:: RANCANGAN MALAYSIA KE SEMBILAN (2006-2010) ::
BAB 27 : PEMBANGUNAN MENERUSI KERJASAMA ANTARABANGSA

III : PROSPEK 2006-2010


27.16 Dalam tempoh RMKe-9, Malaysia akan terus memain peranan secara aktif untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa peringkat dua hala, serantau dan pelbagai hala bagi mewujudkan sistem yang lebih adil dan saksama pada peringkat antarabangsa untuk mencapai matlamat negara. Di samping tumpuan terus diberikan kepada bina upaya dan perkongsian pengalaman dengan negara Selatan, PKTM akan memula hala tuju strategik baru yang akan meningkatkan lagi penglibatan sektor swasta dan NGO dalam melaksanakan program serta memperkemas aktiviti bagi meningkatkan keberkesanan kos dan impak.

Kerjasama Dua Hala

27.17 Dalam tempoh Rancangan, Malaysia akan menerus dasar mengenai kerjasama pembangunan melalui penubuhan dan pengukuhan hubungan dua hala dengan negara maju dan negara membangun. Teras hubungan dua hala negara adalah untuk memperkukuh hubungan bagi faedah bersama. Pejabat perwakilan yang baru akan ditubuhkan di negara rakan manakala mekanisme Mesyuarat Suruhanjaya Bersama akan diperkukuh untuk memantap hubungan dua hala, terutama kerjasama dalam sains dan teknologi, pertukaran pendidikan dan kebudayaan serta perdagangan dan pelaburan. Sehubungan ini, perjanjian jaminan pelaburan (IGA), BPA dan Tatacara Kredit dan Pembayaran Minyak Sawit (POCPA) serta perjanjian perdagangan dan pelaburan akan dirundingkan antara Malaysia dengan negara yang menjalin kerjasama.

27.18 Bantuan Pembangunan Rasmi Dua Hala. Malaysia akan terus berusaha mendapatkan kerjasama daripada sumber tradisional pinjaman pembangunan bagi melaksanakan projek dalam bidang tumpuan yang dikenal pasti, terutama pembangunan modal insan. Malaysia dan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) akan menjalankan penilaian bersama mengenai projek ODA dua tahun selepas projek tersebut disiapkan bagi memasti projek berkenaan memberi faedah bersama. Melalui pendekatan ini projek akan dinilai daripada perspektif kedua-dua negara, dengan ini menyumbang kepada penggubalan projek masa hadapan.

27.19 Bantuan Teknikal Dua Hala. Dalam tempoh Rancangan, bantuan teknikal daripada Jepun akan berpandu kepada JMEPA. Sehubungan ini, inisiatif, program dan projek akan dilaksanakan di bawah Economic Partnership Programme (EPP), iaitu program di bawah Perjanjian tersebut. Di bawah EPP, kedua-dua negara adalah komited kepada objektif meningkatkan pembangunan sosioekonomi, memperkukuh daya saing, membangun modal insan, menggalak pembangunan mampan dan merapat jurang antara Malaysia dengan Jepun.

27.20 Bantuan teknikal akan terus merangkumi kajian pembangunan, kerjasama berbentuk projek, geran kebudayaan serta penghantaran Japan Overseas Cooperation Volunteers (JOCV), Japan Senior Volunteers (JSV) dan pakar. JOCV dan JSV akan ditempatkan untuk melengkap dan menyokong kerjasama berbentuk projek dan khidmat pakar. JOCV akan terus memberi khidmat, terutama dalam pembangunan desa, pendidikan khas, khidmat kebajikan masyarakat dan alam sekitar. Pengalaman dan kepakaran JSV akan terus menyumbang ke arah bina upaya serta pemindahan kepakaran teknikal dan industri untuk pembangunan sektor pembuatan.

27.21 Dalam tempoh Rancangan, kerjasama dengan Danish International Development Agency (DANIDA) akan terus ditumpu kepada komponen bahan berbahaya alam sekitar, pengurusan sisa pepejal dan pengurusan biodiversiti di bawah Environment Cooperation Programme (ECP). Unit Sokongan Program akan ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (UPE) pada tahun 2006 sebagai sekretariat untuk mengkaji dan melaksana projek ECP. Unit ini juga akan mengambil alih fungsi pasukan DANIDA di Kuala Lumpur mulai tahun 2007 seterusnya sementara DANIDA akan terus memberi sokongan kepada ECP dari segi prosedur dan perkara teknikal. Satu program sistem pemantauan ECP akan juga diwujud untuk memasti keberkesanannya.

27.22 Kerjasama teknikal dengan Jerman akan diterus melalui Deutsche Gesellschaft Fur Technische Zusammenarbeit (GTZ) bagi Projek Pendidikan Perhutanan Malaysia-Jerman dengan tempoh pelaksanaan selama enam tahun yang dijangka berakhir pada tahun 2009. Projek ini akan merangkumi pembangunan kurikulum dalam bidang perhutanan untuk kursus di peringkat ijazah dan ijazah lanjutan serta meningkat keupayaan penyelidikan dan khidmat nasihat. Melalui projek ini, Universiti Malaysia Sabah dijangka dapat membangunkan lagi Sekolah Antarabangsa Perhutanan Tropika yang akan menggalakkan pembangunan perhutanan yang mampan, terutamanya memandangkan jaraknya yang dekat dengan salah satu ekosistem hutan terbesar di dunia.

Kerjasama Serantau

27.23 Dalam tempoh Rancangan, Malaysia akan terus bekerjasama pada peringkat serantau untuk menjadikan rantau ini lebih dinamik dan meningkat lagi kerjasama antara rantau. Malaysia akan juga bekerjasama dengan negara serantau untuk menangani isu bersama dan meningkat daya saing untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan melalui integrasi ekonomi yang lebih rapat, khususnya di kalangan anggota ASEAN.

27.24 Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara. Malaysia bersama anggota ASEAN lain akan terus mengambil langkah untuk memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN ke arah mencapai matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang tahun 2020. Sehubungan ini, Malaysia akan bekerjasama secara aktif dengan anggota ASEAN untuk melaksana pelbagai inisiatif di bawah Vientiane Action Programme (VAP) dan Perjanjian Rangka Kerja Bagi Integrasi Sektor Utama. Liberalisasi sektor perkhidmatan yang dicepatkan dijangka akan menggalak perdagangan dalam perkhidmatan di kalangan anggota ASEAN dan juga menyedia ransangan yang perlu untuk mengekal dan meningkat pertumbuhan ekonomi.

27.25 Dalam tempoh Rancangan, selain daripada ASEAN-China FTA in Goods, ASEAN juga akan melaksana ASEAN-Korea FTA in Goods pada tahun 2006. Usaha akan dipertingkat untuk memuktamadkan rundingan FTA yang sedang berlangsung dengan rakan dialog lain. Semua FTA ini dijangka akan mempunyai impak penting ke atas ekonomi ASEAN dan menyedia pemangkin bagi terus menarik pelaburan asing ke rantau ini.

27.26 Malaysia akan terus memberi galakan dan menyokong kerjasama dalam rangka kerja ASEAN Plus Three ke arah penubuhan komuniti Asia Timur termasuk kemungkinan mewujud FTA Asia Timur. Kerjasama dengan Jepun, Republik Rakyat China dan Republik Korea akan diterus bagi menjayakan inisiatif pembangunan rantau kecil, terutama dalam kawasan Pertumbuhan Segi Tiga dan usaha untuk mengurangkan jurang pembangunan antara negara anggota ASEAN. Malaysia akan juga menerajui usaha memperkemas dan memperkukuh ASEAN melalui penilaian semula institusi dan menerima pakai Piagam ASEAN.

27.27 Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik. Malaysia akan terus memberi penekanan untuk memperkukuh pembangunan ekonomi serantau dan meningkatkan kemakmuran bersama di rantau Asia Pasifik. Sehubungan ini, perdagangan dan pemudahan perniagaan akan dilaksana dengan kos menjalankan perniagaan dikurangkan dan inisiatif bina upaya akan terus diberi penekanan. Malaysia akan menggalak lagi usaha di kalangan negara anggota untuk meningkat kerjasama ekonomi dan teknikal serta membina keupayaan modal insan dan institusi.

Kerjasama Pelbagai Hala

27.28 Dalam tempoh Rancangan, Malaysia akan terus menyertai dan menyokong program organisasi pelbagai hala. Malaysia akan berusaha ke arah pembaharuan PBB bagi menjadikan proses membuat keputusan peringkat global lebih demokratik, memperkukuh usaha pelbagai hala dan menangani isu kemiskinan di negara Selatan. Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan PBB dalam usaha menjaga keamanan dan ke arah penyelesaian konflik. Walau pun bantuan teknikal daripada sumber pelbagai hala berkurang dalam tempoh Rancangan, kerjasama akan diteruskan terutamanya untuk mencapai sasaran melepasi MDG.

27.29 Malaysia akan mempromosi kaedah kerjasama baru melalui rundingan dengan rakan pembangunan termasuk pelaksanaan projek secara perkongsian kos. Di samping itu, Malaysia dengan kerjasama komuniti antarabangsa akan terus melaksana kaedah yang inovatif untuk membiayai pembangunan infrastruktur di negara membangun.

27.30 Pertubuhan Persidangan Islam. Bagi meningkat lagi hubungan ekonomi di kalangan anggota OIC, Malaysia akan bekerjasama dengan negara anggota untuk melaksana inisiatif perniagaan yang akan menggalakkan perdagangan dan pelaburan antara negara anggota. Kerjasama ini termasuk meningkat peluang untuk memperoleh barangan dan perkhidmatan berkualiti daripada negara anggota. Malaysia akan bekerjasama dengan negara anggota untuk meningkat pewujudan kekayaan melalui aktiviti seperti pengeluaran dan pembekalan produk dan perkhidmatan halal, perbankan dan kewangan Islam, pendidikan serta pelancongan.

27.31 Untuk mempromosi semangat berdikari, Malaysia akan terus menggalak negara OIC yang lebih membangun membantu pembangunan ekonomi negara anggota yang kurang membangun melalui bina upaya dengan tujuan membasmi kemiskinan. Pendekatan ini akan merapat jurang pembangunan yang ketara antara 10 negara OIC yang juga anggota OPEC dengan 22 negara OIC yang dikategorikan oleh PBB sebagai negara kurang membangun. Dalam melaksanakan Program Bina Upaya Negara OIC, Malaysia akan bekerjasama dengan IDB dan negara OIC yang lain membantu negara anggota berpendapatan rendah dan negara kurang maju yang dikenal pasti. Program ini termasuk bina upaya dalam bidang perikanan di Bangladesh, pembangunan perusahaan kecil dan pembiayaan mikro di Aceh, Indonesia, pembangunan sumber minyak dan galian di Mauritania serta bina upaya dalam industri kelapa sawit di Sierra Leone. Di samping itu, Fasa II program ini melibatkan Comoros, Guinea, Maldives, Burkina Faso, Palestin dan Somalia.

27.32 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Tempoh Malaysia menjadi Pengerusi NAM akan berakhir pada tahun 2006 dan akan diambil alih oleh Cuba. Sebagai bekas negara pemimpin NAM, Malaysia akan terus aktif dalam menyumbang kepada pengukuhan NAM bagi menghadapi cabaran baru global, menggalak dan memperkukuh usaha pelbagai hala, memastikan kedaulatan undang-undang antarabangsa dan satu order dunia yang demokratik dan saksama serta keamanan dan kestabilan global. Pusat Pembangunan Gender di Malaysia yang ditubuhkan di bawah NAM akan menerajui program yang akan menyumbang ke arah pembangunan gender di kalangan negara anggota.

27.33 Bank Pembangunan Asia. Untuk mengukuh keupayaan negara, Malaysia akan terus menyertai program yang ditawarkan oleh ADB. Di samping itu, kerjasama dengan ADB akan merangkumi perkongsian pengalaman pembangunan dengan negara Selatan melalui lawatan sambil belajar dibiayai oleh ADB dalam pelbagai bidang teknikal. Bidang kerjasama baru akan diteroka bagi meningkat daya saing negara dan menggalakkan kadar pertumbuhan yang mampan dalam rantau ini serta integrasi ekonomi yang lebih kukuh.

27.34 Bank Pembangunan Islam. Malaysia akan terus bekerjasama dengan IDB untuk menggalak dan memperkukuh lagi kerjasama di kalangan negara anggota termasuk menyokong aktiviti Suruhanjaya Wawasan 1440H IDB. Sebagai Pengerusi Suruhanjaya ini, Malaysia akan memainkan peranan utama dalam merangka pelan tindakan IDB untuk meningkat kerjasama perniagaan dan hubung kait ekonomi melalui rundingan dengan negara anggota.

27.35 Malaysia akan menyumbang kepada bina upaya dan pembangunan institusi sistem kewangan global Islam dengan mengguna kepakaran, pengalaman dan pengetahuan sedia ada. Sehubungan ini, Malaysia akan menawar program bina upaya dalam bidang pasaran modal Islam melalui Pusat Pembangunan Industri Sekuriti, iaitu institusi pendidikan dan latihan Suruhanjaya Sekuriti. Usaha akan juga dijalankan untuk bekerjasama dengan institut penyelidikan dan latihan IDB dan negara anggota lain ke arah mewujud sekumpulan profesional Muslim dalam bidang pasaran modal.

27.36 Malaysia akan terus memperoleh pembiayaan daripada IDB dan menyertai program bina upaya untuk negara anggota termasuk program sangkutan, penghantaran pakar dalam bidang teknikal khusus dan menjadi tuan rumah program lawatan sambil belajar daripada negara anggota. Dalam tempoh Rancangan, kerjasama dengan IDB akan dipertingkat melalui pemberian 200 biasiswa secara perkongsian kos kepada pelajar daripada negara IDB untuk mengikuti kursus pada peringkat siswazah dan pasca siswazah di universiti tempatan.

27.37 Bank Dunia. Kerjasama dengan Bank Dunia adalah terutamanya melalui bantuan teknikal dalam bidang tertentu seperti pelaburan, daya saing, pendidikan dan pertanian. Pakar antarabangsa yang akan melaksanakan aktiviti khidmat nasihat khusus akan terus diambil daripada Bank Dunia, sekiranya diperlukan.

27.38 Agensi Khusus PBB. Dalam tempoh Rancangan, bantuan teknikal daripada agensi khusus PBB dijangka akan berkurang. Sehubungan ini, kaedah pembiayaan baru akan diteroka untuk melaksana projek dengan rakan pembangunan. Bagi meneruskan kerjasama dengan UNICEF, Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan yang terdiri daripada wakil agensi Kerajaan dan NGO akan mengkaji semula dan memperaku kaedah alternatif untuk dilaksanakan secara sistematik dan telus bagi mengoptimumkan sumber sedia ada setelah Program Pelan Tindakan Negara UNICEF berakhir pada tahun 2007. Kerjasama dengan UNFPA juga akan dikaji semula dalam tempoh Rancangan untuk memaksimum faedah kepakarannya. Projek kerjasama yang dilaksana secara perkongsian kos dengan rakan pembangunan dijangka semakin meningkat.

27.39 Bantuan teknikal daripada rakan pembangunan pelbagai hala seperti UNDP, UNFPA, UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memberi tumpuan untuk mencapai sasaran melepasi MDG melalui projek pengurangan kemiskinan, pengurusan alam sekitar, tadbir urus, kesihatan, pendidikan dan isu mengenai gender. Kerjasama dengan rakan pembangunan akan semakin berasas kepada pembiayaan bersama, iaitu apabila Malaysia terus mencapai kemajuan dalam bidang tersebut. Pembiayaan bagi projek seperti kepelbagaian biologi, kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharu, perubahan cuaca dan pengurangan pengeluaran chlorofluorocarbons (CFC) serta bahan lain yang mengurangkan lapisan ozon (ODS) ke dalam atmosfera akan terus diperoleh daripada tabung pelbagai hala termasuk Tabung Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF). Malaysia juga akan menggunakan rangkaian global agensi khusus PBB untuk mendapat akses kepada idea baru.

27.40 Kerjasama Selatan-Selatan dengan rakan pembangunan pelbagai hala akan dipertingkatkan. Sehubungan ini, Malaysia akan terus berkongsi pengalaman pembangunan dengan negara Selatan, terutama negara Afrika dan Asia Tengah dengan memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan, perancangan pembangunan dan pembangunan EKS. Aktiviti ini melibat latihan khusus jangka pendek dan lawatan sambil belajar yang akan dikendalikan bawah PKTM serta kerjasama dengan agensi pembangunan antarabangsa lain.

27.41 Organisasi Pelbagai Hala Lain. Rundingan dengan WTO akan ditumpu kepada peningkatan akses pasaran tanpa memasukkan isu luaran. Malaysia akan mengguna sepenuhnya penyertaan sebagai pemerhati dalam lapan jawatankuasa serta tiga kumpulan kerja dan pakar dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) untuk meningkatkan lagi keupayaan menangani cabaran baru perdagangan antarabangsa. Di samping itu, Malaysia akan dapat menyuara pandangan terhadap isu perdagangan yang berkaitan dan terlibat dalam penggubalan dasar.

Program Kerjasama Teknikal Malaysia

27.42 Sebagai pelopor utama kepada kerjasama Selatan-Selatan dan selaras dengan dasar “prosper-thy-neighbour”, Malaysia melalui PKTM akan terus menawar kerjasama teknikal kepada negara Selatan yang lain dalam tempoh Rancangan. PKTM akan memain peranan lebih strategik dalam memperkukuh perkongsian pintar, meningkatkan hubungan dua hala dan menggalakkan keupayaan berdikari di kalangan negara membangun melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman serta pembangunan modal insan. PKTM akan berusaha untuk bekerjasama rapat dengan sektor swasta dan NGO serta melaksana program secara perkongsian kos dengan negara anggota dan rakan pembangunan seperti JICA dan Rancangan Colombo bagi meluaskan skop dan liputannya.

27.43 Teras strategik PKTM adalah untuk mempromosi perkongsian kerjasama, penglibatan lebih giat sektor swasta dan NGO serta pelancongan, industri, kesihatan dan pendidikan. Mekanisme pelaksanaan, pemantauan dan penilaian PKTM akan diperkukuh bagi meningkatkan impak dan keberkesanannya.

27.44 Selaras dengan usaha untuk meningkat kerjasama Selatan-Selatan, PKTM akan memperluas program untuk mempromosi perkongsian di kalangan negara anggota. Pendekatan tersebut akan memperkukuh lagi hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala antara PKTM dengan negara anggota.

27.45 PKTM akan terus bekerjasama dengan NGO untuk membantu negara yang terlibat dengan tsunami dalam pengurusan risiko bencana. Kerjasama dengan NGO termasuk menganjurkan kursus bina upaya seperti pengurusan bencana dengan MERCY Malaysia serta untuk bantuan kemanusiaan.

27.46 Dalam tempoh Rancangan, usaha akan diambil bagi menggalakkan pelancongan, industri, kesihatan dan pendidikan melalui PKTM dengan merangkumi program lawatan ke destinasi pelancongan, industri serta kemudahan kesihatan ke dalam kurikulum kursus. Biasiswa peringkat lepasan ijazah yang disediakan bawah PKTM akan diperlengkap dengan program biasiswa khas, iaitu Program Biasiswa Antarabangsa Perdana, yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

27.47 Langkah akan diambil untuk meningkat impak PKTM melalui pengukuhan mekanisme pelaksanaannya, pemantauan dan penilaian. Kaedah sedia ada kerjasama teknikal di kalangan negara membangun (TCDC) akan terus dihalusi dan skopnya diperluas terutama bagi menangani jurang digital, pembasmian kemiskinan dan tadbir urus ke atas perdagangan dan pelaburan global serta mempromosi proses ke arah pembentukan keamanan. Kaedah ini akan dikaji secara berterusan bagi mencerminkan keperluan semasa negara penerima. PKTM akan melaksana kursus TCTP dengan kerjasama rakan pembangunan seperti JICA dan Rancangan Colombo dalam bidang khusus dengan penyertaan lebih luas institusi sektor swasta.

27.48 Usaha akan dipertingkat untuk bekerja rapat dengan perwakilan Malaysia di luar negara bagi melaksana PKTM secara lebih berkesan. Perwakilan tersebut akan membantu menubuh persatuan alumni dan menjalin rangkaian dalam negara anggota. Program PKTM akan terus menggunakan rangkaian alumni sebagai forum untuk mendapat input merancang hala tuju masa hadapan PKTM. Rangkaian alumni akan dijadikan sebagai sumber pakar rujuk seminar, bengkel dan persidangan. Rangkaian tersebut juga akan dipertingkat dengan penubuhan data exchange yang akan membolehkan perkongsian maklumat di kalangan semua institusi latihan.

27.49 Program PKTM akan terus aktif menyokong kerjasama Selatan-Selatan termasuk kerjasama dengan pertubuhan pelbagai hala, negara penderma dan negara membangun lain untuk menyediakan TCTP dan bentuk kerjasama teknikal lain kepada negara anggota. Sehubungan ini, lebih ramai negara anggota akan digalakkan untuk menyertai program sebagai rakan kongsi PKTM melalui kaedah perkongsian kos. Pendekatan tersebut akan diguna pakai kepada negara anggota yang lebih membangun, terutamanya negara yang mempunyai pendapatan per kapita lebih tinggi daripada Malaysia.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM