:: RANCANGAN MALAYSIA KE LIMA (RML) ::
BAB 03 : DASAR EKONOMI BARU: KEMAJUAN DAN PROSPEK

III : PENYUSUNAN SEMULA MASYARAKAT


1 Teras utama dalam usaha melaksanakan strategi dan program untuk menyusun semula masyarakat Malaysia di bawah DEB telah pun digariskan dalam RRJP. Tujuan penyusunan semula ialah untuk mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan di kalangan kumpulan-kumpulan ethnik utama dan antara kawasan bandar dan luar bandar; untuk menyusun semula corak gunatenaga di semua peringkat dan kategori; dan untuk menyusun semula corak pemilikan dan penguasaan dalam sektor syarikat. Matlamatnya ialah supaya menjelang tahun 1990 corak gunatenaga menggambarkan susunan penduduk mengikut ethnik di semua peringkat, dan rakyat Malaysia memiliki serta menguasai 70 peratus daripada jumlah modal saham, dengan sekurang-kurangnya 30 peratus dimiliki oleh Bumiputera, dan 30 peratus lagi oleh rakyat asing. DEB juga bertujuan mewujudkan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang berdaya maju melalui penyertaan mereka dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian moden.

2 Semenjak pelaksanaan DEB, kemajuan penting ke arah matlamat-matlamat penyusunan semula telah dicapai. Kajian semasa mengenai prestasi penyusunan semula masyarakat dalam tempoh 1981-85 menunjukkan bahawa secara amnya kemajuan telah terus dicapai walaupun pada kadar yang lebih perlahan daripada yang diperolehi dalam dekad pertama pelaksanaan DEB. Pada keseluruhannya, walaupun pencapaian Bumiputera tidak memenuhi matlamat DEB, asas untuk pertumbuhan seterusnya oleh masyarakat Bumiputera telah dapat disediakan. Kemajuan, 1981-85

3 Anggaran mengenai kemajuan dalam penyusunan semula masyarakat seperti terkandung dalam KSP telah disemak semula. Semakan ini mengambilkira kedudukan ekonomi-makro yang kemaskini, terutamanya mengenai pertumbuhan pelaburan dalam sektor syarikat dan perkembangan gunatenaga serta hasil daripada penyiasatan-penyiasatan yang berkenaan.

4 Kemajuan dalam aspek-aspek penyusunan semula masyarakat juga perlu dikemukakan dalam perspektif yang lebih luas oleh kerana cara yang diamalkan sekarang untuk mengemukakan kemajuan DEB memberi tumpuan yang berlebihan kepada aspek penyusunan semula hakmilik modal saham dan dengan itu tidak memberi gambaran yang tepat kepada rakyat Malaysia mengenai kemajuan yang telah dicapai dalam aspek-aspek penyusunan semula yang lain. Pertumbuhan ekonomi telah membuka peluang untuk semua rakyat Malaysia melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi, bukan sahaja menerusi sektor syarikat, iaitu syarikat-syarikat sendirian dan awam berhad, tetapi juga melalui sektor bukan syarikat dan perniagaan kecil.

Kemajuan, 1981-85

1 KETIDAKSEIMBANGAN PENDAPATAN Pendapatan yang tidak seimbang di kalangan kumpulan-kumpulan ethnik dan antara kawasan bandar dan luar bandar masih lagi luas dan terus mendapat perhatian utama. KSP telah memberikan secara kasar arah aliran dalam pertumbuhan pendapatan bagi Semenanjung Malaysia dan bagi kumpulan-kumpulan ethnik utama dalam dekad pertama DEB. Anggaran-anggaran terbaru mengenai pendapatan yang tidak seimbang adalah dibuat berasaskan kepada keputusan HIS 1984.

2 Semua kumpulan ethnik telah menikmati pendapatan yang meningkat dalam tempoh 1979-84, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3-4. Mengikut nilai sebenar, pendapatan purata isirumah Bumiputera telah meningkat sebanyak kira-kira 30 peratus dalam tempoh tersebut berbanding dengan 20 peratus bagi Cina dan sembilan peratus bagi India. Pendapatan yang tidak seimbang antara Bumiputera dan bukan Bumiputera telah bertambah baik sedikit. Pendapatan purata isirumah Bumiputera pada tahun 1979 merupakan 52 peratus daripada pendapatan purata isirumah Cina tetapi telah meningkat kepada 57 peratus pada tahun 1984. Pendapatan purata isirumah Bumiputera yang merupakan 65 peratus daripada pendapatan purata isirumah India pada tahun 1979 telah meningkat kepada 78 peratus pada tahun 1984. Perbezaan pendapatan kawasan bandar dan luar bandar telah meluas sedikit. Pendapatan purata luar bandar berbanding dengan pendapatan purata bandar telah berkurang daripada 56 peratus kepada 53 peratus dalam tempoh yang sama.

1 Dalam kumpulan-kumpulan pendapatan juga terdapat maklumat yang menunjukkan pendapatan yang tidak seimbang antara kumpulan ethnik. Dari segi bahagian pendapatan, kumpulan tertinggi 20 peratus daripada isirumah Bumiputera di bandar mempunyai pendapatan kira-kira $2,200 sebulan pada tahun 1979 berbanding dengan $2,710 bagi Cina dan $2,690 bagi India. Pada tahun 1984, pendapatan isirumah Bumiputera dianggarkan sebanyak $3,280 sebulan. Cina $4,440 dan India $3,560. Bagi kumpulan 40 peratus terendah, isirumah Bumiputera di bandar menerima kira-kira $250 sebulan pada tahun 1979 berbanding dengan $333 bagi Cina dan $296 bagi India. Pada tahun 1984, isirumah Bumiputera dianggarkan menerima sebanyak $438 sebulan berbanding dengan $587 bagi Cina dan $513 bagi India. Pada keseluruhannya, anggaran-anggaran menunjukkan bahawa ketidakseimbangan pendapatan di Semenanjung Malaysia masih lagi luas. Walau bagaimanapun, berdasarkan Angkali Giniz, nisbah ketidakseimbangan telah menurun daripada 0.513 kepada 0.480 dalam tempoh 1970-84 yang menunjukkan bahawa ketidaksamaan pendapatan pada keseluruhannya telah bertambah baik.

2 PENYUSUNAN SEMULA GUNATENAGA Pertumbuhan gunatenaga dalam sektor-sektor moden terus merupakan faktor penting dalam strategi menyusun semula corak gunatenaga di semua peringkat dan kategori untuk menggambarkan susunan ethnik dalam jumlah penduduk negara. Gunatenaga meliputi majikan, pekerja, pekerja sendiri dan pekerja keluarga yang tidak bergaji. Selaras dengan pertumbuhan ekonomi pada keseluruhannya sebanyak 5.8 peratus setahun dalam tempoh 1981-85, jumlah gunatenaga telah bertambah sebanyak 2.6 peratus setahun seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3-5 dan Jadual 3-6. Dalam tempoh RME, gunatenaga Bumiputera telah meningkat pada kadar 2.6 peratus setahun, manakala Cina dan India masing-masing pada kadar 2.5 peratus. Pada tahun 1985, pengangguran di kalangan Bumiputera didapati paling tinggi sekali, iaitu 8.7 peratus. Corak gunatenaga bagi setiap kumpulan ethnik pada keseluruhannya tidak menunjukkan perubahan yang begitu ketara dalam tempoh tersebut. Bahagian gunatenaga Bumiputera pada keseluruhannya ialah 56.7 peratus, Cina 33.4 peratus dan India 9.1 peratus.

Angkali Gini menunjukkan satu nisbah corak agihan pendapatan di kalangan isirumah. Angkali ini mempunyai nilai antara 0 hingga 1, iaitu 0 menunjukkan corak agihan yang sama rata manakala 1 adalah agihan yang paling tidak sama rata.

1 Sungguhpun bahagian gunatenaga Bumiputera dalam sektor pertanian kekal pada paras yang sama dalam tempoh 1981-85, penglibatan mereka dalam sektor tersebut telah berubah ke arah kegiatan-kegiatan yang lebih produktif. Sebahagian besar daripada gunatenaga Bumiputera dalam sektor ini adalah hasil daripada kegiatan-kegiatan rancangan pembangunan tanah baru dan pemulihan tanah yang dijalankan oleh FELDA, FELCRA, RISDA dan lembaga-lembaga kemajuan wilayah. Bumiputera juga telah mendapat faedah daripada kegiatan-kegiatan pertanian moden melalui program-program seperti IADP. Dalam sektor-sektor lain, terutamanya sektor perindustrian moden, corak gunatenaga Bumiputera juga telah bertambah baik.

2 Dari segi kategori pekerjaan, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3-6, bilangan Bumiputera dalam kumpulan ikhtisas dan teknik telah meningkat daripada kira-kira 155,000 orang pada tahun 1980 kepada 194,000 pada tahun 1985 tetapi jumlah ini mengandungi ramai jururawat dan guru. Data-data yang ada menunjukkan bahawa pada tahun 1985, terdapat kira-kira 111,300 orang guru dan jururawat Bumiputera berbanding dengan 61,300 orang bukan Bumiputera. Tanpa mengambilkira bilangan guru dan jururawat, bahagian gunatenaga Bumiputera dalam kategori ikhtisas dan teknik pada tahun 1985 ialah kira-kira 45 peratus manakala bukan Bumiputera ialah 55 peratus. Jika diambilkira pemegang-pemegang ijazah ikhtisas sahaja, bahagian Bumiputera dianggarkan sebanyak 32 peratus. Pembahagian gunatenaga mengikut kumpulan ethnik dalam kategori-kategori pekerjaan yang lain menunjukkan bahawa sungguhpun bahagian Bumiputera telah meningkat dalam tahun-tahun berkenaan, sebilangan besar daripada mereka adalah dalam kumpulan pekerjaan yang berpendapatan rendah.

3 Bahagian gunatenaga Bumiputera dalam kumpulan ikhtisas dan teknik yang berpendapatan tinggi masih lagi rendah dan tidak menggambarkan bahagian mereka dalam jumlah penduduk negara. Sebaliknya, bahagian Cina dan India melebihi bahagian penduduk mereka dalam beberapa pekerjaan yang berpendapatan tinggi. Jadual 3-7 menunjukkan maklumat terakhir yang ada mengenai lapan kumpulan ikhtisas terpilih yang berdaftar dengan badan-badan berkenaan. Sehingga tahun 1984, bahagian Bumiputera dalam kesemua lapan kumpulan tersebut ialah kira-kira 21 peratus berbanding dengan 62 peratus bagi Cina dan 15 peratus bagi India. Pada tahun 1980, bahagian masing-masing ialah kira-kira 15 peratus, 64 peratus dan 17 peratus. Bagi Bumiputera, walaupun bahagian mereka dalam jenis-jenis pekerjaan sebagai jurukur, doktor veterinar dan jurutera yang berdaftar adalah agak tinggi, bahagian tersebut sebenarnya masih lagi rendah jika dibandingkan dengan pencapaian kumpulan ethnik lain dalam jenis-jenis pekerjaan yang sama. Kumpulan ethnik Cina mempunyai bahagian yang besar dalam jenis pekerjaan arkitek, akauntan dan jurutera yang berdaftar manakala bahagian India dalam bidang-bidang pekerjaan ikhtisas undang-undang, perubatan dan veterinar pula melebihi bahagian mereka dalam penduduk.

4 Proses penyusunan semula gunatenaga memerlukan usaha-usaha yang lebih untuk mengeluarkan siswazah-siswazah yang berkelayakan serta tenaga kerja mahir yang mencukupi. Perkembangan pelajaran dan program-program latihan telah menyebabkan bilangan pelajar-pelajar dari semua kumpulan ethnik di peringkat pelajaran tinggi terus meningkat dalam tempoh 1981-85. Pada tahun 1980, di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negeri, terdapat kira-kira 76,600 pelajar yang berdaftar dalam berbagai bidang kursus di peringkat sijil, diploma dan ijazah. Daripada jumlah ini, bahagian pelajar Bumiputera ialah kira-kira 45 peratus, Cina 45 peratus, India 9 peratus dan kumpulan-kumpulan ethnik yang lain 1 peratus. Di peringkat ijazah, pelajar Bumiputera merupakan kira-kira 45 peratus manakala di peringkat diploma, bahagian mereka ialah 59 peratus. Pada tahun 1985, jumlah pendaftaran di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negeri ini telah dianggarkan meningkat kepada kira-kira 136,300 orang dengan bahagian pelajar Bumiputera sebanyak kira-kira 52 peratus, Cina 39 peratus dan India 9 peratus. Di peringkat ijazah, bahagian Bumiputera ialah kira-kira 49 peratus manakala di peringkat diploma, bahagian mereka ialah 66 peratus. Di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan, pengeluaran graduan Bumiputera di peringkat diploma dan ijazah dalam lapan kursus ikhtisas yang terpilih, seperti kejuruteraan, arkitek dan perakaunan, telah meningkat daripada kira-kira 1,200 orang atau 64 peratus daripada jumlah graduan dalam kursus-kursus tersebut pada tahun 1980 kepada 2,400 atau 77 peratus pada tahun 1984. Walau bagaimanapun, di peringkat ijazah sahaja, bahagian Bumiputera ialah kira-kira 47 peratus pada tahun 1980 dan 68 peratus pada tahun 1984 berbanding dengan sebanyak 53 peratus pada tahun 1980 dan 32 peratus pada tahun 1984 bagi bukan Bumiputera. Di peringkat diploma, Bumiputera merupakan kira-kira 73 peratus pada tahun 1980 dan 81 peratus pada tahun 1984. Penyusunan semula hakmilik syarikat-syarikat berhad

269. Kedudukan hakmilik modal saham dalam syarikat-syarikat berhad dan anggaran mengenai hakmilik modal saham telah diperolehi daripada beberapa sumber. Sumber-sumber perangkaan yang utama ialah daripada Penyiasatan Hakmilik Syarikat-syarikat Berhad yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan, Pendaftar Syarikat dan maklumat berkaitan daripada berbagai agensi amanah. Untuk mendapatkan anggaran bagi tahun 1985 dan 1990, misalnya, satu penilaian yang teliti telah dibuat mengenai arah aliran pertumbuhan hakmilik modal saham pada masa lalu mengikut kumpulan-kumpulan hakmilik yang utama berasaskan sumber-sumber perangkaan tersebut. Berbagai faktor seperti pertumbuhan ekonomi keseluruhannya dan mengikut sektor, pertumbuhan pelaburan swasta, aliran masuk modal asing ke dalam ekonomi, program penyusunan semula syarikat-syarikat berhad, dan kemungkinan kesan dasar-dasar Kerajaan terhadap pelaburan swasta telah diambilkira dalam membuat anggaran mengenai hakmilik modal saham bagi setiap kumpulan hakmilik yang utama. Analisa perangkaan mengenai hubungan antara pertumbuhan KDNK dan modal saham syarikat-syarikat berhad dalam negara telah juga dibuat sebagai tambahan kepada analisa mengenai hakmilik modal saham.

Penyusunan Semula Hakmilik Syarikat-Syarikat Berhad

1 Sungguhpun angka-angka mengenai hakmilik modal saham mengikut setiap kumpulan bagi tahun 1985 dan 1990 adalah merupakan anggaran, ianya adalah berasaskan kepada penelitian terhadap sumber-sumber kemaskini yang ada. Kajian semula mengenai kedudukan hakmilik modal saham syarikat-syarikat berhad mengikut setiap kumpulan telah dan akan terus dijalankan secara berterusan. Data-data yang lebih kemaskini akan digunakan apabila diperolehi untuk meneliti semula dan, jika perlu, menyemak semula anggaran yang telah dibuat dalam RML. Semakan semula anggaran mengenai hakmilik modal saham telah dibuat dalam rancangan-rancangan pembangunan yang lalu dan dalam kajian-kajian separuh penggal rancangan tersebut.

2 Walaupun pertumbuhan ekonomi adalah perlahan, sektor syarikat terus menunjukkan perkembangan yang memuaskan ke arah menyusun semula hakmilik modal saham. Bagi tujuan menyusun semula hakmilik modal saham, sektor syarikat meliputi syarikat-syarikat awam dan sendirian berhad yang berdaftar di bawah Akta Syarikat, 1965 dan cawangan di Malaysia bagi syarikat-syarikat yang didaftarkan di luar negeri. Sebagaimana yang ditunjukkan dalam Jadual 3-8 dan Carta 3-2, anggaran mengenai hakmilik modal saham pada nilai par menunjukkan bahawa stok modal saham syarikat-syarikat berhad telah meningkat lebih sekali ganda daripada kira-kira $32,000 juta pada tahun 1980 kepada $76,000 juta pada tahun 1985. Hakmilik modal saham rakyat Malaysia dianggarkan telah meningkat kepada kira-kira 74 peratus daripada jumlah modal berbayar pada tahun 1985 berbanding dengan 57 peratus pada tahun 1980. Hakmilik Bumiputera pada tahun 1985 dianggarkan kira-kira 18 peratus. Hakmilik Bumiputera perseorangan telah meningkat pada kadar yang tinggi sebanyak 32 peratus setahun dan adalah dianggarkan bahawa menjelang pertengahan tahun-tahun lapan puluhan, bahagian hakmilik mereka melebihi hakmilik yang dipegang oleh agensi-agensi amanah dalam jumlah modal saham Bumiputera keseluruhannya. Perkembangan ini sebahgian besarnya adalah berpunca dari sumbangan syarikat-syarikat Bumiputera swasta di samping Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

1 Bahagian hakmilik Rakyat Malaysia yang lain telah meningkat lagi daripada kira-kira 45 peratus daripada jumlah modal saham pada tahun 1980 kepada 57 peratus pada tahun 1985. Dalam tempoh tersebut, dari segi jumlahnya, hakmilik mereka telah meningkat daripada kira-kira $14,400 juta kepada $43,000 juta. Bahagian hakmilik kepentingan asing telah berkurang daripada kira-kira 43 peratus pada tahun 1980 kepada 26 peratus pada tahun 1985 tetapi jumlah pemilikan mereka telah meningkat sebanyak kira-kira 40 peratus. Penyusunan semula syarikat-syarikat milik asing serta pertumbuhan syarikat-syarikat milik Rakyat Malaysia, terutamanya Rakyat Malaysia yang lain, telah menyebabkan bahagian kepentingan asing dalam syarikat-syarikat berhad berkurang secara berterusan.

2 Anggaran bagi tahun 1985 telah dibuat berasaskan kepada maklumat yang ada dan pendekatan yang disebutkan dalam perenggan terdahulu kerana hasil keputusan Penyiasatan Hakmilik Syarikat-syarikat Berhad bagi tempoh 1983-85 masih belum diperolehi. Keputusan Penyiasatan Hakmilik Syarikat-syarikat Berhad bagi tahun 1980 dan 1982 menunjukkan bahawa kira-kira $16,500 juta modal saham telah dihasilkan antara tahun 1980-82. Pertumbuhan modal saham tahunan bagi kepentingan Bumiputera, Rakyat Malaysia yang lain dan Rakyat asing masing-masing berjumlah kira-kira $1,800 juta, $4,950 juta dan $1,500 juta dalam tempoh dua tahun tersebut. Dalam tempoh tiga tahun 1983-85, adalah dianggarkan bahawa pertambahan modal saham berjumlah kira-kira $27,270 juta. Pertumbuhan bersih tahunan bagi kepentingan Bumiputera, Rakyat Malaysia yang lain dan kepentingan asing masing-masing berjumlah kira-kira $2,000 juta, $6,280 juta dan $810 juta. Oleh yang demikian, berasaskan keputusan sebenar Penyiasatan tersebut, anggaran modal saham bagi tahun 1985, terutamanya bagi Rakyat Malaysia yang lain, tidak begitu tinggi. Antara tahun 1980-82, bahagian Rakyat Malaysia yang lain sebenarnya merupakan kira-kira 60 peratus daripada pertambahan bersih dalam modal saham manakala dalam tempoh 1983-85 bahagian mereka dianggarkan sebanyak 69 peratus daripada jumlah pertambahan dalam modal saham.

3 Pecahan hakmilik modal saham mengikut kumpulan-kumpulan ethnik utama bagi tahun 1982 adalah ditunjukkan dalam Jadual 3-9. Perangkaan yang berkenaan diperolehi daripada Penyiasatan Hakmilik Syarikat-syarikat Berhad, 1982, iaitu yang terakhir dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan. Kepentingan Bumiputera merupakan 15.5 peratus daripada jumlah modal saham. Di kalangan kumpulan Rakyat Malaysia yang lain, kumpulan ethnik Cina mempunyai hakmilik yang terbesar, iaitu kira-kira satu pertiga daripada jumlah modal saham syarikat-syarikat berhad. Kumpulan ethnik India memiliki kira-kira 1 peratus dan kumpulan ethnik lain 1.6 peratus. Pecahan syarikat-syarikat calun dan syarikat-syarikat kawalan tempatan mengikut kumpulan ethnik utama tidak mungkin dapat dibuat. Kedua-dua kumpulan ini memiliki 13.8 peratus daripada jumlah modal saham syarikat-syarikat berhad.

4 Tingkat hakmilik modal saham dalam syarikat-syarikat berhad secara keseluruhannya, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3-9, tidak menggambarkan sepenuhnya kedudukan sebenar penyertaan dan penguasaan kumpulan ethnik utama dalam syarikat-syarikat berhad. Perangkaan mengenai hakmilik modal saham syarikat-syarikat berhad oleh Bumiputera perlu disokong oleh maklumat-maklumat mengenai hakmilik beberapa buah syarikat besar dalam sektor-sektor utama yang telah dikenalpasti dan oleh maklumat mengenai kepentingan hakmilik agensi-agensi amanah yang tertentu. Pembelian saham beberapa buah bank,syarikat perladangan dan syarikat perlombongan, misalnya, telah memberi sumbangan ke arah peningkatan hakmilik modal saham Bumiputera dalam syarikat-syarikat berhad. Dalam sektor bank tempatan, kepentingan Bumiputera, termasuk agensi-agensi amanah, memiliki dan menguasai lebih daripada 50 peratus modal saham dalam sembilan buah bank dan antara 30 hingga 50 peratus dalam enam buah bank. Dalam syarikat-syarikat kewangan dan bank-bank saudagar, kepentingan Bumiputera telah memiliki lebih 50 peratus modal saham dalam 19 buah syarikat kewangan dan 10 buah bank saudagar. Dari segi pemilikan modal saham dalam bank-bank tempatan dan syarikat-syarikat kewangan keseluruhannya, bahagian hakmilik kepentingan Bumiputera, termasuk agensi-agensi amanah, telah meningkat daripada 60 peratus pada tahun 1980 kepada 69
peratus pada bulan Jun, 1985.

1 Dalam sektor perladangan, Bumiputera telah memiliki dan menguasai beberapa buah syarikat besar seperti Harrisons Malaysian Plantations Berhad, Kumpulan Guthrie Sendirian Berhad dan United Plantation Berhad. Keluasan ladang yang dimiliki oleh syarikat-syarikat ini bersama dengan keluasan yang dimiliki oleh beberapa agensi lain, seperti perbadanan-perbadanan kemajuan ekonomi negeri (PKEN-PKEN) dan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH), merupakan kira-kira 32 peratus daripada jumlah keluasan dalam sektor syarikat pada tahun 1984. Di sektor perlombongan, menjelang tahun 1981, kepentingan Bumiputera melalui PNB telah menguasai sebahagian besar Malaysia Mining Corporation (MMC). MMC telah juga menguasai dan memiliki kepentingan dalam 11 buah syarikat perlombongan timah lain yang disenaraikan di Pasaran Saham Kuala Lumpur.

2 Di samping pemilikan, Bumiputera juga melibatkan diri dalam pengurusan syarikat-syarikat yang dikuasai. Bagi syarikat-syarikat dan kepentingan yang dimiliki oleh PNB, penyertaan dari segi pengurusan bukan hanya dilaksanakan di peringkat eksekutif tetapi juga di peringkat membuat dasar. Dalam hal ini, PNB juga telah melantik pengarah-pengarah penama, terutamanya daripada sektor swasta, untuk mewakili kepentingannya dalam berbagai lembaga pengarah syarikat yang ia memiliki kepentingan. Bagi agensi-agensi amanah dan syarikat-syarikat lain yang mempunyai kepentingan Kerajaan, seperti Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Kompleks Kewangan Malaysia Berhad (KKMB), penyertaan Bumiputera dari segi pengurusan telah dilaksanakan, terutamanya menerusi kemajuan kerjaya secara berterusan di kalangan kakitangan di samping peluang-peluang latihan.

3 Sebagai sebuah agensi amanah utama, PNB telah memberi sumbangan yang besar ke arah meningkatkan penyertaan ekuiti dan penglibatan pengurusan Bumiputera dalam sektor syarikat. Fungsi utamanya ialah untuk menilai, memilih dan membeli saham-saham yang kukuh dalam syarikat-syarikat yang dijangka mempunyai pertumbuhan yang cerah masa hadapan. Saham-saham tersebut adalah dipegang secara amanah untuk dipindahkan kemudiannya kepada Bumiputera perseorangan menerusi Skim ASN. Perolehan saham-saham telah dibuat menerusi pembelian di pasaran saham dan institusi-institusi, peruntukan saham-saham melalui penyusunan semula syarikat daripada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian serta Skim Pemindahan Ekuiti Kerajaan kepada Bumiputera. Sehingga bulan Disember, 1985, Kumpulan PNB mempunyai kepentingan sebanyak $6,163 juta pada nilai kos dalam 159 buah syarikat dan daripadanya 103 merupakan syarikat-syarikat tercatit. Pembahagian pelaburan PNB mengikut sektor adalah ditunjukkan dalam Jadual 3-10.

1 Skim ASN telah berjaya memindahkan potensi kekayaan Bumiputera yang disimpan secara amanah oleh Kerajaan menerusi agensi-agensi amanah kepada segolongan besar masyarakat Bumiputera. Sehingga akhir bulan Disember 1985, Skim tersebut telah berjaya menarik seramai dua juta pelabur Bumiputera atau kira-kira 43 peratus daripada jumlah yang layak melabur, dengan jumlah pelaburan bersih sebanyak kira-kira $1,900 juta. Daripada jumlah pelabur tersebut, seramai 1.7 juta orang atau 85 peratus melabur sebanyak 500 unit atau kurang dan kebanyakan daripada mereka terdiri daripada petani-petani, kumpulan bergaji rendah, buruh-buruh dan surirumah-surirumah. Bayaran bonus dan dividen sejumlah $935.5 juta telah dikeluarkan kepada ahli-ahli Skim sehingga Disember, 1985.

2 Usaha-usaha Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) mengatur perolehan, penyatuan dan pengambilalihan syarikat-syarikat selaras dengan matlamat DEB juga telah memberi sumbangan dalam meningkatkan lagi hakmilik Bumiputera. Antara tahun 1981 dan 1985, FIC telah meluluskan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh 1,721 buah syarikat. Kelulusan yang telah diberi kepada cadangan tersebut, berserta dengan syarat-syarat yang dikenakan mengenai penyertaan modal saham Bumiputera, telah meningkatkan lagi hakmilik syarikat-syarikat dan institusi-institusi Bumiputera.

3 PEMBENTUKAN SEBUAH MASYARAKAT PERDAGANGAN DAN PERINDUSTRIAN BUMIPUTERA Dalam tempoh 1981-85, pelaksanaan usaha-usaha bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian serta sektor bukan syarikat adalah agak perlahan. Perusahaan-perusahaan Kerajaan telah mengalami pengurangan peruntukan kewangan bagi melaksanakan berbagai program yang bertujuan membantu usahawan-usahawan Bumiputera. Peluang-peluang yang terhad untuk mendapatkan bantuan dan peluang perniagaan daripada Kerajaan menyebabkan syarikat-syarikat dan usahawan-usahawan Bumiputera terpaksa mencari dan bersaing bagi mendapatkan peluang-peluang di sektor swasta.

4 Hakmilik dan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan-kegiatan sektor bukan syarikat, terutamanya dalam sektor perniagaan dan perkhidmatan kecil, telah mencapai kemajuan menerusi perniagaan perseorangan dan perkongsian. Pemilikan dan penyertaan Bumiputera dalam sektor-sektor ini menyediakan asas yang penting untuk menggalak dan melengkapkan usahawan-usahawan Bumiputera dalam kegiatan-kegiatan perdagangan. Data-data yang terdapat dalam Jadual 3-11, menunjukkan bahawa perniagaan Bumiputera telah mencapai kemajuan penting dalam meningkatkan hakmilik dan penyertaan mereka dalam bidang perdagangan dan perkhidmatan kecil dalam sektor bukan syarikat dalam tempoh 1971-81. Sebagai contoh, dalam sektor perdagangan borong dan runcit, bilangan pertubuhan yang dimiliki oleh Bumiputera telah meningkat kira-kira 10 kali ganda dalam tempoh tersebut sementara jumlah perolehan mereka pula telah bertambah sebanyak 40 kali ganda. Dalam sektor-sektor perkhidmatan seperti pengangkutan, pelancungan dan pengembaraan serta perkhidmatan ikhtisas, Bumiputera juga mencapai kemajuan yang memuaskan. Dalam sektor pengangkutan khususnya, pemilikan dan penyertaan mereka telah meningkat dengan lebih cepat lagi dan dalam beberapa perkhidmatan, telah melebihi pemilikan dan penyertaan bukan Bumiputera.

5 Hakmilik dan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan-perniagaan kecil masih lagi rendah berbanding dengan bukan Bumiputera. Oleh yang demikian, mereka mempunyai peluang yang besar untuk meningkatkan lagi hakmilik dan penyertaan mereka dalam perniagaan-perniagaan kecil. mereka menghadapi masalah-masalah bukan sahaja dari segi stok hakmilik, sumber-sumber pengurusan dan perniagaan yang terhad ketika memulakan perniagaan, tetapi juga dari segi proses pembelajaran yang perlu mereka lalui dalam usaha mencapai matlamat penyusunan semula.

1 Walaupun mempunyai sumber-sumber kewangan yang kurang, agensi-agensi Kerajaan, terutamanya agensi-agensi amanah, terus membantu syarikat-syarikat dan usahawan-usahawan Bumiputera dalam berbagai bidang. Beberapa langkah pentadbiran telah juga dilaksanakan untuk terus membantu perniagaan-perniagaan Bumiputera. Jadual 3-12 menunjukkan beberapa petunjuk utama terpilih mengenai prestasi syarikat-syarikat dan usahawan-usahawan Bumiputera berhubung dengan program dan jenis bantuan Kerajaan yang khusus. Petunjuk-petunjuk tersebut menunjukkan bahawa usahawan-usahawan Bumiputera telah mencapai kemajuan penting dalam tahun-tahun kebelakangan ini meskipun menghadapi suasana perniagaan dan perdagangan yang lebih sukar. Di bawah program bantuan kredit, sehingga hujung tahun 1985, sejumlah kira-kira $17,000 juta atau 28 peratus daripada semua pinjaman yang belum dijelaskan di bank-bank perdagangan dan syarikat-syarikat kewangan telah diberi kepada Bumiputera. Kemudahan ini telah dapat dilaksanakan, terutamanya dengan adanya garis panduan mengenai pinjaman kepada sektor-sektor yang diberi keutamaan.

2 Walaupun Bumiputera telah mencapai kejayaan dalam beberapa bidang perdagangan dan perindustrian, mereka lebih tertumpu dalam sebilangan kecil bidang-bidang tertentu seperti penyediaan perkhidmatan keselamatan, restoran, pembinaan dan pengedaran kenderaan bermotor. Bidang-bidang ini pada umumnya sudahpun diceburi sepenuhnya oleh Bumiputera. Oleh yang demikian, pelaburan dan penyertaan Bumiputera dalam sektor perindustrian dan perdagangan masih belum memadai dan meluas.

3 Berhubung dengan program-program latihan pengurusan dan perniagaan, Kerajaan telah memperkenalkan dua skim latihan pada tahun 1983. Skim Latihan Khas Seberang Laut untuk Bumiputera telah memberi faedah kepada seramai 800 peserta. Skim ini bertujuan mendedahkan usahawan-usahawan Bumiputera kepada kemahiran pengurusan di peringkat antarabangsa. Satu lagi skim latihan yang menyediakan kemahiran perniagaan kepada kakitangan-kakitangan Kerajaan dalam kumpulan-kumpulan C dan D adalah bertujuan menggalakkan kakitangan Kerajaan menceburkan diri dalam perniagaan kecil. Seramai 323 orang kakitangan Kerajaan dalam kumpulan-kumpulan tersebut telah menyertai program latihan ini . Daripada jumlah tersebut, seramai 108 orang telah meletakkan jawatan untuk memulakan perniagaan mereka sendiri.

Prospek, 1986-90

1 Mengikut jangkaan semasa bagi tempoh RML, ekonomi negara akan melalui satu tempoh yang sukar. Matlamat pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus setahun memerlukan keupayaan yang lebih tinggi di kedua-dua sektor awam dan swasta untuk mempercepatkan kegiatan-kegiatan ekonomi. Walaupun Kerajaan akan terus berusaha merancang dan melaksanakan berbagai strategi dan program untuk mempercepatkan lagi proses penyusunan semula masyarakat, adalah jelas bahawa usaha-usaha dan sumbangan yang lebih besar diperlukan dari sektor swasta.

2 KETIDAKSEIMBANGAN PENDAPATAN. Berasaskan arah aliran di akhir-akhir ini, terdapat kemungkinan bahawa dalam tempoh 1986-90 jurang perbezaan pendapatan antara kumpulan-kumpulan ethnik utama dan antara kawasan bandar dan luar bandar akan terus berkurang. Kerajaan akan terus mengekalkan suasana yang akan menggalakkan pertumbuhan yang maksimum tercapai dalam seluruh sektor dan kegiatan. Hanya melalui pertumbuhan yang mencukupi sahaja peluang-peluang dapat diwujudkan untuk memberi faedah kepada semua peringkat masyarakat, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah. Peluang-peluang baru untuk memperolehi pendapatan perlu diterokai dan diberi tumpuan pada tahun-tahun akan datang. Rakyat Malaysia hendaklah mengelakkan daripada memberi tumpuan yang berlebihan dalam bidang-bidang yang sama. Pelaburan yang berlebihan dalam bidang-bidang tersebut tidak akan menghasilkan pulangan yang tinggi. Peluang-peluang pekerjaan yang bertambah akan terus menjadi punca utama dalam usaha mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan oleh kerana upah dan gaji merupakan sebahagian besar daripada jumlah pendapatan.

289. PENYUSUNAN SEMULA GUNATENAGA Anggaran bagi corak gunatenaga mengikut kumpulan ethnik menjelang tahun 1990 adalah ditunjukkan dalam Jadual 3-13 dan Jadual 3-14. Dari segi pecahan sektor keseluruhannya, bahagian gunatenaga Bumiputera dalam jumlah gunatenaga dianggarkan 56.4 peratus menjelang tahun 1990, manakala bahagian gunatenaga Cina adalah 33.8 peratus dan India 9 peratus. Menjelang tahun 1990, gunatenaga Bumiputera secara purata dijangka merupakan kira-kira 57 peratus daripada jumlah pekerja-pekerja dalam kumpulan ikhtisas dan teknik, perkeranian, dan perkhidmatan.

1 Bahagian gunatenaga Bumiputera dalam kumpulan pentadbiran dan pengurusan dianggarkan mencapai kira-kira 28 peratus dan ini adalah merupakan peratusan yang terendah sekali berbanding dengan bahagian mereka dalam kategori pekerjaan yang lain. Bahagian gunatenaga Cina dalam kumpulan yang sama dianggarkan yang tertinggi manakala India pula yang terendah. Keadaan yang tidak seimbang mengikut kumpulan ethnik dalam kumpulan jawatan-jawatan ikhtisas yang bergaji tinggi dijangka akan terus wujud.

2 Berasaskan kepada kadar pendaftaran semasa bagi golongan ikhtisas dalam lapan kumpulan ikhtisas yang terpilih yang berpendapatan tinggi, bahagian Bumiputera dianggarkan mencapaisatu perempat daripada jumlah gunatenaga ikhtisas yang yang berdaftar menjelang tahun 1990. Usaha untuk terus memperbaiki keadaan ketidakseimbangan ini adalah penting dan memerlukan bukan sahaja usaha-usaha yang lebih dari pihak Kerajaan tetapi lebih penting lagi usaha-usaha sektor swasta dalam merangka program-program khusus untuk melatih dan mengambil kakitangan ikhtisas. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan memperbaiki lagi jentera pengawasan bagi penyusunan semula corak gunatenaga di samping mengadakan siri-siri perundingan yang lebih kerap dengan wakil-wakil sektor swasta. Di samping itu, Kerajaan akan mempertimbangkan untuk menjalankan satu penyiasatan khas di kalangan syarikat-syarikat besar dalam berbagai sektor sebagai satu langkah untuk menilai kedudukan yang kemaskini dalam usaha mencapai matlamat penyusunan semula
gunatenaga di bawah DEB.

Penyusunan Semula Hakmilik Syarikat Berhad

1 PENYUSUNAN SEMULA HAKMILIK SYARIKAT BERHAD Memandangkan pertumbuhan ekonomi 5.0 peratus setahun dalam tempuh RML, sektor syarikat dijangka berkembang pada kadar yang perlahan berbanding dengan pencapaiannya dalam tempoh RME. Jumlah modal saham syarikat-syarikat berhad pada keseluruhannya dijangka berkembang kira-kira 9 peratus setahun. Berdasarkan keupayaan yang dijangka terdapat di kalangan pelabur-pelabur swasta dalam negeri, ramalan pada masa kini menunjukkan bahawa sejumlah besar pembiayaan modal saham akan disediakan oleh sektor asing. Memandangkan bahagian kepentingan asing telah berkurang di bawah paras 30 peratus daripada jumlah modal saham sebelum tahun 1990, Kerajaan akan menggalakkan lebih banyak aliran masuk pelaburan asing ke negara ini. Berhubung dengan ini, Kerajaan telah mengambil langkah-langkah positif dengan tujuan membolehkan syarikat-syarikat asing yang melabur dalam sektor perkilangan mempunyai hakmilik dan penguasaan yang lebih besar. Garis panduan baru mengenai hakmilik pelaburan asing akan menyediakan lebih banyak peluang bagi membolehkan kepentingan asing memiliki modal saham terbesar, bergantung, antara lainnya, kepada kandungan ekspot bagi keluaran perkilangan syarikat-syarikat yang berkenaan.

2 Pelabur-pelabur Bumiputera swasta dijangka akan mengambil bahagian yang lebih besar dalam penyusunan semula hakmilik oleh kerana Kerajaan akan terus menghadapi sumber-sumber kewangan yang terhad. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan terus memberi sokongan yang diperlukan, terutamanya menerusi berbagai langkah pentadbiran, bagi menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat Bumiputera dengan lebih giat dari segi hakmilik dan pengurusan dalam syarikat-syarikat berhad. Usaha-usaha akan juga diteruskan untuk mengawasi kemajuan dalam membahagikan keuntungan pelaburan PNB kepada segolongan besar masyarakat Bumiputera menerusi Skim ASN. Strategi-strategi baru untuk menarik pelabur-pelabur baru Bumiputera supaya menyertai Skim tersebut akan juga dilaksanakan oleh PNB.

294. Berasaskan kepada prospek pertumbuhan ekonomi lima tahun akan datang, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3-15, anggaran-anggaran pada masa ini menunjukkan bahawa Rakyat Malaysia akan memiliki 75 peratus daripada jumlah modal saham sebanyak kira-kira $118,000 juta pada tahun 1990. Berasaskan arah aliran pertumbuhan dalam tempoh 1981-85, bahagian hakmilik Bumiputera dijangka mencapai kira-kira 22 peratus atau $26,000 juta manakala Rakyat Malaysia yang lain akan memiliki 53 peratus. Walau bagaimanapun, jumlah hakmilik Rakyat Malaysia yang lain akan meningkat kepada $63,000 juta pada tahun 1990. Bahagian hakmilik kepentingan asing dijangka berkurang kepada kira-kira 25 peratus tetapi dari segi jumlah, modal saham mereka akan meningkat menjadi kira-kira $29,000 juta pada tahun 1990. Pertambahan ini telah mengambilkira potensi aliran masuk pelaburan asing ke negara ini. Oleh yang demikian, modal saham asing dalam syarikat-syarikat Malaysia adalah dianggarkan meningkat kepada kira-kira 16 peratus daripada modal saham atau sebanyak $1,600 juta setahun. Berbagai langkah yang telah diperkenalkan baru-baru ini untuk menggalakkan aliran masuk pelaburan asing dijangka menambahkan lagi peluang bagi pelaburan asing dalam ekonomi negara. Adalah dijangka bahawa tanpa langkah-langkah tersebut, bahagian hakmilik asing akan terus berkurang di bawah paras 25 peratus yang dianggarkan menjelang tahun 1990.

Pembentukan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera

2 Walaupun tahap pelaksanaan program-program dan bantuan Kerajaan dalam tahun-tahun kebelakangan ini telah mempengaruhi kemajuan ke arah mencapai matlamat ini, syarikat-syarikat dan usahawan-usahawan Bumiputera pada umumnya telah memperolehi satu asas bagi mengambil daya usaha sendiri dan lebih bersedia untuk bersaing. Dalam tempoh RML, Kerajaan akan mengkaji semula kekesanan berbagai program dan bantuan sektor awam dengan tujuan memberi keutamaan yang lebih kepada bidang-bidang yang amat penting terhadap pencapaian keseluruhan usahawan-usahawan Bumiputera, seperti bidang latihan pengurusan dan bidang khidmat nasihat. Di samping itu, agensi-agensi yang berkaitan akan juga mengkaji semula kemungkinan menambah dan memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat Bumiputera, terutamanya dalam penawaran kontrek kerja dan bekalan serta dalam pengedaran dan pemasaran barang-barang dan perkhidmatan.

1 Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pentingnya dayausaha perseorangan dan tidak kepada sikap yang terlalu berharap kepada bantuan Kerajaan sebagai satu syarat untuk mencapai kejayaan dalam jangka panjang. Walau bagaimanapun, bantuan akan disediakan secara terpilih manakala suatu cara yang lebih berkesan bagi mengawasi penggunaan berbagai jenis bantuan akan juga dilaksanakan. Untuk mencapai tujuan ini, peranan agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam yang lain akan dikaji semula bagi membolehkan usahawan-usahawan swasta sendiri mengambil lebih banyak daya usaha. Selanjutnya, selaras dengan keutamaan yang ditetapkan dalam dasar penswastaan, perusahaan-perusahaan Bumiputera swasta yang mempunyai keupayaan dan kepakaran yang setaraf dengan perusahaan-perusahaan yang lain akan digalakkan untuk mengambilalih atau membeli perusahaan-perusahaan atau perkhidmatan-perkhidmatan tertentu yang dahulunya di bawah penguasaan dan pengurusan Kerajaan.

2 Bumiputera juga perlu mengambil peluang-peluang yang semakin bertambah yang akan terus dihasilkan dalam perusahaan-perusahaan kecil dan kegiatan-kegiatan bukan syarikat yang lain. Dalam tempoh RML, masih banyak lagi bidang yang boleh disertai oleh Bumiputera dalam perniagaan, termasuk perusahaan-perusahaan perkhidmatan yang kecil. Kerajaan akan terus menyediakan sokongan yang perlu, terutamanya dari segi kemudahan khidmat nasihat, latihan dan kredit, bagi mencapai matlamat penyusunan semula DEB.

3 Usahawan-usahawan Bumiputera mesti memberi perhatian yang lebih kepada faktor yang mempengaruhi mutu pelaburan di samping pentingnya tempat perniagaan serta daya pemasaran barang-barang dan perkhidmatan. Peluang-peluang pelaburan yang baru mesti diterokai dan mereka mesti sanggup menghadapi risiko-risiko yang biasa terdapat apabila memulakan bidang-bidang perniagaan yang baru. Walaupun modal yang mencukupi dan pengetahuan teknikal merupakan keperluan utama bagi kejayaan sesebuah perniagaan, pengurusan yang baik adalah sama pentingnya. Pengurusan yang tidak cekap telah menyebabkan kegagalan banyak perusahaan Bumiputera dan mengakibatkan pembaziran sumber-sumber yang terhad. Perusahaan-perusahaan Bumiputera mesti melabur bagi meningkatkan tahap kemahiran pengurusan mereka jika mereka ingin berjaya dalam dunia perniagaan yang penuh dengan persaingan dan yang semakin bertambah rumit dan dinamik. Mereka tidak akan maju jika mereka gagal berbuat demikian. Penyusunan semula masyarakat bagi tahun-tahun akan datang perlu juga menumpukan kepada bidang-bidang pertumbuhan yang baru dan bukan penumpuan yang berlebihan kepada bidang-bidang kegiatan ekonomi yang sedia ada. Usaha-usaha untuk mengurangkan seterusnya ketidakseimbangan ekonomi bergantung kepada kejayaan Bumiputera dalam memasuki bidang-bidang perdagangan dan perindustrian yang baru.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM