Sat 30-08 06:10 PM

Back
Oleh / By :DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABD RAZAK
Tempat / Venue :BANDAR ENSTEK, NILAI, NEGERI SEMBILAN
Tarikh / Date. :30-01-2007
Tajuk / Title :PERASMIAN PUSAT BIOTEKNOLOGI FELDA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan,
Menteri Besar Negeri Sembilan

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan,

YBhg. Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor,
Pengerusi FELDA

YBhg. Tuan Haji Ahmad Tarmizi Alias,
Pengarah Besar FELDA

YBhg. Dato’ Mohd Bakke Salleh,
Pengarah Urusan Kumpulan FELDA

Kumpulan Pengurusan FELDA,

Yang Berhormat/Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin,

serta hadirin yang dihormati,

1. Bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwatala kerana berkesempatan bertemu di Pusat Bioteknologi Felda di Bandar Enstek, Negeri Sembilan. Pertamanya diucapkan syabas kepada Felda yang telah berjaya menubuhkan Pusat Bioteknologi Felda ini. Keduanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB. Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan, kerana dengan kelulusan kerajaan negeri pusat ini dapat dibina di Negeri Sembilan. Pembinaan Pusat Bioteknologi ini membuktikan Felda peka dengan perkembangan bioteknologi dunia. Pusat ini adalah pusat bioteknologi yang terbesar di Asia Tenggara. Sementara itu pusat tisu culture benih sawit di sini adalah yang terbesar di dunia. Usaha ini sangat bersesuaian dengan matlamat Felda yang ingin menjadi pelaku global dalam semua bidang yang diceburi. Secara tidak langsung, kemudahan yang disediakan di sini akan meningkatkan pengeluaran hasil sawit peneroka dan ladang Felda. Justeru itu, Felda akan kekal sebagai pengeluar hasil sawit terbesar di dunia.

2. Sebagaimana kita semua maklum, Felda telah membangunkan kawasan seluas 853,313 hektar dengan tanaman sawit dan getah dengan jumlah peneroka 112,637 keluarga di 317 rancangan seluruh negara. “Track record’ Felda sangat dibanggakan. Hari ini terbukti Felda telah melangkah lagi setapak ke hadapan dengan menerokai bidang bioteknologi. Diharap usaha menerokai bidang baru ini akan diteruskan di masa akan datang selaras dengan era penerokaan baru 50 tahun kedua Felda.

3. Pada 50 tahun yang pertama, Felda memberi tumpuan kepada pembangunan tanah dan membangunkan masyarakat peneroka. Selain dari itu, aktiviti hiliran yang dilakukan oleh Felda seperti pengangkutan, pengilangan, penyimpanan, pemprosesan, pemasaran dan lain-lain ternyata telah banyak memberi faedah kepada stakeholder iaitu kerajaan dan peneroka. Bagi 50 tahun yang keduanya FELDA akan menceburi pelbagai bidang baru untuk muncul sebagai peneraju global bukan sahaja dalam industri sawit dan getah tetapi dalam bidang-bidang yang berbeza termasuk usahawan, teknologi baru, penjenamaan baru, institut pendidikan dan lain-lain. Saya yakin dengan Pusat Bioteknologi FELDA atau FELDA Biotechnology Centre, akan meningkatkan lagi kecemerlangan FELDA ke tahap yang lebih membanggakan.

4. Usaha ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan Bioteknologi sebagai bidang pertumbuhan ekonomi yang lebih maju sejak Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri kita pada April 2005 yang lalu. Baru–baru ini telah merasmikan cawangan Technology Park Malaysia di Batu Talam, Raub, di Kg Ulu Sungai. Walau jauh di pedalaman, di kawasan orang Asli, pusat itu mampu meneroka bidang bioteknologi khasnya dalam bidang herba.

5. Sejak Felda ditubuhkan pada tahun 1956, FELDA mula menerokai bidang R&D untuk memastikan usaha pembangunan diselaraskan dengan kemajuan penyelidikan klon yang terbaik dan mempunyai kemahiran dalam bidang cerakinan daun dan tanah. Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak atau PPPTR di Tekam, Jerantut, Pahang ditubuhkan pada tahun 1968 berdasarkan kepada hakikat untuk memberi perkhidmatan penyelidikan kepada sektor penanaman sawit Felda termasuk biak klon, tisu kultur, cerakinan baja dan daun, kajian tanah dan lain-lain. Pusat Penyelidikan ini telah beroperasi hampir 40 tahun di bawah FELDA Agricultural Services Sdn Bhd. Fungsi R&D di Tekam banyak membantu industri sawit bagi kumpulan Felda.

6. Pada 1983, FELDA Agricultural Services Sdn Bhd telah memeterai perjanjian bersama institusi-institusi penyelidikan dari Peranchis iaitu IRHO (Institut de Recherches pour les Huiles et Oleagineux – Research Institute for Oils and Oil Crops) dan ORSTOM (Office de la Recherche Scientific et Techniques Outremer – Office for Overseas Scientific and Technical Research), untuk membangunkan sebuah Makmal Tisu Didik FELDA yang pertama di Kuala Lumpur bagi pengklonan sawit. Pada peringkat awalnya program pengklonan sawit ini berhadapan dengan beberapa masalah seperti buah yang tidak subur dan pengeluaran yang sangat terbatas. Kini masalah tersebut telah dapat diatasi dengan usaha gigh yang dijalankan oleh Felda sendiri. Saya ucapkan syabas kepada Kumpulan Felda kerana menggunakan pegawai dan pakar dalaman untuk menerokai bidang penyelidikan ini.

7. Ketika ini Makmal Tisu Didik FELDA di Kuala Lumpur berupaya mengeluarkan lebih 250,000 anak klon sawit setahun. Benih-benih ini telah ditanam di 6,900 hektar kawasan. 5,000 hektar daripadanya ditanam di kawasan FELDA. Bakinya telah ditanam sebagai bahan semi-komersil di beberapa ladang swasta seperti Tabung Haji Plantations dan RISDA. Prestasi benih klon sawit keluaran FELDA sangat menggalakkan. Klon-klon ini menghasilkan perahan minyak (OER) yang tinggi iaitu melebihi 26% berbanding hasil minyak bahan tanaman konvensional yang menggunakan biji cambah.

8. Pencapaian hasil pasti bertambah apabila kadar perahan minyak meningkat walaupun tiada perbezaan berat yang ketara. Analisis tandan klon-klon sawit FELDA menunjukkan kadar perahannya boleh mencapai 26%. Berita yang sangat menggembirakan ialah, Felda Kota Gelanggi 4 di Jerantut mencapai 34.82 tan sehektar. Kita juga mempunyai 105 rancangan Felda yang mempunyai pencapaian melebihi 21 tan sehektar. Ini adalah pencapaian yang baik dan di luar dugaan. Saya yakin sekiranya bioteknologi ini diperkembangkan, sudah pasti hasil dan pendapatan warga peneroka juga akan meningkat.

9. Selain dari Felda, terdapat beberapa Makmal Tisu Didik yang dimiliki oleh Kumpulan Perladangan yang lain seperti Perlis Plantations Bhd, Guthrie dan United Plantation. Keseluruhan pengeluaran klon sawit dalam negara pada tahun 2006 tidak melebihi 2 juta anak klon setahun. Ini adalah satu pencapaian yang harus diteruskan. Felda pasti mampu menerajui dunia biak klon secara lebih terancang. Selain Malaysia, klon sawit turut dihasilkan dan dipasarkan oleh Agricultural Services and Development Ltd of Costa Rica (ASD) dengan pengeluaran 350,000 anak klon sawit. Sehingga kini, tiada sebarang laporan yang menunjukkan ada pengeluaran klon sawit secara komersial di Indonesia. Felda harus merebut peluang ini untuk menjana pendapatan. Tingkatkan pengeluaran untuk memberi pulangan yang menguntungkan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

10. Memandangkan kemampuan pengeluaran Makmal FELDA di Kuala Lumpur terhad kepada 250,000 pokok sahaja setahun dan kurang keupayaan untuk membekalkan benih kepada keperluan FELDA terutamanya untuk projek tanam semula, maka Pusat Bioteknologi FELDA di Bandar Enstek ini dibangunkan. Keluasan makmal ini melebihi 15,000 meter persegi dan merupakan yang terbesar di Asia Tenggara. Makmal ini mampu membekalkan 1 juta anak klon setahun menjelang tahun 2010 dan seterusnya akan meningkat kepada 3 juta pokok setahun.

11. Proses biak klon di makmal ini tidak terhad kepada biak klon sawit sahaja. Kemudahan ini turut digunakan untuk mengeluarkan anak klon pisang jenis Berangan, Tongkat Ali bermutu baik yang mempunyai kandungan bahan aktif (eurycomanone) yang tinggi dan lain-lain tanaman. Klon Tongkat Ali yang dikeluarkan adalah berkualiti. Dengan mempunyai mutu yang tinggi ia akan mudah dipasarkan ke luar negara. Satu hari nanti, Tongkat Ali Felda akan dipasarkan di pasaran dunia sehingga ke pasaran Harrods di London. Orang Barat akan mengagumi mutu produk keluaran Felda. Klon-klon Tongkat Ali turut dibekalkan kepada warga Felda untuk ditanam yang akhirnya akan menjadi satu lagi punca pendapatan tambahan kepada peneroka.

12. Pusat Bioteknologi FELDA turut memberi tumpuan kepada teknik “suspension culture” dan penyelidikan teknologi molecular sebagai alat kawalan mutu “tissue culture”. Pusat ini telah mengadakan kerjasama strategik dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan dimaklumkan bahawa pusat ini adalah pusat tisu culture benih sawit terbesar di dunia. Beberapa “molecular marker probe” telah berjaya diperoleh bagi menentukan mutu klon sawit FELDA sebelum ia ditanam ke ladang. Aplikasi teknologi molecular tidak terhad kepada “tissue culture” sahaja. Kerja-kerja pemetaan gene, ujian kepelbagaian genetic dan analisis kuantitatif juga dijalankan bagi membantu kerja-kerja pembaik-biakan baka-baka sawit FELDA.

13. Pusat Bioteknologi FELDA juga akan bergiat di bidang penyelidikan ke arah pengeluaran “secondary metabolites” dengan fokus utama terhadap Tongkat Ali. Penyelidikan ini bertujuan untuk menghasilkan bahan aktif Tongkat Ali tanpa perlu menanamnya ke ladang. Secara ringkasnya, Pusat Bioteknologi FELDA akan menjadikan FELDA menerajui satu lagi bidang baru iaitu bidang agro-bioteknologi bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat global. Difahamkan bahawa Jawatankuasa Penasihat Bioteknologi FELDA yang terdiri daripada saintis-saintis terkemuka tempatan dan luar negara telah ditubuhkan bagi menasihati aktiviti-aktiviti di pusat ini. Ini satu perkara yang menarik, Felda semakin berusaha untuk menembusi pasaran global di bidang bioteknologi.

14. Dalam tempoh 5 tahun, FELDA Agricultural Services telah muncul sebagai pengeluar utama biji benih sawit dengan penguasaan 28% pasaran tempatan. Pengeluaran biji benih sawit bukan terhad kepada FELDA sahaja tetapi kita akan menguasai industri pengeluaran biji benih untuk pasaran di luar FELDA. FELDA Agricultural Services sekarang ini telah berjaya menemukan kacukan-kacukan tiga asal-usul (three-way crosses) yang melibatkan bahan-bahan elit benih FELDA dan bahan-bahan dari Nigeria hasil koleksi dan pemilihan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Penemuan ini boleh menghasilkan pokok sawit yang mengeluarkan minyak 8 tan per hektar atau lebih dibandingkan 5 tan per hektar sekarang untuk dijadikan klon pada masa hadapan.

15. Berdasarkan pencapaian-pencapaian tersebut, kita merasa bangga kerana FELDA telah mengambil inisiatif untuk meneruskan komitmennya di dalam bidang Bioteknologi. Ini bukan sahaja akan memberikan keuntungan kepada Kumpulan FELDA dan industri keseluruhannya, tetapi juga kepada para peneroka yang merupakan pemegang saham terbesar di dalam Kumpulan FELDA. Penubuhan Makmal ini selaras dengan dasar kerajaan untuk melihat dasar biotek negara direalisasikan.

16. Kita yakin Felda akan berjaya menceburi perkara baru ini dengan cemerlang. Harapan kita semoga hasrat Felda menubuhkan makmal biotek ini akan mencapai matlamat. Felda mempunyai matlamat sebagai “lead agency” dalam industri sawit dunia, dalam melahirkan penemuan baru, dapat bermunafaat dan memberi pulangan kepada kebun peneroka dan ladang Felda. Semoga setiap usaha yang dijalankan di Ensteks ini akan memberi pulangan secara langsung kepada peneroka. Usaha ini akan menambah nilai kepada aktiviti yang telah dijalankan oleh Felda dan memberi impak yang berkesan untuk pasaran global. Kita berharap Felda akan terus berjaya.

17. Akhirnya, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan harapan agar usaha kita dirahmati Allah, saya merasmikan Pusat Bioteknologi Felda ini.