:: RANCANGAN MALAYSIA KE TUJUH (1996-2000) ::
BAB 22 : PEMBANGUNAN MENERUSI KERJASAMA ANTARABANGSA

III : PROSPEK, 1996-2000


22.50 Sebagai sebuah negara yang berusaha mencapai status negara maju seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020, Malaysia akan memain peranan proaktif dalam kerjasama antarabangsa dalam tempoh RMT. Ini bagi memastikan Malaysia menjadi salah satu negara di dunia yang memberi sumbangan ke arah pengwujudan Orde Dunia Baru yang berasaskan pengagihan kekayaan yang saksama dan kewujudan peluang yang terbuka. Memandangkan kepesatan globalisasi serta cabaran pembangunan mempunyai implikasi besar kepada Malaysia dan selaras dengan tahap pembangunan negara masa kini, Malaysia akan mempertingkatkan usaha ke arah memperkukuhkan kerjasama antarabangsa di peringkat dua hala, serantau dan pelbagai hala. Di samping usaha mengukuhkan kerjasama dengan negara maju, penekanan juga akan diberi bagi memupuk semangat berdikari di kalangan negara-negara Selatan.

Kerjasama Dua Hala

22.51 Malaysia akan terus menjalin dan mengekalkan hubungan dua hala yang erat dengan negara maju dan membangun. Hubungan ini yang merangkumi kerjasama politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan akan mengukuhkan asas bagi pembentukan kerjasama yang lain. Kerjasama ekonomi akan terus kekal sebagai teras hubungan dua hala dengan negara lain. Sungguhpun Malaysia menghadapi cabaran dari luar di bidang ekonomi, peluang pertumbuhan ekonomi masih boleh diperluaskan lagi melalui kerjasama dua hala. Kedudukan Malaysia yang berjiranan dengan negara yang berekonomi dinamik di Asia Timur serta peluang perdagangan dengan pasaran pengguna yang besar di Asia, Afrika, Amerika Selatan dan negara yang baru mengamalkan sistem ekonomi bebas, merupakan faktor penting yang boleh mempertingkatkan kerjasama dua hala. Sehubungan dengan ini, perdagangan dan pelaburan dengan negara rakan tradisi dan bukan tradisi akan dipergiatkan.

22.52 Sementara kerjasama dua hala dengan negara maju dan membangun terus ditumpukan kepada perdagangan dan pelaburan, bidang kerjasama yang lain seperti sains dan teknologi, pendidikan teknik dan pembangunan teknologi maklumat akan juga diberi tumpuan dalam tempoh RMT. Ini adalah selaras dengan keperluan negara untuk meningkatkan produktiviti dan daya saingan. Memandangkan pasaran dunia semakin canggih, kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan banyak bergantung kepada keupayaan mengeluarkan barangan berkualiti dan perkhidmatan yang mampu bersaing dari segi harga. Ini dapat dicapai melalui peningkatan produktiviti dan inovasi dalam bidang teknologi. Jurang teknologi yang semakin luas boleh menjejaskan masa depan perdagangan Utara-Selatan dan melemahkan asas kemajuan ekonomi dunia secara keseluruhan. Selain daripada usaha dalam negeri untuk meningkatkan produktiviti, Malaysia akan terus berusaha memastikan akses kepada teknologi tidak terhalang. Ini boleh dicapai melalui kerjasama dua hala, bukan sahaja dengan negara perindustrian tetapi juga dengan negara membangun yang lebih maju dari segi teknologi.

22.53 Kerjasama dua hala akan terus diperkukuhkan melalui Suruhanjaya Bersama bagi mempertingkatkan persefahaman mengenai perkara-perkara kepentingan bersama di samping melaksanakan bidang kerjasama yang baru. Memandangkan perdagangan dan pelaburan dua hala perlu ditingkatkan, instrumen seperti BPA dan IGA serta perjanjian kerjasama perdagangan dan pelaburan akan terus digunakan.

Kerjasama Serantau

22.54 Dalam tempoh RMT, Malaysia akan meningkatkan kerjasama serantau supaya rantau ini lebih dinamik dan dapat menggalakkan perdagangan terbuka dan bebas. Kecenderungan menubuhkan blok perdagangan serantau berdasarkan konsep pasaran tunggal, menimbulkan kebimbangan di kalangan negara membangun di rantau Asia oleh kerana konsep ini hanya mementingkan blok perdagangan berkenaan. Keadaan ini akan mewujudkan satu era kerjasama serantau yang tertutup kerana akses pasaran yang lebih mudah berikutan penghapusan sekatan di kalangan negara anggota akan memberi kelebihan kepada mereka sahaja dengan mengenepikan kepentingan negara lain. Ini akan menyebabkan perdagangan antarabangsa berada di tahap yang tidak optimum. Justeru itu, Malaysia akan terus memupuk kerjasama ekonomi serantau bagi menjamin satu sistem perdagangan yang adil dan terbuka serta menambahkan jumlah perdagangan dan pelaburan di kalangan ASEAN dan juga dengan negara luar ASEAN. Kerjasama serantau terus menjadi penting bagi Malaysia memanfaatkan peluang ekonomi yang bertambah, hasil daripada liberalisasi di negara-negara yang dahulunya mengamalkan sistem ekonomi tertutup dan perkembangan pesat ekonomi di negara-negara rantau Asia Pasifik.

22.55 Selaras dengan iltizam yang kuat terhadap kerjasama serantau, ASEAN akan terus menjadi pertubuhan penting dalam kerjasama serantau yang melibatkan Malaysia. Dalam tempoh RMT, Malaysia akan terus melaksanakan perjanjian¬perjanjian ASEAN yang bertujuan memajukan kerjasama ekonomi, sosial dan kebudayaan di kalangan negara ASEAN. Bagi mempertingkatkan kestabilan dan kemajuan sosio¬ekonomi di rantau ini, Malaysia dengan rakan anggota ASEAN yang lain akan terus berusaha ke arah mencapai matlamat Pernyataan Wawasan ASEAN. Sebagai negara yang berkongsi sempadan dengan hampir kesemua negara ASEAN yang lain, Malaysia akan mengambil bahagian secara aktif dalam Forum Serantau ASEAN mengenai keselamatan yang baru ditubuhkan. Forum ini bertujuan antara lain untuk membanteras kegiatan lanun, mencegah penyeludupan dan menyelesaikan pertikaian wilayah bagi memastikan kestabilan yang berterusan di rantau ini. Selaras dengan semangat kerjasama serantau, sokongan sepenuhnya akan diberi kepada usaha menambah keahlian ASEAN supaya merangkumi kesemua sepuluh negara di Asia Tenggara.

22.56 Memandangkan pembangunan rantau kecil merupakan satu cara yang berkesan bagi mempercepatkan pertumbuhan di rantau ini, Malaysia akan melipatgandakan usaha kerjasama khususnya di kawasan pertumbuhan segitiga, oleh kerana ianya merupakan asas penting untuk menggalakkan kerjasama di kalangan negara ASEAN. Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara ASEAN yang lain bagi menyelaras undang-undang dan peraturan serta memperkemaskan dasar dan prosedur untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan pertumbuhan segitiga. Bidang kerjasama yang akan dipertingkatkan termasuk bidang tenaga, industri, dan pelancongan. Pembangunan pertumbuhan segitiga, merupakan satu bentuk kerjasama yang inovatif kerana ia dapat meningkatkan produktiviti dan daya saingan rantau ini melalui faedah berganda yang dihasilkan daripada kerjasama ini. Oleh yang demikian, dalam tempoh RMT, kerjasama rantau kecil akan diberi keutamaan dalam usaha kerjasama Malaysia di peringkat antarabangsa.

22.57 Dalam konteks mewujudkan satu pendekatan dan rancangan yang lengkap dan menyeluruh bagi pembangunan Lembangan Mekong, Malaysia akan bekerjasama dengan negara ASEAN yang lain untuk memastikan kerjasama ASEAN-Lembangan Mekong menjadi kenyataan. Kerjasama ini akan menyumbang ke arah pembangunan yang lebih pesat di rantau Asia Timur.

22.58 Dalam usaha mempertingkatkan lagi kerjasama ekonomi serantau, Malaysia bersama negara ASEAN yang lain, akan terus mempergiatkan usaha secara formal dan tidak formal ke arah menjadikan EAEC satu kenyataan. Malaysia akan terus melibatkan diri secara aktif dalam rundingan peringkat ASEAN dan bekerjasama rapat dengan negara yang berpotensi menjadi ahli EAEC untuk mempercepatkan pelaksanaan EAEC. Forum rundingan ini dijangka mempertingkatkan kerjasama serantau yang terbuka dan juga kerjasama ekonomi serta dapat menangani isu ekonomi antarabangsa yang mempunyai implikasi di rantau ini. EAEC juga dijangka menjadi satu forum penggubalan strategi untuk meliberalisasikan perdagangan dan pelaburan serta menangani keperluan negara kurang maju di rantau ini.

22.59 Malaysia juga akan mengadakan kerjasama menerusi kumpulan serantau yang lebih besar iaitu APEC bagi melaksanakan objektif Osaka Action Agenda untuk meliberalisasikan perdagangan dan meningkatkan pelaburan di rantau Asia Pasifik. Sehubungan dengan ini, Malaysia akan terus mendesak Kesatuan Eropah dan negara-negara ahli Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) supaya mempercepatkan liberalisasi perdagangan mereka bagi mengelakkan kewujudan blok perdagangan yang hanya mengutamakan kepentingan sendiri. Oleh yang demikian, proses Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) boleh diperkembangkan bagi memastikan akses kepada pasaran Eropah berterusan dan meningkatkan kerjasama.

Kerjasama Pelbagai Hala

22.60 Dalam tempoh RMT, kerjasama di peringkat pelbagai hala akan terus menjadi penting. Kebelakangan ini, aspek ekonomi telah menjadi semakin penting dalam kerjasama antarabangsa. Negara di Asia khususnya Asia Timur, dijangka terus mencatatkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan. Sebaliknya, ekonomi negara perindustrian dijangka berkembang kurang daripada separuh kadar pertumbuhan ekonomi negara Asia yang dinamik bagi jangka masa lima tahun akan datang. Peralihan pusat pertumbuhan dari Barat ke Timur semakin dianggap oleh sesetengah pihak sebagai satu cabaran besar kerana peralihan kuasa ekonomi dari Barat ke Timur dijangka meningkatkan pengaruh negara-negara di Timur. Persepsi ini telah menyebabkan penubuhan blok perdagangan serantau dan pengenaan sekatan bagi mengurangkan akses pasaran dan keadaan ini menyekat pengaliran sumber antara negara dan rantau. Amalan sedemikian juga akan mengurangkan kelebihan berbanding dan merugikan negara-negara membangun seperti Malaysia. Amalan menyekat perdagangan yang menghadkan akses barangan dan perkhidmatan dengan mengenakan sekatan tarif dan bukan tarif menjadi ancaman kepada sistem perdagangan yang adil dan terbuka. Usaha mengenakan syarat baru seperti menghubung kait isu perdagangan dan pelaburan dengan isu bukan perdagangan seperti alam sekitar, dasar buruh, sistem pemerintahan yang saksama dan hak asasi manusia semakin menjadi lumrah. Amalan sedemikian bercanggah dengan prinsip perdagangan antarabangsa serta melanggar kaedah dan peraturan WTO.

22.61 Justeru itu, Malaysia akan terus bekerjasama menerusi organisasi pelbagai hala dan gabungan yang besar seperti PBB, G-77, WTO, Komanwel, OIC dan NAM untuk mencapai pendirian bersama dalam usaha menentang amalan negatif serta menangani isu global yang memberi kesan kepada negara membangun seperti Malaysia. Ini penting bagi memastikan pembangunan negara tidak terjejas. Malaysia juga akan memberi perhatian kepada aktiviti institusi kewangan pelbagai hala seperti Kumpulan Wang Antarabangsa dan Bank Dunia bagi memastikan pandangan negara membangun diambil kira dalam program mereka dan akan menggesa institusi berkenaan supaya menyusun semula serta mempertingkatkan keberkesanan masing-masing.

22.62 Malaysia akan terus memberi keutamaan kepada peranannya dalam PBB dan akan menyumbang ke arah penyusunan semula dan peningkatan keberkesanan Pertubuhan ini. Sehubungan dengan ini, Malaysia akan menekankan keperluan menyusun semula Majlis Keselamatan supaya keanggotaan dari negara membangun ditambah dan bagi memastikan proses membuat keputusan yang diamalkan oleh Majlis tersebut lebih demokratik dan telus. Malaysia juga akan berusaha menyuarakan keperluan meningkatkan keberkesanan Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) bagi memperkukuhkan kerjasama pembangunan antarabangsa.
Kerjasama Selatan-Selatan

22.63 Dalam tempoh RMT, usaha akan diambil untuk memperkukuh dan mempelbagaikan peranan Malaysia dalam kerjasama di kalangan negara membangun bagi menguatkan pendirian negara membangun berhubung isu antarabangsa dan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi. Dalam rangka kerja G-15, Malaysia akan berusaha secara aktif untuk menggembleng penyertaan negara-negara Selatan dan mencapai kata sepakat berhubung isu antarabangsa terutamanya untuk mewujudkan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang baik serta menggalakkan pemindahan teknologi. Hubungan ekonomi dan pelaburan dengan negara¬negara Selatan terutamanya di Afrika, Amerika Selatan, Asia Tengah dan Indochina akan ditingkatkan melalui penyertaan aktif sektor swasta Malaysia dengan sokongan Kerajaan.

22.64 Bagi meningkatkan kerjasama Selatan-Selatan, Malaysia akan terus memberi sokongan kepada projek G-15 yang sedia ada seperti Solar Energy Applications, South-South Renewable Energy Promotion Centre dan Centre of Excellence serta projek baru yang dipersetujui di sidang¬sidang kemuncak G-15 yang akan datang. Malaysia akan bekerjasama dengan negara anggota G-15 bagi mempercepatkan pelaksanaan projek yang sedang berjalan dan juga projek baru.

22.65 Kerajaan akan meneruskan usahanya untuk menjadikan SITTDEC sebagai sebuah organisasi yang dapat menyumbang secara berkesan ke arah penggalakan pelaburan, perdagangan dan pemindahan teknologi di kalangan negara¬negara Selatan menerusi pertukaran dan penyebaran maklumat. Perkhidmatan SITTDEC akan dipertingkatkan bagi meliputi lebih banyak negara-negara Selatan. SITTDEC dijangka menjadi organisasi bercorak komersil di samping mengekalkan cirinya sebagai badan kerajaan. Malaysia juga akan meninjau kemungkinan menandatangani BPA dengan lebih banyak negara Selatan dan menggalakkan negara membangun yang lain mengambil langkah yang serupa.

22.66 Program Kerjasama Teknik Malaysia. Dalam konteks meningkatkan lagi kerjasama teknik di kalangan negara¬negara Selatan, usaha akan dipergiatkan untuk memastikan PKTM memainkan peranan yang lebih berkesan dalam tempoh RMT. Dalam hubungan ini, PKTM akan diperluaskan dari segi program dan aktiviti baru. Penekanan PKTM terhadap pembangunan sumber manusia melalui latihan khusus jangka pendek dan juga kursus peringkat ijazah akan diteruskan. Kursus seperti ini akan memberi tumpuan kepada bidang yang Malaysia mempunyai pengalaman dan kecekapan seperti perancangan ekonomi, penswastaan, dasar kewangan dan pengurusan projek. Dalam tempoh RMT, program baru akan dirangka untuk menampung keperluan khas negara membangun terutamanya negara yang melalui proses peralihan. Usaha juga akan diambil bagi memastikan program di bawah PKTM dirancang dan dilaksanakan selaras dengan keutamaan negara peserta melalui penghantaran misi mengumpul maklumat dan perundingan dari semasa ke semasa dengan Kerajaan negara peserta. Selaras dengan pertambahan program dan aktiviti PKTM, keupayaan institusi yang mengendalikan program kerjasama antarabangsa serta tahap kepakaran pegawai-pegawai yang berkenaan akan ditingkatkan.

22.67 Bagi menggalakkan pertukaran pengetahuan dan kepakaran teknikal, negara peserta yang mempunyai kepakaran di bidang yang diperlukan oleh Malaysia akan digalakkan untuk menawarkan kepakaran teknikal mereka. Memandangkan sumber kewangan yang terhad, pembiayaan pihak ketiga melalui penglibatan negara penyumbang dan organisasi pelbagai hala akan diteruskan. Selain daripada itu, sektor swasta dijangka meningkatkan penglibatannya dalam PKTM menerusi penyediaan kemudahan latihan serta pelaksanaan kajian kemungkinan dan projek. Bagi melengkapkan usaha Kerajaan, sektor swasta akan digalakkan untuk menyediakan pakar dalam bidang berkaitan.

Bantuan Pembangunan Rasmi

22.68 Memandangkan Malaysia terus mencapai tahap pembangunan ekonomi yang semakin meningkat, jumlah ODA yang diterima oleh Malaysia dijangka berkurangan dalam tempoh RMT. Sehubungan dengan ini, peranan ODA sebagai satu instrumen untuk menampung jurang sumber akan terus dikurangkan. Walau bagaimanapun, ODA ini akan digunakan secara optimum dalam bidang khusus seperti kemahiran tinggi perindustrian, pengurusan alam sekitar serta sains dan teknologi bagi memastikan Malaysia terus mendapat faedah daripada pengalaman dan kepakaran antarabangsa. Penggunaan ODA secara optimum akan menyumbang ke arah peningkatan produktiviti negara. Selaras dengan perubahan dari segi hubungan dengan negara dan organisasi penyumbang, Malaysia dijangka, jika bersesuaian, bekerjasama dengan pihak penyumbang dalam program kerjasama dengan negara membangun yang lain.



Copyright® 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM