:: RANCANGAN MALAYSIA KE SEMBILAN (2006-2010) ::
BAB 25 : TADBIR URUS BAIK UNTUK PEMBANGUNAN

II : KEMAJUAN 2001-2005


25.03 Dalam tempoh RMKe-8, PIN telah dilancarkan bertujuan membentuk masyarakat yang bermoral dan beretika serta mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan tahap etika yang tinggi dan seterusnya menyahut cabaran keempat Wawasan 2020. Undang-undang dan peraturan disemak semula.

1 “Kerajaan yang adil dan beramanah.”
2 “Kehidupan berkualiti.”
3 “Keutuhan budaya dan moral.”serta langkah penguatkuasaan diperketat oleh pelbagai badan kawal selia untuk mempertingkat tadbir urus korporat. Langkah juga telah diperkenal untuk memperkukuh etika perniagaan yang baik dalam sektor korporat.

Pelan Integriti Nasional

25.04 Pelaksanaan PIN dimulakan pada bulan April 2004 dengan pelancaran TEKAD 2008, fasa pertama ke arah meningkatkan tahap etika dan integriti serta memastikannya menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat. PIN bertujuan:

a) mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan;

b) meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi kerenah birokrasi;

c) meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan;

d) memantapkan institusi keluarga; dan

e) menambah baik kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.


25.05 Institut Integriti Malaysia (IIM) telah ditubuhkan pada tahun 2004 untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan PIN. Dalam fasa pertama, enam agensi utama telah dikenal pasti untuk menerajui pelaksanaan PIN, iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran. Di samping itu, kira-kira 100,000 penjawat awam telah menjalani latihan untuk menerap nilai murni dan etika dalam tugas harian.

25.06 Indeks Integriti Nasional (IIN) yang mengandungi enam indeks kecil, iaitu Indeks Rasuah Malaysia; Indeks Penyampaian Perkhidmatan Awam Malaysia; Indeks Tadbir Urus Korporat dan Etika Perniagaan Malaysia; Indeks Kepaduan Keluarga dan Masyarakat Malaysia; Indeks Budi Bahasa Malaysia; dan Indeks Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Masyarakat Malaysia sedang dibangun untuk mengukur tahap integriti di negara ini. Kajian rintis telah dilaksana di negeri Perak untuk menguji keandalan dan kesahan IIN.

Tadbir Urus Korporat yang Baik

25.07 Dalam tempoh Rancangan, pelbagai undang-undang dan peraturan telah disemak semula untuk meningkatkan kecekapan dan tadbir urus baik dalam sektor korporat. Peraturan seperti Syarat Penyenaraian (Listing Requirements), Nota Amalan (Practice Notes) dan Nota Panduan (Guidance Notes) telah disemak semula untuk mempertingkat tahap tadbir urus korporat serta menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan bermaklumat. Semakan semula merangkumi keperluan pengarah syarikat menghadiri Program Akreditasi Mandatori (Mandatory Accreditation Programme) dan Program Pendidikan Berterusan (Continuing Education Programme). Bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pasaran modal yang cekap dan teguh, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia Securities Berhad (BMSB) telah menggubal rangka kerja tadbir urus korporat bagi syarikat yang tersenarai di bursa saham. Rangka kerja tersebut meliputi penubuhan jawatankuasa audit bebas oleh syarikat untuk memastikan pengurusan kewangan yang berhemat dan telus.

25.08 Tadbir urus korporat di sektor kewangan juga telah dipertingkatkan menerusi kajian semula ke atas rangka kerja tadbir urus korporat untuk institusi kewangan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang merangkumi peranan dan kelayakan minimum pengarah bebas serta isu pampasan. Piawai Audit Dalaman Minimum (Minimum Internal Audit Standards) juga telah digubal sebagai panduan dan ukuran prestasi audit dalaman serta menambah baik keberkesanan operasi institusi kewangan.

25.09 Langkah juga telah diambil untuk mempertingkat tadbir urus baik di kalangan syarikat yang tidak tersenarai di bursa saham. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mempergiat aktiviti pengawasan dan kempen kesedaran awam untuk memastikan pematuhan peruntukan Akta Syarikat 1965 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Peratusan syarikat yang mengemukakan Penyata Tahunan, maklumat pemegang saham, modal dan akaun yang telah diaudit meningkat daripada 44.0 peratus pada Disember 2003 kepada 64.0 peratus pada Disember 2004. SSM telah melatih pengarah syarikat untuk memastikan mereka memahami tanggungjawab dari segi perundangan dalam pengurusan syarikat. Sehingga bulan Mei 2005, sebanyak 2,350 kursus telah dijalankan melibatkan 106,590 pengarah syarikat.

25.10 Dalam tempoh Rancangan, Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Pembangunan Produk(Product Development Advisory Committee) dan Pasukan Petugas Mengenai Panduan Maklumat Kewangan Pro Forma (Task Force on Guidance on Pro Forma Financial Information) untuk melindungi kepentingan pemegang saham minoriti. MSWG juga menjalankan Penyiasatan Penarafan Tadbir Urus Korporat(Corporate Governance Rating Survey) dan membangunkan Kad Saringan Tadbir Urus Korporat (Corporate Governance Screen Card) serta Lembaran Kawalan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (Corporate Governance Monitoring Control Sheet) untuk membantu pencapaian amalan tadbir urus korporat baik berdasarkan standard tertinggi.

25.11 Badan bukan kerajaan (NGO) seperti Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) dan Institut Etika Perniagaan Malaysia (BEIM) juga telah mengambil inisiatif untuk menambah baik tadbir urus korporat. MICG melaksanakan 30 program latihan tadbir urus korporat melibatkan 7,000 peserta. BEIM juga menjalankan program latihan untuk mempromosi Rukuniaga Malaysia serta mewujud kesedaran mengenai kepentingan amalan perniagaan beretika. Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) menubuhkan Jawatankuasa Amalan Perniagaan Beretika pada tahun 2002 sebagai wadah untuk menggalak tadbir urus korporat serta nilai dan amalan perniagaan beretika. Institut Juru Audit Dalaman Malaysia (IIAM) telah bekerjasama dengan agensi berkenaan untuk menjadikan etika, tadbir urus korporat yang baik dan integriti sebagai budaya di kalangan ahlinya serta pihak berkepentingan. Kerjasama ini merangkumi penerbitan Garis Panduan Fungsi Audit Dalaman (Guidelines on Internal Audit Functions) dan Buku Panduan Baru Tadbir Urus Korporat (New Handbook on Corporate Governance) pada tahun 2002 serta penyiasatan mengenai Fungsi Audit Dalaman Syarikat-Syarikat Awam Tersenarai pada tahun 2004. Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) telah menubuhkan Jawatankuasa Tetap Penambahbaikan Etika Perniagaan pada tahun 2003 untuk menyediakan pendidikan berterusan dan sokongan kepada ahlinya yang ingin mempertingkat amalan tadbir urus. Pada tahun 2004, Piagam Nilai Perniagaan Teras telah dibangunkan berasaskan amalan terbaik yang telah dikenal pasti oleh syarikat multinasional di negara ini.

Menangani Rasuah

25.12 Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memperhebat usaha menangani rasuah menerusi pendekatan serampang tiga mata, iaitu pencegahan, pendidikan masyarakat dan tindakan punitif melalui penguatkuasaan yang tegas. Dalam tempoh Rancangan, BPR telah menyiasat sejumlah 5,901 kes rasuah dan membuat 2,359 tangkapan. Daripada jumlah ini, 1,033 kes telah dihadapkan ke mahkamah, seperti ditunjukkan dalam Jadual 25-1. BPR juga telah menjalankan tapisan keutuhan ke atas anggota utama dalam sektor awam dan swasta bagi tujuan kenaikan pangkat, penganugerahan bintang oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri serta lantikan ke jawatan penting.

Jadual 25-1 : Kes Rasuah, 2001-2005



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM