Wed 16-05 11:52 AM

Back
Oleh / By :DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABD RAZAK
Tempat / Venue :PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh / Date. :10-04-2007
Tajuk / Title :SEMINAR KONSEP DAN PELAKSANAAN PERTAHANAN MENYELURUH (HANRUH)


Y.Bhg Dato’ Sri Mohd Lattfi bin Hashim
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan


Y.Bhg Dato’ Muhammad Hatta bin Ab. Aziz
Ketua Pengarah, Bahagian Keselamatan Negara, JPM

Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat petang.

1. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala kerana dengan limpah rahmat-Nya seminar ini dapat direalisasikan. Saya juga ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur Seminar Konsep Dan Pelaksanaan Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH yang telah menjemput saya untuk menyampaikan ucapan pada petang ini.

2. Penganjuran seminar ini yang dibuat secara usahasama di antara Kementerian Pertahanan dan Bahagian Keselamatan Negara adalah amat bertepatan sekali. Ianya bukan sahaja sebagai platform bagi para peserta bertukar fikiran mengenai kefahaman konsep HANRUH tetapi yang lebih penting ialah mewujudkan strategi pelaksanaan yang komprehensif serta mempunyai keupayaan untuk dilaksanakan.

3. Saya juga berasa gembira kerana seminar kali ini dihadiri oleh pegawai-pegawai tinggi awam dan swasta yang terlibat secara langsung dalam memelihara keselamatan dan kepentingan negara. Dengan yang demikian saya amat mengharapkan agar seminar ini dijadikan pemangkin ke arah kesedaran yang lebih mendalam di kalangan para peserta mengenai konsep HANRUH.


Para Hadirin Sekalian,

4. HANRUH bukanlah satu konsep pertahanan baru. Ianya telah dilaksanakan sejak Perang Dingin lagi atau Cold War oleh beberapa negara di antaranya ialah Denmark, Estonia, Finland, Sweden, Switzerland dan Singapura. Terdapat beberapa ciri-ciri persamaan dalam pelaksanaan Konsep HANRUH ini oleh negara-negara tersebut. Antaranya ialah :

Pertama - Objektif HANRUH ialah untuk menghalang peperangan, mempertahankan negara dan melindungi masyarakat awam.

Kedua - Perlunya mengekalkan kesiapsiagaan yang berterusan serta mempunyai keupayaan untuk membendung sebarang ancaman.

Ketiga - Mewujudkan pertahanan yang kredible bukanlah merupakan tanggungjawab Angkatan Tentera sahaja. Sebaliknya terdapat keperluan untuk menyelaras usaha dan tindakan yang melibatkan sektor awam dan swasta khususnya dalam penggunaan “resources” atau aset sektor swasta dan awam dalam pertahanan negara.

Keempat - Komponen HANRUH meliputi 5 aspek pertahanan iaitu Military Defence, Civil Defence, Economic Defence, Social Defence and Psychological Defence.

5. Di dalam konteks pertahanan di Malaysia, konsep HANRUH tidak boleh dibincang secara persendirian atau “in isolation”. Ini disebabkan HANRUH merupakan strategi ketiga bagi Dasar Pertahanan Negara, selain dari Strategi Deterrence dan Forward Defence. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Dasar Pertahanan Negara adalah berteraskan pembangunan keupayaan atau ‘capability driven’ dan bukan berasaskan sebarang bentuk ancaman. Memandangkan negara tidak dijangka mengalami ancaman konvensional di masa hadapan, dari itu, pelaksanaan strategi Deterrence dan Forward Defence adalah berteraskan pembangunan keupayaan bagi menjaga kedaulatan dan kepentingan negara.

6. Walaupun HANRUH merupakan strategi ketiga Dasar Pertahanan Negara, namun demikian sehingga kini ianya masih di peringkat konsep dan strategi. Saya difahamkan beberapa perbincangan di peringkat inter-agensi telah diadakan sejak tahun 90an lagi bagi memahami konsep ini serta meneliti pelaksanaan kelima-lima komponen HANRUH, tetapi usaha-usaha ini tidak membuahkan sebarang tindakan yang jelas atau ‘concrete’. Apa yang boleh dirumuskan ialah masih belum wujud kesepakatan dalam menangani strategi ini. Mungkin ketiadaan sebarang ancaman terhadap negara dan keselesaan serta kesejahteraan rakyat menyebabkan kurangnya komitmen atau keperluan terhadap HANRUH. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan konsep HANRUH ini hanya diketahui oleh segelintir pegawai awam sahaja khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam keselamatan dan pertahanan negara.

7. Saya penuh kepercayaan bahawa konsep HANRUH ini masih relevan sebagai strategi ketiga bagi Dasar Pertahanan Negara. Dengan tamatnya Perang Dingin, apa yang jelas ialah bentuk konflik dan ancaman yang melanda dunia masa kini telah mengalami perubahan yang amat ketara. Ancaman tidak lagi muncul hanya di medan peperangan atau tertakluk kepada tempat, keadaan dan suasana. Di samping itu konsep peperangan juga lebih mencabar dan berbentuk ‘non-conventional’ dan ‘asymmetrical’. Kesan konflik dan peperangan kini mengakibatkan kerosakan yang besar terhadap kemudahan awam dan harta benda masyarakat. Konflik di Afghanistan, Iraq dan baru-baru ini di Lebanon jelas membuktikan kebenaran ini. Dengan yang demikian bagi mengatasi ancaman sebegini negara memerlukan penglibatan dan komitmen yang menyeluruh dari segenap peringkat masyarakat.

8. Kita perlu menyedari hakikat bahawa pertahanan negara tidak boleh lagi dipertanggungjawabkan hanya kepada pasukan keselamatan sahaja, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai “national concern”. Ini bermakna sumber-sumber negara perlu bukan sahaja disatukan tetapi digunakan dengan sebaik mungkin untuk mempertahankan kedaulatan negara dan melindungi masyarakat keseluruhannya.

9. Walaupun konsep dan komponen HANRUH mempunyai kesamaan dengan apa yang di amalkan oleh beberapa negara lain, namun demikian bagi mempastikan keberkesanannya ia perlulah diubahsuai dan diadaptasikan selaras dengan keperluan dan kesesuaian negara masa kini. Sehubungan dengan ini saya berpendapat perkara-perkara berikut boleh diambil kira :

Pertama - Rancangan pelaksanaan HANRUH tidak seharusnya terhad kepada keperluan untuk menghadapi ancaman keselamatan seperti konflik atau peperangan sahaja. Ianya perlu meliputi cabaran dan krisis negara seperti bencana alam atau krisis tenaga. HANRUH akan dianggap lebih praktikal dan bermakna jika rancangan pelaksanaannya berteraskan keperluan sedemikian. Sebagai contoh krisis banjir yang melanda negeri Johor, Melaka dan sebahagian Pahang baru-baru ini amat memerlukan tindakan bersepadu dan penyatuan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan badan-badan sukarela bagi bergerak bersama-sama sebagai satu pasukan dalam menghadapi cabaran tersebut. Di sini HANRUH boleh memainkan peranannya dengan berkesan.

Kedua - HANRUH juga berperanan dalam membentuk dan menguatkan ketahanan mental dan minda rakyat khususnya dalam bidang daya tahan ekonomi negara. Aspek ini amat relevan dalam konteks negara menghadapi arus globalisasi dan persaingan sengit dalam dunia perniagaan. HANRUH dari itu perlulah memikirkan strategi pelaksanaan yang bersesuaian supaya ia menjadi relevan dan praktikal bagi memastikan ketahanan sektor ekonomi negara.

Ketiga - Keutuhan dan perpaduan masyarakat diakui sebagai salah satu asas utama bagi membina pembangunan dan kesejahteraan negara. Ini telah pun terbukti dari saat kita mencapai kemerdekaan lagi di mana rakyat dan pemimpin serta anggota keselamatan telah bersepadu usaha dan tenaga dalam menentang ancaman komunis dan konfrantasi. Seterusnya kerjasama semua pihak dan kaum telah membuahkan kemajuan negara sehingga kita berada di tempat sekarang. Dari itu perpaduan masyarakat tidak boleh diabaikan atau ‘taken for granted’ sebaliknya ia perlu dibina dan dipupuk secara berterusan kerana kepincangan ini akan mengancam kesejahteraan negara. Dalam konteks ini HANRUH perlu meneliti dan menghuraikan program dan aktiviti ke arah membina integrasi rakyat berteraskan nilai-nilai hidup serta untung nasib atau ‘destiny’ bersama. Masyarakat yang bersatu teguh dengan perpaduan usaha dan kejituan jiwa adalah aset penting dalam memastikan keselamatan dan keutuhan negara.


Hadirin Sekalian,

10. Setelah sekian lama konsep HANRUH ini diperkenalkan namun ianya masih ditahap yang lama juga. Dari itu cabaran bagi kita ialah untuk mengubahsuaikan serta mengadaptasi keperluan konsep ini supaya ia dianggap sebagai satu konsep yang praktikal dan “meaningful” dalam negara menghadapi pelbagai cabaran untuk terus membangun dan memantap kesejahteraan negara. Bagi memastikan HANRUH dapat diterima dan yang lebih penting dilaksanakan ia perlu dilihat bukan semata-mata dari perspektif ancaman keselamatan atau pertahanan negara.

11. Seminar pada hari ini merupakan usaha murni untuk melihat kembali konsep HANRUH yang telah sama-sama kita persetujui. Adalah diharapkan melalui seminar ini segala kekaburan telah dapat diperjelaskan dan kita seharusnya berada diperingkat di mana kita dapat menterjemahkan konsep ini dalam bentuk strategi pelaksanaan. Ingin saya perjelaskan sebahagian besar dari Kementerian, Jabatan, Badan Berkanun, Badan Bukan Kerajaan, Syarikat Kerajaan dan Sektor Swasta mempunyai peranan yang seimbang dalam menjunjung konsep HANRUH. Tanpa penglibatan dan penghayatan kesemua agensi-agensi tersebut ia akan menyukarkan pelaksanaannya.

12. Perlu dinyatakan bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab semua dan mempertahankan kedaulatannya memerlukan komitmen dari semua pihak sama ada pihak pemerintah, pasukan keselamatan sektor awam dan swasta serta masyarakat. Tanpa kesedaran ini, sudah tentu masyarakat akan memandang remeh terhadap ancaman yang sentiasa mencari ruang untuk menggugat kestabilan negara. Usaha peserta sekalian dalam memperkasakan konsep HANRUH di Seminar ini amat bermakna dan diharapkan konsep ini dapat diperjelaskan di agensi tuan-tuan dan puan-puan bagi memperluaskan kefahaman mengenainya.


Terima kasih.







File Attachment Icon
UCAPAN_HANRUH, pwtc.doc
File Attachment Icon
ATTM5ZG5.doc