha memulihara dan memelihara warisan semula jadi Malaysia telah memperluaskan kawasan rizab hutan kekal menjadikan kira-kira 59 peratus daripada keluasan negara diliputi hutan manakala 72 peratus merupakan kawasan dilitupi pokok.

1.71 Dalam tempoh RMT, Kerajaan akan terus mengimbangi objektif pertumbuhan ekonomi dengan kepentingan alam sekitar. Pertimbangan terhadap alam sekitar akan lebih diambil kira dalam pembentukan dasar sektoral bagi memastikan pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan. Di samping mendapatkan keupayaan teknikal yang perlu, Kerajaan akan melaksanakan langkah pengawasan dan pengawalan dengan lebih cekap dan berkesan dari segi kos bagi mengurang dan meminimumkan tahap pencemaran serta meningkatkan kualiti hidup.

1.72 Pengurusan sumber dan alam sekitar akan berpandukan kepada Dasar Alam Sekitar Negara yang dicadangkan yang bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi, sosial dan kemajuan budaya melalui pembangunan mampan dan sesuai dari segi alam sekitar. Satu Pelan Tindakan akan dirangka untuk melaksanakan dasar tersebut yang akan memberi tumpuan kepada pembentukan rangka institusi yang kukuh, penggubalan undang¬undang dan peraturan yang berkaitan serta mewujudkan jentera pengawasan dan penguatkuasaan yang cekap dan berkesan. Dalam tempoh Rancangan, langkah akan diambil untuk memperbaiki pengurusan pembuangan sampah, bahan toksik dan berbahaya serta bahan buangan radioaktif. Hasil daripada itu, tahap pencemaran udara dan air dijangka dapat dikurangkan.

1.73 Kepentingan alam sekitar akan disepadukan dengan perancangan gunatanah bagi memastikan tanah digunakan dengan sebaik-baiknya dan kawasan tadahan air serta legeh air dipelihara. Usaha pemuliharaan tanah akan dilaksanakan dengan lebih sistematik dan disepadukan dengan perancangan fizikal bagi mengelakkan pembersihan tanah dan penebangan hutan secara berleluasa serta mengawasi pembangunan tanah secara teratur. Perundangan dan garis panduan semasa yang berkaitan dengan pembangunan dan pemuliharaan tanah akan dikaji semula untuk memastikan aktiviti-aktiviti penting seperti pembinaan bangunan tinggi, pembangunan di lereng bukit dan aktiviti pembersihan tanah dilaksanakan dengan perlindungan dan kawalan yang sesuai. Pengurusan dan pembangunan hutan akan dilaksanakan secara mampan untuk mengurangkan kadar pembaziran dan oleh itu meningkatkan kecekapan industri pemprosesan kayu. Kekayaan sumber yang diwarisi daripada kepelbagaian hidupan liar di hutan Malaysia akan disenarai serta didokumentasikan untuk membentuk pangkalan data. Di samping itu, perlindungan yang secukupnya akan diberi kepada habitat yang hampir pupus untuk memulihara kepelbagaian mereka. Sumber pinggir pantai akan diuruskan secara lebih teratur dengan memperkenalkan perancangan zon pinggir pantai secara bersepadu. Carigali dan perlombongan galian juga akan dilaksanakan secara mampan.

1.74 Kejayaan usaha menjaga alam sekitar dan memastikan pembangunan mampan memerlukan penyertaan yang aktif semua golongan masyarakat. Dengan itu, pendidikan dan kempen kesedaran mengenai alam sekitar akan dipergiatkan untuk menggalak rakyat mengamalkan corak penggunaan dan gaya hidup yang lebih mesra alam. Usaha juga akan ditumpukan bagi memperbaiki dan menyelaraskan data alam sekitar dengan data sumber semula jadi untuk perancangan. Secara khususnya, aduan dan masalah kesihatan berhubung dengan alam sekitar akan diawasi dengan teliti. Pendekatan tersebut beserta dengan penggunaan perundangan yang inovatif dan instrumen serta mekanisme pasaran akan terus membantu usaha menggalakkan pembangunan mampan.

Kualiti Hidup

1.75 Sungguhpun pembangunan ekonomi yang pesat merupakan pra-syarat untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi meningkatkan kualiti hidup, aspek sosial, kebudayaan dan psikologi adalah sama penting dan perlu digabungkan dalam keseluruhan proses pembangunan. Oleh yang demikian, penekanan akan diberi untuk menyediakan peluang yang lebih banyak bagi kemajuan diri, gaya hidup yang sihat, peluang untuk menimba ilmu pengetahuan, kemudahan perumahan dan perubatan yang lebih baik, alam sekitar yang bersih dan kemudahan rekreasi yang mencukupi.

1.76 Dalam tempoh RMT, pendidikan dan kesihatan yang merupakan dua komponen kualiti hidup yang penting akan terus diberi keutamaan. Sehubungan dengan ini, Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan pendidikan dan penjagaan kesihatan. Dasar semasa memastikan setiap kanak-kanak akan menerima pendidikan sekurang-kurangnya selama sebelas tahun. Dengan meningkatnya kemudahan pendidikan awam dan swasta, enrolmen ke institusi pendidikan tinggi akan meningkat daripada kira¬kira 12 peratus daripada penduduk dalam kumpulan umur 19-24 tahun pada tahun 1995 kepada kira-kira 15 peratus pada tahun 2000. Dalam bidang kesihatan, semua warganegara Malaysia akan dapat menikmati perkhidmatan pencegahan dan pemulihan kesihatan dan usaha akan diambil untuk memperbaiki lagi nisbah kakitangan perubatan dan kemudahan hospital kepada penduduk. Memandangkan perubahan gaya hidup merupakan faktor yang menyebabkan meningkatnya kemasukan ke hospital akibat penyakit jantung dan paru-paru, perhatian yang lebih akan diberikan kepada program pendidikan kesihatan bagi menggalakkan gaya hidup yang sihat dan selamat termasuk unsur pemakanan yang baik dan amalan senaman yang teratur.

1.77 Penyediaan perumahan yang mencukupi dan mampu dimiliki merupakan satu lagi aspek penting dalam meningkatkan kualiti hidup terutamanya golongan berpendapatan rendah. Dalam tempoh RMT, sejumlah 800,000 unit rumah dijangka dibina bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan sektor swasta dijangka membina kira-kira 71 peratus daripada jumlah tersebut. Bilangan rumah yang akan dibina dalam tempoh RMT adalah merupakan kenaikan sebanyak 39.6 peratus daripada sasaran yang telah ditetapkan dalam RME. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 235,000 unit merupakan rumah kos rendah manakala 350,000 unit lagi adalah rumah kos sederhana rendah.

1.78 Tabung Perumahan Kos Rendah akan dilanjutkan bagi mempercepatkan pembangunan perumahan kos rendah. Sektor swasta akan diberi peranan utama dalam melaksanakan program ini. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga akan turut serta dalam membangunkan rumah kos rendah. Kerajaan Negeri akan menubuhkan sebuah pendaftaran pusat di negeri masing¬masing untuk mendaftar dan mengawasi permohonan dan pengagihan rumah kos rendah.

1.79 Untuk meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat Malaysia, liputan penyediaan bekalan air dan elektrik akan diperluaskan. Adalah dijangkakan menjelang akhir tempoh RMT, liputan bekalan air bersih akan mencapai 95 peratus daripada jumlah penduduk manakala liputan bekalan elektrik akan meningkat kepada 93 peratus.

1.80 Di samping itu, program khusus bertujuan meningkatkan kualiti hidup di kawasan luar bandar akan diteruskan. Ini termasuk pengluasan liputan jalan berturap, air yang bersih dan kemudahan kebersihan, pembetungan dan bekalan elektrik serta penambahan peluang mendapatkan pendidikan menengah dan teknikal dan kemudahan kesihatan.

1.81 Usaha seterusnya akan diambil untuk memupuk nilai estetik yang lebih tinggi dalam masyarakat terutamanya dalam menghayati dan mengekalkan warisan, seni dan budaya. Kerajaan akan terus menggalakkan rakyat menghasilkan karya seni melalui penubuhan galeri seni. Bagi menggalakkan karyawan menjadi lebih kreatif dan berinovasi serta menghasilkan seni dan karya kesusasteraan yang bermutu tinggi supaya dapat memperkayakan warisan bangsa, pemberian anugerah seperti Anugerah Seni Negara dan Anugerah Sastera Negara akan diteruskan bagi mencerminkan penghargaan Kerajaan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan seni dan kesusasteraan negara. Kerajaan dan sektor swasta akan terus menyokong pembangunan aspek budaya ini, dengan menyediakan peruntukan bagi menyokong aktiviti kesenian, muzium, opera dan orkestra simfoni.

Menangani Masalah Sosial

1.82 Kemajuan perindustrian dan peningkatan pembandaran serta penghijrahan luar bandar ke bandar telah mengakibatkan berlakunya peningkatan tingkah laku sosial yang negatif. Masalah sosial seperti penagihan dadah, penderaan kanak¬kanak, lepak, jenayah juvana, gaya hidup yang tidak sihat serta ketegangan dalam keluarga telah mula timbul. Dalam tahun 1994, 17,600 kes penagihan dadah, 8,938 kes AIDS, 871 kes penderaan kanak-kanak dan 4,774 kes lari dari rumah telah dilaporkan. Dengan mengambil kira kes yang tidak dilaporkan, situasi ini mungkin lebih teruk dan masalah ini boleh merosakkan moral generasi akan datang jika langkah tidak diambil untuk mengatasinya.

1.83 Dalam konteks ini, Kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa peringkat tinggi antara agensi untuk menggubal dasar dan program bagi meningkatkan lagi pembangunan sosial dan keluarga. Sokongan institusi akan dikaji semula bagi membolehkan tumpuan yang lebih besar dan penyelarasan program pencegahan dan pemulihan bagi kumpulan sasaran khusus seperti kanak-kanak, belia dan ibu bapa. Pendidikan agama dan moral akan dipergiatkan bagi memupuk tingkah laku yang baik dan menggalakkan gaya hidup yang sihat.

Nilai Moral dan Etika

1.84 Nilai kerohanian, moral dan etika perlu dipupuk dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020. Sistem nilai yang murni menekankan moral dan etika berasaskan agama, adat dan tradisi. Nilai tersebut akan terus diberi penekanan sebagai komponen penting dalam menuju ke arah negara perindustrian sepenuhnya.

1.85 Bagi memupuk amalan nilai dan etika yang positif, sifat yang baik seperti berdisiplin, bekerja kuat, berintegriti, berdaya tahan, bertoleransi, berjimat, jujur dan menghormati orang yang lebih tua yang menjadi ciri kehidupan sosial masyarakat Malaysia akan terus disemai melalui sistem pendidikan, organisasi dan pertubuhan perniagaan serta program kekeluargaan. Nilai moral dan tingkah laku beretika akan diberi keutamaan dan pengiktirafan. Dalam hubungan ini, program Rakan Muda selain daripada menyarankan gaya hidup yang sihat di kalangan belia, juga merupakan salah satu cara untuk memupuk nilai positif di kalangan mereka. Semua rakyat Malaysia digalak menghormati dan menerapkan nilai ini sebagai satu kod tingkah laku.

1.86 Usaha untuk meningkatkan pembangunan masyarakat penyayang sebagai satu komponen yang melengkapi sistem nilai tersebut akan terus dilaksanakan. Dalam hubungan ini, peranan keluarga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan sukarela dan golongan korporat adalah penting. Di dalam rumah tangga dan hidup berjiran, kemahiran keibubapaan yang baik, perasaan bertanggungjawab terhadap ahli keluarga, semangat kejiranan dan perilaku kumpulan yang sihat akan diperkukuhkan.

1.87 Langkah lain yang akan diambil untuk menggalakkan etika yang baik dan sikap tanggungjawab yang lebih tinggi termasuklah pembentukan kod etika di tempat kerja. Sebagai tambahan kepada Perintah Am dan peraturan lain yang telah dikeluarkan bagi organisasi sektor awam, sektor swasta digalak menggubal kod etika bagi kumpulan perniagaan dan profesional.

1.88 Di samping sifat mesra, kejiranan dan layanan yang baik terhadap tetamu akan terus menjadi ciri masyarakat Malaysia, usaha membina satu semangat identiti bersama dan berkongsi tujuan di kalangan semua rakyat Malaysia sangatlah penting dalam usaha pembangunan nusabangsa dan membentuk Bangsa Malaysia. Bagi mencapai hasrat tersebut adalah perlu dipupuk perasaan bangga terhadap warisan, kejayaan dan potensi negara bagi menyemai semangat kekitaan nasional. Dalam hubungan ini, usaha akan diambil untuk mempopularkan lagi sukan negara dan acara kebangsaan yang lain. Semua proses ini dijangka memupuk nilai dan sikap positif sebagai satu cara hidup di kalangan rakyat Malaysia.

Memajukan Pentadbiran

1.89 Bagi meningkatkan lagi pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti dan pembangunan sumber manusia, peranan sektor awam adalah sangat penting. Ianya memerlukan penyertaan aktif sektor awam bukan sahaja dalam penggubalan dasar tetapi juga dalam pelaksanaan strategi dan program yang akan memudahkan pencapaian matlamat RMT. Untuk memastikan pencapaian objektif tersebut, sektor awam akan terus memberikan keutamaan yang tinggi terhadap pelaksanaan program memajukan pentadbiran yang akan menyumbang ke arah pembentukan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan berkesan. Sektor awam akan terus memainkan peranan sebagai penggerak, fasilitator dan pengawalselia. Peranan ini memerlukan kepimpinan yang berwibawa, komitmen sepenuhnya, berdaya kreatif dan berinovasi di semua peringkat.

1.90 Kerjasama yang berterusan di antara sektor awam dan swasta melalui pelaksanaan Konsep Persyarikatan Malaysia akan mewujudkan kelebihan untuk bersaing dalam pasaran dunia. Interaksi yang lebih rapat di antara kedua-dua sektor akan dilaksanakan, antara lain, menerusi sesi dialog di peringkat kementerian, jabatan, negeri, daerah dan tempatan. Undang-undang, peraturan dan prosedur akan terus dikaji semula bagi menyokong lagi pertumbuhan dan daya saingan sektor swasta. Dalam konteks ini, sistem maklumat dan pangkalan data dalam sektor awam akan dipertingkatkan manakala Talian Perkhidmatan Awam (CSL) akan diperkembang dan dinaik taraf bagi penyebaran maklumat kepada sektor swasta.

1.91 Dalam tempoh Rancangan, proses menginstitusikan budaya penjimatan penggunaan kertas dalam sektor awam melalui penggunaan IT yang terkini akan dipergiatkan. Usaha akan juga diambil bagi menjadikan sektor awam lebih berorientasikan tugas, dinamik dan berdaya tahan. Ini melibatkan perubahan yang besar meliputi bukan sahaja perubahan struktur dan sistem tetapi juga perubahan nilai dan cara pemikiran anggota sektor awam. Tumpuan utama adalah untuk mewujudkan pengurusan harta yang berkesan, menggalakkan budaya kecemerlangan dan menanam nilai asas seperti kualiti, produktiviti, inovasi, integriti, disiplin, akauntabiliti dan profesionalisme. Latihan dan latihan semula anggota sektor awam akan terus dijalankan khususnya dalam bidang pengurusan, P&P serta S&T dengan objektif mewujudkan sektor awam yang berkemampuan dan berkelayakan.

1.92 Sektor awam akan terus berusaha menjadikan Malaysia sebagai satu bangsa yang kaya dengan maklumat. Penguasaan maklumat awam akan terus disebar melalui sistem CSL, Perkhidmatan Maklumat Talian Terus Sawit (PALMOILIS), Pusat Pertukaran Data Pelaburan, Perdagangan dan Teknologi Negara¬negara Selatan (SITTDEC), Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) dan SIRIMLINK. Penggunaan rangkaian komputer akan diperluaskan dengan meningkatkan bilangan pangkalan data. Usaha menaiktaraf standard IT dalam sektor awam akan dilakukan melalui Internet, pelaksanaan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (GITN), meningkatkan keselamatan komputer serta memajukan kakitangan IT dan memupuk kesedaran mengenai IT.

1.93 Sektor awam akan mewujudkan mekanisme yang boleh merealisasikan matlamat negara termasuk daya saingan negara serta pembangunan sumber manusia dan infrastruktur fizikal. Ini memerlukan tahap pelaburan awam yang mencukupi dan berkekalan serta menjaga kualiti perkhidmatan awam yang penting, khususnya pendidikan, penjagaan kesihatan yang asas dan penyelidikan. Sektor awam akan memastikan bahawa cabaran masa kini dan cabaran baru yang dihadapi oleh negara dapat diatasi sepenuhnya bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan kestabilan dan pengagihan yang saksama.



Copyright® 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM