Sat 25-10 07:10 PM

Back
Oleh / By :DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABD RAZAK
Tempat / Venue :PEKAN, PAHANG
Tarikh / Date. :26-01-2007
Tajuk / Title :LEMBAGA TABUNG ANGKATAN TENTERA
BAYAR DIVIDEN DAN BONUS 15 PERATUS


1. Saya dengan ini ingin memaklumkan bahawa bagi tahun kewangan 2006 Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan membayar 7 peratus dividen, 3 peratus bonus dan tambahan 5 peratus bonus khas dalam bentuk pemberian amanah saham secara percuma kepada para pencarumnya.

2. Sehubungan ini, kadar keseluruhan bayaran dividen dan bonus bagi tahun 2006 adalah sebanyak 15 peratus yang dijangka melibatkan pembayaran berjumlah RM471.6 juta berbanding dengan kadar 15.75 peratus pada tahun sebelumnya berjumlah RM448.0 juta.

3. Pada keseluruhannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2006, LTAT telah berjaya mencatat keuntungan kasar yang belum diaudit sebanyak RM467.5 juta, meningkat sedikit berbanding keuntungan yang dicapai dalam tahun 2005 sebanyak RM465.2 juta yang disokong oleh pertumbuhan ekonomi negara yang positif, peningkatan di dalam pelaburan swasta, kedudukan imbangan pembayaran negara yang lebih baik, paras tabungan dan tahap kecairan negara yang kekal tinggi, nilai Ringgit Malaysia yang semakin kukuh serta peningkatan dalam pasaran saham tempatan mulai akhir tahun 2006.
4. Selain itu, prestasi cemerlang ini telah dapat dicapai hasil daripada strategi pelaburan LTAT yang berhati-hati dan terpilih di samping amalan perbelanjaan berhemat di dalam menentukan pengurusan dana LTAT dibuat dengan baik dan saksama.

5. Sejak dari awal penubuhannya, LTAT sentiasa peka di atas tanggungjawabnya untuk menunaikan janji bagi menyediakan perkhidmatan terbaik dengan meningkatkan sistem penyampaian (delivery system) di samping pulangan yang lumayan kepada pencarum-pencarumnya.

6. Bagi tahun 2006 LTAT telah berjaya memenuhi sebahagian besar dari tuntutan itu dari segi pemberian faedah-faedah termasuk:

a. Membuat bayaran balik wang caruman kepada pencarum-pencarum yang tamat perkhidmatan sebanyak RM294.9 juta;

b. Membuat bayaran pengeluaran perumahan kepada pencarum sebanyak RM16.3 juta bagi tujuan membeli rumah;

c. Membuat bayaran sejumlah RM3.7 juta di bawah Skim Khairat Kematian dan Hilang Upaya yang terdiri dari RM3.3 juta bayaran Faedah Khairat Kematian dan RM0.4 juta bayaran Faedah Hilang Upaya;

d. Menyumbang sebanyak RM323,080 bagi bayaran insentif kecemerlangan pelajaran kepada 457 anak-anak ATM yang cemerlang di dalam peperiksaan PMR dan SPM;

e. Menyumbang sebanyak RM200,000 bagi menyokong aktiviti sosial dan kebajikan kepada bekas tentera Malaysia dan sebanyak lebih RM273,600 lagi kepada badan-badan sukan dan kebajikan lain di bawah Kementerian Pertahanan;

f. Menyumbang sebanyak RM3,695,280 kepada 6,423 anak-anak anggota ATM dan bekas anggota ATM di bawah Yayasan Warisan Perajurit yang telah ditubuhkan dalam tahun 2000 hasil sumbangan dana dari anak-anak syarikat LTAT yang diterajui oleh Boustead Holdings Bhd. Pembayaran terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM14,849,800 dan sehingga kini seramai 16,554 anak-anak anggota ATM dan bekas anggota ATM yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR dan yang mendapat tawaran di IPTA telah menikmati kemudahan ini; dan

g. LTAT juga terus mempergiatkan aktiviti pembinaan rumah-rumah jenis kos rendah dan sederhana untuk ditawarkan kepada anggota ATM yang layak sama ada melalui projek pembangunan perumahannya atau melalui anak-anak syarikatnya seperti Boustead Holdings Bhd. Selain projek-projek Mutiara Rini di Skudai Johor dan Mutiara Damansara di Selangor, LTAT sedang membangunkan Taman LTAT di lokasi strategik di Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan, yang melibatkan pembinaan 692 unit rumah-rumah kos rendah dan sederhana yang kesemuanya akan ditawarkan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia yang layak.

7. Saya berasa amat gembira sekali di atas kejayaan LTAT bagi tahun 2006 kerana terus dapat memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan untuk menjaga wang caruman warga Angkatan Tentera Malaysia dan sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf hidup mereka.

8. Saya juga berkeyakinan penuh bahawa LTAT dapat mengekalkan prestasi baik ini secara berterusan berasaskan kepada kekuatan dalaman organisasi di samping kesungguhan kerajaan untuk terus berusaha memacu ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan menyediakan suasana pelaburan yang meyakinkan di dalam keadaan persekitaran yang serba mencabar.