:: RANCANGAN MALAYSIA KE TUJUH (1996-2000) ::
BAB 07 : PENSWASTAAN

III : PROSPEK, 1996-2000


7.34 Dalam tempoh RMT, penswastaan akan terus menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui peningkatan kecekapan dan produktiviti. Pelaksanaan program penswastaan akan dipertingkatkan melalui strategi berikut:¬

o mempercepatkan proses mengenalpasti dan menilai projek dan entiti yang akan diswastakan serta
menyeragamkan pelaksanaannya;

o memperluas dan mempertingkatkan peranan entiti yang diswastakan bagi memenuhi matlamat sosio-ekonomi;

o memudahcepatkan pemindahan teknologi dengan menggalakkan usaha P&P oleh syarikat besar yang diswastakan;

o memastikan penglibatan yang lebih meluas di kalangan syarikat tempatan khususnya bagi penswastaan projek infrastruktur;

o menggalakkan penggunaan bahan tempatan secara meluas dalam projek penswastaan untuk memastikan industri dan perkhidmatan tempatan berkembang;

o memperluaskan penglibatan Bumiputera dalam pengurusan syarikat yang diswastakan serta melaksanakan penyusunan rangkaian pemasaran dan program pembangunan vendor;

o mengenalpasti dan menggalakkan instrumen dan sumber pembiayaan baru bagi entiti yang diswastakan;

o memperbaiki rangka kerja badan kawalselia untuk memastikan keberkesanannya;

o memperkukuhkan mekanisme pengesanan dan penilaian prestasi entiti yang diswastakan; dan

o menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan yang telah diswastakan mengambil bahagian dalam projek penswastaan di luar negara.

Pengukuhan Proses Pelaksanaan

7.35 Pengenalpastian, Pengawasan dan Penilaian Projek. Dalam tempoh RMT, walaupun penekanan terus diberi kepada penswastaan bagi projek dalam sektor infrastruktur, utiliti dan pengangkutan, usaha akan terus diambil untuk menswastakan projek dalam bidang lain termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan dan perkhidmatan lain serta P&P. Dalam bidang seperti pendidikan dan kesihatan yang secara tradisinya adalah merupakan tanggungjawab Kerajaan, program penswastaan akan dirancang secara lebih menyeluruh untuk memastikan sebahagian besar penduduk mendapat perkhidmatan berkenaan pada harga yang mampu dibayar. Garis panduan akan digubal bagi memudahcepatkan penswastaan projek dalam bidang pendidikan, kesihatan dan P&P bagi menentukan supaya berbagai obligasi sosial yang berkaitan dengan projek tersebut dilaksanakan secara berkesan oleh syarikat yang diswastakan. Di samping itu, syarikat yang diswastakan dikehendaki juga menyediakan perkhidmatan yang tidak berdaya maju daripada segi ekonomi melalui unsur subsidi silang. Kerajaan akan terus terlibat dalam industri strategik, berteknologi dan berisiko tinggi serta dalam projek yang memerlukan pelaburan yang besar dan tempoh pulangan yang panjang. Ini adalah disebabkan ciri projek tersebut mungkin tidak cukup menarik minat untuk sektor swasta melabur. Kerajaan akan terus juga memegang ekuiti dalam syarikat tertentu bagi menjaga kepentingan awam dan mengawasi prestasi entiti yang diswastakan.

7.36 Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan terus mengkaji semula PTP untuk memudahcepatkan pelaksanaan program penswastaan. Usaha ini beserta dengan bertambahnya minat yang ditunjukkan oleh sektor swasta dijangka meningkatkan dengan banyaknya jumlah projek yang dapat diswastakan dalam tempoh Rancangan. Dalam menswastakan projek yang besar, pertimbangan yang sewajarnya akan diberi kepada berbagai faktor termasuk keupayaan penyerapan pasaran modal dan kedudukan ekonomi secara keseluruhan. Entiti dan projek utama yang dikenalpasti untuk diswastakan adalah seperti ditunjukkan dalam Jadual 7-8. Di samping itu, terdapat beberapa entiti yang telah dikorporatkan termasuk pelabuhan, Pos Malaysia Berhad dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad akan dipertimbang untuk diswastakan.

7.37 Badan Kawalselia. Peranan badan kawalselia terutamanya yang berkaitan dengan penentuan harga, standard dan kualiti perkhidmatan adalah sangat penting untuk menentukan kepentingan awam dilindungi sewajarnya selepas penswastaan. Selain daripada itu, badan kawalselia juga berperanan memastikan entiti yang diswastakan menjalankan aktiviti yang tidak menguntungkan melalui subsidi silang untuk melaksanakan projek seperti pembekalan elektrik, air dan perkhidmatan telefon ke luar bandar. Memandangkan pentingnya badan kawalselia, peranannya akan diperkukuh melalui pengambilan khidmat kepakaran yang bersesuaian. Sehubungan dengan itu, kajian akan dilaksanakan dalam tempoh RMT untuk merangka beberapa pendekatan dan strategi baru bagi meningkatkan keberkesanan badan kawalselia. Selaras dengan peranan pembangunan badan kawalselia, kajian tersebut akan meneliti dan memperakukan antara lain mekanisme dan petunjuk harga untuk penentuan dan kajian semula kadar tarif di samping memperkukuhkan peranan penguatkuasaan bagi memastikan syarat dalam perjanjian penswastaan dipatuhi oleh entiti yang telah diswastakan. Kajian ini juga akan meneliti kemungkinan menyatukan berbagai badan kawalselia mengikut sektor atau sebagai badan kawalselia tunggal di samping memperakukan langkah yang membolehkan badan kawalselia berdikari melalui sumber kewangannya sendiri. Badan kawalselia akan juga dikehendaki membentuk satu mekanisme pengesanan dan penilaian prestasi bagi entiti di bawah kawalannya.

7.38 Perundangan. Bagi melicinkan penswastaan badan berkanun dan jabatan Kerajaan pada masa yang lalu, undang¬undang baru telah digubal dan undang-undang yang sedia ada telah dipinda. Untuk mempercepatkan pelaksanaan program penswastaan dalam tempoh RMT, undang-undang sedia ada akan dikaji semula dan pindaan yang bersesuaian akan dibuat bagi melicinkan proses penswastaan. Dalam hubungan ini, kajian semula akan dibuat bagi menggubal satu undang¬undang tunggal yang akan menjadi undang-undang am bagi merangkumi penswastaan kesemua badan berkanun dan jabatan Kerajaan termasuk entiti di bawah kawalan Kerajaan Negeri.

7.39 Penggunaan Tanah. Penswastaan juga melibatkan pemberian hak bagi membangunkan rezab sungai, ruang udara dan lapisan bawah tanah kepada syarikat konsesi. Undang¬undang sedia ada tidak menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi membolehkan hak tersebut dikendalikan oleh pihak swasta dan ini telah membataskan pembinaan projek di lokasi tersebut serta penggunaan tanah di sekitar kawasan berkenaan. Dengan demikian, usaha akan diambil untuk menggubal undang-undang yang sesuai bagi memasukkan peruntukan hak pembangunan ke atas rezab sungai, ruang udara dan lapisan bawah tanah.

7.40 Hubungan Kerajaan Persekutuan-Negeri. Penswastaan memerlukan kerjasama dan hubungan rapat di antara Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Ini adalah bagi memastikan penyelarasan dan keseragaman pelaksanaan di setiap peringkat kerajaan. Kerajaan Negeri mungkin tidak mempunyai sumber yang mencukupi bagi mengadakan perkhidmatan tertentu seperti pengurusan sisa pepejal dengan cara yang lebih berkesan dan dengan itu adalah lebih menguntungkan sekiranya proses penswastaan perkhidmatan tersebut dilaksanakan di peringkat nasional. Dalam tempoh Rancangan, usaha akan diambil bagi mengenalpasti projek yang akan diswastakan di peringkat nasional atau peringkat wilayah bagi membolehkan faedah ekonomi bidangan dinikmati dan kaedah yang lebih fleksibal serta subsidi silang dilaksanakan. Penyelarasan di kalangan negeri perlu dipertingkatkan terutamanya dalam penswastaan projek yang melibatkan perkongsian sumber di antara beberapa negeri seperti projek lebuh raya dan bekalan air.

Pembangunan Tenaga Manusia

7.41 Dalam tempoh RMT, penswastaan akan terus digunakan sebagai salah satu wahana bagi menggalakkan lagi sektor swasta mengadakan latihan. Peruntukan khusus akan diadakan dalam perjanjian penswastaan bagi memastikan syarikat konsesi yang melaksanakan projek yang besar mengadakan latihan kemahiran. Selain daripada itu, syarikat konsesi akan digalak mewujudkan di mana sesuai program latihan bersama dengan institusi pendidikan tinggi. Di samping memberi penekanan kepada program latihan bagi mempertingkatkan kemahiran, ia juga menyediakan latihan kepada pengurus muda korporat Bumiputera dalam bidang pengurusan perniagaan.

Pemindahan Teknologi serta Penyelidikan dan Pembangunan

7.42 Penswastaan akan terus digunakan sebagai satu cara bagi memperolehi dan membangunkan teknologi. Dalam hubungan ini, garis panduan akan digubal di mana syarikat konsesi khususnya yang melaksanakan pembangunan projek besar dikehendaki mengadakan program pemindahan teknologi yang komprehensif kepada rakyat Malaysia. Di samping itu, rakyat Malaysia akan terus memperolehi teknologi terkini dan kepakaran asing melalui projek penswastaan. Dalam perjanjian penswastaan pada masa hadapan, penekanan akan diberi dengan mengadakan peruntukan khusus supaya syarikat konsesi mematuhi syarat tersebut dan melaksanakannya.

7.43 Malaysia perlu memperluaskan lagi program P&P sedia ada dan memperolehi teknologi baru untuk bersaing di pasaran antarabangsa di samping mengambil bahagian dalam projek penswastaan di seberang laut. Dalam hubungan ini, syarikat konsesi yang melaksanakan projek yang memerlukan P&P secara berterusan dikehendaki meningkatkan prestasi supaya sentiasa berada pada tahap teknologi terkini. Syarikat tersebut dikehendaki mengadakan program P&P yang sistematik. Untuk memastikan impak program P&P yang lebih luas, syarikat konsesi digalakkan bekerjasama dengan berbagai institusi P&P bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang khusus.

Penyertaan Bumiputera

7.44 Dalam tempoh Rancangan, penswastaan akan terus digunakan sebagai wahana bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor korporat dengan menyediakan lebih banyak peluang kepada Bumiputera menyertai semua projek yang diswastakan. Di samping itu, syarikat yang diswastakan dikehendaki menawarkan sub-kontrak kepada para profesional dan usahawan Bumiputera yang tidak mempunyai sumber mencukupi untuk mengambil bahagian dalam program penswastaan.

7.45 Beberapa langkah akan diambil bagi memastikan kepentingan Bumiputera terus dikekal dan dipertingkatkan. Dalam hubungan ini, bagi memastikan penyertaan Bumiputera secara yang lebih berkesan, satu mekanisme akan diwujud dan diselaraskan oleh Kementerian yang berkaitan. Bagi menjaga kepentingan Bumiputera selepas penswastaan, ekuiti Bumiputera yang tidak diambilalih oleh Bumiputera lain akan ditawarkan kepada agensi amanah pada harga yang akan ditentukan oleh Kerajaan. Garis panduan dan mekanisme akan juga digubal dengan menghendaki agensi amanah menjual kepentingan mereka secara terancang dan teratur. Syarat-syarat akan dikenakan untuk memastikan kepentingan Bumiputera dilindungi bagi penswastaan agensi amanah dan anak syarikatnya.

7.46 Program Pembangunan Vendor. Selaras dengan matlamat meningkatkan pembangunan IKS, Kerajaan akan memberi penekanan yang lebih ke atas program pembangunan vendor dan pengwujudan usahawan Bumiputera melalui agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad. Ini akan mewujudkan peluang kepada usahawan Bumiputera bagi menyertai projek penswastaan utama. Usaha akan juga diambil bagi menggalakkan penyertaan bersama di antara syarikat besar yang telah diswastakan dengan usahawan perseorangan serta syarikat kecil. Bagi memastikan keberkesanan program ini, setiap syarikat yang mengemukakan cadangan penswastaan dikehendaki di mana sesuai menyediakan program pembangunan vendor yang terperinci dalam cadangan mereka. Perjanjian penswastaan bagi entiti utama yang diswastakan akan memasukkan peruntukan bagi memastikan program ini dilaksanakan secara berkesan.

Pembangunan Pasaran Modal

7.47 Dalam tempoh Rancangan, penswastaan akan terus memainkan peranan penting bagi mengukuh dan menambah bilangan saham dalam pasaran modal melalui penyenaraian entiti yang diswastakan di BSKL. Ini akan membolehkan entiti tersebut mendapatkan dana pada kos yang rendah. Penyenaraian ini akan juga memperkenalkan sektor baru yang menyumbang kepada pertumbuhan pasaran modal. Dengan adanya garis panduan baru mengenai penyenaraian syarikat IPC di BSKL, bilangan syarikat penswastaan yang disenaraikan di BSKL dijangka bertambah dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan dalam tempoh Rancangan. SC akan juga memperkenalkan instrumen kewangan yang baru seperti bon sekuriti yang dikaitkan dengan aliran tunai bagi projek yang berpendapatan tetap dan dengan itu dapat menyediakan dana tambahan kepada syarikat yang diswastakan.

7.48 Bagi mengelakkan berlakunya kesan himpitan dalam pasaran modal, penyenaraian projek yang diswastakan akan terus dilaksanakan secara lebih terancang dan tersusun. Sehubungan dengan ini, Kerajaan akan terus memastikan supaya penyenaraian projek penswastaan yang besar dihadkan kepada satu atau dua projek sahaja dalam sesuatu tahun. Dalam tempoh Rancangan, di antara syarikat utama yang bersedia untuk disenaraikan di BSKL adalah projek infrastruktur yang besar seperti lebuh raya, pelabuhan, IPP, LRT dan entiti yang dikorporatkan seperti Pos Malaysia Berhad.



Copyright® 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM