Wed July 23, 2014

Profil Surah
Juzuk : 18 No. Surah :24 Surah:AN-NURBil. Ayat:64

MUQADDIMAH SURAH AN-NUR

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 64 ayat. Dinamakan surah "An-Nur" (Cahaya) kerana bandingan nur hidayah pertunjuk Allah (s.w.t.) ada disebutkan perihalnya mulai ayat 35.

Intisari kandungannya: Menerangkan hukuman yang dikenakan kepada orang yang berzina lelaki dan perempuan. Juga menerangkan hukum orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpe- lihara kehormatannya, dan hukum orang yang melemparkan tuduhan yang demikian kepada isterinya.

Membersihkan nama baik Siti Aishah (r.a.a.) dari tuduhan dusta yang dilemparkan kepadanya oleh kaum munafik di Madinah. Pembersihan nama baik Siti 'Aishah itu diabadikan oleh Allah Taala dalam beberapa ayat suci yang kekal dibaca turun-temurun di dalam Al-Quranul Karim.

Menerangkan cara dan adab peraturan berziarah ke rumah orang lain, supaya terhindar dari berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini, lebih-lebih lagi kalau pada masa itu orang lelaki tidak ada di rumah. Kemudian Allah Taala perintahkan orang-orang Islam lelaki dan perempuan, supaya mereka menyekat pandangan masing-masing daripada melihat yang haram, dan menjaga kehormatannya daripada melakukan zina atau lain-lain perkara yang keji.

Selain dari itu, perempuan-perempuan Islam, diharamkan mendedahkan tubuhnya kepada lelaki yang bukan mahramnya, kecuali anggota tubuhnya yang zahir yakni bulatan muka dan kedua tapak tangan.

Setelah menerangkan bandingan nur hidayah per- tunjuk Allah, lalu diterangkan perihal orang- orang yang beriman, dan bahawa mereka di dunia berada dalam sinaran cahaya hidayah yang berla- pis-lapis, yang dilimpahi Allah Taala kepada mereka, dan di akhirat pula mereka akan menerima sebaik-baik balasan disebabkan amal-amal salih yang mereka kerjakan.

Setelah itu ditegaskan bahawa umat Islam yang beriman dan beramal salih akan dikurniakan memegang kuasa pemerintahan di bumi. Apa yang telah dijanjikan oleh Allah Taala telah berlaku, kerana umat Islam yang pada mulanya kecil jumlahnya, ditindas dan diancam oleh musuh telah berjaya terutama dalam zaman Nabi dan sahabat-sahabat

Baginda mencapai kuasa pemerintahan, menghancurkan musuh-musuh yang menceroboh, dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia. Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa Allah jualah yang menguasai dan mengetahui keadaan sekalian makhluknya, dan mereka semua akan kembali kepadaNya untuk diterangkan kepada mereka apa yang mereka telah kerjakan.

:::: Best viewed with 1024x 768 resolution using IE 5.0 and above :::::
CopyrightŪ 2014. All rights reserved. The Government of Malaysia