:: RANCANGAN MALAYSIA KE LIMA (RML) ::
BAB 10 : PERTANIAN DAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

III : KEMAJUAN, 1981-1985


1 Nilai ditambah sektor pertanian telah berkembang pada kadar 3.4 peratus setahun dalam tempoh 1981-85 berbanding dengan matlamat RME sebanyak 4.2 peratus setahun. Prestasi yang kurang memuaskan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh keadaan kemelesetan ekonomi dunia yang berpanjangan, harga barangan pertanian yang rendah dan batasan-batasan struktur yang wujud di sektor ini.

2 Pertambahan dalam keluaran pertanian telah menyumbangkan 12.7 peratus daripada jumlah KDNK. Walaupun bahagian pertanian dalam KDNK telah berkurang daripada 22.8 peratus pada tahun 1980 kepada 20.3 peratus pada tahun 1985, dari segi nilai keluaran, ianya telah meningkat daripada $10,190 juta kepada $12,050 juta dalam tempoh yang sama. Pendapatan eksport daripada barangan pertanian utama iaitu minyak kelapa sawit, getah, kayu balak, kayu gergaji, koko dan lada hitam menyumbangkan 29.0 peratus daripada nilai eksport keseluruhan atau $11,030 juta pada tahun 1985, berbanding dengan 39.8 peratus atau $11,200 juta pada tahun 1980. Dari segi gunatenaga, sumbangan sektor ini ialah sebanyak 1.95 juta atau 35.7 peratus daripada jumlah pekerjaan pada tahun 1985, berbanding dengan 1.91 juta atau 39.7 peratus pada tahun 1980. Dalam tempoh 1981-85, sektor ini menyediakan kira-kira 42,300 pekerjaan atau 6.5 peratus daripada keseluruhan peluang-peluang pekerjaan baru yang diwujudkan.

3 Sektor pertanian telah juga memberi sumbangan secara tidak langsung kepada keseluruhan ekonomi negara melalui rantaiannya dengan sektor-sektor lain terutamanya, sektor-sektor pembuatan dan perkhidmatan. Dalam tempoh RME, kemajuan yang pesat telah dicapai dalam pembangunan industri-industri yang berasaskan pertanian terutamanya industri-industri getah, minyak kelapa sawit, kayu balak dan koko. Kemajuan ini dapat dilihat dengan bertambahnya penggunaan tempatan barangan tersebut, seperti yang ditunjukkan dalam carta 10-1. Keadaan ini mencerminkan kejayaan beberapa dasar dan pendekatan yang dilaksanakan bagi memperluaskan asas ekonomi melalui pelbagaian serta integrasi kegiatan pertanian yang lebih menyeluruh.

743. Pertumbuhan sektor ini telah juga memperbaiki secara amnya keadaan di luar bandar dan seterusnya meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kemiskinan di luar bandar. Keadaan yang lebih baik ini akan menjadi lebih ketara sekiranya ekonomi keseluruhannya tidak meleset dan harga barangan terutamanya pada tahun 1982 dan 1985 tidak merosot. Kesan-kesan buruk daripada kelembapan ekonomi dan harga-harga barangan yang rendah ke atas tingkat pendapatan dan gunatenaga telah dikurangkan dengan bertambahnya khidmat sokongan pertanian serta penyediaan kemudahan pelajaran, kesihatan, bekalan elektrik dan air, dan jalan-jalan luar bandar di samping rantaian di antara sektor-sektor yang semakin bertambah di kawasan-kawasan luar bandar. Oleh yang demikian, program-program dan projek-projek pembangunan pertanian telah dirangka dan dilaksanakan dengan memberi tumpuan yang lebih kepada pembangunan luar bandar untuk mengambilkira rantaian-rantaian tersebut, infrastruktur luar bandar yang telah diperbaiki dan usaha-usaha pembangunan pertanian dan bukan pertanian yang saling melengkapi.

Pengeluaran Pertanian

4 Seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-1, pertambahan yang banyak dalam pengeluaran minyak kelapa sawit dan koko serta pertumbuhan yang pesat bagi pengeluaran kayu balak pada awal tempoh RME merupakan faktor utama di dalam pencapaian keseluruhan sektor pertanian. Sebaliknya, keluaran getah tidak banyak berubah sementara keluaran padi, kelapa dan lada hitam telah berkurang. Bagi tanaman-tanaman lain, keluaran kopi telah meningkat, keluaran buah-buahan tidak berubah, dan keluaran nanas, sayur-sayuran, tembakau dan teh telah merosot. Pengeluaran daging dan keluaran ternakan telah meningkat dengan banyaknya sementara pengeluaran perikanan laut dan ternakair telah berkurang.

5 Dalam tempoh RME, jumlah keluasan yang ditanam dengan berbagai tanaman dan pembahagian keluasan tersebut mengikut jenis tanaman telah berubah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 10-2. Bagi barangan utama, keluasan tanaman kelapa sawit dan koko telah bertambah dan tanaman getah tidak banyak berubah. Keluasan tanaman padi bertambah dengan sedikit dan tanaman kelapa serta lada hitam berkurang. Bagi tanaman-tanaman lain, seperti sayur-sayuran keluasannya bertambah dengan sedikit, buah-buahan tidak berubah, sementara nanas dan tembakau berkurang. Perubahan dalam keluasan kawasan tanaman telah memberi kesan kepada tingkat pengeluaran tanaman-tanaman yang berkenaan dalam tempoh RME. Kesan ke atas pengeluaran tanaman kekal yang ditanam dalam tempoh RME, walau bagaimanapun, akan hanya dapat diperolehi dalam tempoh Rancangan berikutnya bergantung kepada tempoh matang, corak hasil keluaran dan pusingan tanaman.

1 MINYAK KELAPA SAWIT. Dalam tempoh RME, minyak kelapa sawit mengatasi getah sebagai barangan utama dalam sektor pertanian. Bahagiannya dalam keluaran pertanian meningkat daripada 21.8 peratus pada tahun 1980 kepada 29.6 peratus pada tahun 1985. Walaupun sektor pertanian berkembang sebanyak 3.4 peratus setahun dalam tempoh RME, sektor ini hanya berkembang sebanyak 1.4 peratus setahun sekiranya sumbangan minyak kelapa sawit tidak diambil kira.

2 Pengeluaran minyak kelapa sawit mentah meningkat sebanyak 9.9 peratus setahun daripada 2,575,900 tan metrik pada tahun 1980 kepada 4,130,000 tan metrik pada tahun 1985. Pengeluaran minyak isirong sawit juga meningkat daripada 222,300 tan metrik pada tahun 1980 kepada 501,900 tan metrik pada tahun 1985. Faktor-faktor utama yang menyebabkan pertumbuhan pesat ini ialah peningkatan hasil keluaran yang berpunca daripada keadaan cuaca yang bertambah baik, penggunaan baja yang bertambah, teknik pendebungaan yang berkesan, pertambahan keluasan yang mengeluarkan hasil dan harga eksport yang menggalakkan. Keluasan kawasan tanaman telah meningkat sebanyak 7.4 peratus setahun daripada 1,023,300 hektar pada tahun 1980 kepada 1,464,900 hektar pada tahun 1985. Keluasan estet swasta merupakan 51 peratus daripada jumlah keluasan pada tahun 1985. Di samping itu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memiliki sebanyak 30 peratus daripada keluasan tersebut; agensi-agensi awam yang lain seperti FELCRA, RISDA dan perbadanan-perbadanan kerajaan persekutuan dan negeri sebanyak 12 peratus; serta pekebun kecil persendirian sebanyak 7 peratus. Daripada jumlah keluasan tanaman sebanyak 1,464,900 hektar, kira-kira 80 peratus telah mengeluarkan hasil pada akhir tempoh RME.

748. GETAH. Bahagian getah dalam keluaran pertanian telah berkurang daripada 23.4 peratus pada tahun 1980 kepada 18.7 peratus pada tahun 1985. Keluaran getah tidak banyak berubah dalam tempoh 1981-84 iaitu kira-kira 1.5 juta tan metrik setahun dan berkurang kepada 1,450,000 tan metrik pada tahun 1985 berbanding dengan 1,530,000 tan metrik pada tahun 1980. Keadaan ini terutamanya disebabkan oleh harga yang rendah akibat daripada permintaan dunia yang lemah, keluasan estet yang berkurangan akibat penukaran kepada tanaman-tanaman lain, dan jurang yang berterusan antara hasil keluaran estet dan pekebun kecil walaupun terdapat pertambahan dalam keluasan kebun kecil. Pada keseluruhannya, keluasan yang ditanam dengan getah telah berkurang sedikit daripada 2,004,700 hektar pada tahun 1980 kepada 1,959,000 hektar pada tahun 1985, walaupun keluasan estet telah berkurang dengan banyaknya daripada 507,100 hektar kepada 456,000 hektar dalam tempoh yang sama. Hasil keluaran estet telah meningkat daripada 1,300 kilogram sehektar kepada 1,540 kilogram sehektar sementara hasil keluaran pekebun kecil meningkat daripada 900 kilogram sehektar kepada 1,020 kilogram sehektar di antara tahun 1980 dan tahun 1985.

1 KAYU BALAK. Pertambahan yang pesat bagi keluaran kayu balak pada awal tempoh RME tidak dapat dikekalkan. Kadar keluaran telah merosot daripada 9.8 peratus pada tahun 1981 kepada 2.1 peratus pada tahun 1985. Pengeluaran kayu balak telah meningkat daripada 27.9 juta meter padu pada tahun 1980 kepada 32.8 juta meter padu pada tahun 1982 tetapi telah merosot kepada 31.3 juta meter padu pada tahun 1985. Pertambahan keluaran yang merosot ini adalah sebahagian besarnya akibat daripada pelaksanaan Dasar Perhutanan Negara yang lebih tegas pada tahun 1981, kekurangan kawasan-kawasan hutan yang mudah diterokai untuk kegiatan pembalakan dan pasaran eksport yang agak lembab. Dalam tempoh RME, Sabah menyumbangkan kira-kira 35 peratus daripada jumlah keluaran, Sarawak 33 peratus dan Semenanjung Malaysia 32 peratus.

2 KOKO. Keluaran koko meningkat 23.1 peratus setahun dalam tempoh RME dan mencatatkan kenaikan kadar pertumbuhan yang paling tinggi dalam sektor pertanian. Pengeluaran koko meningkat dengan mantap sepanjang tempoh RME, kecuali pada tahun 1983 apabila pengeluarannya tidak berubah disebabkan oleh kemarau yang berpanjangan pada awal tahun tersebut serta kelewatan musim buah lebat hujung tahun. Pengeluaran telah meningkat daripada 36,500 tan metrik pada tahun 1980 kepada 103,000 tan metrik pada tahun 1985, berpunca daripada keluasan tanaman yang bertambah, kesan daripada cantuman dewasa serta peningkatan produktiviti terutamanya di estet-estet. Peningkatan pengeluaran adalah juga disebabkan oleh pulihnya pasaran koko dunia pada akhir tempoh RME. Jumlah keluasan yang ditanam dengan koko meningkat daripada 123,800 hektar pada tahun 1980 kepada 258,000 hektar pada tahun 1985. Kira-kira 61 peratus daripada jumlah keluasan yang ditanam adalah di Sabah dan 33 peratus di Semenanjung Malaysia. Keluasan estet merupakan 63 peratus daripada jumlah keluasan yang ditanam.

3 PADI. Pengeluaran padi merosot sebanyak 1.1 peratus setahun iaitu daripada 2,040,200 tan metrik pada tahun 1980 kepada 1,931,200 tan metrik pada tahun 1985. Pengeluaran ini merupakan 76.5 peratus daripada keperluan tempatan berbanding dengan matlamat tingkat pengeluaran yang ditetapkan di antara 80 dan 85 peratus dalam DPN. Kemerosotan ini, sebahagian besarnya, adalah disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk, serangga perosak dan wabak penyakit terutamanya Penyakit Merah VIRUS, tingkat hasil dan kepadatan tanaman yang tidak stabil termasuk di kawasan-kawasan jelapang padi utama, serta meningkatnya keluasan tanah sawah terbiar. Langkah-langkah untuk memulihkan kumpulan petak-petak yang berdekatan di kawasan tanah terbiar melalui beberapa bentuk perladangan berkelompok dan estet padi di kawasan-kawasan pengairan di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang masih belum menunjukkan kesan pengeluaran sepenuhnya. Pengeluaran yang kurang adalah disebabkan juga oleh rancangan kawasan padi baru Seberang Perak dan rancangan-rancangan pemulihan Balik Pulau-Seberang Perai, Lembah Kedah dan Kemasin belum mencapai pengeluaran sepenuhnya, memandangkan rancangan-rancangan ini masih lagi dalam berbagai peringkat pelaksanaan.

1 KELAPA. Pengeluaran kelapa kering merosot sebanyak 20.5 peratus setahun daripada 787,500 tan metrik pada tahun 1980 kepada 250,000 tan metrik pada tahun 1985. Harga kelapa kering yang rendah, bertambahnya penukaran tanaman kelapa kepada tanaman-tanaman lain yang lebih menguntungkan, serta meningkatnya tanaman selingan dengan koko dan kopi di kawasan tanaman kelapa mengakibatkan kawasan yang ditanam dengan kelapa merosot di sektor-sektor kecil estet dan pekebun kecil. Jumlah kawasan tanaman kelapa berkurang sebanyak 4.7 peratus setahun, daripada 349,400 hektar pada tahun 1980 kepada 274,000 hektar pada tahun 1985.

2 LADA HITAM. Keluaran lada hitam mengalami kejatuhan sebanyak 9.7 peratus setahun dalam tempoh RME. Keluarannya merosot daripada 31,600 tan metrik pada tahun 1980 kepada 15,000 tan metrik pada tahun 1984 dan meningkat semula kepada 19,000 tan metrik pada tahun 1985. Keadaan pasaran yang lembab pada awal tempoh RME dan merebaknya penyakit buruk akar yang merbahaya telah mengakibatkan petani-petani membiarkan tanaman mereka dan sebahagiannya pula menukar kepada tanaman-tanaman lain yang lebih menguntungkan. Walau bagaimanapun, dengan pulihnya harga lada hitam di pasaran dunia semenjak tahun 1984, sebahagian daripada petani-petani telah mengusahakan semula tanaman lada hitam.

3 TANAMAN-TANAMAN LAIN. Pengeluaran nanas telah merosot dengan banyaknya daripada 185,300 tan metrik pada tahun 1980 kepada 147,000 tan metrik pada tahun 1985. Akibat daripada kemerosotan ini keluasan tanaman nanas telah berkurang daripada 12,200 hektar pada tahun 1980 kepada 10,300 hektar pada tahun 1985. Pengeluaran sayur-sayuran telah berkurang dengan banyaknya daripada 202,100 tan metrik pada tahun 1980 kepada kira-kira 102,100 tan metrik pada tahun 1982 dan meningkat semula kepada 124,300 tan metrik pada tahun 1985. Kemerosotan pengeluaran sayur-sayuran, sebahagian besarnya, adalah disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk pada tahun l982 dan perubahan keluasan serta jenis-jenis sayuran yang ditanam. Dalam tempoh RME, keluasan yang ditanam dengan sayur-sayuran berkurang daripada 12,800 hektar pada tahun 1980 kepada 7,460 hektar pada tahun 1982 tetapi seterusnya meningkat kepada 8,090 hektar pada tahun 1985. Pengeluaran buah-buahan, kekal pada 730,000 tan metrik dalam tempoh RME kecuali pada tahun 1981 apabila pengeluarannya kurang daripada 400,000 tan metrik dan keluasan kawasan yang ditanam merosot kepada 87,800 hektar berbanding dengan keluasan purata seluas 91,000 hektar dalam tempoh tersebut.

1 Dalam tempoh RME, pengeluaran tembakau telah berkurang sebanyak 5.9 peratus setahun daripada 110,700 tan metrik pada tahun 1980 kepada 81,700 tan metrik pada tahun 1985, kecuali pada tahun 1982 apabila pengeluarannya telah meningkat kepada 127,100 tan metrik. Keluasan kawasan yang ditanam telah berkurang sebanyak 5.9 peratus setahun daripada 12,500 hektar pada tahun 1980 kepada 9,190 hektar pada tahun 1985. Pengeluaran biji kopi meningkat daripada 4,300 tan metrik pada tahun 1980 kepada 4,600 tan metrik pada tahun 1985, sementara pengeluaran teh merosot daripada 3,800 tan metrik kepada 2,000 tan metrik
.
2 PERIKANAN. Jumlah keluaran perikanan termasuk ternakair telah merosot daripada 743,000 tan metrik pada tahun 1980 kepada 697,100 tan metrik pada tahun 1985. Dalam tempoh yang sama, pengeluaran perikanan laut termasuk kerang dan siput-siput lain telah berkurang daripada 732,800 tan metrik kepada 689,100 tan metrik disebabkan oleh sumber-sumber perikanan yang berkurangan terutamanya di pesisiran pantai Semenanjung Malaysia. Pertambahan pengeluaran ternakair daripada 10,900 tan metrik pada tahun 1980 kepada 17,900 tan metrik pada tahun 1983 telah tidak dapat dikekalkan dan pada tahun 1985, pengeluarannya telah merosot kepada 8,000 tan metrik. Pertambahan dalam tempoh 1980-83 ini adalah disebabkan oleh pembinaan 179 kolam ikan dan pemberian 4,400 sangkar untuk ternakan ikan dalam sangkar oleh LKIM. Kejatuhan pengeluaran dalam tempoh yang berikutnya adalah disebabkan sebahagian besarnya oleh kelemahan sistem pemasaran ikan air tawar yang mengakibatkan banyak kolam-kolam ikan tidak diusahakan.

3 PENTERNAKAN Pengeluaran daging lembu telah meningkat daripada 17,200 tan metrik pada tahun 1980 kepada 19,100 tan metrik pada tahun 1985 hasil daripada kaedah-kaedah menternak haiwan yang lebih baik serta pelaksanaan berbagai program pengeluaran yang lebih giat seperti pawah, rancangan menggemuk ternakan dan rancangan pinjaman baka. Pada tahun 1985, Semenanjung Malaysia mengeluarkan 55 peratus daripada keperluan tempatan sementara Sabah 13 peratus dan Sarawak 23 peratus. Pengeluaran daging kambing telah berkurang daripada 800 tan metrik pada tahun 1980 kepada 600 tan metrik pada tahun 1981 tetapi meningkat semula kepada 800 tan metrik pada tahun 1985. Pertambahan ini disebabkan terutamanya oleh pemeliharaan kambing biri-biri di ladang-ladang dan di kebun-kebun kecil getah dan kelapa. Pengeluaran ayam-itik telah bertambah daripada 125,600 tan metrik pada tahun 1980 kepada 154,400 tan metrik pada tahun 1985, sementara pengeluaran telor telah meningkat daripada 2,535 juta biji pada tahun 1980 kepada 3,461 juta biji pada tahun 1985. Jumlah pengeluaran ini melebihi keperluan tempatan yang semakin bertambah. Pengeluaran daging babi juga bertambah daripada 135,900 tan metrik pada tahun 1980 kepada 158,800 tan metrik pada tahun 1985. Pengeluaran susu telah meningkat lebih tiga kali daripada 8.3 juta liter pada tahun 1980 kepada 28.9 juta liter pada tahun 1985, sebahagian besarnya disebabkan oleh penternakan baka yang lebih baik, bilangan penternak tenusu yang bertambah serta pengurusan tenusu yang lebih cekap terutamanya di kawasan sekitar pusat-pusat pengumpulan susu.

Pembangunan tanah baru

758. SEKTOR AWAM. Seluas 360,500 hektar tanah baru telah dimajukan oleh agensi-agensi sektor awam seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-3. Keluasan ini merupakan 83.9 peratus daripada matlamat RME seluas 429,700 hektar. FELDA telah memajukan seluas 161,600 hektar dan daripada jumlah ini, 68.3 peratus telah ditanam dengan kelapa sawit, 23.1 peratus getah, 3.6 peratus koko dan bakinya untuk perkampungan.Pemilihan jenis tanaman adalah berdasarkan kepada keadaan harga barangan semasa serta kesesuaian tanah di kawasan-kawasan rancangan FELDA. Dalam tempoh yang sama,FELCRA telah memajukan seluas 31,100 hektar dan RISDA seluas 9,770 hektar sementara agensi-agensi kerajaan negeri seluas 158,000 hektar.

1 Dalam tempoh RME, FELDA telah menempatkan 30,000 keluarga menjadikan jumlah keseluruhan keluarga yang ditempatkan sehingga ini kepada 94,000 yang terdiri daripada kira-kira 490,000 orang. Kos purata bagi menempatkan satu keluarga ke rancangan FELDA telah meningkat daripada $37,500 pada tahun 1980 kepada $53,000 pada tahun 1985 disebabkan oleh kenaikan kos input bahan dan buruh serta kedudukan rancangan-rancangan baru yang semakin terpencil jauh ke pedalaman. Dalam tempoh RME, pendapatan purata tahunan peserta FELDA adalah di antara $6,000 untuk tanaman getah hingga $14,700 untuk tanaman kelapa sawit.

760. SEKTOR SWASTA. Dalam tempoh RME, sektor swasta telah terlibat dalam memajukan sejumlah 57,100 hektar tanah baru di kawasan-kawasan lembaga kemajuan wilayah di Semenanjung Malaysia. Jumlah ini merupakan 57.1 peratus daripada matlamat RME. Kira-kira 76 peratus daripada jumlah tersebut telah dimajukan oleh sektor swasta sementara bakinya dimajukan secara usahasama di antara sektor swasta dan lembaga-lembaga kemajuan wilayah. Dari segi penggunaan tanah, 68 peratus daripada kawasan tersebut telah di tanam dengan kelapa sawit, 26 peratus buah-buahan, 2 peratus koko dan bakinya dengan tanaman-tanaman lain. Di samping itu, Syarikat Perusahaan Makanan Malaysia Sdn. Bhd. (FIMA) telah memajukan seluas 300 hektar ladang buah-buahan di Kedah.

Pembangunan IN SITU

2 Dalam tempoh RME, usaha yang bertujuan meningkatkan produktiviti di kawasan-kawasan pertanian sedia ada telah diberi tumpuan yang lebih. Pembangunan IN SITU dilaksanakan melalui dua bentuk iaitu projek pembangunan pertanian bersepadu (IADP) dan program-program yang lazimnya dilaksanakan oleh jabatan-jabatan. Pendekatan IADP melibatkan pemusatan, penyatuan dan pelaksanaan yang terselaras bagi program-program dan kegiatan-kegiatan pembangunan pertanian yang berkaitan di antara satu sama lain di bawah kelolaan berbagai agensi sejajar dengan objektif pembangunan di kawasan-kawasan pertanian yang sedia ada.

1 PROJEK PEMBANGUNAN PERTANIAN BERSEPADU. Dalam tempoh RME, sembilan IADP yang baru telah mula dilaksanakan sebagai tambahan kepada lima IADP yang sedang dilaksanakan. Sembilan IADP baru ini ialah Negeri Sembilan Timor, Rompin-Endau, Kemasin, Melaka, Lembah Kedah, Perlis, Balik Pulau-Seberang Prai, Pahang Barat dan Johor Barat II. Kesemua 14 IADP ini serta projek-projek Besut, Kemubu dan Muda yang telah siap merangkumi kawasan seluas 4.5 juta hektar dan dijangka memberi faedah kepada 456,000 keluarga petani.

2 Jangkamasa secukupnya perlu diberikan sebelum menilai keberkesanan IADP memandangkan projek pertanian mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan hasil. Sungguhpun demikian, faedah daripada projek-projek yang telah siap dan yang sedang dilaksanakan telah mula diperolehi. Bagi IADP Kelantan Utara yang telah siap dilaksanakan pada tahun 1983, pengeluaran padi, kacang tanah, jagung dan sayur-sayuran telah meningkat dengan banyaknya jika dibandingkan dengan tingkat pengeluaran sebelum projek dilaksanakan. Pendapatan purata tahunan petani meningkat daripada $1,330 pada tahun 1975 kepada antara $2,700 hingga $3,400 pada tahun 1983, bergantung kepada jenis tanaman yang ditanam. IADP Besut telah mencatatkan pertambahan dalam purata hasil keluaran padi daripada 1.4 tan metrik sehektar pada tahun 1971 sebelum projek dilaksanakan, kepada 4.0 tan metrik pada tahun 1985. Keadaan sawah telah juga bertambah baik dan ini membolehkan penggunaan kaedah tabur terus serta penggunaan jentera dan seterusnya dapat mengurangkan masalah kekurangan buruh. Di IADP Johor Barat I yang tertumpu kepada tanaman kekal, masalah banjir yang sering dihadapi sebelum projek dilaksanakan telah dapat dikurangkan sementera penggunaan sistem perparitan yang lebih baik membolehkan penukaran tanaman kepada kelapa sawit di kawasan tanah gambut cetek.

3 PARIT DAN TALIAIR. Program perparitan di kawasan pertanian telah dilaksanakan bagi memperbaiki kawasan-kawasan yang sering menghadapi masalah kemasukan air laut, banjir dan sentiasa ditakungi air, untuk meningkatkan produktiviti di kawasan yang sedia ada dan yang baru. Kemudahan perparitan yang lebih baik ini membolehkan penanaman tanaman tunggal dan selingan yang lebih menguntungkan serta meningkatkan keluaran tanaman kekal. Sejumlah 53 projek telah dilaksanakan dalam tempoh RME. Sungguhpun sebahagian besar projek perparitan terletak di kawasan IADP seperti Johor Barat I dan Barat Laut Selangor, terdapat juga projek perparitan di luar kawasan IADP di antaranya Asajaya di Sarawak, Bruas di Perak dan Kuala Langat-Sepang di Selangor. Projek perparitan ini meliputi kawasan seluas 186,600 hektar dan dapat memberi faedah kepada kira-kira 75,700 keluarga petani.

1 Sejumlah 274 projek pengairan telah dilaksana bagi menyediakan kemudahan baru atau memperbaiki kemudahan yang sedia ada di kawasan tanaman padi. Program pengairan ini sebahagian besarnya ditumpukan ke arah meningkat dan memperluaskan kemudahan di projek pengairan utama, di kawasan-kawasan IADP Muda, Kemubu, Krian-Sungai Manik dan Barat Laut Selangor serta skim Seberang Perak. Berbagai usaha juga dijalankan bagi memperbaiki kemudahan di skim-skim pengairan kecil. Kemudahan pengairan telah dipertingkatkan di kawasan seluas 114,900 hektar dan memberi faedah kepada kira-kira 76,500 keluarga penaman padi. Kemudahan ini telah menambah keluasan tanaman padi dua musim dan meningkatkan produktiviti.

2 PENANAMAN SEMULA DAN PEMULIHAN. RISDA telah menanam semula kira-kira 131,800 hektar kawasan getah tua di Semenanjung Malaysia dan usaha ini telah memberi faedah kepada kira-kira 77,000 pekebun kecil. Kira-kira 92,600 hektar daripada keluasan yang ditanam semula telah ditanam dengan getah, 27,800 hektar dengan kelapa sawit dan 11,400 hektar dengan tanaman-tanaman lain. RISDA telah memberi lebih tumpuan kepada penanaman semula secara berkelompok melalui konsep mini-estet untuk memperolehi ekonomi bidangan serta mempasti penanaman, penyelenggaraan dan pemasaran yang teratur. Dalam tempoh RME, kira-kira 36,000 hektar tanaman getah telah dimajukan secara mini-estet. Di Sabah, seluas 6,700 hektar telah ditanam semula dengan getah oleh Lembaga Tabung Getah Sabah dan memberi faedah kepada 4,140 pekebun kecil. Di Sarawak pula, Jabatan Pertanian Sarawak telah menanam semula seluas 3,480 hektar yang memberi faedah kepada 2,830 pekebun kecil. Di bawah Projek Penanaman Semula dan Pemulihan Kelapa, kira-kira 3,200 hektar telah ditanam semula dengan kelapa. Di samping itu, seluas 3,150 hektar telah ditanam semula dengan nanas oleh Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu yang memberi faedah kepada 2,180 petani.

1 Program pemulihan yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi moden dan penyediaan kemudahan-kemudahan infrastruktur yang lebih baik terus dilaksanakan. FELCRA telah memulihkan seluas 59,110 hektar, dan daripada jumlah ini seluas 49,000 hektar telah ditanam dengan kelapa sawit, 9,240 hektar dengan getah, 550 hektar dengan padi, 170 hektar dengan koko dan 150 hektar dengan lada hitam. Seluas 38,700 hektar daripada kawasan yang dipulih telah dilaksanakan di bawah program pemulihan tanah terbiar FELCRA yang dimulakan pada tahun 1984. Di Sarawak, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) telah memulihkan seluas 3,220 hektar dengan tanaman kelapa sawit, 2,730 hektar dengan koko, 1,460 hektar dengan getah dan 200 hektar dengan teh. Seluas 12,500 hektar kawasan kelapa telah dipulih dengan tanaman koko dan kopi melalui Projek Penanaman Semula dan Pemulihan Kelapa. Jabatan Pertanian telah memulihkan seluas 9,390 hektar dengan tanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman-tanaman lain.

2 Dalam tempoh RME, kira-kira 27,000 hektar sawah terbiar telah dipulihkan. Sebahagian daripada kawasan tersebut telah dipulihkan melalui perladangan berkelompok dengan menggunakan berbagai bentuk pengurusan yang dipusatkan dan juga kawasan-kawasan yang dipajak serta dimajukan sebagai estet padi oleh syarikat-syarikat swasta. Aspek-aspek penyusunan dan penyatuan yang utama daripada usaha-usaha pemulihan yang lebih berjaya akan dijadikan asas pemulihan kawasan padi terbiar pada masa hadapan.

3 Sejumlah 38,000 lembu dan kerbau telah diagihkan kepada kira-kira 30,400 petani di bawah program daging yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan di bawah komponen ternakan IADP serta Projek Penanaman Semula dan Pemulihan Kelapa. Di samping itu, kira-kira 10,600 lembu tenusu telah diagihkan kepada seramai 5,300 petani di bawah program tenusu, Kira-kira 5,170 kambing dan kambing biri-biri telah diagihkan kepada seramai 1,050 petani di bawah skim pawah.

770. Dalam tempoh RME, sejumlah 26 pusat pengumpulan susu telah ditubuhkan menjadikan kesemuanya berjumlah 43 buah. Jumlah kutipan susu telah meningkat 2.7 juta liter pada tahun 1980 kepada 11.7 juta liter pada tahun 1985 dengan bertambahnya bilangan pusat-pusat ini. Berikutan dengan pembubaran Lembaga Kemajuan Ternakan Negara (MAJUTERNAK) pada tahun 1983, Jabatan Perkhidmatan Haiwan telah memulihkan kira-kira 400 hektar tanah di tujuh buah ladang yang dahulunya dimiliki oleh MAJUTERNAK. Pemulihan ini telah dapat membantu menambah bekalan lembu bagi program-program daging dan tenusu, menyediakan kemudahan latihan kakitangan jabatan serta menjalankan penyelidikan gunaan. Untuk meningkatkan mutu baka lembu tempatan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan telah mengimport 20,800 lembu kacukan dan menyuntik 59,600 lembu secara permanian beradas.

Perikanan

4 Dalam tempoh RME, sebanyak 12 Kawasan Pembangunan Nelayan (KPN) telah ditubuhkan oleh LKIM untuk memudahkan penyediaan kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas bagi memperbaiki taraf hidup masyarakat nelayan. Penyertaan nelayan dalam pembangunan sektor perikanan telah meningkat dengan tertubuhnya 10 lagi Persatuan Nelayan dan meningkatnya kegiatan 58 Persatuan Nelayan serta 42 Syarikat Kerjasama Nelayan yang sedia ada. Antara tahun 1981 hingga 1983, LKIM telah menyediakan kemudahan sewa-beli kepada nelayan-nelayan untuk membolehkan pembelian sebanyak 765 bot di bawah Skim Pemilikan Bot serta pemberian subsidi bagi meningkatkan Penternakan keupayaan bot-bot. Walau bagaimanapun, semenjak tahun 1983, Skim Kemudahan Kewangan (SKK) telah dimulakan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan kredit dan galakan bagi membeli bot dan meningkatkan keupayaan bot-bot nelayan. Di bawah skim ini, kira-kira 50 bot telah dibeli oleh nelayan dan keupayaan 40 bot yang bermuatan kasar 40 tan metrik dan lebih, telah dipertingkatkan.

772. Dalam tempoh RME, kawasan seluas 2,290 hektar telah dimajukan untuk ternakair di bawah program LKIM, IADP dan Jabatan Perikanan. Daripada jumlah ini, seluas 1,460 hektar telah dimajukan untuk penternakan kerang, 610 hektar untuk kolam ikan dan bakinya untuk penternakan ikan dalam sangkar serta pusat penetasan. Jabatan Perikanan dan LKIM telah membina tukun-tukun tiruan untuk mewujudkan lebih banyak lagi kawasan pembiakan dan perlindungan ikan bagi menambah bekalan ikan yang semakin berkurangan di pesisiran pantai. Langkah-langkah lain untuk menambah pendaratan ikan termasuk penguatkuasaan Akta Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), 1984, Akta Perikanan, 1985 dan pelaksanaan dasar penggunaan kawasan perairan wilayah.

Perhutanan

773. Selaras dengan Dasar Perhutanan Negara, seluas 393,000 hektar hutan di Semenanjung Malaysia telah dipulihkan melalui rawatan silvikultur. Di samping itu, kadar pembalakan di Semenanjung Malaysia dihadkan dan tindakan ini menyebabkan kawasan yang dibalak berkurang daripada 242,900 hektar pada tahun 1980 kepada 176,000 hektar pada tahun 1985. Projek Ladang Hutan Kompensatori telah dilaksana untuk mempastikan bekalan kayu tempatan yang berterusan pada masa hadapan. Di bawah Projek ini, kawasan seluas 7,090 hektar telah ditanam dengan jenis-jenis pokok yang cepat membesar seperti GMELINA ARBOREA, ACACIA MANGIUM, dan PARASERIANTHES FALCATORIA. Daripada keluasan ini, 43.6 peratus telah ditanam di Negeri Sembilan, 40.3 peratus di Johor, 8.6 peratus di Selangor dan 7.5 peratus di Pahang.

2 Di Sabah, kira-kira 10,000 hektar ladang hutan telah dimajukan dengan jenis-jenis pokok yang cepat membesar melalui usahasama di antara Yayasan Sabah dengan sebuah syarikat swasta. Di samping itu, seluas 11,800 hektar telah ditanam dengan ACACIA MANGIUM oleh Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA). Di Sarawak, ladang hutan ACACIA MANGIUM seluas kira-kira 1,800 hektar telah dibuka di bawah program penghutanan semula. Pusat penyelidikan silvikultur telah juga ditubuhkan di Bintulu bagi menjalankan penyelidikan perhutanan.

3 Tanaman rotan telah diberi tumpuan yang lebih dan berikutan daripada itu seluas 6,430 hektar telah ditanam di Sabah dan 400 hektar di Semenanjung Malaysia. Sebahagian besar daripada rotan yang ditanam terdiri daripada jenis MANAN atau manau dan CAESIUS atau sega. Untuk mengatasi masalah kekurangan benih rotan, sebuah tapak semaian seluas 33 hektar telah dikenalpasti untuk dimajukan di Kuala Lipis, Pahang. Di samping itu, penyelidikan tisu didik telah juga dimulakan.

776. Pada bulan Disember, 1984, Akta Perhutanan Negara telah diluluskan dengan tujuan untuk mengemaskini dan menyeragamkan berbagai enakmen perhutanan negeri-negeri yang sedia ada. Akta tersebut akan digunakan di semua negeri di Semenanjung Malaysia sebagai enakmen perhutanan negeri.

Khidmat Sokongan

4 LATIHAN DAN PENGEMBANGAN. Seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-4, latihan telah diadakan di berbagai peringkat oleh beberapa institusi dan agensi untuk memenuhi keperluan tenaga manusia bagi sektor pertanian serta meningkatkan kemahiran petani dan nelayan. Universiti Pertanian Malaysia (UPM) terus menyediakan kursus-kursus peringkat ijazah dan diploma dalam berbagai bidang pertanian. Di samping itu, berbagai agensi pertanian telah menyediakan khidmat pengembangan termasuk latihan bagi kakitangan jabatan dan kumpulan sasaran masing-masing. LPP telah menyediakan latihan dalam aspek perladangan, teknik-teknik lepas tuaian, pengurusan koperasi, pengendalian institusi luar bandar serta perniagaan tani. Jabatan Pertanian telah meluaskan program latihannya dengan menubuhkan Institut Latihan Pengembangan
Pertanian di peringkat kebangsaan, dua lagi pusat latihan pengembangan dan pembangunan di peringkat kawasan (RETDC) dan 28 pusat pengembangan kecil untuk melengkapkan lagi institusi-institusi pertanian yang sedia ada. Kemudahan-kemudahan latihan ini telah memperluas dan meningkatkan kegiatan pengembangan di bawah Jabatan Pertanian, terutamanya pelaksanaan sistem lawatan dan latihan (2L) bagi program pengembangannya.

1 Jabatan Perkhidmatan Haiwan terus mengendalikan kursus-kursus pengurusan pengeluaran ayam-itik dan daging serta perusahaan ternakan-ternakan yang lain. Di samping itu, sebuah Pusat Latihan Teknologi Susu telah ditubuhkan di Institut Haiwan Kluang, Johor bagi melatih penternak serta ahli-ahli teknologi susu dalam teknik pengendalian tenusu. Jabatan Perikanan terus menjalankan latihan dalam bidang perikanan laut dan ternakair. Institut Latihan Perikanan di Batu Maung, Pulau Pinang telah menyediakan latihan dalam bidang pengendalian kapal yang digunakan untuk menangkap ikan di luar kawasan pesisiran pantai. Pusat-pusat Latihan Perikanan Laut di Gelugor, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, Terengganu telah menyediakan kursus bagi juragan dan pengendali jentera dalam bidang pelayaran asas dan penyenggaraan jentera. Kursus di bidang ternakair yang merangkumi pengurusan kolam dan kaedah penangkapan ikan serta aspek-aspek lain dalam pemeliharaan udang dan ikan telah juga dijalankan untuk penternak ikan dan nelayan. Di Kawasan Pembangunan Nelayan, latihan dalam bidang industri kecil telah disediakan oleh LKIM dengan kerjasama agensi lain yang berkaitan.

2 Institut Pembangunan Tanah dan Pusat Latihan FELDA di Trolak, Perak telah diperbesarkan dan sebuah sekolah latihan yang baru telah ditubuhkan di Keratong, Pahang untuk membolehkan FELDA mempergiatkan program latihannya. Di samping itu, FELDA telah juga menyediakan latihan yang merangkumi bidang membaiki kereta dan perniagaan kecil untuk memudahkan penubuhan perniagaan-perniagaan kecil di kawasan-kawasan FELDA. Latihan tersebut ditujukan kepada peserta-peserta dan tanggungan mereka bagi menggalakkan mereka kekal di rancangan FELDA. Jabatan Perhutanan terus menganjurkan program-program latihan dalam bidang pengurusan hutan dan bidang-bidang yang berkaitan bagi kakitangannya serta peserta-peserta dari sektor swasta.

1 KREDIT DAN SUBSIDI. Dalam tempoh RME, kredit pertanian bagi sektor kecil pekebun kecil sebahagian besarnya telah disalurkan melalui Bank Pertanian Malaysia (BPM) terutamanya untuk menyokong kegiatan-kegiatan pertanian yang telah diberi penekanan dalam DPN. Sejumlah $1,012 juta kredit telah dikeluarkan oleh BPM bagi pengeluaran padi, koko, kelapa sawit, tembakau, ternakan, perikanan serta pembelian jentera dan peralatan perikanan. Seramai 216,000 petani dan nelayan menerima faedah daripada skim-skim kredit tersebut.

2 LPP telah juga menyediakan kredit sebanyak $26.5 juta bagi penyediaan tanah dan pembelian input seperti benih dan baja. Sungguhpun demikian, menjelang akhir tempoh RME LPP telah mengurangkan kemudahan kreditnya secara berperingkat-peringkat memandangkan mulai tahun 1986 BPM telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi tunggal untuk menyalurkan kredit pertanian daripada peruntukan yang akan diberi kepada Kementerian Pertanian. Di samping itu, bank-bank perdagangan telah menyediakan kira-kira $1,550 juta kredit untuk sektor pertanian.

3 Untuk memudahkan pembasmian kemiskinan dan pengwujudan perusahaan baru serta penerapan teknologi baru, subsidi sebanyak $2,115 juta telah diperuntukkan bagi sektor kecil pekebun kecil dalam tempoh RME. Sebahagian besar subsidi telah diperuntukkan kepada tanaman padi iaitu $850 juta untuk rancangan bantuan harga dan $430 juta untuk rancangan subsidi baja. Selaras dengan penekanan terhadap pertanian yang lebih bercorak perdagangan dan petani yang lebih berdikari, subsidi minyak diesel telah diberhentikan pada tahun 1983 dan sebahagian besar subsidi-subsidi lain juga diberhentikan secara berperingkat-peringkat menjelang akhir tempoh RME.

1 PEMPROSESAN DAN PEMASARAN. Langkah-langkah telah diambil oleh beberapa agensi bagi menggalakkan petani-petani melibatkan diri secara langsung dalam kegiatan pemprosesan dan pemasaran hasil pertanian mereka. Contohnya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah memperkenalkan konsep pasar tani dengan menubuhkan pasar-pasar tani di beberapa tempat seperti di Batu Pahat, Cameron Highlands, Johor Bahru dan Shah Alam. Di bawah konsep ini, petani-petani boleh menjual hasil pertanian mereka secara langsung untuk menambahkan pendapatan. FAMA telah mengurangkan secara berperingkat-peringkat penglibatan secara langsung dalam kegiatan pemasaran tempatan dan tempatan dan sebaliknya menumpukan usaha menyediakan maklumat pasaran serta mencari peluang pasaran baru di luar negeri. Berikutan daripada ini, FAMA telah mengeksport hasil-hasil pertanian seperti pisang dan sayur-sayuran ke Hong Kong, Jepun dan Singapura.

2 Langkah-langkah telah juga diambil untuk meningkat mutu hasil-hasil pertanian bagi mempastikan ianya sesuai untuk dieksport. Di bawah Skim Penggredan dan Persijilan yang bertujuan untuk meningkat dan mempiawaikan mutu koko Malaysia, FAMA telah menubuhkan pusat-pusat menggred koko di Pasir Gudang, Pelabuhan Kelang dan Seberang Prai. Skim tersebut meliputi Johor, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Selangor. Dalam tempoh RME, hampir separuh daripada keluaran koko pekebun-pekebun kecil di Semenanjung Malaysia telah dipasarkan oleh FAMA. Jemaah Pemasaran Lada Hitam Malaysia telah juga meningkatkan pemprosesan dan penggredan lada hitam sebelum dieksport. Dalam tempoh RME, Jemaah tersebut telah menggred kira-kira 109,000 tan metrik lada hitam yang bernilai $404.5 juta. Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia Berhad (MARDEC) telah memperoses 649,000 tan metrik getah pekebun-pekebun kecil bernilai kira-kira $1,550 juta untuk dieksport. Jumlah ini merupakan 13.7 peratus daripada keseluruhan keluaran getah yang dihasilkan oleh pekebun-pekebun kecil dalam tempoh RME.

3 FELDA terus memasarkan secara langsung barangan-barangan utama, terutamanya minyak kelapa sawit dan getah dalam bentuk mentah dan separuh proses dari rancangan-rancangan pembangunan tanahnya. Dalam tempoh RME, FELDA telah memasarkan sebanyak 3.5 juta tan metrik minyak kelapa sawit bernilai $3,500 juta dan 367,800 tan metrik getah bernilai $853.9 juta. RISDA telah juga memasarkan getah bernilai $194.3 juta daripada pekebun-pekebun kecil yang terlibat dalam programnya. LPP telah juga memasarkan hasil-hasil pertanian termasuk tembakau, padi, beras, getah, dan kelapa yang bernilai $72.1 juta. LKIM telah membina tujuh kompleks perikanan dan meningkatkan kemudahan kompleks-kompleks yang sedia ada bagi membantu dalam pemasaran ikan.

1 PENYELIDIKAN. Dalam tempoh RME, penekanan telah diberi kepada penyelidikan tisu didik, teknologi hayat, baik biak, pemasaran dan penggunaan akhir, di samping meneruskan penyelidikan yang lazim dijalankan bagi meningkatkan pengeluaran. MARDI telah mengeluarkan berbagai jenis padi yang berhasil tinggi dan tahan penyakit, termasuk jenis Seberang, Muda, Manik, Makmur dan MR 75. Lima jenis baka baru koko yang berupaya menghasilkan antara 1,600 hingga 4,100 kilogram sehektar telah juga diperkenalkan oleh MARDI pada tahun 1983. Penyelidikan MARDI dalam bidang pemprosesan telah juga mendapati bahawa biji koko yang diperam dalam kotak-kotak cetek boleh mengurangkan tingkat kandungan asid biji koko. Sejenis nanas kacukan baru yang dinamakan Nanas Johor telah diperkenalkan. Nanas jenis ini dapat mengeluarkan hasil tinggi dan mutu pengetinan yang baik. Dalam bidang teknologi makanan, kemajuan pesat telah dicapai dalam memperkenalkan teknologi baru yang menghasilkan pemakanan yang lebih baik dalam makanan yang diproses serta bahan makanan tempatan yang lebih bersih, lazat dan menarik. Makanan-makanan ini termasuklah jenis-jenis sos, air buah-buahan, jeruk buah-buahan dan makanan, serta makanan ringan dan santan segera.

2 Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) selain daripada menjalankan penyelidikan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan pengeluaran dan mutu minyak kelapa sawit, telah juga meluaskan usaha-usaha penyelidikannya termasuk penyelidikan penggunaan akhir kelapa sawit dan hasil sampingannya dalam bentuk makanan dan bukan makanan. PORIM telah berjaya mengeluarkan minyak diesel kelapa sawit dan membuka sebuah kilang minyak diesel pada bulan November, 1985. Kejayaan ini dijangka dapat memberi pilihan penggunaan ekonomi kepada minyak kelapa sawit sebagai satu sumber tenaga yang tidak pupus. Penyelidikan telah juga dijalankan bagi mendapatkan vitamin daripada pelepah dan minyak kelapa sawit, penggunaan sisa minyak kelapa sawit sebagai makanan ternakan serta potensi penggunaan batang
kelapa sawit.

1 RRIM menumpukan penyelidikannya kepada pemodenan industri getah, penggunaan akhir getah serta penggunaan bahan-bahan sampingannya. Sejenis getah baru iaitu susu getah yang dilarutkan dengan oksigen sedang dimajukan dan diuji. Getah baru ini memiliki ciri-ciri yang diperlukan dari segi daya tahan minyak, tidak telus gas, mempunyai daya cengkaman jalan basah dan rintangan pusingan yang lebih rendah. Satu penemuan baru yang penting telah dibuat dalam penggunaan lapik alas besi keluli yang disalut dengan getah asli untuk mengurangkan kesan-kesan buruk kepada bangunan-bangunan akibat daripada gempa bumi. Penemuan ini merupakan satu kegunaan baru dan penting bagi getah asli.Kemajuan penting juga dicapai dalam penggunaan kayu getah. Tumpuan khas telah diberikan kepada aspek-aspek peransangan pengeluaran, cara-cara baru penorehan getah yang menjimatkan buruh, dan alat torehan dan kutipan yang baru bagi mengatasi masalah kekurangan buruh di samping menjamin keupayaan persaingan industri getah.

2 Jabatan Perkhidmatan Haiwan telah menumpukan kegiatan penyelidikannya di Institut Penyelidikan Haiwan Ipoh bagi mengawal penyakit-penyakit ternakan. Institut Penyelidikan Perikanan di Pulau Pinang telah menumpukan penyelidikannya bagi mengenalpasti jenis-jenis baru ikan dan udang yang sesuai bagi kemajuan ternakair. Pada akhir tahun 1985, penyelidikan perikanan laut dalam, khususnya di ZEE, telah dilaksanakan bagi menilai sumber-sumber perikanan di kawasan tersebut. Hasil kajian ini dijangka dapat membantu dan memandu pembangunan kegiatan perikanan di luar pesisiran pantai pada masa hadapan. Di samping terus menjalankan penyelidikan dalam pengurusan perhutanan dan amalan pembalakan yang lebih baik, Institut Penyelidikan Perhutanan telah juga memulakan penyelidikan ke atas rotan serta penggunaan kayu getah dan batang kelapa sawit.

Pembangunan sosial dan institusi

1 DPN mengakui kepentingan pembangunan sosial dan institusi dalam pembangunan sektor pertanian pada masa hadapan. Dengan demikian, tumpuan yang lebih telah diberikan kepada aspek-aspek pembangunan manusia dalam program-program pertanian. Program pengembangan dan kursus-kursus latihan telah ditujukan ke arah memupuk nilai-nilai berdikari, etika kerja yang baik dan nilai-nilai keusahawanan di kalangan petani dan nelayan serta kakitangan agensi-agensi pelaksana. Proses perubahan sikap ini akan memudahkan pemindahan teknologi dan pemikiran baru kepada petani dan nelayan sebagai usaha untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam pembangunan pertanian.

2 Kerajaan telah juga berusaha untuk memperkukuhkan institusi-institusi pembangunan luar bandar termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pertubuhan-pertubuhan peladang. Di peringkat kebangsaan, Persatuan Nelayan Kebangsaan telah ditubuhkan pada tahun 1985 untuk menyelaras kegiatan-kegiatan persatuan nelayan. Penubuhan Lembaga Koko Malaysia telah dicadangkan untuk mengawasi dan memandu kemajuan tanaman koko dan seterusnya mempastikan perkembangan industri koko yang lebih pesat dan teratur.

3 Memandangkan bertambah pentingnya penyelidikan bagi memajukan sumber-sumber perhutanan pada masa hadapan, Akta Lembaga Kemajuan dan Penyelidikan Perhutanan Malaysia telah diluluskan pada tahun 1985 untuk menubuh Lembaga Kemajuan dan Penyelidikan Perhutanan Malaysia. Berikutan daripada itu, Institut Penyelidikan Perhutanan yang dahulunya di bawah Jabatan Perhutanan telah diberi nama baru iaitu Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (IPPM) dan diberi taraf sebagai sebuah badan berkanun. Langkah ini bertujuan meningkatkan peranan penyelidikan dan pembangunan pengurusan dan kemajuan sumber-sumber perhutanan serta industri-industri berasaskan kayu pada masa hadapan. Penubuhan IPPM ini memberi peluang kepada mereka yang terlibat dengan industri kayu balak merangka program-program dan projek-projek penyelidikan melalui perwakilan mereka dalam Lembaga tersebut.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM