:: RANCANGAN MALAYSIA KE LIMA (RML) ::
BAB 01 :

II : PEMBANGUNAN NEGARA DALAM TEMPOH 15 TAHUN, 1971-85


1 Lima belas tahun telah berlalu sejak RRJP dilaksanakan untuk mencapai matlamat-matlamat DEB. DEB telah dirangka untuk mencapai matlamat menyeluruh perpaduan negara dan pembinaan sebuah negara menerusi pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan penyusunan semula masyarakat bagi menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan kedudukan kawasan. Sebelum tahun 1971, sebahagian besar pembangunan ekonomi tertumpu kepada usaha menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan dalam sektor pertanian dan infrastruktur dan pembangunan kawasan luar bandar. Peristiwa 13 Mei, 1969 membuktikan bahawa penekanan yang diberi terhadap pertumbuhan ekonomi semata-mata adalah tidak memadai untuk mengatasi sepenuhnya masalah sosioekonomi yang tidak seimbang di kalangan masyarakat Malaysia. Oleh yang demikian, DEB yang dirangka pada tahun 1970 mengakui bahawa sebarang usaha pembangunan yang dibuat tanpa mengambilkira sepenuhnya masalah-masalah sosioekonomi yang tidak seimbang antara kumpulan ethnik dan wilayah akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang tidak disertai oleh pengagihan yang akhirnya boleh membawa kepada sebuah masyarakat yang berpecah belah dan negara yang kurang terjamin. Oleh itu, penekanan yang lebih kuat hendaklah diberi kepada matlamat perpaduan dan integrasi negara menerusi pengagihan pendapatan dan peluang-peluang ekonomi yang lebih saksama di kalangan semua rakyat Malaysia.

2 DEB menggambarkan keazaman Kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara bersatupadu, adil, stabil dan progresif. Matlamat-matlamat DEB dijangka dapat dicapai dalam keadaan ekonomi yang berkembang dengan pesat supaya tidak ada mana-mana golongan mengalami kerugian atau merasa hak mereka diketepikan. Berdasarkan kesedaran ini, DEB bertujuan mewujudkan satu susunan sosioekonomi yang adil bagi rakyat Malaysia meningkatkan pencapaian mereka menerusi satu sistem yang membolehkan penglibatan, pengurusan dan penguasaan mereka secara lebih saksama dalam proses pembangunan negara.

7. Banyak kemajuan telah dicapai ke arah matlamat perpaduan dan pembinaan sebuah negara sejak 15 tahun yang lalu. Kemajuan juga telah dicapai dalam usaha mengagihkan kekayaan, pendapatan dan peluang-peluang ekonomi dengan lebih saksama. Pada masa yang sama, kejayaan yang besar juga telah diperolehi dalam pembangunan sosial untuk memenuhi keperluan asas dan lebih ramai rakyat Malaysia telah menikmati kemudahan-kemudahan pelajaran, kesihatan dan lain-lain perkhidmatan awam yang lebih baik. Kejayaan DEB dari segi pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula corak gunatenaga serta pemilikan kekayaan adalah membanggakan walaupun prestasi ekonomi negara dalam sebahagian besar tempoh RME telah dipengaruhi oleh suasana ekonomi dunia yang tidak pasti. Pencapaian kadar pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang tinggi pada tahun-tahun tujuh puluhan telah mempercepatkan kemajuan ke arah matlamat-matlamat DEB. Walau bagaimanapun, awal tahun lapan puluhan merupakan tempoh yang lebih mencabar disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia yang bermula sejak akhir tahun 1979 dan keadaan ini telah melembabkan pencapaian matlamat penyusunan semula dalam DEB sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

8. Tempoh lima tahun yang akan datang merupakan tahun-tahun terakhir pelaksanaan RRJP. Dalam proses memasuki tempoh yang baru ini, negara perlu menilai kembali pembangunan yang telah dicapai sejak 15 tahun yang lalu bagi membolehkannya menganalisa kejayaan yang telah dinikmati serta mengkaji kegagalan, kekuatan dan kelemahan yang telah dialami. Hasil penilaian ini akan menjadi asas untuk merancang agenda pembangunan lima tahun berikutnya. Perpaduan negara dan integrasi nasional

2 Perlu ditegaskan bahawa perpaduan negara merupakan objektif menyeluruh dan matlamat asas negara. Perpaduan negara menjadi asas dalam usaha membentuk sebuah negara yang teguh dan bersatupadu dan amat penting bagi menjamin keutuhan dan keselamatan negara dalam jangka panjang. Berbagai usaha telah dijalankan sejak 15 tahun yang lalu bagi mencapai matlamat tersebut.

3 Salah satu daripada berbagai corak pendekatan yang telah diambil ke arah perpaduan negara ialah pembentukan satu suasana sosioekonomi yang membolehkan penyertaan semua kaum dengan lebih berdaya maju dan saksama dalam proses pembangunan. Sehubungan dengan ini, DEB merupakan satu daripada pendekatan untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional menerusi pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Program-program pembasmian kemiskinan yang telah dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun yang lalu telah berjaya memupuk semangat hidup bermasyarakat dan perasaan terjamin serta mengurangkan perasaan diketepikan dan perasaan terasing dengan melibatkan golongan miskin dalam berbagai corak pembangunan ekonomi. Program penyusunan semula masyarakat pula telah berjaya melibatkan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan, dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian. Rakyat Malaysia dari berbagai keturunan bersama-sama menyumbangkan tenaga dalam kegiatan-kegiatan moden menerusi strategi-strategi penyusunan semula gunatenaga di bawah DEB.

4 Sistem pelajaran merupakan alat utama dalam usaha memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latarbelakang kaum, kebudayaan dan ugama. Penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama dan memperbaiki perhubungan antara kaum supaya menjadi semakin berkesan yang seterusnya mengukuhkan asas perpaduan negara. Satu lagi program bagi menggalakkan integrasi nasional ialah pelaksanaan kurikulum yang seragam di semua sekolah bertujuan untuk menyemai dan menanam nilai-nilai dan norma-norma selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara sebagai ideologi nasional. Di samping itu, penekanan juga diberi kepada pembelajaran pembangunan negara dari segi sejarah, ekonomi dan sosial. Pembentukan kesedaran sivik dan semangat kebangsaan juga turut diberi perhatian. Kegiatan-kegiatan ko-kurikular juga memberi peluang kepada murid-murid untuk bergaul dan bekerjasama dalam kegiatan-kegiatan persatuan dan sukan.

5 Kemajuan terus dicapai dalam usaha mengurangkan pengasingan dan mengeratkan pergaulan antara kumpulan ethnik menerusi langkah-langkah mengadakan taburan penduduk mengikut kumpulan ethnik yang lebih seimbang di kawasan-kawasan perumahan, menyediakan peluang-peluang membina negara dan membentuk satu kebudayaan nasional. Di samping itu, kemudahan-kemudahan rekreasi dan sosial yang disediakan di kawasan-kawasan perumahan juga membolehkan masyarakat bergaul dan saling berhubungan antara satu sama lain. Program-program di bawah skim Rukun Tetangga, Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberi peluang kepada rakyat melibatkan diri dalam usaha membina sebuah negara. Penglibatan rakyat dalam program-program tersebut juga telah meningkatkan lagi persefahaman dan kerjasama di kalangan berbagai golongan masyarakat. Sejak 15 tahun yang lalu juga, Kerajaan terus menggalakkan pembangunan satu kebudayaan nasional menerusi gabungan berbagai unsur kebudayaan semua kumpulan ethnik dengan berteraskan kebudayaan Melayu.

1 Satu daripada unsur bagi memupuk perpaduan dan membina negara ialah integrasi antara wilayah. Usaha Kerajaan bagi meningkatkan perpaduan di kalangan negeri-negeri telah memberi tumpuan, antara lain, kepada integrasi di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Sistem pelajaran di Sabah dan Sarawak telah disatukan secara beransur-ansur ke dalam sistem pelajaran kebangsaan, terutamanya dalam bidang latihan perguruan serta penggunaan satu kurikulum yang seragam di sekolah-sekolah. Perhubungan antara negeri juga telah diperkukuhkan menerusi pengangkutan udara dan laut, perkhidmatan telekomunikasi dan perkhidmatan pos yang lebih baik. Usaha-usaha memperbaiki dan memperkukuhkan sistem pengangkutan dan perhubungan merupakan langkah penting untuk meningkatkan perdagangan di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Di samping itu, rangkaian radio dan televisyen di Sabah dan Sarawak telah disatukan dengan rangkaian radio dan televisyen nasional. Aspek-aspek integrasi yang lain termasuk penyelarasan cukai serta perluasan dan peningkatan kegiatan institusi-institusi Kerajaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Syarikat Pemodalan Kemajuan Perusahaan Malaysia Berhad (MIDF), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO).

14. Kemajuan besar telah dicapai ke arah matlamat perpaduan negara dan kenegaraan. Walau bagaimanapun, masalah-masalah yang berupa kepentingan peribadi, kehendak-kehendak yang keterlaluan dan sikap yang melampau terus wujud di kalangan sebilangan rakyat. Oleh yang demikian, masih banyak lagi usaha perlu dilaksanakan. Perpaduan dan pembinaan negara adalah satu matlamat jangka panjang yang perlu dicapai menerusi pendekatan-pendekatan dari berbagai aspek seperti faktor sosial, politik, kebudayaan dan psikologi. Usaha Kerajaan hanya merupakan satu aspek daripada keseluruhan usaha untuk meningkatkan perpaduan negara. Perpaduan negara juga menjadi tanggungjawab setiap rakyat dan seharusnya mendapat perhatian dari setiap lapisan masyarakat. Oleh itu, usaha perlu dibuat bagi membentuk dan menanam nilai-nilai, tanggapan dan sikap yang positif dalam membina masyarakat berbilang kaum yang mengamalkan sikap bertolak ansur, harmoni, saling faham-memahami, adil, jujur dan bersatu padu. Sikap yang lebih memahami dan menghormati nilai-nilai sensitif dalam sesebuah masyarakat serta menerima pengalaman-pengalaman dan nilai-nilai yang seragam juga merupakan unsur penting ke arah menggalakkan keharmonian dan toleransi antara kaum, di samping memperkukuhkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia.

Dasar Ekonomi Baru

2 DEB menyediakan satu rangka asas bagi melibatkan semua rakyat Malaysia dengan lebih saksama dalam proses pembangunan untuk mencapai perpaduan negara. Dalam tempoh 15 tahun yang lalu, kemajuan yang boleh dibanggakan telah dicapai dalam usaha ini, terutamanya dalam tahun-tahun tujuh puluhan. Dari segi pembasmian kemiskinan, semua kumpulan sasaran telah menikmati faedah daripada program-program pembasmian kemiskinan. Kadar kemiskinan di Semenanjung Malaysia secara keseluruhannya yang dikira berasaskan jumlah bilangan isirumah di bawah pendapatan garis kemiskinan telah berkurang daripada49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 18.4 peratus pada tahun 1984. Dalam tempoh yang sama, jumlah isirumah miskin berkurang daripada 791,800 kepada kira-kira 483,300. Sementara itu, kadar kemiskinan telah berkurang dengan banyaknya di Sabah dan Sarawak. Penyertaan dan penglibatangolongan yang kurang bernasib baik, khususnya penduduk miskin di luar bandar dalam pembangunan telah meningkat dan ini dilaksanakan menerusi strategi-strategi pembukaan tanah baru dan pembangunan pertanian IN-SITU serta penyerapan tenaga buruh luar bandar ke dalam jenis-jenis pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi di sektor-sektor perindustrian dan perkhidmatan.

1 Program pembukaan tanah baru secara besar-besaran yang dilaksanakan oleh Kerajaan telah berjaya membuka tanah seluas 551,000 hektar dan menempatkan tidak kurang daripada 73,600 keluarga dalam tempoh 1971-85. Program ini membolehkan peserta-peserta rancangan yang dahulunya terlibat dalam kegiatan-kegiatan pertanian tradisional yang kurang produktif menyertai kegiatan-kegiatan pertanian moden yang memberikan hasil yang lebih tinggi. Di samping itu, pelaburan dalam kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan sosial membolehkan mereka menikmati berbagai-bagai perkhidmatan dan pergi ke bandar-bandar di luar kawasan rancangan.

17. Strategi untuk membasmi kemiskinan juga merangkumi usaha-usaha memperbaiki mutu kehidupan menerusi penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan awam. Dalam tempoh 15 tahun yang lalu, golongan miskin telah mendapat peluang yang lebih untuk menikmati perkhidmatan-perkhidmatan awam dan kemudahan-kemudahan sosial yang moden seperti pelajaran, perkhidmatan perubatan dan kesihatan serta bekalan air dan elektrik. Jangka hayat bagi kaum lelaki telah bertambah baik iaitu daripada 62.2 tahun pada tahun 1970 kepada 67.6 tahun pada tahun 1984 sementara bagi kaum wanita meningkat daripada 66.7 tahun kepada 72.7 tahun. Kadar kematian bagi setiap seribu bayi yang dilahirkan hidup telah berkurang daripada39.4 pada tahun 1970 kepada 17.5 pada tahun 1984. Bahagian bilangan pelajar sekolah rendah daripada jumlah penduduk di peringkat umur sekolah rendah telah meningkat daripada kira-kira 88 peratus pada tahun 1970 kepada 95 peratus pada tahun 1985.

2 Strategi penyusunan semula masyarakat adalah bertujuan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan kedudukan kawasan. Strategi ini perlu dicapai menerusi usaha-usaha mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan antara kumpulan ethnik dan wilayah serta proses penyusunan semula corak gunatenaga, hakmilik modal saham sektor syarikat dan pembentukan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian di kalangan Bumiputera.

1 Dalam tempoh 1971-85, pendapatan purata dan pendapatan penengah bagi semua kumpulan ethnik mengikut kedua-dua harga sebenar dan harga semasa telah meningkat. Kemajuan telah dicapai dalam usaha mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan antara kumpulan ethnik dan antara kawasan bandar dan luar bandar menerusi, antara lain, penyediaan kegiatan-kegiatan produktif bagi golongan yang kurang bernasib baik. Pendapatan bulanan purata sebenar bagi isirumah Bumiputera sebagai peratusan daripada pendapatan bulanan purata negara telah meningkat daripada 65 peratus atau $172 pada tahun 1970 kepada 78 peratus atau $384 pada tahun 1984. Sementara itu pendapatan purata bagi kaum Cina adalah sebanyak $678 melebihi pendapatan purata negara pada tahun 1984 dan pendapatan purata kaum India sebanyak $494 iaitu hampir kepada pendapatan purata negara pada tahun 1984. Walau bagaimanapun, jurang perbezaan pendapatan masih lagi luas. Kemajuan juga telah dicapai dalam usaha membangunkan negeri-negeri dan wilayah-wilayah yang kurang maju. KDNK PER KAPITA bagi Kelantan meningkat daripada $989 pada tahun 1971 kepada $1,740 pada tahun 1985, sementara bagi kedua-dua negeri Kedah dan Perlis meningkat daripada $1,277 kepada $2,382 bagi tempoh yang sama.

2 Dari segi penyusunan semula gunatenaga, pencapaian agihan gunatenaga di semua sektor bagi menggambarkan komposisi kaum di negara ini telah bertambah baik. Mengikut jenis pekerjaan, bahagian Bumiputera dalam kumpulan ikhtisas dan teknik masih merupakan bahagian yang terbesar. Walau bagaimanapun, sebahagian besar daripada jumlahnya adalah terdiri daripada guru-guru dan jururawat-jururawat. Dalam kumpulan ikhtisas dan teknik yang berpendapatan tinggi, bahagian Bumiputera masih lagi kecil iaitu kira-kira 21 peratus pada tahun 1984. Walau bagaimanapun, bahagian ini adalah lebih besar daripada bahagiannya pada tahun 1970. Bahagian kaum India dalam kumpulan ikhtisas dan teknik juga telah meningkat daripada 10.8 peratus pada tahun 1970 kepada 11.1 peratus pada tahun 1985. Dalam kumpulan pekerjaan pentadbiran dan pengurusan, kaum Cina masih lagi mempunyai bahagian yang terbesar. Sumbangan program pelajaran kepada pencapaian matlamat penyusunan semula gunatenaga adalah penting terutamanya menerusi penyediaan peluang-peluang kepada golongan yang berpendapatan rendah menyertai kegiatan-kegiatan sektor-sektor ekonomi moden yang berpendapatan tinggi. Peningkatan program-program pelajaran di peringkat tinggi khususnya, telah menambahkan penawaran gunatenaga Bumiputera yang terlatih di peringkat ikhtisas dan pengurusan.

21. Rakyat Malaysia telah berjaya menambah hakmilik dan penguasaan mereka dalam sektor syarikat dalam tempoh 15 tahun yang lalu. Bahagian Bumiputera, menerusi agensi-agensi amanah dan syarikat-syarikat Bumiputera, telah meningkat daripada 4.3 peratus pada tahun 1971 kepada 17.8 peratus menjelang akhir tahun 1985. Rakyat Malaysia yang lain juga mendapat faedah daripada proses penyusunan semula hakmilik modal saham. Dalam tempoh yang sama, bahagian mereka telah meningkat daripada 34.0 peratus kepada 56.7 peratus. Sementara itu, bahagian yang dimiliki oleh kepentingan asing pula berkurang daripada 61.7 peratus pada tahun 1971 kepada 25.5 peratus pada tahun 1985. Dari segi jumlahnya, modal saham kepentingan asing
telah meningkat dengan banyaknya daripada $4,000 juta pada tahun 1971 kepada kira-kira $19,400 juta pada tahun 1985.

22. Hakmilik dan penguasaan Bumiputera dalam sektor syarikat menerusi agensi-agensi amanah adalah jelas terdapat dalam tiga sektor utama, iaitu sektor kewangan dan bank, sektor perladangan dan sektor perlombongan. Bumiputera memiliki kepentingan yang besar dalam sektor bank dan kewangan. Sementara itu, syarikat-syarikat yang dimiliki dan dikuasai oleh Bumiputera mempunyai bahagian yang penting daripada keluasan sektor perladangan. Dalam sektor perlombongan, kepentingan Bumiputera juga menguasai sebahagian besar daripada MALAYSIAN MINING CORPORATION. Pemilikan modal saham Bumiputera yang besar dalam sektor-sektor perlombongan dan perladangan adalah hasil daripada pembelian syarikat-syarikat asing yang sedia ada dan pembelian harta-harta di pasaran terbuka. Mengenai pembentukan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian di kalangan Bumiputera, kemajuan keseluruhannya menunjukkan bahawa walaupun suasana perniagaan dan perdagangan menjadi lebih sukar dan semakin bersaing, perusahaan dan usahawan-usahawan Bumiputera telah berjaya mencapai kemajuan penting sepanjang tempoh 15 tahun yang lalu, khususnya dalam bidang perniagaan borong dan runcit serta dalam sektor-sektor perkhidmatan seperti pelancongan dan pengembaraan, pengangkutan dan perkapalan.

23. Pada keseluruhannya, kemajuan pesat telah dinikmati oleh semua rakyat dalam proses pembangunan ekonomi negara. Kejayaan yang dicapai selama ini adalah hasil daripada bantuan dari Kerajaan menerusi penyediaan infrastruktur, skim-skim galakan dan sokongan. Akibatnya, terdapat kecenderungan di kalangan rakyat Malaysia yang bersikap terlalu bergantung kepada bantuan dan sokongan Kerajaan dan tanpa disedari telah menimbulkan pemikiran yang terlalu berharap dan bergantung pada subsidi. Sehubungan dengan ini, Kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan pemberian subsidi secara beransur-ansur dan terpilih. Sikap yang terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan boleh menyekat sifat-sifat yang positif seperti daya usaha, dorongan, daya cipta dan semangat keusahawanan seseorang. Sifat-sifat yang positif ini akan menjadi lebih penting pada masa hadapan berikutan daripada langkah-langkah sektor awam untuk memperkukuhkan kedudukannya disebabkan oleh batasan-batasan perbelanjaan yang dialami.

Pertumbuhan ekonomi dan perubahan struktur

2 Pertumbuhan ekonomi yang pesat merupakan syarat yang perlu dipenuhi dalam usaha pencapaian matlamat DEB. Sehubungan dengan ini, KDNK sebenar dijangka berkembang pada kadar 8.0 peratus setahun bagi tempoh RRJP. Jangkaan ini berdasarkan kepada harapan yang agak optimis pada masa itu mengenai kadar pelaburan sektor awam dan sektor swasta serta keadaan ekonomi luar negeri yang menggalakkan. Walaupun krisis minyak pada tahun 1972-73 dan 1979 telah memberi kesan kepada negara, tahun-tahun tujuh puluhan merupakan satu tempoh yang agak memuaskan dari segi ekonomi luar dan ekonomi negara telah berkembang dengan pesat hasil daripada pelaburan sektor awam yang kukuh dan prestasi eksport yang menggalakkan. Oleh itu, ekonomi negara telah mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 7.6 peratus setahun dalam tempoh sepuluh tahun pertama RRJP. Walau bagaimanapun, sejak tahun 1980, pembangunan ekonomi semakin merosot khususnya disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia yang berlanjutan sejak akhir tahun 1979. Berikutan dengan itu, kadar pertumbuhan ekonomi dalam tempoh 1981-85 merosot kepada 5.8 peratus setahun berbanding dengan kadar tinggi yang dialami dalam tahun-tahun tujuh puluhan.

1 Dalam dekad tujuh puluhan, teras perkembangan ekonomi didorong oleh kedua-dua permintaan dari dalam dan luar negeri. Dalam tempoh 1971-75, pelaburan awam adalah merupakan punca utama pertumbuhan ekonomi. Pelaburan tersebut telah berjaya menghasilkan pertumbuhan ekonomi ketika pertumbuhan eksport dan pelaburan swasta berkembang dengan perlahan. Walau bagaimanapun, permintaan luar negeri telah meningkat dengan cepat dalam tempoh 1976-80 dan keadaan ini telah mendorong kegiatan pengeluaran dalam negeri meningkat dengan banyaknya. Permintaan dalam negeri juga menjadi pendorong pertumbuhan ekonomi dalam tempoh ini. Kedudukan imbangan pembayaran dalam tahun-tahun tujuh puluhan adalah memuaskan walaupun keadaan ekonomi dunia tidak tetap dan kegiatan ekonomi di negara-negara rakan perdagangan dalam beberapa tahun tempoh tersebut menjadi semakin lembab. Dalam tempoh 1976-80, imbangan perdagangan barangan mencatatkan lebihan yang tinggi sebanyak $23,296 juta. Keadaan ini menggambarkan pendapatan yang tinggi daripada eksport barangan, khususnya daripada petroleum mentah dan barang-barang pembuatan.

2 Tahun-tahun tujuh puluhan merupakan satu tempoh yang mencatatkan harga dalam negeri yang stabil walaupun terdapat tekanan-tekanan harga pada awal tahun-tahun tujuh puluhan berikutan daripada kesan kenaikan harga minyak pada tahun 1972-73 terhadap kos import serta batasan-batasan yang timbul terhadap penawaran dalam negeri, khususnya pada tahun 1973 dan 1974, bagi barang-barang makanan utama dan bahan-bahan binaan. Walau bagaimanapun, berikutan daripada langkah-langkah untuk mengatasi inflasi, kadar inflasi dalam negeri telah berkurang ke paras yang boleh dikawal.

1 Dalam tempoh 1981-85, prestasi ekonomi pada keseluruhannya adalah lembab. Keadaan ini disebabkan terutamanya oleh kemelesetan ekonomi di negara-negara perindustrian yang seterusnya telah menjejaskan perdagangan antarabangsa, mengurangkan pelaburan sektor swasta dan memberatkan lagi masalah imbangan pembayaran luar negeri. Keperluan untuk mengawal jumlah perbelanjaan, terutamanya perbelanjaan Kerajaan berikutan daripada daya usaha sektor swasta yang lembab serta prestasi eksport yang merosot telah menyebabkan berlakunya batasan-batasan sumber pada keseluruhannya dalam tempoh 1981-83 dan keadaan ini seterusnya menambahkan lagi kurangan dalam imbangan pembayaran. Pembiayaan kurangan tersebut menerusi sumber-sumber pinjaman telah menyebabkan hutang dalam dan luar negeri bertambah dengan banyaknya. Oleh yang demikian, semakin besar penerimaan dari luar negeri perlu diperuntukkan bagi membayar khidmat hutang. Kelembapan sektor luar negeri yang berlanjutan telah mendorong Kerajaan mengubahsuai struktur perbelanjaan dalam negeri mulai tahun 1983 dan mempastikan supaya ekonomi negara terus berdaya maju dalam jangka panjang. Oleh yang demikian, Kerajaan telah berjaya mengurangkan kurangan belanjawan daripada 18.7 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) pada tahun 1982 kepada 8.2 peratus pada tahun 1985. Kurangan kira-kira semasa juga berjaya dikurangkan daripada 14.1 peratus daripada KNK pada tahun 1982 kepada 3.1 peratus pada tahun 1985.

2 Walaupun kadar pertumbuhan KDNK bagi tempoh 15 tahun yang lalu sebanyak 7.0 peratus setahun didapati lebih rendah daripada 8.0 peratus yang dijangkakan untuk RRJP, prestasi ini pada keseluruhannya boleh dianggap memuaskan memandangkan prestasi ekonomi dunia yang tidak pasti dan lembab pada beberapa tahun dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh ini, KDNK sebenar mengikut harga tahun 1978 meningkat tiga kali iaitu daripada $21,548 juta pada tahun 1970 kepada $59,344 juta pada tahun 1985. Kadar pertumbuhan yang dicapai oleh Malaysia adalah agak tinggi bagi sebuah negara yang sedang membangun dan prestasi ini adalah menggalakkan jika dibandingkan dengan beberapa negara yang telah maju yang mengalami kadar pertumbuhan keluaran dan pendapatan yang lebih perlahan. Malaysia telah berjaya mengekalkan kadar pertumbuhannya pada paras yang memuaskan terutamanya disebabkan oleh kedudukan politiknya yang stabil serta dasar kewangan dan ekonominya yang kukuh di samping pengurusan sumber-sumber semulajadi seperti minyak dan gas dengan cekap yang telah meningkatkan lagi ketahanan ekonomi.

29. Kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dalam tempoh ini telah disertai oleh perubahan struktur ekonomi dan ini adalah sejajar dengan usaha-usaha memodenkan dan mempelbagaikan ekonomi serta mengubah secara beransur-ansur kegiatan-kegiatan yang bercorak cukup hidup dan berproduktiviti rendah kepada kegiatan-kegiatan moden yang berproduktiviti tinggi. Dari segi keluaran mengikut sektor, perubahan yang ketara berlaku dalam komposisi pengeluaran dengan meningkatnya sumbangan sektor-sektor pembuatan, pembinaan, dan bank dan kewangan di samping berkurangnya peranan sektor pertanian. Bahagian sektor pembuatan dalam KDNK bertambah daripada 13.9 peratus pada tahun 1970 kepada 19.1 peratus pada tahun 1985, sementara bahagian sektor pertanian pula berkurang daripada 29.0 peratus pada tahun 1970 kepada 20.3 peratus pada tahun 1985. Walaupun sumbangan sektor pertanian kepada pertumbuhan ekonomi pada keseluruhannya telah berkurang berbanding dengan sektor-sektor lain, sektor ini terus memberi sumbangan kepada pembasmian kemiskinan menerusi usaha-usaha menambahkan pendapatan.

30. Perubahan struktur juga berlaku dalam sektor-sektor tertentu. Dalam sektor pertanian, kelapa sawit dan koko menjadi semakin penting, sementara bahagian getah dan padi dari segi keluarannya terus berkurangan. Dalam sektor pembuatan, perkembangan yang nyata berlaku dalam industri-industri yang mengeluarkan barang-barang elektrik dan elektronik, barang-barang petroleum dan tekstil, sementara industri-industri yang berasaskan pertanian seperti industri barang-barang getah dan kayu, tidak mengalami perubahan. Sektor perlombongan juga banyak mengalami perubahan struktur dalam komposisi keluarannya. Bahagian keluaran bijih timah berkurang daripada kira-kira 78 peratus pada tahun 1971 kepada 21 peratus pada tahun 1985, sementara sumbangan petroleum kepada keluaran sektor perlombongan mengikut harga tahun 1970 bertambah dengan banyaknya daripada kira-kira 17 peratus kepada 69 peratus.

1 Dari segi permintaan, jumlah eksport barangan dan perkhidmatan bukan faktor bertambah sebanyak 7.8 peratus setahun dalam tempoh 1971-85. Pertumbuhan eksport adalah paling tinggi dalam tempoh 1976-80, iaitu pada kadar 9.6 peratus setahun berbanding dengan 5.9 peratus dalam tempoh 1971-75 dan 8.0 peratus dalam tempoh 1981-85. Pertumbuhan eksport yang tinggi dalam tempoh 1976-80 adalah disebabkan oleh permintaan sektor luar negeri yang meningkat dengan cepat. Walau bagaimanapun, prestasi sektor tersebut dalam tempoh 1981-83 dan pada tahun 1985 telah terjejas dengan banyaknya oleh permintaan luar negeri yang lembab dan harga-harga barangan yang tidak memuaskan.

2 Komposisi eksport juga mengalami perubahan yang ketara dalam tempoh 15 tahun yang lalu. Bahagian keluaran getah daripada jumlah eksport barangan berkurang daripada 33.4 peratus pada tahun 1970 kepada 7.5 peratus pada tahun 1985, sementara bahagian kelapa sawit bertambah dengan banyaknya daripada 5.1 peratus pada tahun 1970 kepada 10.4 peratus pada tahun 1985. Eksport petroleum juga berkembang dengan pesatnya dalam tempoh ini, iaitu pada kadar 28.7 peratus setahun, sementara eksport bijih timah mengalami kekurangan dalam jangka panjang. Eksport barang pembuatan berkembang dengan pesatnya sepanjang tempoh ini selaras dengan usaha-usaha meningkatkan proses perindustrian dan hasilnya bahagian barang-barang elektrik dan elektronik, tekstil, pakaian dan barang-barang kimia daripada jumlah barangan eksport juga telah meningkat.

3 Berikutan dengan bertambahnya permintaan dalam negeri bagi barang-barang penggunaan, perantaraan dan pelaburan, jumlah import berkembang pada kadar 8.6 peratus setahun. Prestasi import yang lembab pada kadar 5.1 peratus setahun dalam tempoh 1971-75 telah meningkat pada kadar 15.6 peratus setahun dalam tempoh 1976-80. Dalam tempoh 1981-85, jumlah import telah bertambah pada kadar 5.5 peratus setahun. Sebahagian besar daripada permintaan import dalam tempoh 1971-80 adalah bagi barang-barang perantaraan dan pelaburan dan keadaan ini adalah disebabkan oleh permintaan pelaburan yang tinggi dalam ekonomi. Sebahagian besar daripada permintaan ini adalah berpunca dari program-program pelaburan sektor awam yang besar.

34. Jumlah pelaburan meningkat dengan pesatnya pada kadar 10.6 peratus setahun disebabkan oleh pertambahan besar dalam pelaburan sektor awam pada kadar 14.4 peratus setahun dalam tempoh ini. Pertambahan pelaburan ini adalah berikutan daripada penglibatan sektor awam yang semakin meningkat dalam kegiatan-kegiatan ekonomi seperti perdagangan dan perindustrian, termasuk industri berat. Berikutan dengan pertambahan pelaburan sektor awam yang pesat ini, bahagiannya daripada jumlah pelaburan meningkat daripada kira-kira 30 peratus pada tahun 1970 kepada 50 peratus pada tahun 1985. Pertumbuhan pelaburan sektor awam adalah paling tinggi dalam tempoh 1971-75, iaitu pada kadar 16.0 peratus setahun dan sebahagian besar daripadanya adalah ditumpukan untuk pembangunan infrastruktur. Walau bagaimanapun, dalam tempoh 1976-80, pelaburan sektor awam berkembang pada kadar yang lebih rendah, iaitu 14.7 peratus setahun dengan tumpuan yang lebih diberi kepada pembiayaan projek-projek yang berkaitan secara langsung dengan DEB.

1 Pada awal tahun-tahun lapan puluhan, sektor awam telah mengambil langkah-langkah mengatasi kesan kemerosotan ekonomi dunia. Walau bagaimanapun, program pelaburan yang pesat dilaksanakan oleh sektor awam telah menimbulkan kesulitan dalam kedudukan sumber sektor awam. Keadaan ini menyebabkan sektor tersebut mengambil langkah-langkah mengurangkan perbelanjaannya pada separuh tempoh kedua RME.

2 Walaupun pelaburan swasta berkembang dengan kadar yang lebih perlahan, iaitu sebanyak 10.5 peratus setahun dalam tempoh 1971-75 berbanding dengan kadar yang dicapai dalam tempoh 1976-80, kadar tersebut dianggap memuaskan memandangkan permintaan luar negeri telah berkembang dengan lebih perlahandan mengalami kemerosotan. Dalam tempoh 1976-80, pelaburan swasta berkembang pada kadar yang lebih tinggi, iaitu 12.7 peratus setahun dan menjadi daya penggerak bagi perkembangan kegiatan-kegiatan dalam negeri. Oleh yang demikian, bahagian pelaburan swasta daripada KDNK meningkat daripada 16.2 peratus pada tahun 1975 kepada 19.5 peratus pada tahun 1980. Pertumbuhan pelaburan swasta pada separuh akhirtahun-tahun tujuh puluhan adalah didorong terutamanya oleh pertumbuhan permintaan luar negeri serta adanya sumber-sumber pelaburan yang dihasilkan oleh kadar tabungan yang tinggi dan aliran masuk modal asing.

1 Dalam tempoh 1981-85, pelaburan swasta walau bagaimanapun berkembang dengan lebih perlahan pada kadar 2.3 peratus setahun disebabkan masalah-masalah struktur ekonomi dari dalam dan luar negeri. Sekiranya pelaburan dalam sektor minyak dan gas yang merupakan kira-kira satu perempat daripada jumlah pelaburan swasta tidak diambilkira, pertumbuhan pelaburan swasta tentu menjadi lebih rendah. Dalam tempoh 1971-85, pelaburan swasta tidak dapat memainkan peranan penting seperti yang diharapkan. Oleh yang demikian, bahagian pelaburan sebenar sektor swasta daripada jumlah pelaburan berkurang daripada kira-kira 70 peratus pada tahun 1970 kepada 50 peratus pada tahun 1985.

2 Peranan sektor awam dalam ekonomi telah berubah daripada peranannya yang lazim sebagai penyedia perkhidmatan-perkhidmatan kepada peserta secara langsung dalam bidang perdagangan dan perindustrian, serta bidang pertanian, pengangkutan dan perhubungan. Perbadanan-perbadanan milik Kerajaan dan agensi-agensi amanah telah berkembang dengan pesat dalam tempoh 15 tahun yang lalu selaras dengan usaha mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat. Beberapa perbadanan yang dimiliki oleh sektor awam juga ditubuhkan untuk memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi dan perindustrian termasuk industri berat. Industri-industri ini memerlukan modal yang besar, risiko yang tinggi serta tempoh mendapatkan hasil yang lama. Berikutan dengan perubahan peranan ini, sektor awam telah berkembang dengan pesat hingga menyebabkan perbelanjaan sektor awam, khususnya perbelanjaan pembangunan, bertambah dengan banyaknya. Perbelanjaan pembangunan sektor awam dalam tempoh RME meningkat tiga kali berbanding dengan perbelanjaan dalam Rancangan Malaysia Ketiga, 1976-80 dan lapan kali berbanding dengan Rancangan Malaysia Kedua, 1971-75. Penggunaan sumber-sumber kewangan, bahan dan tenaga manusia juga telah bertambah.

1 Pelaburan sektor awam yang tinggi, terutamanya pada akhir tahun-tahun tujuh puluhan dan awal tahun-tahun lapan puluhan menyebabkan Kerajaan menghadapi kesulitan kewangan. Pertumbuhan eksport yang lebih perlahan dan nisbah harga eksport-import yang merosot berikutan daripada kemelesetan ekonomi dunia yang berlanjutan pada awal tahun-tahun lapan puluhan menyebabkan hasil Kerajaan meningkat dengan perlahan. Di samping itu, jumlah perbelanjaan semasa yang meningkat dengan banyak telah menyebabkan berkurangnya jumlah tabungan sektor awam untuk membiayai pembentukan modal sektor awam. Keadaan ini seterusnya meningkatkan jumlah pinjaman Kerajaan, khususnya dari sumber-sumber luar negeri, dan ini telah menambahkan lagi beban bayaran khidmat hutang negara dengan banyaknya. Masalah batasan sumber yang semakin rumit, penglibatan Kerajaan yang meluas serta penguasaannya yang bertambah terhadap sumber-sumber telah menimbulkan masalah-masalah peruntukan dan kecekapan yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

2 Kemelesetan ekonomi dunia yang berlanjutan sejak awal tahun-tahun lapan puluhan yang telah memberi kesan terhadap ekonomi dalam negeri menunjukkan terdapatnya beberapa batasan struktur yang sebahagiannya telah menjadikan ekonomi negara mudah terdedah kepada perubahan-perubahan ekonomi antarabangsa. Prestasi sektor pertanian telah dapat dikekalkan terutamanya oleh pertambahan keluaran minyak kelapa sawit. Sektor pembuatan masih mempunyai asas yang terhad dan kurang daya penggerak untuk terus berkembang.

3 Walaupun prestasi sektor pertanian masih menggalakkan pada tahun-tahun tujuh puluhan, kadar pertumbuhannya telah berkurang sejak awal tahun-tahun lapan puluhan. Beberapa ciri struktur telah melemahkan pertumbuhan sektor ini dan seterusnya mengurangkan sumbangannya kepada ekonomi.

Produktiviti sektor pertanian, khususnya sektor-sektor kecil padi dan pekebun kecil adalah terbatas disebabkan oleh pemilikan saiz kebun yang tidak ekonomik, jenis tanaman yang berhasil rendah, kaedah pengeluaran yang tradisional, meningkatnya keluasan tanah-tanah samada terbiar atau ditinggalkan serta kekurangan peluang untuk mendapatkan bantuan dan khidmat sokongan. Penghijrahan keluar tenaga buruh yang muda dari kawasan-kawasan luar bandar ke bandar telah menyebabkan kekurangan buruh di sektor pertanian dan terdapatnya tenaga buruh luar bandar yang terdiri daripada mereka yang berumur. Keadaan ini seterusnya menimbulkan masalah tanah pertanian yang tidak diusahakan sepenuhnya dan tanah-tanah sesuai untuk pertanian ditinggalkan. Kenaikan kos yang dialami dalam pengeluaran pertanian berbanding dengan peningkatan produktiviti telah melemahkan daya saingan sektor ini di pasaran dunia.

1 Bagi sektor pembuatan, beberapa ciri struktur telah timbul yang memerlukan penyesuaian semula bagi membolehkan sektor ini terus memainkan peranan yang strategik dalam pertumbuhan ekonomi. Asas yang terhad bagi sektor ini sebahagiannya menjadikan sektor ini terlalu mudah terdedah kepada perubahan dalam prestasi sektor luar negeri. Struktur tarif dalam sektor ini lebih memberi faedah kepada industri-industri penggantian import. Walaupun pembangunan industri-industri kecil adalah penting sebagai sebahagian daripada strategi perindustrian, pembangunannya belum begitu berjaya disepadukan ke dalam strategi perindustrian keseluruhannya dengan berkesan. Beberapa batasan telah menghalang perkembangan industri-industri kecil terutamanya yang berkaitan dengan struktur galakan yang ada sekarang yang lebih memberi faedah kepada industri-industri besar.

2 Selaras dengan berubahnya struktur ekonomi, corak gunatenaga juga turut berubah. Bahagian gunatenaga bagi sektor kedua dan ketiga daripada jumlah gunatenaga yang baru semakin meningkat sementara sumbangan sektor pertanian kepada gunatenaga telah berkurang. Sumbangan sektor perkhidmatan Kerajaan kepada gunatenaga juga meningkat dalam tempoh tersebut hingga awal tahun-tahun lapan puluhan berikutan daripada usaha Kerajaan untuk memperluaskan perkhidmatan sosial serta meningkatkan penglibatannya dalam kegiatan ekonomi.

1 Profil tenaga kerja yang baru memasuki pasaran juga telah banyak berubah. Mereka didapati semakin berpelajaran, mudah bergerak dan mengharapkan upah yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, terdapat aliran keluar belia-belia daripada pekerjaan yang berpendapatan rendah di luar bandar kepada pekerjaan yang mempunyai masa hadapan yang cerah di kawasan bandar. Pada akhir tahun-tahun tujuh puluhan, masalah kekurangan buruh di sektor-sektor tertentu mula muncul, khususnya di sektor perladangan, dan kekurangan ini dijangka berterusan ke tahun-tahun lapan puluhan. Masalah ini menggambarkan bahawa belia-belia keberatan untuk membuat kerja-kerja tertentu disebabkan oleh keinginan untuk mendapatkan pekerjaan yang bergaji tinggi. Lebih ramai kaum wanita juga memasuki pasaran buruh dalam tempoh tersebut disebabkan oleh pencapaian pelajaran mereka yang lebih tinggi serta peluang-peluang pekerjaan yang bertambah berikutan daripada pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

2 Pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam tahun-tahun tujuh puluhan telah disertai oleh kadar pertumbuhan gunatenaga yang tinggi. Oleh yang demikian, kadar pengangguran telah berkurang dengan banyaknya daripada 7.8 peratus pada tahun 1970 kepada 5.7 peratus pada tahun 1980. Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi yang perlahan dalam tempoh separuh pertama tahun-tahun lapan puluhan telah menyebabkan kadar penyediaan pekerjaan menjadi lebih perlahan dan seterusnya menimbulkan keadaan yang meninggikan kadar pengangguran. Satu perkara lagi yang perlu mendapat perhatian ialah kos buruh yang semakin meningkat berbanding dengan pertambahan produktiviti. Keadaan ini akan menjejaskan daya saingan eksport Malaysia di pasaran dunia.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM