:: RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG KEDUA 1991 - 2000 ::
BAB 06 : PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

III : KEPENDUDUKAN, TENAGA BURUH DAN GUNATENAGA


Kependudukan

6.08 Penduduk Malaysia dijangka bertambah daripada 18 juta pada tahun 1990 kepada 22.7 juta pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan tahunan penduduk adalah lebih rendah iaitu 2.3 peratus berbanding dengan 2.6 peratus dalam dekad lapan puluhan seperti di Jadual 6-1. Keadaan ini disebabkan terutamanya oleh kesuburan keseluruhan yang dijangka berkurangan. Ini menghasilkan saiz keluarga yang kecil. Penurunan kesuburan adalah disebabkan oleh tahap pendidikan penduduk yang lebih tinggi, peningkatan perbandaran, perkahwinan yang dilewatkan dan taraf hidup yang bertambahbaik. Unjuran arahaliran sehingga tahun 2000 adalah selaras dengan matlamat pertumbuhan penduduk yang dijangkakan di bawah Dasar Penduduk 70 Juta. Berdasarkan kadar pertumbuhan penduduk semasa dan jangkaan penurunan kesuburan pada masa hadapan hasil daripada pembangunan sosio-ekonomi, saiz penduduk ini boleh dicapai pada tahun 2100.

6.09 Perubahan dalam komposisi umur merupakan satu komponen penting dalam perubahan demografi. Dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, penduduk dalam kumpulan umur bawah 15 tahun dijangka bertambah pada kadar purata 1.6 peratus setahun. Ini menggambarkan penurunan jumlah kadar kesuburan daripada 3.8 pada tahun 1990 kepada 3.4 pada tahun 2000. Bahagian kumpulan umur ini akan berkurangan daripada 37.5 peratus jumlah penduduk pada tahun 1990 kepada 34.8 peratus pada tahun 2000 seperti di Jadual 6-1. Sebaliknya, bahagian penduduk dalam kumpulan umur bekerja iaitu 15-64 tahun akan meningkat daripada 58.8 peratus pada tahun 1990 kepada 60.8 peratus pada tahun 2000. Di samping itu, kumpulan umur 65 tahun dan keatas akan meningkat dari segi bilangan dan juga kadar pertumbuhan. Keadaan ini disebabkan oleh jangka hayat yang meningkat hasil daripada peningkatan keseluruhan kualiti hidup penduduk.

6.10 Perubahan dalam struktur umur penduduk Malaysia akan memberi kesan yang ketara kepada ekonomi negara. Pertambahan penduduk dalam lingkungan umur bekerja pada kadar 2.6 peratus setahun bermakna lebih banyak peluang pekerjaan perlu diwujudkan dalam dekad akan datang. Oleh kerana bahagian penduduk dalam lingkungan umur bekerja dijangka lebih besar daripada bahagian penduduk dalam kumpulan umur bawah 15 tahun dan 65 tahun ke atas, nisbah tanggungan keseluruhan akan berkurangan daripada 70pada tahun 1990 kepada 64 menjelang tahun 2000 seperti di Jadual 6-1.

6.11 Dalam usaha meningkatkan lagi kualiti penduduk, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan dan kebajikan keluarga. Program-program perkhidmatan kesihatan dan sosial akan ditumpukan kepada usaha meningkatkan lagi kualiti hidup pada keseluruhannya, terutamanya di negeri-negeri kurang maju. Dengan bertambahnya bilangan golongan tua, pertimbangan yang lebih akan diberi kepada perancangan kesihatan, kebajikan dan perkhidmatan keselamatan sosial untuk memenuhi keperluan khusus golongan ini.

Tenaga Buruh

6.12 Jumlah tenaga buruh iaitu komponen penduduk berumur 15-64 tahun yang terdiri daripada mereka yang bekerja dan yang menganggur, dijangka bertambah daripada 7.0 juta pada tahun 1990 kepada 9.4 juta pada tahun 2000 atau meningkat pada kadar 2.9 peratus setahun seperti di Jadual 6-2. Pertumbuhan tenaga buruh ini berpunca daripada bertambahnya penduduk umur bekerja serta kadar penyertaan tenaga buruh yang dijangka meningkat daripada 66 peratus kepada 68 peratus seperti di Jadual 6-3.

6.13 Dengan meningkatnya tahap pendidikan dan bertambahnya peluang pekerjaan, lebih ramai lagi wanita dijangka menyertai kegiatan ekonomi secara aktif. Dalam tempoh ini, kadar penyertaan tenaga buruh wanita dijangka meningkat daripada 47 peratus kepada 49 peratus, sementara kadar penyertaan tenaga buruh lelaki adalah 86 peratus. Memandangkan perlunya tenaga buruh wanita yang berkualiti lebih tinggi, program-program untuk meningkatkan kemahiran mereka akan diperkenalkan bagi membolehkan mereka menyertai proses pembangunan dengan lebih berkesan.

6.14 Dalam tempoh RRJP2, tenaga buruh dianggar bertambah pada kadar 2.9 peratus setahun. Ini akan menambahkan bilangan tenaga buruh sebanyak 2.4 juta. Tenaga buruh akan menjadi lebih terpelajar, terlatih dan mempunyai profil umur yang lebih tua seperti di Jadual 6-3.

Gunatenaga

6.15 Memandangkan bilangan tenaga manusia yang memasuki pasaran buruh kian bertambah dan di samping itu masih wujud pengangguran, dasar gunatenaga akan ditumpukan ke arah meningkatkan kadar pewujudan pekerjaan baru. Oleh kerana sumber utama pendapatan isirumah ialah upah, pewujudan peluang- peluang pekerjaan terutamanya dalam kegiatan nilai ditambah yang lebih tinggi akan terus menjadi kaedah penting. Ini boleh menambah pendapatan,mengurangkan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia. Kesemua ini bukan sahaja bergantung kepada langkah untuk meningkat dan mengekalkan tahap pertumbuhan ekonomi yang tinggi, tetapi juga kepada usaha memperbaiki suasana pasaran buruh dan meningkatkan mutu sumber manusia melalui pendidikan, latihan dan latihan semula. Sistem maklumat pasaran buruh juga akan diperkemaskan untuk mengurangkan ketidaksesuaian kemahiran dan memudahkan mobiliti buruh. Sistem upah juga perlu peka dan responsif kepada keadaan pasaran yang berubah. Peningkatan kualiti tenaga buruh akan menambahkan produktiviti dan ini akan meningkatkan pendapatan pekerja.

6.16 Berdasarkan pertumbuhan KDNK sebenar pada kadar 7 peratus setahun dalam tempoh ini, permintaan buruh akan bertambah sebanyak 3.1 peratus setahun. Oleh yang demikian, jumlah gunatenaga dijangka bertambah daripada 6.6 juta pada tahun 1990 kepada 9.0 juta pada tahun 2000. Pada kadar pertumbuhan gunatenaga ini dan pertumbuhan penawaran buruh pada kadar 2.9 peratus setahun, kadar pengangguran, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 6-2, akan berkurang daripada 6 peratus pada tahun 1990 kepada 4 peratus menjelang akhir dekad ini.

6.17 Dalam usaha meningkatkan penggunaan buruh dalam ekonomi, dasar gunatenaga akan mengambilkira profil penganggur sediada. Keadaan pengangguran pada umumnya bersifat jangka pendek dan tertumpu di kalangan golongan muda. Dari segi tahap pendidikan, taburan pengangguran menunjukkan kira-kira dua pertiga daripada jumlah penganggur mempunyai pendidikan menengah. Peratusan penganggur berpendidikan tinggi telah meningkat, manakala peratusan penganggur yang tidak berpendidikan formal atau berpendidikan rendah telah menjadi lebih kecil. Tenaga pekerja yang memasuki pasaran buruh pada masa hadapan adalah daripada golongan muda, berpendidikan dan mudah bergerak. Oleh yang demikian, latihan yang lebih adalah diperlukan untuk memudahkan penyerapan mereka ke dalam pasaran buruh.

6.18 Pada umumnya, kadar pengangguran adalah lebih tinggi di negeri-negeri kurang maju berbanding dengan negeri-negeri lebih maju yang mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan. Oleh yang demikian, lebih banyak peluang pekerjaan akan wujudkan menerusi usaha mempelbagaikan asas ekonomi dan menyediakan kemudahan pendidikan dan latihan yang lebih baik di negeri-negeri kurang maju.

Gunatenaga mengikut Sektor

6.19 Dari perspektif sektor, adalah dijangka sektor perkhidmatan akan menyumbangkan peratusan terbesar gunatenaga baru. Sektor pembuatan pula akan menyediakan 36 peratus dari pada peluang pekerjaan baru, manakala sumbangan sektor pertanian kepada jumlah gunatenaga dijangka turun daripada 28 peratus kepada 20 peratus, selaras dengan perubahan struktur yang berlaku dalam ekonomi seperti di Jadual 6-2.

6.20 Sektor perkhidmatan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam tempoh RRJP2, iaitu 55 peratus dari pada keseluruhan pekerjaan baru. Daripada 1.3 juta pekerjaan baru yang dijangka diwujudkan dalam sektor ini, sebahagian besar adalah dalam sektor kecil perkhidmatan pengedaran yang terdiri daripada perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran. Selaras dengan pertumbuhan ekonomi keseluruhannya, sektor kecil pengangkutan, penyimpanan dan perhubungan; sektor kecil kewangan, insuran, hartanah dan perkhidmatan perniagaan serta perkhidmatan-perkhidmatan lain akan turut menyumbang kepada pertambahan gunatenaga. Peluang gunatenaga juga akan bertambah dalam kegiatan berkaitan dengan pelancongan dan perkhidmatan perundingan. Peluang-peluang ini akan wujud berikutan daripada peluasan dan pelbagaian aktiviti sektor perkhidmatan. Walau bagaimanapun, bagi sektor perkhidmatan Kerajaan pertumbuhan gunatenaga dijangka sederhana selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mengurangkan saiz dan peranan sektor awam.

6.21 Walaupun sektor pembuatan akan menjadi bertambah penting dari segi nilai ditambah, penggunaan buruh secara intensif atau kadar penyerapan buruh dalam sektor ini akan berkurang, selaras dengan bertambahnya penggunaan loji yang moden dan berjentera. Memandangkan industri-industri akan terus berkembang ke arah keluaran nilai ditambah yang lebih tinggi, permintaan buruh dijangka tertumpu kepada pekerja mahir. Ini memerlukan peningkatan kemahiran tenaga buruh. Sektor ini dijangka menyediakan kira-kira 853,700 pekerjaan baru atau kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan gunatenaga baru. Sektor pembinaan juga dijangka mencatatkan pertambahan gunatenaga yang besar, hasil daripada paras perbelanjaan awam yang tinggi ke atas infrastruktur fizikal dan sosial serta pelaburan swasta dalam pembangunan hartanah. Kira-kira 237,500 pekerjaan baru akan diwujudkan dalam sektor ini yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan gunatenaga baru.

6.22 Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK dan gunatenaga dijangka berkurangan. Pengurangan jumlah gunatenaga sektor pertanian adalah disebabkan oleh pemodenan sektor ini dan jangkaan penghijrahan keluar tenaga kerja dari kawasan luar bandar berikutan daripada peningkatan taraf pendidikan dan tarikan pekerjaan dari kawasan bandar. Walau bagaimanapun, nilai mutlak keluaran pertanian akan mencatat pertambahan hasil daripada perusahaan pertanian secara moden dan komersial serta peningkatan produktiviti. Sektor ini akan kekal sebagai sektor penting yang menyumbangkan sebanyak 20 peratus daripada jumlah gunatenaga.

Komposisi Pekerjaan

6.23 Kategori pekerjaan yang berkembang paling pesat adalah yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan, jualan, ikhtisas dan teknikal, dan pengeluaran, selaras dengan perkembangan kegiatan sektor pembuatan dan perkhidmatan seperti di Jadual 6-4. Pekerjaan-pekerjaan ini akan menyumbangkan 1.8 juta pekerjaan baru atau 76.7 peratus daripada pekerjaan baru yang akan diwujudkan dalam tempoh tersebut. Daripada jumlah pekerjaan baru yang diwujudkan bagi tempoh RRJP2, sebanyak 38.5 peratus merupakan permintaan terhadap pekerja pengeluaran, terutamanya dalam kegiatan pembuatan dan pembinaan.

6.24 Kategori pekerjaan ikhtisas dan teknikal dijangka menyediakan sebanyak 320,000 pekerjaan baru dalam tempoh tersebut yang mana 48 peratus daripadanya adalah dalam pekerjaan teknikal. Peningkatan teknologi pengeluaran daripada jenis pemasangan mudah dan bercorak operasi memproses kepada penggunaan mesin automatik canggih akan memerlukan 153,000 jurutera dan pembantu jurutera serta juruteknik terutamanya dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal dan elektronik. Permintaan terhadap saintis dan teknologis dalam kegiatan penyelidikan dan pembangunan (P&P) juga akan meningkat. Memandangkan hasrat untuk mengekal dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, permintaan terhadap guru serta kakitangan perubatan dan kesihatan akan terus berada pada tahap yang tinggi bagi tempoh tersebut seperti di Jadual 6-5.

6.25 Gunatenaga dalam pekerjaan ikhtisas dan teknikal terpilih seperti kejuruteraan, perubatan dan kesihatan serta perguruan dijangka mengalami pertambahan sebanyak 244,000 menjelang tahun 2000. Pertambahan ini akan dipenuhi oleh keluaran daripada institusi latihan dan pendidikan sektor awam dan swasta dalam negeri serta institusi-institusi luar negeri. Oleh yang demikian, penglibatan sektor swasta khususnya dalam latihan pembantu jurutera dan juruteknik adalah penting. Sektor ini dijangka mengeluarkan 32 peratus daripada anggaran permintaan 122,900 pembantu jurutera dan juruteknik dalam tempoh tersebut. Ini adalah selaras dengan dasar menggalakkan penglibatan yang lebih sektor swasta dalam pembangunan sumber manusia.

6.26 Perubahan tugas dan bidang kerja dalam kategori pekerjaan pentadbiran dan pengurusan akan diiringi oleh pertumbuhan dalam pekerjaan pengurusan. Oleh yang demikian, pengurus dan penyelia dalam sektor awam dan swasta perlu mempunyai kecekapan teknikal yang lebih luas untuk membolehkan mereka mengendalikan operasi yang lebih rencam dan gabungan peralatan dan pekerja mahir yang lebih besar Berhubung dengan kategori pekerjaan jualan dan perkeranian, penekanan akan diberi kepada pengetahuan yang lebih mendalam mengenai keluaran, kemahiran berkomunikasi, kemahiran pengendalian keyboard, pengetahuan perisian komputer dan kesedaran perdagangan yang lebih luas. Sejumlah 828,600 pekerjaan baru akan diwujudkan dalam ketiga-tiga kategori pekerjaan ini seperti di Jadual 6-4. Institusi pendidikan dan latihan tempatan berupaya menyediakan latihan dan pendidikan yang diperlukan oleh kumpulan pekerjaan ini.

6.27 Bagi pekerja pertanian, bilangan gunatenaga dijangka berkurang kerana pekerja Malaysia yang lebih berpendidikan dan terlatih memilih pekerjaan di sektor pembuatan dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, produktiviti pekerja pertanian akan meningkat berikutan daripada bertambahnya P&P dalam aktiviti-aktiviti huluan dan penggunaan teknologi baru serta mekanisasi.

6.28 Lebih ramai pekerja mahir diperlukan di peringkat pengeluaran berikutan proses perindustrian yang lebih pesat dan penggunaan teknologi baru. Keadaan ini akan menambahkan permintaan terhadap tenaga manusia yang mempunyai kecekapan asas ketukangan yang luas dan kemahiran sokongan. Keutamaan akan diberi untuk meningkatkan penggunaan institusi pendidikandan latihan yang sediada di samping menambahkan lagi kemudahan ini. Lebih banyak kemudahan latihan di peringkat sijil dan diploma akan juga disediakan. Memandangkan proses pendidikan dan latihan ditumpukan kearah memenuhi keperluan tenaga manusia negara dimasa hadapan, program pendidikan dan latihan akan lebih berorientasikan sains dan teknologi. Untuk memberi peluang yang lebih kepada Bumiputera, terutamanya di luar bandar, mendapat pendidikan tinggi lebih banyak sekolah berasrama penuh dan kemudahan- kemudahan yang lebih baik akan disediakan. Kaum bukan Bumiputera yang miskin akan juga diberi peluang yang lebih untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh dan meningkatkan peluang pendidikan untuk menambah mobiliti sosio-ekonomi mereka.

6.29 Walaupun kemudahan pendidikan dan latihan akan ditambah dan disediakan oleh sektor awam dan swasta, rakyat Malaysia terus digalakkan mendapat pendidikan dan pengalaman yang berfaedah di luar negeri. Langkah mempelajari teknologi dan teknik pengurusan baru di luar negeri akan membolehkan rakyat Malaysia merapatkan jurang perbezaan teknologi. Sejajar dengan ini, Kerajaan akan terus menghantar pelajar Malaysia ke institusi-institusi terkemuka luar negeri dalam bidang-bidang terpilih ke arah meningkatkan usaha menghapuskan ketidakseimbangan sosio-ekonomi. Wanita dalam Pembangunan

6.30 Penyertaan wanita dalam proses pembangunan bagi dua dekad yang lalu telah meningkat. Pekerja wanita merupakan 35 peratus daripada tenaga buruh pada tahun 1988. Kira-kira 82 peratus pekerja wanita terdiri daripada pekerja bergaji dan pekerja keluarga tidak bergaji. Sungguhpun perbezaan upah antara lelaki dan wanita semakin berkurangan, ianya terus wujud dalam beberapa sektor ekonomi tertentu. Menyedari pentingnya peranan wanita dalam pembangunan, dasar di masa hadapan akan ditumpu ke arah memastikan penyediaan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada mereka. Lebih banyak kemudahan latihan dan latihan semula akan disediakan bagi membolehkan pekerja wanita menyesuaikan diri dengan teknologi baru serta memperbaiki mobiliti mereka di dalam dan di antara pekerjaan. Pada masa yang sama, maklumat pasaran buruh akan diperkemaskan untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan mengenai peluang pekerjaan dan keperluan yang berkaitan. Bagi menggalakkan penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, terutamanya di kalangan wanita yang berkahwin, langkah-langkah tambahan sedang dipertimbangkan untuk menggalakkan mereka menyertai pekerjaan yang produktif di samping memenuhi tanggungjawab mereka kepada keluarga.

Upah

6.31 Dalam usaha mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat, antara langkah-langkah yang akan diambil untuk memenuhi permintaan buruh ialah menawar pekej insentif yang lebih menarik. Sektor swasta akan digalak untuk menyediakan insentif tersebut sejajar dengan keadaan pasaran buruh, bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan memasuki sektor ladang dan sektor kecil lain yang mengalami kekurangan buruh.

6.32 Pengalaman pada tahun-tahun lapan puluhan menunjukkan bahawa upah dalam sektor tersusun adalah agak tegar dan tidak mudah berubah berbanding dengan produktiviti dan keuntunan. Ini disebabkan oleh perjanjian-perjanjian bersama yangbersifat kontrak yang tidak membenarkan upah diubahsuai di masa keadaan ekonomi merosot dan prestasi syarikat kurang baik. Keadaan ini boleh menyebabkan pemberhentian pekerja. Dalam jangkamasa panjang, ketegaran upah akan menghadkan pengwujudan peluang- peluang pekerjaan dan menjejas kebajikan pekerja. Permintaan kenaikan upah tanpa mengambilkira keupayaan firma membayar, akan memberi kesan yang negatif kepada pekerja dan majikan. Seterusnya keupayaan ekonomi untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan dan menggalak pelaburan baru akan terjejas. Oleh yang demikian, adalah perlu bagi pekerja dan majikan bekerjasama bagi mempastikan perhubungan perindustrian harmonis sebagai asas kepada pasaran buruh yang berdaya saing.

6.33 Walaupun diakui paras upah perlu ditingkatkan untuk menambah pendapatan dan memperbaiki taraf hidup, daya saingan Malaysia perlu dipertahankan, terutamanya dalam sektor eksport. Untuk mempastikan kos pengeluaran seunit terus berdaya saing, kenaikan upah perlu dikaitkan dengan produktiviti. Satu sistem penyelarasan upah yang lebih baik yang mengaitkan perubahan upah dengan produktiviti akan menjaga kepentingan pekerja dan majikan. Di samping menyediakan insentif kepada majikan untuk menambah peluang pekerjaan, sistem ini juga akan mengurangkan pemberhentian pekerja semasa ekonomi merosot. Sehubungan dengan ini, Kerajaan akan berusaha ke arah mewujudkan satu sistem upah yang mengaitkan perubahan upah dan produktiviti.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM