:: RANCANGAN MALAYSIA KE TUJUH (1996-2000) ::
BAB 21 : BELIA DALAM PEMBANGUNAN

III : PROSPEK, 1996-2000


21.35 Kepesatan pembangunan ekonomi dan perindustrian memerlukan kemahiran dan etika kerja yang baru di kalangan belia. Pembandaran yang pesat dijangka memberi kesan kepada nilai dan gaya hidup belia khususnya di bandar-bandar besar. Keadaan ini memerlukan kreativiti dan pendekatan baru dalam menyediakan program belia. Di samping itu, pembangunan sistem komunikasi dan rangkaian komputer antarabangsa seperti multimedia dijangka mencetuskan cabaran kepada nilai dan budaya tradisional. Fenomena ini mencetuskan cabaran baru kepada belia dan dengan ini dasar dan program pembangunan belia memerlukan penekanan baru dan orientasi semula.

21.36 Pembangunan belia akan ditumpukan kepada pembentukan generasi belia yang berpendidikan, bertoleransi, berdaya saing, beretika, bersatu padu, demokratik, liberal serta maju dalam sains dan teknologi. Pembangunan generasi ini adalah penting kerana mereka bakal menjadi pemimpin, profesional, teknokrat dan tenaga kerja mahir dan produktif pada masa hadapan yang diperlukan untuk mencapai status negara maju.

21.37 Dalam tempoh RMT, tumpuan yang lebih akan diberi kepada pembangunan golongan belia yang berdaya tahan serta dapat menyumbang secara positif kepada pembinaan negara dan mempunyai keupayaan untuk menghadapi cabaran dalam proses negara menuju ke arah pembangunan perindustrian yang pesat. Penekanan juga akan diberi untuk memperkukuhkan institusi keluarga dan peranan ibu bapa dalam memupuk nilai moral dan kerohanian di kalangan belia. Bagi menggalakkan penyertaan aktif belia dalam pembinaan negara, peluang pendidikan dan latihan akan terus diperluaskan manakala program kepimpinan, latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan, program gaya hidup sihat serta pencegahan dan pemulihan akan dilaksanakan dengan lebih intensif.

21.38 Dasar Belia Negara di bawah Kementerian Belia dan Sukan akan dikaji semula untuk memberi tumpuan kepada belia dalam kumpulan umur 15-24 tahun yang bertujuan menjadikan mereka tenaga buruh yang produktif. Dalam hubungan ini, bagi menghadapi cabaran negara maju, aspek pembangunan sumber manusia yang memberi penekanan kepada pembentukan kemahiran, nilai dan kebolehan yang sesuai akan dimasukkan dalam dasar ini. Penggubalan dasar baru tersebut juga akan menggabungkan peranan berbagai kementerian dalam pembangunan belia supaya program belia dapat dilaksanakan dengan lebih bersepadu. Di samping itu, keyakinan diri, disiplin dan elemen pembentukan sikap yang positif akan digabungkan sebagai komponen penting dalam program-program belia.

Belia dan Gunatenaga

21.39 Dalam tempoh Rancangan, golongan belia dijangka bertambah sebanyak 2.3 peratus setahun daripada 3.97 juta pada tahun 1995 kepada 4.45 juta pada tahun 2000 seperti ditunjukkan dalam Jadual 21-1. Daripada jumlah belia pada tahun 2000, kira-kira 41.6 peratus akan bekerja dan 4.0 peratus atau 176,000 akan menganggur iaitu mereka yang mencari pekerjaan. Daripada jumlah di luar tenaga kerja, 1.3 juta akan berada di institusi pendidikan dan latihan di dalam dan luar negara.

21.40 Penurunan peratusan belia yang bekerja, sebahagian besarnya adalah di sebabkan pertambahan peluang pendidikan lepasan menengah serta latihan di institusi latihan kemahiran dan ini dijangka melambatkan belia memasuki pasaran buruh. Belia yang bekerja di sektor pertanian dijangka berkurang di sebabkan permintaan buruh yang rendah dalam sektor ini serta penghijrahan belia dari luar bandar ke bandar.

21.41 Peratusan belia yang bekerja dalam kategori pekerjaan profesional dan teknikal dijangka meningkat daripada 6.7 peratus pada tahun 1995 kepada 7.9 peratus pada tahun 2000. Ini adalah selaras dengan anggaran pertambahan keluaran graduan dalam bidang profesional dan teknikal daripada institusi pendidikan tinggi dan institusi latihan kemahiran serta pertambahan peluang pekerjaan dalam sektor industri dan perkhidmatan. Penyertaan belia dalam pekerjaan pengurusan dan pentadbiran serta pekerja pengeluaran yang mahir akan juga bertambah memandangkan permintaan pekerja bagi kumpulan ini yang semakin meningkat.

Program Pembangunan Belia

21.42 Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan belia menyumbang secara berkesan kepada pembinaan negara dan pembangunan sosio-ekonomi. Usaha juga akan diambil untuk menyediakan peluang yang lebih kepada belia melalui pembesaran kapasiti kemudahan pendidikan dan latihan sedia ada, memperluaskan pelaksanaan pendidikan jarak jauh di berbagai institusi pendidikan tinggi, meningkatkan pendidikan tidak formal serta menanam kesedaran mengenai kepentingan dan peluang pendidikan seumur hidup. Program-program ini bertujuan menyediakan peluang yang lebih banyak kepada belia dan mereka yang sedang bekerja untuk meneruskan pendidikan dan latihan mereka melalui cara formal dan tidak formal.

21.43 Program pembangunan belia dalam tempoh Rancangan akan dilaksanakan oleh Kerajaan dan sektor swasta termasuk NGO. Untuk memastikan program ini dilaksanakan secara berkesan, usaha akan diambil untuk meningkat kapasiti pengurusan dan pelaksanaan agensi sektor awam yang bertanggungjawab terhadap pembangunan belia. Peranan NGO akan diperluas terutamanya untuk memupuk semangat sukarela di kalangan belia. NGO akan diberi amanah untuk menggerakkan belia bagi memenuhi matlamat perpaduan nasional, kestabilan ekonomi dan sosio-politik disamping memelihara warisan budaya dan mengekalkan keselamatan negara.

21.44 Dalam tempoh Rancangan, penyelidikan lanjutan mengenai berbagai aspek pembangunan belia akan terus dipertingkatkan dengan kerjasama institusi pendidikan tinggi. Usaha penyelidikan ini akan membantu Kerajaan dalam merangka dasar, strategi dan program pembangunan belia.

Latihan Kepimpinan

21.45 Dalam tempoh Rancangan, pembangunan kepimpinan akan terus diberi keutamaan yang tinggi untuk menangani perubahan yang kompleks pada masa hadapan. Usaha akan diambil untuk membentuk generasi baru pemimpin belia yang akan bertindak sebagai penggerak utama dalam pembangunan. Di antara lain, belia akan dilengkapkan dengan teknik dan pendekatan untuk membolehkan mereka menjadi pemimpin yang berkesan di samping menanam nilai positif seperti yakin diri, disiplin dan beretika. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan mengkaji semula kurikulum program pembangunan kepimpinan dengan tujuan menjadikannya lebih proaktif dan sesuai dengan keperluan dan keadaan masa hadapan. Usaha juga akan diambil untuk membangun barisan pemimpin pelapis belia yang berwibawa dan dinamik untuk menangani cabaran baru. Dianggarkan seramai 160,000 pemimpin belia termasuk pemimpin NGO akan dilatih di bawah program kepimpinan belia.

21.46 Kerajaan akan terus membentuk kepimpinan yang berkualiti di kalangan belia melalui sistem pendidikan menengah dan tinggi serta agensi sektor awam yang lain. Sektor swasta akan juga digalakkan menyumbang kepada latihan belia yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka. Penglibatan belia yang lebih aktif di peringkat antarabangsa akan dipertingkatkan melalui NGO.

Latihan Kemahiran

21.47 Program pembangunan sumber manusia yang lebih lengkap dan menyeluruh akan dilaksanakan untuk belia. Usaha akan diambil untuk mempelbagaikan bidang teknologi dan kemahiran ringan serta memperluaskan peluang pekerjaan kepada belia. Program khusus kemahiran ringan seperti kewangan dan perbankan, insurans, broker saham, pengurusan dana, hotel dan pelancongan serta literasi komputer akan diperkenalkan.

21.48 Belia yang menamatkan pengajian mereka di peringkat menengah tinggi akan diberi latihan kemahiran bertujuan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk membolehkan mereka memperolehi pekerjaan pada masa hadapan. Kurikulum latihan kemahiran akan meliputi matematik dan bahasa Inggeris serta penerapan nilai positif bagi melengkapkan belia dengan kemahiran dan kelayakan akademik yang bersesuaian apabila mereka memasuki pasaran kerja. Di samping itu, Kerajaan akan juga memberi penekanan kepada latihan dalam perkhidmatan bagi meningkatkan kemahiran di kalangan belia terutamanya untuk memenuhi perubahan struktur industri negara daripada yang berintensifkan buruh kepada yang berintensifkan modal. Program untuk meningkatkan tahap pendidikan belia yang tercicir dan mempunyai pencapaian yang rendah daripada sistem pendidikan formal akan juga diperkenalkan. Program ini akan dilaksanakan terutamanya oleh Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Sumber Manusia bertujuan membantu belia berkelayakan rendah memasuki institusi latihan kemahiran formal serta meningkatkan kemahiran. Di samping peningkatan kemahiran, beberapa aspek belanjawan dan pengiraan kos serta kepentingan kebersihan di tempat kerja akan dimasukkan dalam program latihan. Melalui penyediaan program latihan formal dan tidak formal, belia akan memperolehi kelayakan akademik dan kemahiran yang lebih tinggi bagi membantu mereka mendapat pekerjaan dalam pasaran buruh. Program berkaitan dengan kemahiran akan diperluas untuk memberi peluang kepada kumpulan belia yang tercicir dan mempunyai kelayakan akademik yang rendah bagi membantu mereka menjadi lebih produktif dari segi ekonomi.

21.49 Berikutan pertambahan peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan, penekanan akan diberi untuk melatih belia dalam bidang yang bersesuaian dengan sektor berkenaan. Di bawah program kerjasama strategik, syarikat sektor swasta seperti bank komersil, syarikat insurans dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad akan menyediakan latihan amali kepada belia untuk memudahkan mereka memasuki pasaran buruh. Kursus baru yang berorientasikan pasaran seperti dalam bidang telekomunikasi dan pembaikan serta penyelenggaraan pesawat akan disediakan di bawah program ini.

Pembangunan Keusahawanan

21.50 Dalam tempoh Rancangan, program yang lengkap dan menyeluruh serta inovatif akan dipergiat untuk membangun usahawan muda. Dengan penubuhan Kementerian Pembangunan Usahawan pada tahun 1995, pelaksanaan dan penyelarasan program pembangunan usahawan dijangka dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Dalam hubungan ini, Tabung Amanah Ekonomi Belia dan Program Belia dalam Perniagaan akan terus dipertingkatkan untuk memenuhi matlamat penubuhan perniagaan yang berdaya maju dan seterusnya meningkatkan peluang belia untuk bekerja sendiri. Di samping itu, bagi memastikan Tabung tersebut digunakan dengan berkesan, program untuk membantu belia agar berdaya maju dalam perniagaan akan dilaksanakan melalui kaunseling dan khidmat nasihat.

21.51 Peluang perniagaan baru juga akan dibuka kepada belia melalui hubungan strategik dengan syarikat swasta dan entiti yang diswastakan. Belia akan dilatih untuk mengambil peluang program pembangunan francais dan vendor sedia ada serta peraturan pemasaran di bawah konsep payung dan skim modal teroka bagi syarikat besar untuk menjamin kejayaan mereka dalam perniagaan.

Program Gaya Hidup Sihat

21.52 Pembangunan gaya hidup sihat di kalangan belia merupakan agenda nasional yang penting yang antara lain akan menjadi pra-syarat untuk membolehkan belia menyumbang secara positif kepada pembinaan negara. Dalam tempoh RMT, pelaksanaan Program Rakan Muda akan memberi tumpuan kepada kumpulan sasar tertentu terutamanya belia yang tercicir daripada sistem pendidikan termasuk mereka yang menganggur. Keutamaan akan diberi kepada kumpulan ini memandangkan mereka lebih terdedah dan mudah terjerumus ke dalam aktiviti yang tidak sihat. Dalam hubungan ini, Kementerian Belia dan Sukan akan dipertanggungjawabkan untuk melaksana dan menyelaras program yang sesuai bagi kumpulan sasar ini.

21.53 Kerajaan akan mengadakan kerjasama yang aktif dengan sektor swasta termasuk NGO bagi memastikan program gaya hidup ini dilaksana dengan berkesan. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak RM160 juta akan disediakan untuk membina 23 pusat Rakan Muda terutamanya di bandar dan kawasan perindustrian bagi menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi serta perkhidmatan kaunseling dan nasihat kepada belia. Perkhidmatan ini akan disediakan oleh NGO dan sukarelawan belia.

Program Sukan

21.54 Program sukan akan terus menjadi alat untuk membentuk sikap, menggalak gaya hidup sihat dan menanam semangat untuk mencapai kecemerlangan di kalangan belia Malaysia. Program gaya hidup Rakan Sukan terus menyediakan peluang kepada belia untuk menyertai berbagai aktiviti sukan. Kira-kira satu juta belia dijangka mengambil bahagian dalam 27 aktiviti sukan yang akan digalakkan di bawah program ini dengan sokongan sektor korporat. Di samping itu, aktiviti sukan baru seperti pelayaran dan penerbangan pesawat ringan akan digalakkan sebagai aktiviti luar bagi mewujudkan minat, meningkatkan kemahiran serta menanam disiplin di kalangan belia.

21.55 Sukan berprestasi tinggi akan diberi tumpuan bagi melahirkan pemenang pingat yang berpotensi di Sukan Komanwel 1998 dan Sukan Asia serta Olimpik pada masa hadapan. Sebahagian besar atlit muda di jangka mengambil bahagian dalam pertandingan sukan di peringkat antarabangsa melalui latihan yang sistematik dan program kejurulatihan. Dalam hubungan ini, Program Pembangunan Bakat akan menyediakan latihan kepada kira-kira 14,570 atlit lelaki dan wanita dalam 37 acara sukan di peringkat kebangsaan dan negeri. Untuk memenuhi keperluan ini, pusat bagi Program Pembangunan Bakat akan ditambah daripada 115 pada tahun 1995 kepada 916 pada tahun 2000.

21.56 Penglibatan belia dalam aktiviti sukan dan rekreasi serta kejayaan program pembangunan sukan bergantung kepada kemudahan yang mencukupi dan berkualiti. Memandangkan kemudahan sukan dan rekreasi untuk belia adalah amat kurang terutamanya di bandar, usaha yang lebih giat akan terus diambil oleh Kerajaan bagi menyedia kemudahan yang mencukupi serta memastikannya diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan. Sektor swasta akan juga digalak untuk melengkapkan usaha Kerajaan dalam menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi di kawasan yang akan dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai tempat kediaman, pusat perdagangan dan kawasan perindustrian. Berdasarkan kajian yang sedang dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan, satu rancangan jangka panjang mengenai keperluan kemudahan sukan dan rekreasi serta penggunaan dan pengurusannya akan dirangka untuk dilaksana oleh sektor awam dan swasta.

Program Kebudayaan

21.57 Program kebudayaan untuk belia akan dipertingkat dan institusi belia akan dijadikan sebagai alat bagi membentuk identiti dan integrasi nasional. Program ini bertujuan mengurangkan pengaruh yang tidak diingini dan kesan negatif budaya asing.

21.58 Pelaksanaan program kesenian dan kebudayaan dijangka dapat mengukuhkan minat belia terhadap kesenian tradisional dan warisan budaya yang kaya di negara ini. Program ini akan meliputi pertunjukan kebudayaan tradisional dan moden, penulisan skrip dan hiasan komersil. Penglibatan aktif belia dalam program kesenian dan kebudayaan dijangka memperkukuhkan perpaduan negara, keharmonian kaum serta meningkatkan penghargaan kepada warisan budaya yang kaya di Malaysia.

Program Pencegahan dan Pemulihan

21.59 Pembangunan pesat dalam proses perindustrian dan pembandaran dijangka menimbulkan masalah sosial. Bagi mengatasi perlakuan yang tidak diingini seperti lepak, penderaan, penyalahgunaan dadah dan tidak berdisiplin di kalangan belia, Kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap pelaksanaan program pencegahan dan pemulihan. Dalam hubungan ini, pertubuhan sukarela terutamanya PEMADAM dan pertubuhan sosial yang lain serta pertubuhan agama akan digalak meningkatkan penyertaan mereka dalam pelaksanaan program ini.

21.60 Program pencegahan juga akan dilaksana oleh berbagai agensi Kerajaan termasuk Biro Tatanegara. Dalam hubungan ini, program-program sedia ada akan diperluas dan penekanan akan diberi kepada pelaksanaan program kemahiran keibubapaan. Satu program keibubapaan yang lengkap dan menyeluruh akan dirangka termasuk modul mengenai pengukuhan institusi keluarga, pembangunan kanak¬kanak dan belia, serta peranan keluarga dan masyarakat. Program ini akan berdasarkan kepada prinsip agama dan nilai tradisi yang baik bertujuan melahirkan ibu bapa yang bertanggungjawab serta belia yang mempunyai nilai moral yang tinggi.

21.61 Program untuk mengukuh nilai moral dan kerohanian di kalangan belia akan dipertingkat untuk mewujudkan generasi belia yang mempunyai nilai positif serta dilengkapkan dengan pengetahuan agama yang mencukupi bagi menangani pengaruh negatif. Program ini akan dilaksana di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah oleh berbagai kementerian dengan kerjasama berbagai organisasi agama. NGO belia dan bukan belia juga akan digalak untuk mengadakan program bagi belia yang bermasalah. Di samping itu, institusi keluarga akan diperkukuhkan dan ibu bapa akan digalak untuk meningkatkan pengetahuan agama dan kemahiran keibubapaan. Penekanan yang lebih akan diberi kepada penerapan nilai moral yang tinggi dan etika yang baik di kalangan belia dengan memasukkan pendidikan moral dalam pengajaran agama di semua peringkat pendidikan.

21.62 Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa antara agensi peringkat tinggi bertujuan menangani masalah sosial terutamanya di kalangan belia. Fungsi utama jawatankuasa ini meliputi penggubalan dasar dan strategi untuk pembangunan sosial dan keluarga. Fungsi yang lain termasuk penggubalan, penyelarasan dan penyatuan program untuk mencegah berlakunya masalah sosial serta mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Di samping itu, sebuah agensi tunggal akan dikenalpasti sebagai pusat tumpuan untuk memastikan kelicinan pelaksanaan dasar, stategi dan program serta mengawasi implikasi pembangunan sosial dan ekonomi terhadap kebajikan keluarga terutamanya belia.

21.63 Sejumlah RM130.7 juta akan disediakan untuk program pemulihan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial. Dalam hubungan ini, program-program yang dilaksanakan oleh berbagai agensi kerajaan dan NGO akan diselaras dan disepadu bagi membolehkan belia yang bermasalah dipulih dan seterusnya membawa mereka ke dalam arus pembangunan.



Copyright® 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM