:: RANCANGAN MALAYSIA KE SEMBILAN (2006-2010) ::
BAB 03 : MEMPERKASA PERTANIAN DAN INDUSTRI BERASASKAN PERTANIAN

II : KEMAJUAN 2001-2005


3.03 Dalam tempoh RMKe-8, sektor pertanian mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi dari segi pengeluaran, nilai ditambah dan eksport, dipacu oleh penggunaan teknologi baru, peralihan kepada pengeluaran komersil berskala besar, pelaksanaan sistem pertanian berkelompok yang lebih meluas serta akses kepada pasaran dan harga komoditi yang lebih baik. Penekanan diberikan kepada pembangunan semula tanah pertanian yang telah diberi milik terutamanya untuk mempercepat pemodenan dan menambah baik produktiviti. Peningkatan output sektor pertanian telah menyumbang kepada pendapatan dan kehidupan yang lebih baik, terutamanya bagi petani di kawasan luar bandar.

Prestasi Pertumbuhan

3.04 Nilai ditambah sektor pertanian berkembang pada kadar purata 3.0 peratus setahun dalam tempoh Rancangan, iaitu lebih tinggi daripada sasaran 2.0 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-1. Kadar pertumbuhan yang lebih tinggi ini dicapai hasil daripada prestasi yang lebih baik dalam sektor kecil komoditi pertanian untuk industri terutamanya kelapa sawit dan getah. Sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkurangan sedikit daripada 8.9 peratus pada tahun 2000 kepada 8.2 peratus pada tahun 2005. Walau bagaimanapun, jumlah nilai ditambah sektor pertanian meningkat daripada RM18.7 bilion pada tahun 2000 kepada RM21.6 bilion pada tahun 2005. Nilai ditambah bagi industri berasaskan pertanian berkembang pada kadar purata 4.5 peratus setahun, mencapai RM16.9 bilion pada tahun 2005. Jumlah nilai ditambah bagi sektor pertanian dan industri berasaskan pertanian adalah sebanyak RM38.5 bilion atau 14.7 peratus daripada KDNK pada tahun 2005. Jumlah eksport pertanian dan industri berasaskan pertanian juga meningkat pada kadar purata 9.5 peratus setahun, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-2.

Jadual 3-1 : Nilai Ditambah Pertanian dan Industri berasaskan Pertanian 2000-2010



3.05 Guna tenaga dalam sektor pertanian terus mengalami penguncupan pada kadar purata 0.2 peratus setahun kepada 1.4 juta pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3-3. Walau bagaimanapun, produktiviti tenaga buruh meningkat dari segi nilai di tambah bagi setiap tenaga kerja pada kadar purata 3.7 peratus setahun daripada RM13,120 pada tahun 2000 kepada RM15,750 pada tahun 2005. Banci Pertanian 20051 telah mengenal pasti seramai 816,813 individu atau 7.2 peratus daripada jumlah tenaga buruh terlibat dalam sektor pertanian. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 52.8 peratus adalah pengusaha pertanian, 37.2 peratus pekerja dan 10.0 peratus adalah pekerja keluarga tidak bergaji. Dari segi profil umur, 43.8 peratus adalah dalam kumpulan umur 55 tahun dan ke atas manakala hanya 25.3 peratus dalam kumpulan umur 15 hingga 40 tahun.

Jadual 3-2 : Eksport Pertanian dan Industri berasaskan Pertanian 2000-2010



Penggunaan Tanah

3.06 Penggunaan tanah pertanian meningkat daripada 5.9 juta hektar pada tahun 2000 kepada 6.4 juta hektar pada tahun 2005, sebahagian besarnya berikutan daripada peluasan kawasan kelapa sawit, kelapa, sayur-sayuran dan buah-buahan. Daripada jumlah keluasan tanah tersebut, kelapa sawit meliputi 4 juta hektar dan getah 1.3 juta hektar. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 163,000 hektar tanah pertanian terus terbiar. Usaha untuk mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar terhalang oleh beberapa kekangan terutamanya tuan tanah yang tidak dapat dikesan, tuan tanah dan petani yang berusia lanjut serta kesukaran dalam menyatukan tanah pribumi dan tanah adat.

Pengeluaran Pertanian

3.07 Dalam tempoh Rancangan, pengeluaran komoditi pertanian kecuali kayu balak, koko dan lada hitam, terus mencatat pertumbuhan positif. Peningkatan pengeluaran adalah berikutan harga yang tinggi dan peluasan pasaran serta pelaksanaan program dan projek secara berkesan untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti output.

Komoditi Pertanian untuk Industri

3.08 Pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) meningkat pada kadar purata 6.7 peratus setahun berikutan peningkatan hasil, kadar perahan minyak (OER) yang lebih tinggi, peluasan kawasan matang serta harga minyak sawit yang lebih tinggi. Industri minyak sawit mendapat manfaat daripada kekurangan bekalan minyak dan lelemak sayuran di pasaran dunia yang menyebabkan harga minyak sawit mencapai paras tertinggi RM1,610 satu tan metrik dalam tempoh Rancangan.

3.09 Pengeluaran getah meningkat pada kadar purata 3.9 peratus setahun, terutamanya hasil kenaikan permintaan untuk getah asli, khususnya dari Republik Rakyat China yang menyebabkan harga getah meningkat ke paras yang lebih tinggi. Pengeluaran yang lebih tinggi juga berikutan peningkatan aktiviti penorehan dan penggunaan Sistem Torehan Intensiti Rendah (LITS) yang meluas di kalangan pekebun kecil. Keadaan ini telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan bulanan purata pekebun kecil daripada RM500 kepada RM2,000.

3.10 Pengeluaran biji koko merosot kepada 28,000 tan metrik pada tahun 2005 selaras dengan pengurangan kawasan tanaman disebabkan oleh kejatuhan harga biji koko yang berterusan. Pengeluaran lada hitam berkurangan kepada 19,100 tan metrik pada tahun 2005 terutamanya disebabkan harga yang rendah dan kos pengeluaran yang tinggi. Pelaksanaan sistem penanam-pengawet, naik taraf kemudahan pengairan dan saliran serta khidmat sokongan yang lebih baik telah menyumbang kepada peningkatan pengeluaran tembakau kepada 14,000 tan metrik pada tahun 2005.

3.11 Selaras dengan komitmen yang berterusan untuk memulihara hutan semula jadi dan pelaksanaan pengurusan hutan secara mampan, kadar catuan tebangan tahunan (ACR) telah dikurangkan kepada 272,800 hektar setahun dalam tempoh Rancangan. Di samping itu, penebangan secara terpilih turut menyumbang kepada pengurangan kawasan yang boleh dibalak. Sehubungan itu, pengeluaran kayu balak berkurang pada kadar purata 1.6 peratus setahun.

Komoditi Makanan

3.12 Dalam tempoh Rancangan, pengeluaran komoditi makanan mencatat pertumbuhan positif hasil daripada pelaksanaan program dan projek secara agresif untuk meningkatkan pengeluaran dan eksport makanan. Sehubungan itu, tahap sara diri bagi hampir semua jenis makanan meningkat. Di samping itu, eksport makanan meningkat pada kadar purata 8.7 peratus setahun, iaitu lebih tinggi daripada kadar import 7.9 peratus.

3.13 Penyatuan sawah padi yang bersaiz kecil diteruskan melalui konsep pertanian secara berkelompok di lapan kawasan jelapang padi serta pelaksanaan Projek Sepuluh Tan Sehektar telah membolehkan penggunaan Amalan Pertanian Baik (GAP) yang lebih meluas dan pengurusan ladang yang lebih baik. Sehubungan ini, pengeluaran padi telah meningkat pada kadar purata 2.3 peratus setahun.

3.14 Peluasan kawasan tanaman buah-buahan mendorong peningkatan pengeluaran pada kadar purata 9.8 peratus setahun. Pengeluaran bertumpu kepada 15 jenis buah-buahan yang berpotensi untuk dikomersilkan. Pengeluaran kelapa meningkat pada kadar tahunan purata tahunan 4.8 peratus terutamanya berikutan penggunaan lebih banyak klon berhasil tinggi iaitu kelapa matang dan kelapa pandan serta peluasan kawasan tanaman dan peningkatan permintaan.

3.15 Pengeluaran sayur-sayuran meningkat pada kadar purata 13.8 peratus setahun. Peningkatan ini adalah hasil daripada peluasan kawasan tanaman, pelaksanaan aktiviti berasaskan estet secara intensif, produktiviti yang tinggi hasil daripada amalan pertanian yang baik serta peningkatan dalam kaedah pengendalian lepas tuai. Pengeluaran sayur-sayuran secara organik digalakkan lagi dengan pengenalan Skim Organik Malaysia yang membolehkan penanam menjual keluaran mereka pada harga premium. Pada akhir tempoh Rancangan, sebanyak 132 hektar kebun sayur-sayuran organik telah diberi pengesahan di bawah skim ini.

3.16 Pengeluaran ikan meningkat pada kadar purata 1.6 peratus setahun mencapai 1.6 juta tan metrik pada tahun 2005. Pencapaian ini adalah berikutan peningkatan tangkapan hasil laut serta peluasan aktiviti akuakultur, terutamanya oleh sektor swasta.

3.17 Pengeluaran ternakan mencatat pertumbuhan positif dalam tempoh Rancangan. Daging kambing mencatat pertumbuhan yang tertinggi pada kadar purata 10.8 peratus setahun diikuti oleh daging lembu pada kadar 10.2 peratus setahun. Peningkatan ini sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh penternakan lembu dan kambing di kawasan ladang kelapa sawit dan getah serta pemeliharaan lembu secara fidlot oleh sektor swasta. Industri ayam itik termasuk pengeluaran telur terus bertahan walaupun diancam wabak selesema burung pada tahun 2003. Keadaan ini adalah hasil penggunaan sistem reban tertutup secara meluas. Pengeluaran daging babi meningkat pada kadar purata 5.5 peratus setahun setelah pulih daripada wabak virus Nipah.

Sumber Pertumbuhan Baru

3.18 Pembangunan sumber pertumbuhan baru terutamanya ikan hiasan, rumpai laut, tuna dan florikultur diteruskan dalam tempoh Rancangan. Pengeluaran ikan hiasan meningkat daripada 306 juta ekor pada tahun 2000 kepada 438 juta ekor pada tahun 2005 dengan nilai pasaran sebanyak RM103 juta. Bagi rumpai laut, pengeluaran meningkat pada kadar tahunan purata sebanyak 73.7 peratus kepada 65,000 tan metrik pada tahun 2005 hasil daripada pengusahaan secara intensif berdasarkan konsep estet di kawasan pesisir pantai Sabah. Pelabuhan perikanan tuna bersepadu yang pertama telah dibina di Batu Maung, Pulau Pinang di bawah konsep penswastaan untuk menggalakkan pembangunan industri tuna. Prestasi industri florikultur terus berkembang dengan pengeluaran bunga-bungaan meningkat kepada 126 juta tangkai pada tahun 2005. Industri nurseri dan landskap telah dimajukan lagi untuk memperolehi manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap produk nurseri dan perkhidmatan landskap.

Industri Berasaskan Pertanian

3.19 Industri berasaskan pertanian berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun. Jumlah pendapatan eksport bagi industri berasaskan pertanian meningkat dengan ketara sebanyak 8.7 peratus, iaitu mencapai RM37.4 bilion pada tahun 2005. Pemprosesan keluaran akhir daripada komoditi pertanian untuk industri seperti minyak sawit, getah dan koko telah meningkat dalam tempoh Rancangan.

3.20 Untuk menggalakkan pemprosesan komoditi makanan dan menyokong pengeluar kecil, produk makanan dipasarkan terutamanya di bawah jenama Agromas dan Olemas. Bagi mencapai matlamat ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah menyediakan khidmat pengembangan kepada 14,883 usahawan. Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menghasilkan 44 produk makanan dan 200 teknologi pemprosesan terutamanya bagi membantu aktiviti enterpris kecil dan sederhana EKS).

Program Pertanian

3.21 Dalam tempoh Rancangan, program pertanian ditumpukan kepada menukar amalan pertanian tradisional kepada perladangan moden dan komersil bagi meningkatkan pendapatan, produktiviti dan daya saing petani. Dalam hubungan ini, usaha dipergiat bagi menggalakkan usahawan tani, petani dan pekebun kecil, terutamanya di kalangan Bumiputera, untuk mengguna pakai amalan agronomi yang baru dan pengurusan ladang secara moden, meningkatkan pejenteraan dan membiasakan mereka dengan GAP.

3.22 Tanam Semula. Program tanam semula di bawah pelbagai agensi yang meliputi tanam semula getah kepada getah dan getah kepada kelapa sawit telah mencapai 77.6 peratus daripada sasaran. Daripada jumlah ini, 74 peratus telah ditanam semula dengan getah dan selebihnya dengan kelapa sawit. Prestasi program ini telah terjejas berikutan harga getah yang tinggi yang menyebabkan pekebun kecil menangguh aktiviti tanam semula.

3.23 Penyatuan dan Pemulihan Tanah. Sejumlah 31,332 hektar tanah telah disatukan dan dipulihkan dengan FELCRA Berhad telah menyatukan seluas 10,200 hektar. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pula memulihkan 4,433 hektar tanah termasuk tanah terbiar untuk melaksana perladangan komersil bagi komoditi makanan yang telah memberi manfaat kepada 3,159 petani.

3.24 Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Dalam tempoh Rancangan, pengeluaran makanan secara komersil yang berskala besar telah dilaksanakan melalui penubuhan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di beberapa negeri termasuk Pahang, Selangor dan Johor. Objektif TKPM ini adalah untuk melahirkan usahawan tani dengan pendapatan minimum RM3,000 sebulan. Sehubungan ini, sebanyak 28 TKPM telah ditubuhkan, yang melibatkan 2,007 hektar tanah dan 319 usahawan tani.

3.25 Pembangunan Hutan. Bagi menyediakan bekalan kayu dan kayu getah yang mencukupi dan mampan kepada industri perabot tempatan, langkah telah diambil bagi menukarkan hutan terosot dan tanah terbiar kepada ladang hutan termasuk ladang hutan getah. Kira-kira 3,400 hektar ladang hutan getah telah dibangunkan di Semenanjung Malaysia.

3.26 Perkhidmatan Pemasaran. Perkhidmatan pemasaran, khususnya dalam sektor kecil makanan telah dipertingkatkan lagi dengan penubuhan FAMAXchange pada tahun 2004 dan peluasan portal Agribazaar. Di samping itu, portal lain juga dibangunkan termasuk Ikan Online, SIRIP dan Padi Net.

3.27 Pejabat wilayah bagi Unit Khidmat Nasihat Teknikal Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus berusaha bagi meningkatkan penerimaan pasaran dan penggunaan minyak sawit. Lembaga Getah Malaysia (LGM) terus berusaha untuk menggalakkan pelaburan tempatan dan pelaburan langsung asing dalam pengeluaran produk getah serta mempromosi keluaran getah kepada pengguna tempatan dan luar negeri.

3.28 Usaha untuk menembusi pasaraya besar dipergiat dengan mewujudkan lebih banyak kontrak pembekalan produk pertanian oleh agensi kerajaan. Pemasaran ikan laut diperkukuh melalui peningkatan penyertaan persatuan nelayan sebagai pemborong daripada 15 persatuan pada tahun 2002 kepada 43 persatuan pada tahun 2005. Di samping itu, jualan hasil pertanian di bawah jenama Malaysia’s Best, Agromas dan Olemas terus digalakkan. Pengenalan skim akreditasi ladang dan pembangunan piawai keselamatan makanan membolehkan produk pertanian tempatan memperoleh akses yang lebih meluas ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

3.29 Penyelidikan dan Pembangunan. Penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian terus diberi penekanan bagi mempertingkatkan lagi daya saing sektor ini. Dalam tempoh Rancangan, daripada 535 projek R&D yang dilaksanakan oleh agensi penyelidikan pertanian, sebanyak 90 telah dikomersilkan manakala 30 lagi sedia untuk dikomersilkan.

3.30 Latihan dan Khidmat Pengembangan. Tumpuan telah diberikan kepada pengkomersilan aktiviti pertanian, amalan pertanian moden, pengendalian lepas tuai, pemprosesan dan pemasaran. Pada akhir tempoh Rancangan, sejumlah 260,930 usahawan dan petani telah dilatih. Di samping itu, empat institusi latihan pertanian melaksanakan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan berdasarkan Piawaian Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) mulai tahun 2004. Semenjak pengenalannya, sejumlah 564 pelatih telah mendaftar dalam kursus berkaitan perikanan, sayur-sayuran, ternakan, pemprosesan makanan dan pemasaran.

3.31 Kredit Pertanian. Pengeluaran kredit untuk projek pertanian oleh sektor perbankan dalam tempoh Rancangan adalah berjumlah RM56.3 bilion. Jumlah ini hanya merupakan 2.5 peratus daripada keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan oleh sektor ini. Bank Pertanian Malaysia (BPM) mengeluarkan sejumlah RM3.4 bilion bagi meningkatkan pejenteraan ladang, menggalakkan penyertaan Bumiputera dan penyertaan siswazah dalam pertanian komersil serta menyediakan kredit mikro untuk pengeluaran makanan dan bantuan kewangan kepada EKS berasaskan pertanian. Dana khas juga telah diwujudkan untuk memberi bantuan kewangan kepada petani, pekebun kecil dan nelayan. Untuk tujuan ini, Dana Nelayan berjumlah RM63 juta telah memberi manfaat kepada 3,074 nelayan manakala Kumpulan Wang Pinjaman Pertubuhan Peladang menyediakan pinjaman bernilai RM79.6 juta kepada pertubuhan peladang. Sejumlah RM88.6 juta juga telah dikeluarkan kepada 642 petani dan usahawan di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED). Tabung ini digunakan untuk membantu usahawan yang terlibat dalam aktiviti pertanian, pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan desa untuk memulakan dan memperkembang perniagaan.

3.32 Pengairan dan Saliran. Sejumlah RM453 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai projek pengairan dan saliran pertanian serta sumber air bagi meningkatkan kawalan banjir dan bekalan air. Projek ini termasuk pembinaan kemudahan baru pengairan dan saliran, lintasan dan jalan ladang yang meliputi seluas 70,000 hektar kawasan pertanian serta Empangan Beris di Sik, Kedah.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM