Fri November 28, 2014

Profil Surah
Juzuk : 28 No. Surah :66 Surah:AT-TAHRIIMBil. Ayat:12

MUQADDIMAH SURAH AT-TAHRIIM

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 12 ayat. Dinamakan surah "At-Tahriim" (Mengharamkan), kerana pada awal surah ini Allah Taala menegur Junjungan kita Nabi Muhammad (s.a.w.), mengapa ia haramkan dengan bersumpah menyekat dirinya daripada menikmati apa yang telah dihalalkan oleh Allah baginya. Perkara yang dijauhi oleh Baginda itu tidak diterangkan di dalam Al-Quran, tetapi ada disebutkan dalam hadith Bukhari.

Intisari kandungannya: Menerangkan tentang setengah dari isteri-isteri Nabi yang terlanjur merancangkan satu perkara kerana didorong oleh perasaan cemburu kepada madunya yang lain sehingga menimbulkan satu masaalah yang menyusahkan Baginda. Perbuatan mereka yang demikian ditegur oleh Allah Taala serta diperintahkan mereka bertaubat.

Setelah menerangkan perihal isteri-isteri Nabi dan memberi ingat kepada mereka akibat menyalahi perintah Nabi (s.a.w.), lalu diperingatkan kepada sekalian umat Islam supaya menyelamatkan diri dan keluarga masing-masing dari bahaya melanggar perintah-perintah ugama, iaitu tiap- tiap seorang wajib mempelajari serta mengajar anak isteri dan keluarganya dengan ajaran-ajaran dan adab peraturan Islam supaya ia dan keluarganya terselamat dari kemurkaan Allah Taala dan azabNya.

Kemudian mereka diperintahkan supaya bertaubat kepada Allah dengan "Taubat Nasuha" semoga mereka diampunkan dan dibersihkan dari kekotoran dosa. Setelah itu Allah Taala perintahkan Nabi Muhammad (s.a.w.) berjihad menentang orang-orang kafir yang menceroboh dan menyekat penyiaran Islam, dan juga supaya Baginda bertindak terhadap orang-orang munafik dengan mengenakan hukuman yang sesuai dengan angkara yang mereka lakukan.

Surah ini diakhiri dengan memberikan misal perbandingan bagi orang-orang yang kafir mengenai duaorang perempuan yang telah ditak- dirkan menjadi kafir meskipun tiap-tiap seorang dari keduanya ialah isteri Nabi, Nabi Nuh dan Nabi Lut.

Serentak dengan itu diberikan misal perbandingan yang lain bagi orang-orang yang beriman, mengenai dua orang perempuan yang telah ditakdirkan menjadi orang yang beriman iaitu isteri Firaun dan Siti Maryam meskipun mereka berada dalam masyarakat yang kebanyakannya dari orang-orang kafir.

:::: Best viewed with 1024x 768 resolution using IE 5.0 and above :::::
CopyrightŪ 2014. All rights reserved. The Government of Malaysia