Wed 01-10 07:55 AM

Back
Oleh / By :DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABD RAZAK
Tempat / Venue :PALACE OF THE GOLDEN HORSES
Tarikh / Date. :14-01-2008
Tajuk / Title :PERASMIAN RETREAT MEMPERKASAKAN SISTEM PENGANGKUTAN AWAM - SISTEM LALU LINTAS DI KUALA LUMPUR "HOT SPOTS"


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera

Y.B Dato’ Sri Zulhasnan Rafique,
Menteri Wilayah Persekutuan,

Y.B Dato’ Sri S.Samy Vellu,
Menteri Kerja Raya,

Y.B Dato’Sri Chan Kong Choy,
Menteri Pengangkutan,

Y.Bhg Dato’ Hj Ahmad Phesal Bin Talib,
Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan.

Y.Bhg Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri, Dato-Dato
Tuan-tuan, puan-puan para hadirin sekalian.

1. Marilah kita sama-sama memanjatkan syukur ke Hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia dan izin-Nya maka kita dapat sama-sama berkumpul dan bertemu pada petang ini bagi menjayakan Majlis Perasmian Retreat Memperkasakan Sistem Pengangkutan Awam - Sistem Lalulintas di Kuala Lumpur : “Hot Spots’’ di dewan yang permai ini

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan, di atas jemputan untuk merasmikan retreat ini. Saya kira program ini amat penting dan saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Kementerian kerana mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu majlis retreat, yang mana dengan kerjasama semua pihak, Insya Allah akan dapat merumuskan kaedah dan pendekatan yang akan dapat mengurangkan masalah pengangkutan awam dan sistem lalulintas di Bandaraya Kuala Lumpur.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Sepertimana metropolitan yang lain, salah satu dari faktor yang mendorong kepada kepesatan pembangunan Kuala Lumpur di era moden ini adalah kemudahsampaian dan sistem pengangkutannya. Sistem pengangkutan Kuala Lumpur adalah umpama saluran darah yang menjana degupan jantung bandar raya ini, yang seterusnya menjadi nukleus kepada pembangunan di seluruh wilayah lembah Kelang.

4. Sepertimana kelaziman mana-mana bandaraya ibukota, Kuala Lumpur menjadi pusat tumpuan aliran pengangkutan darat dari merata tempat di seluruh negara. Dalam keadaan itu kesesakan sudah tentunya menjadi masalah yang pasti timbul, apatah lagi mengambil kira evolusi bandaraya Kuala Lumpur itu sendiri, yang sejak sebelum Merdeka lagi membesar dan berkembang secara tersendiri tanpa perancangan rapi sehinggalah lewat tahun 60-an. Atas faktor sejarah, dan faktor-faktor demografi penduduk serta keadaan ekonomi,kesesakan menjadi suatu ”inevitability” buat bandaraya membangun seperti Kuala Lumpur.

5. Hari ini masalah kesesakan jalan raya di ibukota semakin meruncing, dan pencarian penyelesaian yang berkekalan masih buntu. Bilangan kenderaan bertambah dengan begitu banyak apabila berlakunya penurunan harga kereta di pasaran dan juga lahirnya kereta ”low-end” yang diwujudkan khusus untuk warga berpendapatan rendah. Ledakan kenderaan-kenderaan ini di jalan-jalan raya sudah tentu mengeruhkan lagi keadaan kesesakan lalulintas yang melanda Kuala Lumpur.

6. Selain itu, masalah-masalah yang melanda perkhidmatan pengangkutan awam menyebabkan sebilangan besar penduduk kota memilih menggunakan kenderaan peribadi dan ini turut menyumbang kepada kesesakan yang kian bertambah hari demi hari. Akhirnya, kesesakan ini menjadi sebahagian dari beban dan tekanan kehidupan harian masyarakat kota, dan lebih buruk lagi, ia membentuk satu stigma terhadap Kuala Lumpur; satu imej negatif, yang sedikit sebanyak membawa kesan terhadap usaha-usaha kita untuk memasarkan Malaysia sebagai destinasi perniagaan dan pelancongan.

7. Justeru itu, satu penyelesaian perlu dicari bagi menangani masalah ini sebaik mungkin. Satu program atau perancangan jangka panjang yang bersepadu dan “holistic’’ amat diperlukan bagi mengatasi permasalahan sistem lalulintas di Kuala Lumpur. Penyelesaian yang dicari haruslah bukan sekadar bertujuan melegakan kesesakan untuk tempoh setahun dua sahaja, tetapi perlu mengambil kira unjuran keadaan lalulintas lebih 20 atau 30 tahun yang akan datang.

8. Ini perkara serius dan tidak harus dipandang sebagai cita-cita yang terlalu tinggi. Ia sebenarnya amat penting kerana pembangunan infrastruktur untuk sistem lalulintas adalah amat kompleks sifatnya dan memerlukan perbelanjaan yang besar kerana keadaan fizikal nya yang perlu di selaraskan dengan pembangunan sedia ada dan mengambil kira potensi pembangunan akan datang. Segala yang dirancangkan pada masa ini, perlu mengambil perhatian ke atas jangkaan evolusi sistem pengangkutan agar ianya dapat diadaptasi kan kepada keadaan masa hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

9. Saya berpendapat, untuk tujuan ini langkah yang paling asas adalah dengan mewujudkan satu pelan pengurusan lalulintas yang bersepadu di kawasan Lembah Klang, yang menjadi ”single point of reference” kepada semua pihak yang terlibat dengan perancangan dan pembangunan infrastruktur wilayah ini. Kesemua agensi kerajaan yang terlibat dengan sistem pengangkutan Lembah Klang perlu merujuk kepada pelan ini.

10. Dengan wujudnya satu pelan pembangunan lalulintas bersepadu ini, maka koordinasi antara agensi-agensi kerajaan dan pemberi perkhidmatan pengangkutan akan dapat dijalin melalui rujukan kepada satu pelan sahaja. Sekaligus ini akan mengelakkan sebarang kekeliruan dan membantu perancangan dan perlaksanaan pembangunan yang kemas dan sistematik. Saya percaya retreat ini boleh dianggap langkah pertama dalam melahirkan satu kerangka pelan pengurusan lalulintas yang bersepadu yang amat diperlukan bagi menyelesaikan masalah rumit kesesakan di bandaraya Kuala Lumpur .

Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Tidak dapat dinafikan bahawa permasalahan kesesakan di Kuala Lumpur ini sudah lama cuba diselesaikan. Beberapa pendekatan telah dilaksanakan seperti menyediakan ”outer ” dan ”inner ring road”, mengadakan ”light rapid transit” – LRT dan monorail serta penyediaan infrastruktur seperti ”elevated highway” dan jejantas. Walaupun semua usaha ini telah sedikit sebanyak membantu meringankan kesesakan, namun kesan nya agak terhad dan kesesakan terus berlaku. Malah ada kalanya, menyelesaikan masalah kesesakan di sebuah lokasi mencetuskan masalah kesesakan di lokasi yang lain.

12. Demikian lah rumitnya masalah berkaitan kesesakan lalulintas yang sedang kita hadapi. Pada masa ini, masih terdapat kesesakan pada waktu puncak di tempat-tempat tertentu terutamanya di kawasan-kawasan terletaknya pejabat-pejabat, pusat-pusat perdagangan dan urus niaga, dan pusat-pusat membeli belah. Seperti saya sebutkan tadi, salah satu faktornya ialah terlalu banyak kenderaan persendirian yang masuk ke kawasan bandar. Ini berlaku, antara lainnya kerana walaupun usaha-usaha mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam telah disediakan tetapi, orang ramai masih memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri kerana perkhidmatan pengangkutan awam pada masa kini masih kurang memuaskan dan belum memenuhi kehendak pengguna terutamanya dalam aspek kemudahsampaian, sambungan berterusan dan ketepatan masa.

13. Kerajaan sedar akan hakikat ini dan langkah-langkah sedang diambil untuk menambahbaikkan perkhidmatan pengangkutan awam. Melalui Jawatankuasa Kabinet tentang Pengangkutan Awam yang saya pengerusikan, kerajaan telah dan sedang menimbangkan beberapa inisiatif termasuklah memperluaskan perkhidmatan LRT dengan memanjangkan laluan dan mewujudkan jalur LRT tambahan; memperbaiki mutu perkhidmatan komuter dengan pembelian koc-koc baru serta mencadangkan lanjutan perkhidmatan komuter ke bandar-bandar baru selain bandar-bandar yang sedia di liputi; dan memantapkan perkhidmatan bas-bas awam dengan menambahkan bilangan bas dan hentian serta laluan-laluan perjalanan bas. Melalui langkah-langkah seperti ini, adalah diharapkan agar persepsi dan sikap warga kota terhadap pengangkutan awam dapat diubah sehingga ia menjadi kaedah pengangkutan utama pilihan warga kota.

14. Walau bagaimanapun, pastinya usaha-usaha ini akan memakan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya, dan membuahkan hasil yang diharapkan. Dalam pada itu, aspek-aspek lain juga perlu diteliti untuk terus membantu mengurangkan masalah lalulintas di Kuala Lumpur. Antara yang paling penting untuk diambil kira termasuklah penggunaan ICT secara lebih menyeluruh bagi memantapkan lagi aliran lalulintas dan pengangkutan. Ini termasuklah penggunaan ICT dalam penyediaan perkhidmatan “navigation” dan “tracking” bagi lebih ramai pemandu-pemandu individu dan pengusaha-pengusaha kenderaan awam.

15. ICT juga perlu diguna pakai untuk mengumpul semua maklumat yang relevan berkaitan trend dan corak pengangkutan dan trafik, seperti maklumat tentang bilangan kenderaan yang menuju sesuatu tempat, punca-punca kesesakan lalulintas pada waktu-waktu tertentu di kawasan-kawasan tertentu, dan nisbah bilangan tempat letak kereta berbanding bilangan kenderaan di sesebuah kawasan. Kajian pengangkutan memerlukan real time dan empirical data agar analisa yang tepat dapat dibuat, dan cadangan-cadangan yang jitu dan efektif dapat dirumuskan. Saya difahamkan ”Integrated Transport Information System” telah dibangunkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ini merupakan satu perkembangan positif yang amat dialu-alukan. Tinggal lagi kepupayan sistem seperti ini perlu dipertingkatkan lagi agar ia tidak hanya terhad kepada mengawal aliran kenderaan tetapi berkebolehan untuk membantu mengurus tadbir sistem lalu lintas secara lebih menyeluruh.

Tuan-tuan dan puan-puan,

16. Apa yang saya sebutkan ini adalah sebahagian kecil sahaja dari isu-isu yang kompleks berkaitan kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur. Tiada penyelesaian mudah dalam menyelesaikan masalah yang begitu rumit. Namun kita perlu berusaha dan terus berusaha. Kata orang Where there’s a will, there’s a way. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Yang penting ialah kerjasama dan kesatuan matlamat semua pihak yang terlibat dari semua peringkat. Ada kalanya kita akan berbeza pendapat dan adakalanya kita terpaksa menilai cadangan atau pandangan yang terlalu pahit untuk diterima, walaupun ia mungkin berasas. Dalam keadaan itu, yang diperlukan ialah keikhlasan dan kejujuran, dengan matlamat murni yang satu, iaitu memperbaiki sistem lalulintas dan pengangkutan Bandaraya Kuala Lumpur.

17. Saya percaya semua peserta Retreat ini akan dapat membincangkan dengan terbuka dan penuh bijaksana segala perkara yang timbul berkaitan masalah yang cuba kita rungkaikan ini. Harapan kita agar hasil dari pembentangan kertas kerja- kertas kerja dan perbincangan-perbincangan yang diadakan akan menjadi satu panduan untuk pembentukan dasar dan pelan tindakan pengangkutan bersepadu bagi Kuala Lumpur. Saya doakan Retreat ini mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan dan kepada semua peserta, saya ucapkan selamat bersidang.

18. Maka, dengan itu, dan dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim dengan sukacitanya saya merasmikan Retreat Memperkasakan Sistem Pengangkutan Awam - Sistem Lalulintas di Kuala Lumpur : “Hot Spots’’ ini.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.