:: RANCANGAN MALAYSIA KE LIMA (RML) ::
BAB 23 : PERTAHANAN DAN KESELAMATAN DALAM NEGERI

II : KEMAJUAN, 1981-85


Pertahanan

1496. Dalam tempoh 1981-85, pembesaran dan pemodenan angkatan tentera telah dilaksanakan dengan pesatnya dan keupayaan pasukan tentera darat, laut serta udara dipertingkatkan bagi menghadapi sebarang ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan negara. Penekanan telah diberi kepada peningkatan keupayaan bertempur dan khidmat sokongan bagi ketiga-tiga perkhidmatan tersebut melalui berbagai langkah, termasuk pembelian kelengkapan dan senjata-senjata baru.

1497. Satu perkara lagi di bawah program pertahanan ialah penyediaan kemudahan-kemudahan fizikal. Beberapa buah pengkalan dan kem telah dibina termasuk Pengkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia di Lumut dan Pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia di Subang, manakala kebanyakan daripada pengkalan dan kem yang sedia ada telah diperbesarkan. Kemudahan-kemudahan latihan tambahan untuk pasukan penggempur dan anggota-anggota yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan telah disediakan untuk mempertingkatkan kecekapan bertempur anggota tentera.

1498. Selain daripada pembesaran anggota tetap angkatan tentera, unit-unit simpanan sukarela seperti Tentera Wataniah dan Unit Latihan Pegawai Simpanan telah diperbesarkan. Pembesaran ini menunjukkan bertambahnya penyertaan orang ramai dalam mempertahankan negara. Unit Simpanan Sukarela tentera darat, laut dan udara telah disediakan dengan lebih banyak alat-alat kelengkapan dan latihan untuk meningkatkan prestasi mereka.

Keselamatan dalam negeri

1499. Program-program keselamatan dalam negeri yang melibatkan polis, anti-dadah, pertahanan awam, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), dan Rukun Tetangga, telah memainkan peranan penting dalam usaha mengekalkan keamanan negara. Berikutan dengan pembesaran pasukan polis, usaha-usaha telah dijalankan untuk memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pasukan tersebut melalui pemilikan berbagai jenis kelengkapan moden. Kemudahan-kemudahan latihan telah diperbesar dan diperbaiki bagi mewujudkan anggota-anggota polis yang lebih berdedikasi dan berdisiplin. Di samping itu, balai-balai polis dan kem-kem pasukan polis hutan yang baru telah dibina manakala yang sedia ada diperbesarkan. Keupayaan mengadakan
rondaan di udara oleh unit udara pasukan polis telah dipertingkatkan dengan tujuan membenteras penyeludupan dan kegiatan lanun khususnya di kawasan perairan pantai Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

1500. Langkah-langkah telah diambil bagi memupuk dan mengekalkan hubungan rapat antara anggota polis dan orang awam untuk membenteras jenayah. Bagi tujuan ini, sistem Konstabel Masyarakat (KONMAS) telah diperkenalkan di kawasan-kawasan terpilih di Georgetown, Ipoh, Johor Bahru dan Petaling Jaya manakala sistem KOBAN telah dilaksanakan secara percubaan di kawasan-kawasan kediaman yang mempunyai kadar kejadian jenayah yang tinggi. Di bawah sistem KONMAS, anggota polis meronda di luar kawasan balai polis, bukan sahaja untuk mencegah kejadian jenayah tetapi juga mewujudkan hubungan mesra dengan penduduk di kawasan tersebut. Sistem KOBAN sebaliknya memerlukan anggota polis yang terlibat tinggal di tempat mereka bekerja bagi membolehkan mereka menjalin hubungan mesra dengan penduduk. Kajian mendalam masih lagi dijalankan oleh Kerajaan bagi memastikan kesesuaian kedua-dua sistem KONMAS dan KOBAN dengan keadaan setempat sebelum diperluaskan perlaksanaannya.

1501. Pada tahun 1983, Kerajaan telah menggunakan pendekatan baru dalam usaha-usahanya memerangi penyalahgunaan dadah yang mengancam keselamatan negara. Jawatankuasa Anti-dadah dan Pasukan Petugas Anti- dadah, kedua-duanya di bawah Majlis Keselamatan Negara, telah ditubuhkan untuk menyelaras dan mengawas program-program berbagai agensi bagi mencegah penyalahgunaan dadah. Di peringkat negeri dan daerah, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah telah juga dipertanggungjawabkan bagi mengendali gerakan-gerakan anti-dadah di peringkat masing-masing. Undang-undang yang lebih ketat juga telah digubal dengan mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pesalah-pesalah berkaitan dengan dadah.

1502. Rancangan Bertindak Lima Tahun Anti-dadah Negara, 1985-89 telah dirangka pada tahun 1985, bertujuan untuk mengurangkan masalah pengedaran dan penagihan dadah dalam tempoh tersebut. Program-program utama Rancangan ini termasuklah usaha-usaha pencegahan, pemulihan, kemajuan tenaga manusia dan kerjasama antarabangsa.

1503. Tujuh buah pusat rawatan, terdiri daripada tiga buah pusat serenti dan empat buah pusat pemulihan telah ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Pusat-pusat serenti tersebut telah diwujudkan di Sungai Petani, Sungai Siput dan Tampin manakala pusat pemulihan pula di Besut, Bukit Mertajam, Sungai Merchong dan Tampoi. Pusat di Sungai Merchong, Pahang adalah berasaskan kepada konsep pasukan kerja dan diusahakan bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH). Di samping mengikuti program rawatan dan pemulihan, penyalahguna dadah juga mengikuti berbagai latihan kemahiran di pusat tersebut. Satu pendekatan baru mengenai rawatan dan pemulihan penagih dadah telah diperkenalkan dengan memanjangkan tempoh latihan dari enam bulan kepada dua tahun. Pendekatan ini melibatkan berbagai kegiatan jasmani dan rohani, termasuk pengesanan, rawatan dan detoksifikasi, khidmat nasihat, latihan bercorak tentera, latihan vokasional, penempatan kerja dan rawatan susulan.

1504. Pengeluaran dan pengedaran dadah mempunyai pertalian di peringkat antarabangsa. Penyalahgunaan dan pengedaran dadah telah merebak dengan cepat, meliputi kawasan yang luas di kebanyakan negara dan lebih banyak negara telah menjadi pengeluar dan pengguna dadah. Akibatnya, masalah dadah negara-negara perantaraan seperti Malaysia telah semakin meruncing dan keadaan ini merupakan ancaman terhadap kestabilan negara-negara tersebut. Berikutan dengan ini, satu dasar dan strategi negara telah dirangka dan usaha-usaha dijalankan untuk mendapatkan kerjasama antarabangsa dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah. Malaysia telah memainkan peranan yang utama dalam mencegah dan mengawal penyalahgunaan dan pengedaran dadah secara haram serta menggalakkan kerjasama serantau di kalangan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), termasuk penerimaan ketetapan ASEAN yang dikenali sebagai Strategi Antarabangsa bagi Memerangi Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah. Di samping itu, dalam tempoh Rancangan Malaysia Keempat, Malaysia juga telah menyertai dengan giatnya perbahasan dan mesyuarat Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pengawalan dadah.

1505. Dalam tempoh 1981-85, sebanyak 12 unit pertahanan awam telah ditubuhkan di kawasan-kawasan terpilih untuk memberi bantuan kecemasan sekiranya berlaku bencana alam. Program latihan telah diperbesarkan bagi meningkatkan prestasi Unit-unit Pertahanan Awam seperti dalam bidang mencegah kebakaran serta menyelamat dan menjaga mangsa-mangsa berbagai bencana alam.

1506. Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) telah ditubuhkan untuk membantu pasukan keselamatan mempertahankan negara. Tugas utama RELA ialah membuat rondaan keselamatan kawasan, terutamanya di tempat-tempat yang strategik. Unit-unit RELA telah ditubuhkan di kawasan-kawasan luar bandar atau kampung untuk membantu penduduk di kawasan tersebut menghalang sebarang ancaman anasir subversif atau anasir yang tidak diingini yang mengancam keselamatan dan kestabilan negara. Pada tahun 1982, pasukan RELA telah diperkukuh dan diperbesarkan sebagai barisan pertahanan ketiga negara selepas angkatan tentera dan polis.

1507. Pendekatan baru Skim Rukun Tetangga yang telah diperkenalkan pada tahun 1982 menekankan kepada usaha memupuk semangat kejiranan di kalangan penduduk. Berikutan dengan pengisytiharan Peraturan-peraturan Perlu (Rukun Tetangga)(Pindaan) pada bulan Disember 1982, skim ini telah dibahagikan kepada tiga kumpulan berdasarkan kepada kadar kejadian jenayah di sesuatu kawasan. Di kawasan yang tiada kejadian jenayah, tumpuan diberi kepada berbagai kegiatan yang dapat memupuk semangat kejiranan di kalangan penduduk, manakala di kawasan yang mempunyai kadar kejadian jenayah yang sederhana, skim ini memberi tumpuan kepada pendaftaran penduduk berumur 15 tahun ke atas. Bagi kawasan yang mempunyai kadar kejadian jenayah yang tinggi, skim ini menumpukan bukan sahaja kepada pendaftaran penduduk berumur 15 tahun ke atas tetapi juga tugas rondaan bagi mereka yang berumur antara 18 hingga 55 tahun.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM