:: RANCANGAN MALAYSIA KE LIMA (RML) ::
BAB 04 :

III : TENAGA BURUH DAN GUNATENAGA


Kemajuan, 1981-85

1 TENAGA BURUH. Tenaga buruh bertambah pada kadar purata 3.0 peratus setahun daripada 5.1 juta pada tahun 1980 kepada kira-kira 5.9 juta pada tahun 1985. Tenaga buruh bertambah lebih cepat daripada bilangan penduduk disebabkan oleh pertambahan penduduk dalam kumpulan umur bekerja serta meningkatnya keseluruhan kadar penyertaan tenaga buruh bagi kaum perempuan. Penduduk dalam kumpulan umur bekerja ditakrifkan sebagai mereka yang berumur di antara 15 hingga 64 tahun. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 4-5, pertumbuhan tenaga buruh adalah paling tinggi di Sabah iaitu 3.7 peratus berbanding dengan 2.9 peratus di Semenanjung Malaysia dan 3.4 peratus di Sarawak. Pertumbuhan yang tinggi di Sabah antara lain disebabkan oleh kemasukan pekerja-pekerja dari luar.

2 Dalam tempoh 1981-85, tenaga buruh muda yang terdiri daripada kumpulan umur antara 15 hingga 34 tahun merupakan kira-kira 61 peratus daripada jumlah tenaga buruh. Walau bagaimanapun, bilangan kemasukan buruh-buruh baru yang berumur di antara 15 hingga 19 tahun ke dalam pasaran buruh berkurang pada kadar 0.3 peratus setahun disebabkan terutamanya oleh pertambahan bilangan belia-belia yang masih bersekolah hingga ke peringkat menengah atas. Bahagian mereka yang berumur di antara 15 hingga 19 tahun dalam tenaga buruh telah berkurang daripada 13.1 peratus pada tahun 1980 kepada 11.1 peratus pada tahun 1985.

3 PERTUMBUHAN GUNATENAGA. Jumlah gunatenaga bertambah pada kadar 2.6 peratus setahun dalam tempoh 1981-85, berbanding dengan 3.6 peratus dalam tempoh 1976-80, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 4-6. Pertumbuhan keluaran yang perlahan dalam tempoh RME terutamanya dalam sektor pembuatan, perlombongan dan pertanian telah menjejaskan perwujudan pekerjaan. Ekonomi negara hanya mampu menyediakan kira-kira 651,600 pekerjaan baru berbanding dengan 808,200 orang yang memasuki tenaga buruh dalam tempoh ini. Oleh yang demikian, kadar pengangguran meningkat daripada 5.7 peratus pada tahun 1980 kepada 7.6 peratus pada tahun 1985, seperti yang ditunjukkan dalam Carta 4-2.

1 Satu perempat daripada jumlah bilangan pekerjaan yang diwujudkan dalam tempoh 1981-85 adalah dalam sektor PERKHIDMATAN KERAJAAN yang merupakan sektor kedua terbesar yang mewujudkan pekerjaan. Kebanyakan daripada perkembangan gunatenaga dalam sektor ini berlaku pada awal tempoh tersebut berikutan daripada operasi Isi Penuh. Dalam operasi ini, Kerajaan mengisi kekosongan-kekosongan dalam sektor Kerajaan supaya keupayaan pelaksanaannya diperkukuhkan. Sejak dari pertengahan tahun 1983, perkembangan gunatenaga dalam sektor ini adalah sederhana berikutan daripada pembekuan sebahagian daripada perwujudan jawatan baru dan pengambilan pekerja.

2 Gunatenaga dalam sektor PEMBINAAN mencatatkan kadar pertumbuhan yang paling pesat iaitu 7.0 peratus setahun. Ini adalah terutamanya disebabkan oleh kegiatan pembinaan yang berkembang pesat pada awal tempoh 1981-85 berikutan daripada pelaburan awam yang besar dalam infrastruktur fizikal serta kegiatan pembinaan sektor swasta. Sejumlah 108,500 pekerjaan baru diwujudkan, sebahagian besarnya pekerjaan di tapak binaan.

3 Pertumbuhan sektor PEMBUATAN yang perlahan dalam tempoh RME menyebabkan berkurangnya kadar pertumbuhan gunatenaga. Sektor pembuatan yang merupakan sektor utama mewujudkan pekerjaan dalam tahun tujuh puluhan hanya mampu menyediakan kira-kira 72,900 pekerjaan baru dalam tempoh 1981-85 berbanding dengan matlamat sebanyak 125,800 pekerjaan dalam RME. Kadar pertumbuhan gunatenaga dalam sektor pembuatan adalah sebanyak 1.9 peratus setahun dalam tempoh 1981-85 berbanding dengan 3.2 peratus yang dijangka dalam RME. Penyiasatan Perusahaan-Perusahaan Perkilangan Bulanan di Semenanjung Malaysia menunjukkan bahawa kebanyakan daripada pekerjaan baru yang diwujudkan adalah dalam industri pakaian, jentera elektrik termasuk elektronik, keluaran plastik, percetakan dan penerbitan serta logam asas dan keluaran-keluaran lain bukan logam. Industri-industri seperti tekstil, kayu dan perabut, bahan kimia, keluaran getah dan kasut kulit telah terjejas oleh pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan mengalami masalah kekurangan gunatenaga.

1 Dalam tempoh 1981-85, anggaran semasa menunjukkan sejumlah kira-kira 42,300 pekerjaan baru diwujudkan dalam sektor PERTANIAN, berbanding dengan 70,000 yang dijangka dalam RME. Perwujudan pekerjaan yang kurang daripada matlamat ini disebabkan terutamanya oleh prestasi pertumbuhan yang lebih perlahan, penawaran buruh yang terbatas di luar bandar dan pelaburan yang rendah dalam sektor ini. Kekurangan buruh yang dialami pada akhir tahun-tahun tujuh puluhan berterusan ke awal tahun-tahun lapan puluhan, terutamanya dalam sektor perladangan[. Bahagian gunatenaga sektor pertanian daripada keseluruhan gunatenaga berkurang daripada kira-kira 40 peratus kepada 36 peratus dalam tempoh RME.

2 Gunatenaga dalam sektor PERLOMBONGAN berkurang daripada 80,100 pada tahun 1980 kepada 60,500 pada tahun 1985 disebabkan terutamanya oleh berkurangnya gunatenaga dalam kegiatan perlombongan bijih timah yang merupakan komponen gunatenaga perlombongan yang utama akibat daripada penutupan lombong-lombong bijih yang kecil dan beberapa kapal korek berikutan daripada krisis pasaran timah antarabangsa baru-baru ini. Dalam tempoh ini, gunatenaga bagi kegiatan perlombongan yang lain khususnya petroleum dan gas didapati tidak berubah.

3 PENGANGGURAN. Kadar pengangguran yang lebih tinggi mencerminkan penggunaan buruh yang lebih rendah. Kadar pengangguran meningkat daripada 5.7 peratus pada tahun 1980 kepada 7.6 peratus pada tahun 1985. Jumlah penganggur pada tahun 1985 adalah 448,600 berbanding dengan 292,000 pada tahun 1980. Penyiasatan tenaga buruh yang terbaru menunjukkan bahawa kadar pengangguran adalah sangat tinggi di kalangan golongan muda, khususnya di kalangan mereka yang berumur di antara 15 hingga 19 dan 20 hingga 24 tahun. Kadar pengangguran di kalangan kumpulan-kumpulan umur ini adalah kira-kira tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran keseluruhannya. Kadar pengangguran bagi kumpulan umur 25 tahun ke atas berkurang dengan pesatnya. Jumlah penganggur yang berpendidikan formal semakin meningkat dan kadar pengangguran adalah paling tinggi di kalangan mereka yang berpendidikan peringkat menengah. Kadar pengangguran bagi kaum wanita terus lebih tinggi daripada kaum lelaki. Kadar pengangguran adalah lebih tinggi di kalangan wanita yang berpendidikan, khususnya pendidikan menengah.

329. Sebahagian besar penganggur adalah pencari kerja kali pertama. Data terbaru menunjukkan bahawa kira-kira 50 peratus daripada penganggur di Semenanjung Malaysia, 70 peratus di Sabah dan 50 peratus di Sarawak adalah pencari kerja kali pertama. Tempoh menganggur yang lama juga membuktikan kesulitan mendapat pekerjaan. Sebanyak kira-kira 25 peratus daripada penganggur menunggu setahun atau lebih sebelum mendapat pekerjaan. Jangkamasa mendapat kerja adalah lebih lama bagi kaum wanita berbanding dengan kaum lelaki.

[ Penyiasatan tahun 1985 yang dijalankan oleh Pertubuhan Perladangan Bersatu Malaysia (UPAM) menunjukkan bahawa ladang-ladang mereka kekurangan 10,000 pekerja pada tahun 1985. Penyiasatan ini meliputi 471 ladang yang keluasan puratanya 1,448 hektar. Ladang-ladang ini menggunakan seramai 114,195 pekerja. Sebahagian besar ladang-ladang yang diliputi oleh penyiasatan ini adalah di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.

330. PRODUKTIVITI DAN UPAH. Taraf pendidikan dan tahap kemahiran tenaga buruh yang bertambah baik serta penggunaan teknologi dan peralatan yang lebih meluas telah meningkatkan produktiviti tenaga buruh. Produktiviti ini diukur dengan nilai ditambah bagi setiap pekerja. Pada keseluruhannya, nilai ditambah bagi setiap pekerja meningkat daripada $9,280 pada tahun 1980 kepada $10,850 pada tahun 1985. Pertambahan keluaran bagi setiap pekerja adalah ketara dalam semua sektor. Produktiviti buruh bagi sektor pembuatan dan pertanian mencatatkan tambahan sebanyak 3.0 peratus setahun. Bagi sektor perkhidmatan, produktivitinya bertambah sebanyak 3.2 peratus setahun.

1 Upah telah meningkat di kebanyakan sektor ekonomi. Bagi sektor pertanian, data daripada Kementerian Buruh menunjukkan bahawa pendapatan bulanan purata bagi pemungut kelapa sawit meningkat daripada $344 sebulan pada tahun 1980 kepada $421 sebulan pada tahun 1984 berikutan daripada kenaikan harga kelapa sawit. Walau bagaimanapun, pendapatan penoreh ladang getah berkurang daripada $259 kepada $216 sebulan disebabkan sebahagian besarnya oleh harga getah yang lebih rendah. Bagi sektor pembuatan, data yang meliputi industri-industri terpilih menunjukkan bahawa upah meningkat dengan stabil sungguhpun kadar pertumbuhannya berbeza antara pekerjaan. Dalam sektor elektronik, pendapatan bulanan operator pengeluaran wanita meningkat daripada $222 pada tahun 1980 kepada $517 pada tahun 1983, sementara pendapatan bagi penyelia pengeluaran meningkat daripada $484 kepada $1,473 bagi tempoh yang sama. Pendapatan yang berbeza terus wujud bagi pekerja yang menjalankan kerja yang sama dalam industri-industri yang berlainan. Pada umumnya, industri yang mengeluarkan bahan-bahan tembakau, alat kenderaan motor, bahan-bahan kimia, alat dan jentera perindustrian, membayar upah yang lebih tinggi daripada industri-industri lain. Upah didapati berbeza mengikut lokasi perusahaan iaitu lebih tinggi di kawasan yang lebih maju di mana persaingan mendapatkan buruh adalah lebih tinggi. Bagi pekerjaan yang serupa, perbezaan upah antara lelaki dan perempuan terus wujud di kebanyakan industri walaupun jurang perbezaannya berkurangan.

2 STRUKTUR PEKERJAAN. Jadual 4-7 menunjukkan gunatenaga mengikut struktur pekerjaan dalam tempoh 1981-85. Semua kumpulan pekerjaan mencapai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan keseluruhan gunatenaga kecuali bagi pekerja-pekerja pertanian. Kumpulan pekerja pertanian bertambah dengan perlahan iaitu pada kadar 0.5 peratus setahun dan bahagian gunatenaganya berkurang daripada 38.7 peratus pada tahun 1980 kepada 34.9 peratus pada tahun 1985. Pekerja perkhidmatan mencatatkan kadar pertumbuhan yang paling tinggi iaitu 4.7 peratus setahun disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan industri perkhidmatan. Ini diikuti oleh kumpulan pekerja ikhtisas dan teknik yang bertambah pada kadar 4.4 peratus setahun. Bahagian gunatenaga dalam kumpulan ini telah bertambah daripada 6.0 peratus pada tahun 1980 kepada 6.5 peratus pada tahun 1985. Pertambahan ini disebabkan sebahagian besarnya oleh permintaan yang tinggi terhadap guru-guru dan kakitangan kesihatan selaras dengan usaha untuk menyediakan lebih banyak lagi perkhidmatan sosial. Bilangan pekerja pengeluaran bertambah paling banyak iaitu daripada 1.4 juta pada tahun 1980 kepada 1.6 juta pada tahun 1985. Kebanyakan daripada pertambahan ini adalah dalam sektor pembinaan, pembuatan dan pengangkutan. Jadual 4-8 menunjukkan pertumbuhan gunatenaga mengikut kumpulan pekerjaan dan sektor.

Prospek, 1986-90

1 TENAGA BURUH. Penduduk dalam kumpulan umur bekerja dijangka bertambah pada kadar 2.8 peratus setahun dalam tempoh 1986-90. Bagi kumpulan ini, bilangan yang memasuki pasaran buruh bergantung pada kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB)■. Berdasarkan arah aliran keseluruhan KPTB yang terbaru, adalah dianggarkan bahawa tenaga buruh dalam tempoh 1986-90 akan mencapai 6.8 juta, atau pada kadar pertumbuhan sebanyak 2.8 peratus setahun. Seramai kira-kira 880,800 orang akan memasuki pasaran buruh dalam tempoh RML. Tenaga buruh wanita merupakan kira-kira 35 peratus daripada jumlah tenaga buruh.

2 PERTUMBUHAN GUNATENAGA. Dalam tempoh RML, prospek pertumbuhan gunatenaga berkurang berikutan daripada pertumbuhan ekonomi yang dijangka lebih perlahan. Kejatuhan harga barangan dan permintaan bagi barang-barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara akan menjejaskan pertumbuhan keluaran, dan mengakibatkan meningkatnya penggunaan sumber tenaga buruh tidak penuh. Oleh yang demikian, adalah dijangka bahawa pemberhentian dan pemindahan pekerja-pekerja yang sedia ada akan berterusan. Di samping itu, sektor-sektor yang lazimnya merupakan sektor utama menyediakan pekerjaan seperti perkhidmatan Kerajaan dijangka menyediakan pekerjaan baru yang berkurangan. Sektor-sektor pembuatan, perdagangan dan perniagaan serta pelancongan dijangka menyediakan peluang-peluang pekerjaan baru kepada lebih ramai golongan muda dan berpelajaran yang memasuki tenaga buruh. Permintaan buruh dijangka bertambah sebanyak 2.3 peratus setahun dalam tempoh 1986-90. Sejumlah 645,200 pekerjaan baru dijangka diwujudkan dalam tempoh tersebut. Berikutan daripada kadar pertumbuhan gunatenaga yang lebih rendah ini, kadar pengangguran dijangka terus meningkat daripada 7.6 peratus pada tahun 1985 kepada 10.1 peratus pada tahun 1990, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 4-6.

1 Perkembangan pesat yang dicapai oleh sektor PERKHIDMATAN KERAJAAN pada masa lalu dijangka tidak berterusan dalam tempoh RML memandangkan batasan belanjawan yang dihadapi oleh Kerajaan serta matlamatnya untuk menghadkan perkembangan gunatenaga dalam sektor ini. Oleh yang demikian, sektor perkhidmatan Kerajaan dijangka menyediakan hanya kira-kira 14 peratus daripada jumlah pekerjaan baru dalam tempoh 1986-90 berbanding dengan 25 peratus dalam tempoh 1981-85.

2 Dalam tempoh ini, peranan sektor PERTANIAN dalam usaha mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru dijangka terus berkurangan, disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan keluaran yang lebih perlahan bagi beberapa barangan utama. Dalam tempoh 1986-90, gunatenaga pertanian akan berkembang pada kadar 0.5 peratus setahun. Kebanyakan daripada pekerjaan baru akan diwujudkan di rancangan pembangunan tanah baru yang dijalankan oleh agensi-agensi pembangunan tanah. Pengubahsuaian tanah lombong untuk tujuan pertanian, jika sesuai, dijangka turut menambah peluang-peluang pekerjaan khususnya bagi pekerja-pekerja lombong yang diberhentikan.

3 Sektor PEMBINAAN, sektor yang paling cepat berkembang pada tahun 1981-85 dijangka mewujudkan bilangan pekerjaan yang berkurangan berikutan daripada kemerosotan kegiatan pembinaan dalam tempoh 1986-90. Kemerosotan ini adalah disebabkan oleh berkurangnya perbelanjaan sektor awam untuk infrastruktur dan berkurangnya kegiatan pembinaan sektor swasta. Program khusus untuk membina 80,000 unit lagi rumah kos rendah setahun dalam tempoh 1986-88 sebagai sebahagian daripada langkah-langkah untuk meningkatkan pertumbuhan dan gunatenaga dijangka menjadi pendorong kepada pembentukan pekerjaan di sektor ini. Dalam tempoh RML, kegiatan pembinaan khususnya dalam pembinaan rumah kos rendah dan sederhana dijangka mewujudkan 98,000 pekerjaan baru. Ini menunjukkan pertumbuhan purata sebanyak 4.7 peratus setahun.

1 SEKTOR PERDAGANGAN BORONG DAN RUNCIT, HOTEL DAN RESTORAN dijangka menyediakan 198,100 pekerjaan baru dalam tempoh 1986-90. Ini merupakan 30.7 peratus daripada jumlah pekerjaan baru yang diwujudkan. Penyediaan pekerjaan yang lebih banyak adalah diperlukan dengan meningkatnya pembandaran. Gunatenaga dalam sektor borong dan runcit dijangka bertambah dengan banyaknya memandangkan kurangnya keupayaan ekonomi menyediakan pekerjaan serta kadar pertumbuhan gunatenaga yang perlahan dalam sektor perkhidmatan Kerajaan. Ini adalah memandangkan bahawa perdagangan runcit mudah diceburi kerana tidak banyak modal dan kemahiran yang diperlukan. Berikutan dengan galakan yang cergas diberi kepada sektor pelancongan pada masa ini, terdapat lebih banyak peluang untuk menambah gunatenaga dalam perniagaan hotel dan restoran.

2 Seiring dengan pertumbuhan keluaran yang dijangka lebih tinggi dalam tempoh 1986-90, gunatenaga dalam sektor PEMBUATAN dijangka berkembang pada kadar 2.6 peratus setahun dan merupakan 17.5 peratus daripada jumlah pekerjaan baru. Sektor-sektor kecil yang dijangka banyak mengeluarkan keluaran dan mewujudkan pekerjaan yang banyak adalah sektor kecil barang-barang logam, barang-barang galian bukan logam, jentera bukan elektrik dan alat pengangkutan. Berikutan dengan meningkatnya tumpuan sektor pembuatan terhadap perkembangan eksport dan kecekapan dalam keluaran, teknik-teknik pengeluaran akan menjadi lebih maju. Seterusnya, permintaan bagi tenaga buruh mahir akan meningkat.

3 Sektor KEWANGAN, INSURAN, HARTA RUMAH-TANAH DAN PERKHIDMATAN PERNIAGAAN dijangka menyediakan 19,300 pekerjaan baru dalam tempoh 1986-90 berbanding dengan 23,300 dalam tempoh 1981-85. Kadar pertumbuhan gunatenaga yang lebih rendah sebahagian besarnya dijangka disebabkan bilangan
institusi kewangan dijangka tidak banyak bertambah bagi beberapa tahun akan datang. Di samping itu, bertambahnya penggunaan automasi dalam perkhidmatan bank dan institusi kewangan bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti akan mengurangkan keupayaan sektor ini menyediakan pekerjaan.

1 PENGANGGURAN. Anggaran semasa menunjukkan kira-kira 684,200 orang akan menganggur pada tahun 1990. Ini bermakna kadar pengangguran adalah 10.1 peratus pada tahun 1990 berbanding dengan 7.6 peratus pada tahun 1985. Kebanyakan daripada mereka yang menganggur adalah dijangka terdiri daripada lepasan sekolah menengah dan siswazah dalam kumpulan umur 15 hingga 24 tahun. Golongan yang baru memasuki tenaga buruh ini lebih berpelajaran akademik daripada kemahiran yang berkaitan dengan kerja. Oleh yang demikian, usaha-usaha yang lebih giat akan dijalankan bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran yang sesuai untuk memudahkan mereka memperolehi pekerjaan. Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan dan maklumat pasaran buruh yang baik dan akan mengawasi arah aliran pasaran buruh dengan teliti. Tumpuan atau kecenderungan pencari kerja kepada pekerjaan kolar putih, walau bagaimanapun, perlu diubah supaya selaras dengan bertambahnya keperluan terhadap pekerja mahir. Di samping itu, bekerja sendiri perlu diberi penekanan memandangkan keadaan ekonomi yang lembab khususnya di sektor perlombongan. Perubahan sikap adalah juga perlu. Tenaga buruh yang baru memasuki pasaran buruh perlu lebih berdikari, berdaya usaha dan mempunyai sikap bersaing.

2 Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengurangkan kadar pengangguran di negara ini. Selain daripada langkah-langkah yang disebutkan sebelum ini seperti pembinaan 80,000 unit lagi rumah kos rendah setahun dalam tempoh 1986-88 dan pengubahsuaian tanah lombong untuk kegunaan pertanian, Kerajaan akan membina jalanraya dan menjalankan kerja-kerja pembinaan jalan yang kecil yang banyak menggunakan tenaga buruh di kawasan luar bandar dan di kawasan bandar yang mundur. Ini termasuk pembinaan jalan kecil dan jalan penyambung untuk menyokong kegiatan pertanian dan industri kecil di kawasan-kawasan tersebut. Pelaksanaan segera program pembinaan lebuhraya, termasuk kerja-kerja membaiki dan menyelenggara, akan juga diberi tumpuan. Pertambahan penggunaan bahan-bahan tempatan seperti simen, keluli dan bahan-bahan binaan yang lain turut menambah peluang-peluang pekerjaan.

1 Bagi tujuan menyediakan gunatenaga tambahan dalam sektor pertanian, tanah-tanah akan disediakan kepada sektor swasta untuk menanam tanaman ladang yang berpotensi dan tanaman kontan dan ternakair. Pada masa yang sama, industri kecil dan industri kampung di luar bandar akan digiatkan semula untuk tujuan menyediakan peluang-peluang pekerjaan baru serta menjadi sumber pendapatan sampingan bagi isirumah di luar bandar.

2 Langkah-langkah juga akan diambil untuk melahirkan lebih ramai golongan yang bekerja sendiri khususnya di kawasan bandar dengan menyusun semula peraturan-peraturan yang berkaitan dengan industri penjaja kecil. Pihak-pihak berkuasa tempatan akan menimbang untuk melonggarkan atau menghapuskan peraturan melesen penjaja kecuali untuk beberapa perniagaan yang khusus. Langkah-langkah ini akan menjadi lebih sempurna dengan penubuhan lebih banyak pasar malam dan pasar tani.

3 Satu program yang padat dan mengambil masa yang pendek bagi melatih dan memberi latihan semula kepada penganggur dalam bidang-bidang pertukangan yang mempunyai peluang pekerjaan akan dijalankan dan satu pasukan sukarela yang terdiri daripada para ikhtisas dan siswazah akan ditubuhkan untuk bekerja dalam projek-projek tertentu memandangkan pengangguran siswazah yang semakin meningkat. Langkah-langkah yang berkesan akan diambil untuk menyekat kemasukan baru pekerja-pekerja asing, sementara pendatang-pendatang haram khususnya yang menganggur dan bekerja sendiri dalam sektor perkhidmatan akan dihantar pulang ke negara asal.

4 STRUKTUR PEKERJAAN. Dengan jangkaan kejatuhan dalam pertumbuhan gunatenaga keseluruhannya, kebanyakan kumpulan pekerjaan dijangka bertambah pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan kadar dalam tempoh 1981-85, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 4-7. Walaupun demikian, semua kumpulan pekerjaan, kecuali bagi kumpulan pertanian, dijangka berkembang pada kadar yang lebih tinggi daripada pertumbuhan gunatenaga keseluruhannya. Kumpulan pekerja-pekerja ikhtisas dan teknik dijangka berkembang pada kadar 2.6 peratus setahun. Kebanyakan daripada perkembangan ini adalah disebabkan oleh permintaan yang tinggi terhadap guru-guru sekolah rendah dan menengah, diikuti oleh permintaan terhadap kakitangan perubatan dan kesihatan seperti doktor dan jururawat. Permintaan terhadap jurutera dan pembantu-pembantu jurutera juga dijangka bertambah bagi memenuhi keperluan sektor pembuatan yang memerlukan tenaga manusia mahir di peringkat tinggi dan khusus. Bilangan pekerja jualan dijangka berkembang pada kadar 3.6 peratus setahun, manakala bagi pekerja perkhidmatan adalah pada kadar 3.5 peratus setahun. Keadaan ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan industri-industri perkhidmatan, khususnya sektor perdagangan borong dan runcit, industri pelancongan, hotel dan restoran. Kebanyakan pertambahan gunatenaga, walau bagaimanapun, adalah dalam kategori pekerja-pekerja pengeluaran selaras dengan pertumbuhan yang dijangka bagi sektor-sektor pembuatan dan pembinaan.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM