Tue September 23, 2014

Profil Surah
Juzuk : 1 No. Surah :2 Surah:AL-BAQARAHBil. Ayat:286

MUQADDIMAH SURAH AL-BAQARAH

Surah ini ialah surah yang panjang sekali di antara surah-surah Al-Quran, mengandungi 286 ayat, dan meliputi juz pertama, juz kedua, dan tiga per lapan dari juz ketiga.

Surah "Al-Baqarah" ini diturunkan di Madinah sebaik-baik sahaja Nabi (s.a.w) berhijrah ke Madinah dan orang-orang Islam terbentuk sebagai satu umat dalam sebuah negara merdeka Negara Islam, yang berpenduduk bukan sahaja dari orang- orang Islam tetapi juga sebahagian kecil di antaranya ialah orang-orang Yahudi dan lain- lainnya.

Bagi memenuhi hajat umat Islam yang baharu terbentuk itu, yang memerlukan hukum-hukum syarak untuk mengatur hidupnya supaya selamat sempurna, dan memandu usaha mengembang- kan Islam kepada orang-orang yang bukan Islam, maka turunlah ayat-ayat suci yang terkandung di dalam surah Al-Baqarah ini dari semasa ke semasa, menurut peristiwa-peristiwa yang berlaku, memenuhi maksud-maksud dan tujuan yang tersebut.

Kandungan surah Al-Baqarah ini pada umumnya terbahagi kepada dua bahagian.

Dalam bahagian yang pertama kecuali beberapa ayat pada permulaan surah ini yang menegaskan kebenaran Al-Quran, dan menerangkan sifat orang-orang yang beriman, orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan menyeru umat manusia seluruhnya supaya menyembah Allah Yang Maha Esa dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain, serta diterangkan tentang kejadian manusia dan alam langit dan bumi, dan tentang balasan baik nikmat syurga), dan balasan buruk azab neraka), dan juga tentang perihal Nabi Adam (a.s.) serta keingkaran Iblis mulai dari ayat 39, firman Allah Taala ditujukan kepada kaum musyrik Arab dan kaum Yahudi supaya mereka memeluk Islam, dengan beriman kepada Kitab Allah Al-Quran dan kepada RasulNya Nabi Muhammad (s.a.w.).

Dalam bahagian yang kedua pula diterangkan secara luas tentang hukum-hukum syarak bagi mengatur kehidupan umat Islam meliputi: "ibadat" (sembahyang, zakat, puasa,haji, dan jenis-jenis kebajikan "Muamalat": berjualbeli, hutang piutang, wasiat, menjadi saksi dan sebagainya) "Munakahat": (nikah kahwin, talak dan segala yang berhubung dengannya) "Jinayat" (jenayah) serta soal-soal umum yang lain.

Dalam Sahih Muslim ada satu hadith yang maksud- nya: "Bacalah kamu surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat (kebaikan yang banyak), dan membiarkannya (mencuaikannya) menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa dan orang-orang yang menceburkan diri dalam keadaan yang batil (yang salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya".

:::: Best viewed with 1024x 768 resolution using IE 5.0 and above :::::
CopyrightŪ 2014. All rights reserved. The Government of Malaysia