:: RANCANGAN MALAYSIA KE LAPAN (2001-2005) ::
BAB 04 : KEPENDUDUKAN, GUNA TENAGA DAN PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

II : KEMAJUAN, 1996-2000


4.03 Rancangan Malaysia Ketujuh telah dilancarkan dalam keadaan ekonomi mengalami kekurangan tenaga buruh tetapi krisis ekonomi telah melembapkan permintaan terhadap tenaga buruh pada tahun 1998. Kadar pengangguran yang meningkat daripada 2.5 peratus pada tahun 1996 kepada 3.4 peratus pada tahun 1999 menunjukkan pengurangan dalam penggunaan tenaga buruh. Namun begitu, pertumbuhan ekonomi negara yang semakin pulih telah mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.1 peratus pada akhir tempoh Rancangan. Walau bagaimanapun, peralihan kaedah dan proses pengeluaran kepada yang berintensif modal serta aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyebabkan berlakunya kekurangan tenaga manusia berkemahiran tinggi dalam bidang tertentu.

Kependudukan

4.04 Penduduk Malaysia dianggar berjumlah 23.27 juta pada tahun 2000, iaitu meningkat pada kadar purata 2.4 peratus setahun dalam tempoh RMKe-7, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-1. Kadar pertumbuhan penduduk terus berkurangan dengan penurunan dalam kadar kesuburan sejajar dengan halatuju negara ke arah mencapai status negara maju. Kadar kesuburan didefinisikan sebagai bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang wanita dalam tempoh umur kesuburannya. Dalam tempoh Rancangan, bilangan penduduk warganegara Malaysia bertambah pada kadar purata 2.3 peratus setahun manakala penduduk bukan warganegara pula meningkat pada kadar yang lebih tinggi, iaitu 4.3 peratus. Umur penengah penduduk pada tahun 2000 ialah 23.9 tahun, mencerminkan bahawa Malaysia masih mempunyai struktur umur penduduk yang muda.

4.05 Nisbah tanggungan, iaitu jumlah tanggungan bagi setiap 100 orang penduduk dalam kumpulan umur bekerja telah berkurangan daripada 62.7 peratus pada tahun 1995 kepada 59.1 peratus pada tahun 2000. Penurunan nisbah tanggungan ini disebabkan oleh pertambahan bilangan penduduk dalam kumpulan umur bekerja, iaitu 15-64 tahun dan berkurangnya bilangan penduduk di bawah umur 15 tahun serta kadar pertumbuhan yang lebih perlahan bagi penduduk berumur 65 tahun dan ke atas. Bilangan penduduk dalam kumpulan umur bekerja telah berkembang pada kadar yang lebih cepat berbanding dengan penduduk di bawah umur 15 tahun dan jumlah penduduk keseluruhannya. Penduduk bukan warganegara merupakan 7.6 peratus daripada jumlah penduduk dalam kumpulan umur bekerja.

4.06 Kadar pertumbuhan penduduk warganegara Malaysia mengikut komposisi etnik berbeza dengan ketara kerana perbezaan dalam arah aliran kesuburan. Bilangan penduduk Bumiputera meningkat pada kadar purata 3.2 peratus setahun



kerana kadar kesuburan mereka adalah yang tertinggi, iaitu 3.62 dan merupakan 66.1 peratus daripada jumlah warganegara Malaysia pada tahun 2000. Penduduk keturunan Cina yang mempunyai kadar kesuburan 2.57 telah bertambah pada kadar purata 1.4 peratus setahun dan merupakan 25.3 peratus daripada jumlah warganegara manakala penduduk keturunan India dengan kadar kesuburan 2.55 telah bertambah pada kadar 1.8 peratus dan merupakan 7.4 peratus daripada jumlah warganegara.

4.07 Peratusan penduduk yang bermastautin di kawasan bandar terus meningkat daripada 55.1 peratus pada tahun 1995 kepada 61.8 peratus pada tahun 2000, bertambah pada kadar purata 4.8 peratus setahun. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh penghijrahan pekerja bagi mendapat peluang ekonomi dan jangkaan kualiti hidup yang lebih baik di kawasan bandar. Di samping itu, perluasan sempadan pentadbiran perbandaran juga merupakan penyumbang kepada peningkatan tersebut.

Tenaga Buruh

4.08 Penduduk dalam kumpulan umur bekerja terus meningkat dalam tempoh RMKe-7 pada kadar purata 2.8 peratus setahun dan merupakan 62.9 peratus daripada jumlah penduduk pada tahun 2000. Krisis ekonomi telah memberi kesan kepada penyertaan tenaga buruh akibat berkurangnya peluang pekerjaan dan bertambahnya bilangan pekerja yang memilih untuk tidak bekerja setelah menerima skim pemberhentian secara sukarela. Walau bagaimanapun, bilangan tenaga buruh terus meningkat tetapi pada kadar yang rendah berbanding dengan Rancangan Malaysia Keenam (RMKe-6), iaitu 3.0 peratus setahun dan berjumlah 9.6 juta pada tahun 2000. Penyiasatan Tenaga Buruh (PTB) yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa 55.3 peratus tenaga buruh bekerja di bandar. Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat daripada 64.9 peratus pada tahun 1995 kepada 65.5 peratus pada tahun 2000. Kadar penyertaan tenaga buruh lelaki telah meningkat sedikit daripada 85.3 peratus pada tahun 1995 kepada 85.4 peratus pada tahun 2000 manakala kadar penyertaan tenaga buruh wanita pula meningkat daripada 43.5 peratus kepada 44.5 peratus.

4.09 Dalam tempoh RMKe-7, lebih daripada 1.3 juta orang memasuki pasaran buruh dengan purata 254,400 orang setahun. Walau bagaimanapun, bilangan tenaga buruh dalam kumpulan umur 15-24 tahun berkurangan kesan daripada pemanjangan tempoh pendidikan universal daripada sembilan kepada sebelas tahun. PTB menunjukkan bahawa tahap pendidikan tenaga buruh meningkat semenjak tahun 1992 dan lebih separuh daripada jumlah tenaga buruh mempunyai pendidikan menengah. Tenaga buruh berpendidikan tertiari juga meningkat daripada 11.1 peratus pada tahun 1995 kepada 14.0 peratus pada tahun 2000.

4.10 RMKe-7 bermula dalam keadaan ekonomi menghadapi masalah kekurangan tenaga buruh selepas negara mengalami tahap guna tenaga penuh selama lima tahun berturut-turut. Bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh yang berterusan, firma-firma terutamanya dalam sektor pembuatan telah mengambil pekerja asing. Nisbah pekerja asing kepada tenaga buruh semakin teruk, iaitu daripada 1:10 pada tahun 1995 kepada 1:8 pada tahun 1997 tetapi bertambah baik kepada 1:13 pada tahun 2000. Walaupun pasaran buruh beransur pulih pada pertengahan tempoh Rancangan, sesetengah firma dalam sektor pertanian, pembinaan dan pembuatan terus mengalami kekurangan tenaga buruh. Daripada 749,200 pekerja asing yang mempunyai permit kerja pada tahun 2000, 31.3 peratus adalah dalam sektor pembuatan, 22.9 peratus dalam sektor pertanian, 8.7 peratus dalam sektor pembinaan, 7.4 peratus dalam sektor perkhidmatan dan 20.3 peratus sebagai pembantu rumah. Pegawai dagang yang merupakan pekerja asing berkemahiran tinggi pula mewakili 9.4 peratus daripada rakyat asing yang bekerja di Malaysia. Usaha mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing terutamanya yang tidak mahir termasuk meningkatkan levi bagi pekerja dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan. Pengambilan pekerja asing baru hanya dibenarkan bagi sektor kecil tertentu untuk tempoh maksimum tiga tahun, kecuali pegawai dagang dan pembantu rumah. Di samping itu, kos perubatan bagi pekerja asing yang mendapat rawatan di klinik kerajaan dan hospital turut ditingkatkan.

Guna Tenaga Mengikut Sektor

4.11 Dalam tempoh Rancangan, guna tenaga telah bertambah pada kadar purata 3.0 peratus setahun, iaitu bersamaan dengan kadar pertumbuhan tenaga buruh, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-2. Sebahagian besar pengurangan permintaan tenaga buruh berbanding dengan tempoh RMKe-6 berpunca daripada lebihan keupayaan dan tahap pelaburan baru yang rendah pada tahun 1998 yang menyebabkan guna tenaga menguncup sebanyak 2.9 peratus terutamanya dalam sektor pembinaan, pembuatan dan pertanian. Walau bagaimanapun, keadaan pasaran buruh bertambah baik dengan pemulihan aktiviti ekonomi dalam negeri menjelang akhir tempoh Rancangan. Sebanyak 1.3 juta pekerjaan telah diwujudkan dan kadar pengangguran ialah 3.1 peratus pada akhir tempoh Rancangan.

4.12Sektor perkhidmatan yang merupakan 48.6 peratus daripada jumlah guna tenaga pada tahun 2000 telah mencatat peningkatan sederhana dalam guna tenaga, iaitu pada kadar purata 3.9 peratus setahun atau 787,800 pekerjaan baru. Walaupun krisis ekonomi telah menjejaskan pertumbuhan sektor kecil kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, sektor kecil ini pulih dengan mencatatkan purata pertumbuhan guna tenaga yang tertinggi, iaitu 6.4 peratus setahun hasil pelaksanaan langkah pemulihan yang berkesan. Sektor kecil perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran telah berkembang pada kadar purata 3.7 peratus setahun, iaitu lebih tinggi daripada yang disasarkan hasil pengukuhan permintaan pengguna berikutan pemulihan ekonomi.

4.13 Guna tenaga dalam sektor pembuatan berkembang pada kadar purata 4.8 peratus setahun dalam tempoh Rancangan. Sektor pembuatan merupakan penyumbang utama pewujudan pekerjaan, iaitu 530,800 pekerjaan baru dan ini meningkatkan bahagiannya dalam jumlah guna tenaga kepada 27.6 peratus pada tahun 2000 daripada 25.3 peratus pada tahun 1995. Peningkatan permintaan dunia terhadap barangan elektrik dan elektronik serta daya saing Malaysia dalam industri ini telah menyumbang kepada pewujudan pekerjaan dalam sektor pembuatan.



4.14 Krisis ekonomi telah menyebabkan prestasi sektor pembinaan terjejas dengan teruk kesan daripada lebihan penawaran terutamanya ruang pejabat, ruang perniagaan dan premis rumah mewah serta kesukaran mendapat pembiayaan kewangan. Keadaan ini mempengaruhi pewujudan peluang pekerjaan dalam tempoh Rancangan. Meskipun permintaan guna tenaga mengalami pertumbuhan negatif pada tahun 1998 dan 1999, sektor ini berkembang pada kadar purata 1.0 peratus setahun dalam tempoh Rancangan kesan daripada pelaksanaan rangsangan fiskal.

4.15 Guna tenaga dalam sektor pertanian terus menguncup walaupun pada kadar yang kurang daripada yang dijangkakan, iaitu 1.2 peratus setahun. Keadaan ini adalah kerana pekerja kembali bekerja di sektor tersebut memandangkan permintaan guna tenaga di sektor lain berkurangan dalam tempoh 1998-1999. Walau bagaimanapun, sektor perladangan masih mengalami kekurangan pekerja seramai 19,000 orang pada tahun 2000 kerana keengganan pekerja tempatan bekerja di sektor ini.

Guna Tenaga Mengikut Pekerjaan

4.16 Permintaan terhadap pekerja telah menunjukkan peralihan kepada pekerjaan yang memerlukan pencapaian pendidikan yang lebih tinggi dan latihan profesional selaras dengan perubahan strategik ke arah aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi. Guna tenaga dalam semua kumpulan pekerjaan utama meningkat dalam tempoh Rancangan dengan permintaan bagi kategori profesional dan teknikal serta pentadbiran dan pengurusan mencatat pertumbuhan tertinggi, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-3.

4.17Kategori pekerja profesional dan teknikal berkembang pada kadar purata 5.2 peratus setahun dalam tempoh Rancangan, iaitu 17.9 peratus daripada jumlah pekerjaan yang diwujudkan atau 227,900 pekerjaan baru. Oleh itu, bahagiannya dalam jumlah guna tenaga meningkat daripada 9.9 peratus pada tahun 1995 kepada 11.0 peratus pada tahun 2000. Lebih daripada satu per empat daripada pekerjaan yang diwujudkan dalam kategori ini adalah pekerjaan teknikal dan ICT hasil penggunaan modal yang lebih besar dan perluasan penggunaan ICT di kebanyakan sektor. Permintaan terhadap pekerja yang mempunyai kemahiran teras IT seperti kejuruteraan sistem, pembangunan perisian, pengaturcara komputer, pembangunan dan reka bentuk cip serta penganalisaan dan reka bentuk sistem berjumlah 108,000 pada tahun 2000 berbanding dengan 88,160 pada tahun 1998. Permintaan untuk jurutera meningkat kepada 61,030 dan pembantu jurutera 143,220 terutamanya dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik, mekanikal, awam serta kimia, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-4.






4.18 Bagi menyediakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang berkualiti, seramai 29,600 profesional perubatan dan kesihatan dan 45,860 pembantu profesional kesihatan diperlukan pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, institusi pendidikan tertiari awam dan swasta tempatan hanya dapat mengeluarkan 8,590 profesional perubatan dan kesihatan dan 24,170 pembantu profesional kesihatan dalam tempoh Rancangan. Terdapat kekurangan yang serius bagi pakar pediatrik, obstetrik dan ginekologi, pakar bedah, paramedik pergigian dan ahli farmasi. Pada masa yang sama, peningkatan permintaan untuk pendidikan peringkat rendah dan menengah telah menyebabkan pertambahan bilangan guru kepada 306,590 pada tahun 2000. Namun begitu, masih terdapat kekurangan yang kritikal bagi guru mata pelajaran tertentu seperti Matematik, Sains dan bahasa Inggeris.

4.19 Usaha untuk membangunkan keupayaan saintifik dan teknologi tempatan menyebabkan bertambahnya kakitangan penyelidikan dan pembangunan (P&P) daripada 5.1 bagi setiap 10,000 tenaga buruh pada tahun 1996 kepada 7.0 pada tahun 1998. Nisbah kakitangan P&P ini adalah rendah berbanding dengan Singapura, iaitu 66 bagi setiap 10,000 tenaga buruh pada tahun 1998, Jepun 132 bagi setiap 10,000 pada tahun 1997 dan United Kingdom 95 bagi setiap10,000 pada tahun 1995. Namun demikian pertambahan dapat dilihat dari segi bilangan, iaitu daripada 9,230 pada tahun 1996 kepada 12,130 pada tahun 1998.

4.20 Dalam tempoh Rancangan, kategori pekerja pentadbiran dan pengurusan terus mencatat kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 8.8 peratus setahun, iaitu 389,400 pekerjaan pada tahun 2000 hasil perluasan perkhidmatan moden terutamanya dalam bidang berkaitan ICT. Pekerjaan yang diwujudkan sebahagian besarnya dalam bidang khusus seperti kewangan dan ICT. Peratusan kategori ini dalam jumlah guna tenaga turut meningkat daripada 3.2 peratus pada tahun 1995 kepada 4.2 peratus pada tahun 2000.

4.21 Kategori pekerja pengeluaran dan berkaitan terus merupakan kumpulan terbesar di kalangan kategori pekerjaan utama. Pekerja mahir dan tidak mahir dalam kategori ini merupakan 32.8 peratus daripada jumlah guna tenaga pada tahun 2000 berbanding dengan 33.9 peratus pada tahun 1995. Krisis ekonomi dan lebihan keupayaan yang wujud telah menjejaskan permintaan untuk pekerja pengeluaran dan berkaitan. Dalam tempoh Rancangan, lebih daripada satu pertiga pekerja yang diberhentikan adalah dalam kategori ini. Meskipun terdapat pemberhentian pekerja dan peningkatan dalam penggunaan teknik pengeluaran penjimatan buruh, kadar purata pertumbuhan bagi kategori ini masih tinggi, iaitu 2.3 peratus setahun.

4.22 Permintaan untuk pekerja perkhidmatan meningkat pada kadar purata 4.3 peratus setahun, iaitu 206,100 pekerjaan baru atau 16.2 peratus daripada jumlah pewujudan bersih pekerjaan dalam tempoh Rancangan. Peningkatan permintaan bagi pekerja perkhidmatan adalah disebabkan peningkatan prestasi sektor kecil perniagaan borong dan runcit, hotel dan restoran serta pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi dalam separuh kedua tempoh Rancangan. Peratusan kategori pekerja perkhidmatan meningkat 11.1 peratus daripada jumlah guna tenaga pada tahun 1995 kepada 11.8 peratus pada tahun 2000.

4.23 Permintaan untuk pekerja perkeranian dan berkaitan mencatat peningkatan 3.4 peratus setahun dalam tempoh Rancangan, walaupun penggunaan automasi semakin meluas. Kategori ini merupakan 12.4 peratus daripada jumlah pewujudan bersih pekerjaan atau 157,200 pekerjaan. Kategori pekerja jualan pula meningkat pada kadar purata 3.2 peratus setahun, iaitu 11.6 peratus atau 147,900 pekerjaan baru disebabkan pertambahan dalam bilangan pusat membeli-belah dan pasaraya besar.

4.24Walaupun proses mekanisasi dan modenisasi terus diamalkan, bilangan pekerja pertanian meningkat sedikit berikutan penghijrahan semula pekerja ke sektor pertanian. Walau bagaimanapun, peratusannya daripada jumlah guna tenaga berkurangan daripada 20.1 peratus pada tahun 1995 kepada 18.1 peratus pada tahun 2000. Namun demikian, masih terdapat permintaan untuk pekerja pertanian dalam aktiviti seperti penyelenggaraan padang golf, taman rekreasi dan pelancongan berasaskan pertanian.

Upah dan Produktiviti

4.25 Produktiviti buruh secara keseluruhan meningkat terutamanya menjelang akhir tempoh Rancangan hasil penyusunan semula operasi. Produktiviti buruh dalam sektor pembuatan yang diukur berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar bagi setiap pekerja, meningkat pada akhir tempoh Rancangan berikutan daripada peningkatan penggunaan lebihan keupayaan. Produktiviti meningkat pada kadar purata 1.6 peratus setahun akibat peralihan kepada proses pengeluaran berteknologi tinggi dan peningkatan kecekapan buruh.

4.26 Walaupun sektor pertanian mengalami kekurangan tenaga buruh yang berterusan, produktiviti pekerja meningkat secara sederhana sebanyak 1.5 peratus dalam tempoh Rancangan. Pertumbuhan ini adalah disebabkan inisiatif seperti pengurusan ladang dan amalan agronomi yang lebih baik, perladangan bersepadu dan mekanisasi. Dalam sektor perkhidmatan, sektor kecil pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi mencatat pertumbuhan produktiviti tertinggi pada kadar purata 3.0 peratus setahun dalam tempoh Rancangan dan diikuti oleh sektor kecil perkhidmatan Kerajaan yang berkembang pada kadar 2.9 peratus.

4.27 Pasaran buruh adalah ketat dalam tempoh separuh pertama Rancangan dan keadaan ini memberi tekanan berterusan ke atas upah. Dalam tempoh separuh kedua Rancangan, tekanan ke atas upah adalah terkawal walaupun ekonomi semakin pulih. Berdasarkan Penyiasatan Bulanan Industri Pembuatan oleh Jabatan Perangkaan, gaji dan upah bagi setiap pekerja meningkat pada kadar purata 9.3 peratus dalam tempoh separuh pertama Rancangan dan 3.2 peratus pada dua tahun terakhir. Gaji dan upah bagi setiap pekerja meningkat pada kadar purata 6.8 peratus setahun. Produktiviti buruh yang berdasarkan nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat pada kadar purata 10.4 peratus setahun dalam tempoh Rancangan dengan pertumbuhan 8.5 peratus dalam separuh pertama dan 13.2 peratus pada dua tahun terakhir. Oleh itu, peningkatan yang lebih tinggi dalam produktiviti buruh berbanding dengan upah telah mengurangkan kos buruh seunit sebanyak 3.2 peratus yang menunjukkan peningkatan dalam daya saing. World Competitiveness Yearbook, laporan tahunan yang menilai dan menganalisis keupayaan negara dalam menyediakan persekitaran yang membolehkan syarikat bersaing, telah meletakkan Malaysia di tempat ketiga di kalangan 47 negara perindustrian dan negara baru muncul dari segi kos buruh pada tahun 2000, iaitu lebih baik berbanding dengan kedudukan pada tahun 1995 yang mana Malaysia berada di tempat kelima di kalangan 26 negara.

Pembangunan Sumber Manusia

4.28 Dalam tempoh Rancangan, pembangunan sumber manusia terus diberi keutamaan untuk menyokong pelaksanaan pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti yang memerlukan tenaga manusia berkemahiran tinggi, mudah dilatih dan berpengetahuan. Penekanan terus diberi bagi meningkatkan peluang mendapatkan pendidikan di semua peringkat sejajar dengan pendemokrasian dasar pendidikan. Di samping itu, program pendidikan dan latihan ditumpukan kepada memperbaiki kualiti kaedah pengajaran dan pembelajaran, latihan perguruan dan perkhidmatan sokongan pendidikan.

4.29 Di peringkat tertiari, kapasiti institusi pendidikan tertiari awam telah ditambah, namun ia masih belum dapat memenuhi permintaan. Sehubungan dengan ini, enrolmen institusi pendidikan dan latihan swasta juga bertambah dengan pesat berikutan liberalisasi sektor pendidikan.

Program Pendidikan

4.30 Teras program pendidikan dalam tempoh Rancangan adalah untuk meningkatkan peluang, memperkukuhkan sistem penyampaian dan memperbaiki kualiti pendidikan. Tambahan kemudahan telah disediakan manakala kemudahan sedia ada dipertingkatkan bagi menambah kapasiti pengambilan serta mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif. Selain daripada tumpuan kepada pertambahan kapasiti dan peningkatan kualiti, penyemaian nilai-nilai murni dan sikap positif di kalangan pelajar juga diberi penekanan dalam kegiatan kurikulum dan ko-kurikulum. Usaha bersepadu untuk meningkatkan akses kepada pendidikan telah meningkatkan enrolmen di semua peringkat, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-5.

4.31 Di peringkat pendidikan prasekolah, sejumlah 399,980 kanak-kanak, iaitu mewakili 63.7 peratus kanak-kanak dalam kumpulan umur 5-6 tahun telah mendaftar di pusat prasekolah pada tahun 2000. Garis Panduan Kurikulum Prasekolah telah disediakan untuk menyeragamkan kurikulum, kemudahan dan latihan perguruan di pusat prasekolah sektor awam dan swasta supaya selaras dengan kualiti yang ditetapkan mengikut peruntukan Akta Pendidikan 1996. Di samping itu, kualiti pendidikan prasekolah juga terus ditingkatkan melalui latihan berterusan bagi penyelia dan guru pakar.

4.32 Strategi pendidikan rendah bertujuan meningkatkan akses kepada pendidikan dan memperbaiki kualiti serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran. Program untuk meningkatkan kadar penyertaan golongan kurang bernasib baik telah dilaksanakan khususnya di kalangan pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan kanak-kanak istimewa. Peluang pendidikan bagi kanak-kanak istimewa telah diperluas dan sebanyak 2,050 tempat di sekolah khas serta 6,890 tempat di kelas khas di sekolah biasa telah disediakan. Program sokongan pendidikan seperti bantuan biasiswa, pinjaman buku teks dan kemudahan asrama turut menyumbang kepada pertambahan jumlah pelajar yang berjaya menamatkan persekolahan peringkat rendah. Enrolmen pelajar di peringkat rendah meningkat daripada 2.79 juta pada tahun 1995 kepada 2.95 juta pada tahun 2000, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-5.

4.33 Pembinaan 144 sekolah baru telah dapat menyediakan 3,456 bilik darjah manakala 20 peratus daripada tambahan 7,360 bilik darjah baru adalah untuk menggantikan bilik darjah yang usang. Tambahan bilik darjah tersebut telah



dapat menampung pertambahan pelajar serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif. Pembinaan bilik darjah baru ini telah memperbaiki nisbah kelas-bilik darjah daripada 1:0.85 pada tahun 1995 kepada 1:0.90 pada tahun 2000 dan mengurangkan bilangan kelas sesi petang daripada 19 peratus pada tahun 1995 kepada 15 peratus pada tahun 2000.

4.34 Usaha terus dilaksanakan untuk mengurangkan jurang prestasi antara pelajar di sekolah luar bandar dan bandar dengan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta penempatan guru terlatih di sekolah luar bandar. Pembangunan kerjaya yang berterusan bagi guru di sekolah luar bandar telah dikendalikan oleh Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) dan Pusat Kegiatan Guru. Kerajaan telah mempergiatkan langkah menggabungkan sekolah kecil yang mempunyai enrolmen kurang daripada 150 pelajar dan menyediakan garis panduan mengenai strategi pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut. Dalam usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi sekolah luar bandar, kemudahan tempat tinggal telah dibina yang memberi manfaat kepada 23,400 pelajar termasuk mereka yang tinggal di kawasan penempatan Orang Asli.

4.35 Sukatan mata pelajaran Matematik dan Sains yang diperkenalkan pada tahun 1996 telah dikemaskini dan dilaksanakan sepenuhnya pada akhir tempoh Rancangan. Di samping itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran baru yang memberi penekanan kepada pembelajaran praktikal dan penggunaan pelbagai alat bantu mengajar seperti komputer telah digunakan. Pembaharuan buku teks serta garis panduan pengajaran baru bagi pelajar di Tahun 4, 5 dan 6 telah juga dilaksanakan. Kursus jangka pendek juga dijalankan untuk meningkatkan kemahiran guru. Dengan pelaksanaan usaha tersebut, kadar kelulusan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2000 telah meningkat berbanding pada tahun 1995. Kadar kelulusan bagi mata pelajaran Matematik meningkat daripada 67.9 peratus pada tahun 1995 kepada 75.9 peratus pada tahun 2000 manakala mata pelajaran Sains daripada 74.9 peratus pada tahun 1997 kepada 77.5 peratus pada tahun 2000.

4.36 Bagi memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah, Program Literasi Komputer dan kaedah pembelajaran berbantu komputer telah diperkenalkan. Program ini yang pada mulanya merangkumi 20 sekolah rendah telah diperluaskan kepada 240 sekolah rendah dan memberi manfaat kepada 104,000 pelajar pada tahun 2000. Bagi meningkatkan kesedaran dan penggunaan komputer di sekolah luar bandar, sektor swasta dan individu telah digalakkan untuk menyokong usaha ini. Sebanyak 28 buah syarikat telah menyumbang komputer serta bahan pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer kepada sekolah berkenaan.

4.37 Enrolmen di peringkat pendidikan menengah di sekolah Kerajaan dan bantuan Kerajaan meningkat sebanyak 19 peratus daripada 1.63 juta pelajar pada tahun 1995 kepada 1.94 juta pada tahun 2000, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-5. Pertambahan ini disebabkan oleh peningkatan kadar peralihan daripada pendidikan rendah ke peringkat menengah. Pembinaan sejumlah 6,808 tambahan bilik darjah telah memperbaiki nisbah kelas-bilik darjah daripada 1:0.76 pada tahun 1995 kepada 1:0.83 pada tahun 2000 yang seterusnya mengurangkan kesesakan bilik darjah daripada 14 peratus kepada 12 peratus.

4.38 Kaedah pengajaran telah dikaji semula secara berterusan sebagai usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran teras. Buku panduan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains telah dibekalkan kepada semua guru sekolah menengah. Pengajaran mata pelajaran Sains ditumpukan ke arah meningkatkan kebolehan berfikir dan menyelesaikan masalah. Bagi menambah minat pelajar dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, bengkel, program kesedaran, pembelajaran berbantu komputer dan panduan kerjaya telah diadakan. Enrolmen dalam aliran sains dan teknikal meningkat daripada 92,960 pada tahun 1995 kepada 242,470 pada tahun 2000, iaitu merupakan sebanyak 18.5 peratus dan 34.8 peratus daripada jumlah enrolmen di peringkat menengah atas.

4.39 Bagi memperbaiki prestasi pelajar di luar bandar terutamanya dalam mata pelajaran teras, sebanyak 205 makmal sains telah dibina manakala 7,836 guru matematik dan sains terlatih telah ditempatkan di sekolah luar bandar. Di samping itu, sejumlah 230 makmal komputer juga dibina dan 5,750 komputer dibekalkan kepada sekolah tersebut. Projek perintis rangkaian komputer bagi meningkatkan penggunaan komunikasi elektronik di kalangan pelajar dan guru telah dilaksanakan di 50 sekolah menengah luar bandar.

4.40 Dalam tempoh Rancangan, penstrukturan semula sekolah menengah vokasional (SMV) kepada sekolah menengah teknik (SMT) telah dilaksanakan sepenuhnya. Penstrukturan ini telah menambah enrolmen aliran teknikal di SMT dan pada masa yang sama mengekalkan aliran vokasional dan kemahiran yang ditawarkan oleh SMV sebelum ini bagi menampung pelajar yang rendah pencapaian dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Aliran teknikal di SMT melahirkan pelajar yang mempunyai asas yang kukuh dalam mata pelajaran teknikal dan sains manakala aliran vokasional dan kemahiran membekalkan pelajar dengan kemahiran asas untuk mendapatkan pekerjaan.

4.41 Pada tahun 2000, seramai 59,500 pelajar mendapat pendidikan di SMT. Daripada jumlah tersebut, 50 peratus adalah dalam aliran vokasional dan 10 peratus aliran kemahiran. Enrolmen di SMT merupakan 8.5 peratus daripada jumlah enrolmen di peringkat menengah atas. Konsep pembelajaran kontekstual yang menggabungkan pengetahuan teori dan praktikal telah dilaksana untuk meningkatkan pemahaman pelajar dalam mata pelajaran sains dan teknikal. Konsep ini telah memperbaiki prestasi pelajar dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Kejuruteraan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

4.42 Program latihan perguruan bertujuan melahirkan guru terlatih yang cemerlang dalam kurikulum dan aktiviti ko-kurikulum. Bagi mencapai tujuan ini, program latihan perguruan terus diperkukuh manakala kursus baru seperti dalam bidang kaunseling dan kemahiran interpersonal serta kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar diperkenalkan. Kurikulum latihan perguruan juga dikaji semula untuk menggabungkan penggunaan komputer dan multimedia terutamanya dalam mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

4.43 Bagi meningkatkan kualiti, kreativiti dan inovasi guru, kurikulum latihan perguruan telah dikaji semula dan elektif baru dalam inovasi pengajaran telah diperkenal. Sebanyak enam kursus telah dijalankan bagi 1,720 guru dalam bidang penilaian, pedagogi dan pengurusan bagi memenuhi keperluan sekolah bestari. Daripada jumlah ini, 312 adalah guru matematik dan sains, 156 guru bahasa Inggeris dan 156 guru Bahasa Malaysia. Seramai 3,070 guru pakar telah juga dilatih.

4.44 Dalam tempoh Rancangan, seramai 36,541 guru bukan siswazah untuk sekolah rendah telah dilatih, iaitu 24.0 peratus adalah guru matematik, 17.5 peratus guru sains and 11.9 peratus guru bahasa Inggeris. Pada tahun 2000, 55.0 peratus daripada 154,920 guru berkhidmat di sekolah rendah luar bandar. Di samping itu, usaha telah diambil untuk meningkatkan jumlah guru siswazah di sekolah menengah. Bagi mencapai tujuan ini, seramai 7,390 guru telah dilatih di bawah Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), 3,120 di bawah Program Khas Pensiswazahan Guru dan 3,250 dilatih di bawah Program Pensiswazahan Lepasan Diploma. Bilangan guru siswazah di sekolah menengah meningkat daripada 51.0 peratus atau 44,830 pada tahun 1995 kepada 61.0 peratus atau 69,329 pada akhir tahun 2000. Walau bagaimanapun, masih terdapat kekurangan guru matematik sebanyak 2.9 peratus, 6.2 peratus guru sains dan 0.2 peratus guru bahasa Inggeris.

4.45 Rangkaian komputer yang menghubungkan 31 maktab latihan perguruan telah disediakan untuk memudahkan latihan guru yang membuat pengkhususan dalam ICT di bawah KPLI. Maktab ini menyediakan akses perpustakaan elektronik kepada guru yang dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Latihan perguruan juga menumpukan kepada penerapan nilai-nilai murni dan sikap positif.

4.46 Usaha juga telah diambil bagi menyediakan kemudahan perumahan kepada guru di kawasan luar bandar serta bandar utama seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu. Sebanyak 7,185 rumah guru telah dibina, iaitu 60 peratus daripadanya adalah di kawasan luar bandar.

4.47 Dalam tempoh Rancangan, kapasiti institusi pendidikan tertiari telah ditambah bagi memenuhi pertambahan permintaan serta membangunkan pendidikan sebagai industri eksport. Kerajaan telah memberi bantuan kewangan kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah untuk meningkatkan peluang mendapatkan pendidikan di peringkat tinggi. Sebagai satu strategi membangunkan sektor pendidikan, rakyat juga digalak belajar dalam negara manakala tajaan ke institusi pendidikan tinggi luar negara dihadkan kepada kursus kritikal di universiti ternama.

4.48 Bagi meningkatkan lagi akses kepada pendidikan di peringkat tinggi, Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (TPTN) telah ditambah sebanyak RM1 bilion menjadikannya berjumlah RM2.3 bilion pada akhir tempoh Rancangan. Dengan tambahan ini, bantuan kewangan telah diperluas kepada pelajar di institusi pendidikan tinggi swasta. Pada tahun 2000, seramai 29,000 pelajar di institusi swasta mendapat faedah daripada Tabung ini.

4.49 Pengambilan pelajar di institusi pendidikan tinggi awam bertambah berikutan daripada perluasan program institusi tersebut dan penubuhan universiti baru, iaitu Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tiga politeknik baru telah juga siap dibina di Johor Bahru, Seberang Prai dan Shah Alam. Di samping itu, dua politeknik kota telah ditubuhkan di Kuala Terengganu dan Melaka yang menawarkan kursus dalam bidang kejuruteraan dan sastera gunaan di peringkat sijil dan diploma.

4.50 Enrolmen di peringkat pendidikan tertiari meningkat daripada 147,927 pada tahun 1995 kepada 321,729 pada tahun 2000. Pada akhir tempoh Rancangan, enrolmen di peringkat ijazah pertama ialah seramai 170,794 pelajar, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-6 manakala diperingkat diploma 92,304 pelajar dan diperingkat sijil 28,154 pelajar, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-7. Enrolmen dalam kursus sains dan teknikal di peringkat ijazah pertama meningkat daripada 40.7 peratus pada tahun 1995 kepada 52.0 peratus pada tahun 2000 selaras dengan keperluan guna tenaga dalam bidang sains dan teknologi. Di peringkat diploma, enrolmen dalam kursus sains dan teknikal meningkat daripada 45.0 peratus kepada 56.8 peratus manakala di peringkat sijil berkurangan daripada





83.1 peratus kepada 77.5 peratus.

4.51 Enrolmen dalam kursus seperti perubatan dan pergigian, kejuruteraan, seni bina, ukur dan perancangan bandar meningkat dua kali selaras dengan matlamat mencapai nisbah enrolmen 60:40 antara sains kepada sastera. Enrolmen dalam kursus ICT di institusi pendidikan tinggi awam meningkat daripada 3,770 pelajar pada tahun 1995 kepada 15,050 pelajar pada tahun 2000. Kira-kira satu pertiga daripada institusi swasta menawarkan kursus berkaitan ICT khususnya dalam bidang asas literasi komputer dan aplikasi perisian dengan enrolmen seramai 49,040 pelajar pada tahun 2000.

4.52 Kapasiti pengambilan institusi awam adalah kecil berbanding dengan jumlah calon yang layak. Bagi mengatasi kekurangan ini, Kerajaan telah menubuhkan sebuah konsortium, iaitu Multimedia Technology Enhancement Operations (METEOR) yang merangkumi 11 buah universiti awam bagi menawarkan kursus pendidikan jarak jauh. Dalam tempoh Rancangan, konsortium tersebut menawarkan 25 kursus dalam bidang seperti multimedia, undang-undang, perniagaan dan kemanusiaan dan telah memberi manfaat kepada 20,000 pelajar. Dalam tempoh Rancangan, sistem pengurusan universiti awam telah dirombak bagi meningkatkan perwakilan daripada sektor swasta. Universiti awam dibenarkan menjana sumber kewangan daripada sumber luar berdasarkan rancangan perniagaan yang telah dipersetujui oleh institusi dan Kerajaan. Usaha juga diambil untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap beban Kerajaan dalam membiayai pendidikan tinggi. Usaha ini termasuk penyebaran maklumat kepada pelajar dan ibu-bapa mengenai kos sebenar mengikuti kursus di peringkat diploma dan ijazah.

Program Latihan Kemahiran

4.53 Kapasiti pengambilan institusi latihan kemahiran telah dipertingkatkan untuk memenuhi pertambahan dan perubahan permintaan industri terhadap tenaga manusia mahir. Seramai 187,440 tenaga manusia mahir dan separuh mahir telah dikeluarkan oleh institusi latihan awam dan swasta. Keluaran tenaga manusia mahir daripada institusi awam dan swasta meningkat daripada 27,910 pada tahun 1995 kepada 44,490 pada tahun 2000, iaitu pada kadar purata 9.8 peratus setahun. Daripada jumlah tersebut, 65.0 peratus adalah dalam bidang kejuruteraan terutamanya kejuruteraan mekanikal dan elektrik, seperti ditunjukkan dalam Jadual 4-8. Keluaran tenaga manusia mahir dalam bidang kejuruteraan daripada institusi latihan awam meningkat daripada 10,760 pada tahun 1995 kepada 17,250 pada tahun 2000.

4.54 Peningkatan daya saing serta penggunaan kaedah dan proses pengeluaran moden dan berteknologi tinggi telah meningkatkan permintaan terhadap pekerja



berkemahiran tinggi, terlatih dan memiliki pelbagai kemahiran. Bagi memenuhi permintaan ini, Kerajaan telah menubuhkan tujuh lagi pusat latihan kemahiran tinggi yang menawarkan kursus dalam bidang khusus seperti mekatronik, teknologi kejuruteraan industri, teknologi kejuruteraan komputer, teknologi kejuruteraan telekomunikasi, kejuruteraan kajisawat dan pembangunan multimedia. Di samping itu, Japan-Malaysia Technical Institute (JMTI) telah menambah bilangan kursus yang ditawarkan di kampus tetapnya di Bukit Minyak, Pulau Pinang. Jumlah kapasiti pusat latihan kemahiran tinggi adalah 5,800 pada tahun 2000 termasuk di German-Malaysian Institute (GMI), British-Malaysian Institute (BMI) dan Malaysia-France Institute (MFI). Di peringkat negeri, sebahagian daripada pusat pembangunan kemahiran (SDC) juga menyediakan program latihan sebelum bekerja di peringkat sijil dan diploma, selain daripada program peningkatan kemahiran dan latihan semula. Dalam tempoh Rancangan, seramai 135,200 pekerja telah dilatih oleh SDC negeri termasuk 2,520 pekerja di peringkat diploma.

4.55 Bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar yang berterusan, Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) memperluaskan Program Latihan Pengajar Kebangsaan (NITP) untuk merangkumi pelajar yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 yang hanya memerlukan dua tahun latihan selama dua tahun untuk mendapat Diploma Pengajar Vokasional. Di samping itu, NITP meningkatkan pengambilannya kepada 165 pelatih pada tahun 2000. Pada akhir tempoh Rancangan, seramai 101 tenaga pengajar telah dilatih dan seramai 327 pelatih masih lagi mengikuti latihan. Pengajar juga dihantar ke luar negara seperti Jerman, Jepun dan United Kingdom untuk mendapatkan kemahiran tertentu.

4.56 Bagi memastikan tahap kecekapan pelatih menepati keperluan industri, Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) terus membangunkan Standard Kemahiran Kebangsaan (SKK). Pada akhir tempoh Rancangan, sebanyak 467 SKK telah dibangunkan untuk pelbagai tahap kecekapan SKM. Daripada jumlah ini, sebanyak 138 SKK adalah untuk kursus di Tahap 5 dalam bidang seperti pengurusan maklumat, automotif dan kejuruteraan plastik.

Penyertaan Sektor Swasta dalam Pendidikan dan Latihan

4.57 Bagi melengkapkan usaha Kerajaan dalam penyediaan pendidikan rendah dan menengah, sektor swasta digalak menyediakan tempat di kedua-dua peringkat pendidikan tersebut. Sekolah ini menggunakan kurikulum kebangsaan yang meliputi pengajaran nilai dan etika yang baik serta persediaan bagi menduduki peperiksaan awam. Dalam tempoh Rancangan, enrolmen di peringkat rendah dan menengah di sekolah swasta meningkat daripada 116,510 pelajar pada tahun 1995 kepada 142,920 pelajar termasuk 14,110 adalah di peringkat rendah pada tahun

4.58 Pelaksanaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 telah meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam penyediaan pendidikan tertiari. Enam universiti swasta, iaitu Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Perubatan Antarabangsa dan Universiti Industri Selangor menawarkan kursus di peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan, pengajian perniagaan, perubatan dan multimedia. Akta tersebut juga membolehkan universiti luar negara menubuhkan kampus cawangan. Tiga institusi, iaitu Monash University, Australia; Curtin University of Technology, Australia; dan University of Nottingham, United Kingdom telah menubuhkan kampus cawangan yang menawarkan kursus sepenuhnya di peringkat ijazah. Pada akhir tempoh Rancangan, institusi swasta menyediakan sejumlah 32,480 tempat di peringkat ijazah, 116,265 di peringkat diploma dan 60,840 di peringkat sijil.

4.59 Bagi merangsang pertumbuhan pendidikan tertiari yang sihat, Kementerian Pendidikan melalui Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Jabatan Pendidikan Swasta telah merangka 56 garis panduan operasi mengenai penubuhan institusi pendidikan tinggi swasta. Garis panduan ini menetapkan piawaian peralatan, kemudahan sokongan dan tenaga pengajar untuk memastikan penyediaan pendidikan yang berkualiti tinggi.

4.60 Perubahan teknologi yang pesat dan keperluan meningkatkan daya saing memerlukan majikan di semua sektor ekonomi melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka. Dalam hubungan ini, Majlis Pembangunan Sumber Manusia (MPSM) telah mempergiatkan usaha mereka untuk menggalakkan lagi majikan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melatih semula pekerja mereka. Di samping itu, liputan Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) telah diperluas untuk melibatkan firma dalam industri tenaga, pendidikan dan latihan. Pada akhir tempoh Rancangan, sejumlah RM833 juta levi telah dikutip oleh KWPSM dan RM488 juta daripadanya atau 58.6 peratus telah dibelanjakan. Sebanyak 2.6 juta tempat latihan telah diluluskan di bawah tujuh skim latihan, iaitu Skim Bantuan Latihan (SBL), Skim Program Yang Diluluskan (PROLUS), Skim Pelan Latihan Tahunan (PLT), Skim Perjanjian Dengan Penyedia Latihan (PERLA), Skim Perantisan, Skim Bantuan Latihan-Perusahaan Berskala Kecil dan Sederhana (SBL-PKS) dan Skim Latihan Pekerja Yang Diberhentikan (SLPD). SBL menaja 80.7 peratus daripada jumlah tempat latihan dan membiayai 80.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan. Keadaan ini menunjukkan bahawa majikan lebih cenderung kepada latihan di tempat kerja berbanding dengan latihan yang ditawarkan oleh penyedia latihan. Kursus teknikal serta jaminan dan kawalan kualiti merupakan 40.4 peratus daripada tempat latihan yang diluluskan manakala bakinya adalah kursus asas komputer dan penyeliaan.

4.61 MPSM telah memperkenalkan skim latihan perantisan pada tahun 1996 sebagai sebahagian langkah untuk meningkatkan penawaran tenaga manusia mahir dan terlatih. Skim latihan prapekerjaan ini merupakan satu pendekatan yang berkesan kerana melibatkan kerjasama antara majikan, MPSM dan penyedia latihan. Pada tahun 2000, seramai 3,202 perantis telah dilatih dengan bantuan kewangan daripada MPSM berjumlah RM15.9 juta atau 45.4 peratus daripada jumlah peruntukan skim tersebut. Di bawah skim ini, latihan dijalankan di tempat kerja dan institusi latihan bagi memenuhi keperluan terhadap pekerja yang mempunyai kombinasi kemahiran praktikal dan pengetahuan teori. Susulan keberkesanannya, skim perantisan baru telah diperkenalkan dalam bidang berkaitan ICT, plastik, berasaskan kayu, pembuat alat dan acuan dan pengendali pengangkutan multimodal.

4.62 MPSM telah menyediakan bantuan kewangan kepada majikan sebanyak RM14.9 juta dalam tempoh Rancangan bagi perolehan dan pembangunan perisian untuk latihan di bawah Skim Latihan Berasas Komputer dan perolehan komputer peribadi di bawah Skim Latihan Teknologi Maklumat dan Berasas Komputer. Di samping itu, bagi membantu PKS melaksanakan lebih banyak latihan yang sistematik, MPSM telah memperkenalkan Skim Perundingan Analisis Keperluan Latihan (TNA) dengan peruntukan berjumlah RM5.0 juta. Pada akhir tempoh Rancangan, MPSM juga meluluskan RM8.1 juta di bawah geran yang diperkenalkan pada tahun 1995 untuk membiayai perolehan peralatan bagi latihan di tempat kerja.

4.63 Skim latihan semula telah diperkenalkan pada tahun 1998 bagi membolehkan pekerja yang diberhentikan memperolehi kemahiran baru di peringkat diploma dan sijil. Seramai 891 pekerja yang diberhentikan mendapat manfaat daripada skim ini yang melibatkan bantuan kewangan berjumlah RM4.4 juta. Daripada jumlah ini, 67.3 peratus telah dilatih di peringkat diploma dan 32.7 peratus di peringkat sijil. Dari segi bidang latihan pula, 40.6 peratus dilatih dalam bidang teknikal dan kejuruteraan, 38.0 peratus dalam bidang pengurusan dan selebihnya dalam kursus berkaitan komputer.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM