:: RANCANGAN MALAYSIA KE LAPAN (2001-2005) ::
BAB 10 : INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM

III : PROSPEK, 2001-2005


10.56 Bagi memastikan pencapaian matlamat pertumbuhan yang berdaya tahan RMKe-8, infrastruktur dan kemudahan awam memainkan peranan yang penting bagi pertumbuhan sektor lain khususnya dalam perkhidmatan dan pengedaran barangan. Usaha akan terus diambil untuk menaik taraf kemudahan sedia ada dan menambah keupayaan khususnya di kawasan kurang maju serta mempertingkat kecekapan dan produktiviti kemudahan di kawasan bandar. Aksesibiliti yang lebih meluas, mencukupi dan berkualiti dalam penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam akan menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih baik. Teras pembangunan sektor dalam tempoh RMKe-8 berpandukan kepada strategi berikut:

o menekankan perancangan jangka panjang yang bersepadu dan pelaksanaan projek yang terselaras bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang lebih teratur, sistematik dan menyeluruh;

o menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan awam yang menyeluruh bagi memudahkan pertumbuhan ekonomi dan membuka koridor baru untuk pembangunan;

o menggalakkan multimodalisme bagi meningkatkan integrasi semua mod pengangkutan;

o menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam serta pengangkutan pintar khususnya di kawasan bandar bagi mengurangkan kesesakan;

o mempertingkatkan kecekapan, produktiviti dan kebolehpercayaan perkhidmatan melalui penyemakan semula yang berterusan dan penguatkuasaan yang ketat terhadap piawaian prestasi dan spesifikasi teknikal serta penggunaan teknologi baru dan yang diubahsuai; dan

o memastikan wujudnya kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan yang berdaya harap dengan kos yang berpatutan.

Jalan Raya

10.57 Program pembangunan jalan raya akan diteruskan dengan penekanan kepada kualiti dan keselamatan. Pembinaan jalan raya baru akan ditumpukan kepada pembukaan koridor untuk pembangunan serta menambah aksesibiliti di kawasan luar bandar. Pembinaan jalan raya secara penswastaan dan skim bayaran tertangguh akan diteruskan secara terpilih supaya pelaksanaan projek jalan raya dapat dikekalkan.

10.58 Bagi tempoh RMKe-8, sejumlah RM5.1 bilion akan diperuntukkan bagi pembangunan jalan raya baru dan RM8.9 bilion bagi memperbaiki dan menaik taraf jalan raya sedia ada. Peruntukan yang lebih besar bagi menaik taraf jalan raya sedia ada adalah selaras dengan usaha untuk meningkatkan keselamatan, keselesaan memandu dan mengurangkan masa perjalanan, termasuk pembinaan lorong motosikal di kawasan yang dikenal pasti merbahaya. Projek utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh RMKe-8 adalah seperti ditunjukkan dalam
Jadual 10-7.

10.59 Tumpuan akan diberikan kepada pembinaan jalan raya menuju ke kawasan kurang membangun dan sekitarnya bagi menyediakan akses yang lebih baik dan memperbaiki sistem jalan raya di kawasan tersebut. Dalam hubungan ini, jalan baru luar bandar akan dibina berdasarkan piawaian geometrik tinggi bagi memudah pergerakan kenderaan berat dan perdagangan untuk memenuhi keperluan perindustrian di kawasan berkenaan demi mempercepatkan pembangunan luar bandar dan wilayah. Antara projek utama yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan seksyen Titi Karangan-Grik di bawah projek Lebuhraya Timur-Barat Kedua, Jalan Sepulut ke Kalabakan di Sabah dan lebuh raya dari Kuching ke Pusat Pentadbiran Persekutuan baru di Rambungan, Sarawak. Di samping pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Miri dan Limbang serta Jalan Simpang Pulai-Lojing-Kuala Berang, Lebuhraya Pantai Timur juga akan dipercepatkan melalui pembiayaan Kerajaan.



10.60 Beberapa projek baru termasuk Lebuhraya Senai-Desaru, Lebuhraya Kajang-Seremban dan Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Lebuhraya SPRINT) dijangka siap secara penswastaan. Projek tersebut akan menambah kira-kira 100 kilometer lebuh raya yang diswastakan kepada jumlah keseluruhan rangkaian jalan raya.

Pengangkutan Bandar

10.61 Dalam tempoh RMKe-8, strategi pengangkutan bandar akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan secara bersepadu, cekap dan berdaya harap bagi persekitaran pengangkutan bandar di Lembah Klang serta pusat bandar utama lain. Dalam hubungan ini, strategi dan langkah perlu diambil bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas memandangkan kebanyakan pusat bandar terus mengalami pertumbuhan penduduk dan pembangunan sosioekonomi yang tinggi. Penekanan akan diberi untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selamat dan selesa supaya pengguna beralih daripada menggunakan kenderaan persendirian.

10.62 Permintaan yang lebih besar terhadap keupayaan jalan raya akan berterusan memandangkan peningkatan yang pesat dalam pemilikan kenderaan dan pembangunan komersil di bandar utama. Lebih banyak usaha diperlukan untuk meningkat sistem pengangkutan awam, memperbaiki pengurusan permintaan trafik dan menaik taraf rangkaian jalan bagi membolehkan pergerakan kenderaan yang lebih cepat dan penyuraian ke jalan lingkaran. Bagi tujuan ini, pihak berkuasa tempatan perlu meningkatkan lagi kepakaran dalam pengurusan dan perancangan pengangkutan bandar. Langkah yang diperlukan bagi menangani kesesakan lalu lintas yang teruk termasuk perancangan guna tanah yang mencukupi, penyediaan kemudahan pengangkutan awam dan penguatkuasaan yang tegas bagi mengelakkan aktiviti pembinaan dan meletak kenderaan secara tidak teratur.

10.63 Peningkatan bilangan kenderaan bermotor di semua pusat bandar memerlukan pelaksanaan langkah keutamaan pengangkutan awam seperti kawalan tempat meletak kereta, skim peningkatan lalu lintas kawasan setempat, sekatan ke atas kenderaan berat, perluasan siar kaki dan penggunaan ITS. Langkah akan diambil bagi meningkatkan keberkesanan kawalan tempat meletak kereta dengan menghadkan jangka masa tertentu, mengurangkan keperluan kawasan meletak kenderaan bagi projek baru dan mengenakan caj letak kenderaan yang tinggi di kawasan tertentu. Skim peningkatan lalu lintas kawasan setempat termasuk penyediaan jalan sehala, langkah ketenteraman trafik dan arah aliran berlawanan di waktu puncak.

10.64 Penggunaan ITS akan terus merupakan strategi penting dalam mengatasi kesesakan lalu lintas dan meningkatkan sistem pengangkutan bandar serta mengurangkan pencemaran. Antara penggunaan ITS yang lebih berkesan termasuk sistem maklumat kenderaan dan pengangkutan serta papan tanda bermaklumat bagi pembentukan satu sistem pengurusan permintaan bersepadu (IDMS). Sistem ini akan merangkumi kawalan lalu lintas bandar yang dihubungkan dengan pengesanan kenderaan, kutipan data, keselamatan, pengangkutan awam dan panduan meletak kenderaan. Dalam hubungan ini, konsortium swasta yang dilantik oleh Kerajaan akan merangka pelan bagi melaksanakan ITIS di Lembah Klang.

10.65 Walaupun LRT STAR, LRT PUTRA dan KTM Komuter mampu memperolehi jumlah kadar purata penumpang harian seramai 250,000 penumpang pada waktu puncak, kadar tersebut masih lagi rendah berbanding dengan angka unjuran dan oleh itu usaha promosi yang lebih giat perlu dijalankan oleh syarikat berkenaan. Kerajaan juga akan menimbangkan pelbagai pilihan bagi memastikan daya maju projek dari segi kewangan dan penyediaan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang awam. Di samping itu, langkah untuk meningkatkan produktiviti dan menjimatkan kos akan diambil bagi memperbaiki kedudukan kewangan sistem pengangkutan transit bandar. Walau bagaimanapun, dari aspek komersil, syarikat konsesi berpendapat sistem monorel dalam bandar lebih berdaya maju berasaskan kos pembinaan, sistem, operasi dan penyenggaraan yang rendah. Kos yang rendah ini dicapai melalui penggunaan kenderaan monorel tempatan yang pertama dibuat di Malaysia. Sistem monorel dijangka menyediakan pengangkutan awam penting yang menghubungkan KL Sentral dengan pusat perniagaan dan beberapa stesen LRT. Bagi menambahkan lagi rangkaian pengangkutan rel bandar, Kerajaan akan melaksanakan sistem pengangkutan monorel buatan tempatan sama seperti KL Monorel sebagai mod pengangkutan utama di Putrajaya dan Cyberjaya. Fasa pertama projek tersebut dijangka siap pada tahun 2003. Putrajaya dan Cyberjaya akan dilengkapi dengan sistem pengangkutan dalaman bersepadu yang dihubungkan dengan ERL ke Kuala Lumpur serta KLIA dan bas antara bandar.

10.66 Pembangunan selanjutnya akan terus ditumpu kepada usaha menyusun semula dan mengoptimumkan sektor pengangkutan awam terutamanya di Lembah Klang. Penekanan akan diberi kepada usaha mempromosikan multimodalisme melalui penggunaan sistem tiket guna sama, rangkaian laluan dan kemudahan bersepadu, mempertingkatkan lokasi tempat menunggu bas dan teksi, transit malls, bas pengantara yang cekap dan menyediakan lebih banyak tempat meletak kereta di kawasan berhampiran stesen LRT dan stesen bas. Perkhidmatan bas akan terus menjadi mod pengangkutan utama di bandar dan akan terus dipertingkatkan lagi bagi menyediakan perkhidmatan yang cekap, selamat dan selesa. Di Lembah Klang, Kerajaan akan mengkaji penyusunan semula organisasi dan struktur keseluruhan operasi pengangkutan bandar bertujuan mewujudkan sistem pengangkutan yang cekap dan kewangan yang kukuh.

10.67 Pembukaan KL Sentral pada awal tahun 2001 menandakan mercu kejayaan yang penting bagi pengangkutan awam di Lembah Klang. Sebagai hab utama pengangkutan awam yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan KLIA, Putrajaya dan Cyberjaya melalui ERL, peranan KL Sentral sebagai hab yang penting akan diperkukuh dan dimantau secara berterusan. Pembukaannya dijangka meningkatkan bilangan penumpang yang menggunakan LRT PUTRA, perkhidmatan KTMB antara bandar dan komuter serta monorel memandangkan mod pengangkutan yang berbeza akan bertemu di KL Sentral. Pengurusan KL Sentral akan diswastakan bagi memastikan operasi yang cekap.

10.68 Projek siar kaki di pusat bandar utama akan terus dilaksanakan bagi menggalak dan menarik minat orang awam untuk berjalan kaki jarak dekat dengan tidak menggunakan kenderaan persendirian. Lanskap dan jalan siar kaki berbumbung akan dilaksanakan. Pemasangan lampu jalan dan penyediaan perabot jalan akan terus dilaksana bagi menarik lebih ramai penumpang mengguna pengangkutan awam.

10.69 Beberapa projek jalan bandar akan dibina dalam tempoh RMKe-8. Projek tersebut termasuk jalan yang menghubungkan Bulatan Kampung Pandan ke Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur; Jalan Lingkaran Luar Butterworth di Pulau Pinang; Jalan Pintas Muar di Johor dan beberapa jalan di Kota Kinabalu dan Kuching. Di samping itu, beberapa jalan lain akan dinaik taraf termasuk Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur, Jalan Pintas Kuantan di Pahang dan Persimpangan Karamunsing di Kota Kinabalu.

Pengangkutan Kereta Api

10.70 Dalam tempoh RMKe-8, penekanan akan terus diberi untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan kereta api. Dalam hubungan ini, usaha akan dibuat bagi meningkatkan profesionalisme tenaga kerja dalam bidang kereta api dan menjamin keselamatan operasi untuk merealisasi faedah daya saing sebenar pengangkutan kereta api.

10.71 Pembinaan landasan berkembar, pengukuhan dan elektrifikasi landasan secara terpilih, pemodenan sistem semboyan dan komunikasi serta pembelian stok kereta yang berkualiti tinggi menandakan masa depan yang cerah kepada peranan pengangkutan kereta api. Pengangkutan barang melalui kereta api yang keseluruhannya kurang daripada 5 peratus pada masa ini mempunyai potensi yang luas untuk berkembang. Bagi mencapai tujuan tersebut, pemasaran perkhidmatan industri pengangkutan kereta api akan dijalankan secara lebih berkesan.

10.72 Dengan siapnya projek sambungan rel ke Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang, Pengkalan Kontena Butterworth Utara dan sambungan rel dari Kempas ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor yang dijadualkan siap pada tahun 2002, usaha akan dilaksanakan untuk mempromosi faedah kos daya saing pengangkutan barang melalui kereta api. Usaha tersebut juga akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan pelabuhan berkenaan. Pelbagai langkah sokongan akan dilaksana untuk meningkatkan pengangkutan rel termasuk memperkukuhkan piawaian operasi dan penyenggaraan, meningkatkan tahap produktiviti dan menggunakan sumber sedia ada secara optimum.

10.73 Pelaksanaan projek landasan berkembar elektrik Rawang-Ipoh dijadualkan siap pada tahun 2004. Projek ini akan menjadi penghubung penting Selatan Thailand ke Malaysia melalui jambatan darat dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan barang yang cekap bagi laluan Padang Besar-Ipoh-Rawang-KL-Pelabuhan Klang. Selaras dengan keperluan meningkatkan keupayaan landasan serta kecekapan dan kualiti kedua-dua perkhidmatan penumpang dan barang, Kerajaan akan menimbang untuk menyambung landasan berkembar elektrik Rawang-Ipoh ke Padang Besar di utara dan dari Seremban ke Johor Bahru di selatan. Perkhidmatan penumpang antara bandar akan diperbaiki dengan meningkatkan keupayaan landasan dan menambah operasi komuter di antara Rawang dan Tanjung Malim. Di samping itu, pelaksanaan projek landasan berkembar elektrik Sentul-Batu Caves akan menambahkan lagi perkhidmatan komuter di Lembah Klang sepanjang tujuh kilometer.

10.74 Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mempromosi multimodalisme dalam pengangkutan barang, KTMB akan terus berusaha menyediakan perkhidmatan kontena kargo am serta meningkatkan produktiviti dan piawaian prestasi kemudahan yad dan terminal. Di samping itu, beberapa depoh kontena dan kemudahan terminal akan dibina secara usaha sama dengan pihak swasta untuk meningkatkan pengangkutan barang. Bagi mengadakan perkhidmatan yang cekap, berorientasikan pasaran dan operasi kereta api yang mantap, struktur KTMB akan disusun semula.

Pelabuhan

10.75 Pembangunan pelabuhan akan terus ditumpukan untuk menambah keupayaan, menaik taraf kemudahan dan peralatan serta meningkatkan kecekapan dan produktiviti pelabuhan dan perkhidmatan berkaitan. Bagi meningkatkan keupayaan, pendekatan bersepadu akan diguna pakai bagi membangunkan perkhidmatan dan kemudahan sokongan di daratan. Aksesibiliti ke pelabuhan terutamanya hubungan jalan raya dan landasan kereta api akan dipertingkatkan. Serentak dengan itu, operasi pengangkutan pelbagai mod yang menawarkan perkhidmatan dari pintu ke pintu akan dimantapkan. Pelbagai langkah juga akan diambil untuk menggalakkan pembesaran syarikat perkapalan Malaysia termasuk perkhidmatan feri, memelihara persekitaran marin dan meningkatkan keselamatan pelayaran.

10.76 Satu pihak berkuasa pelabuhan akan ditubuh antara lain bertujuan menjalankan kerja kawal selia bagi memastikan pengendali pelabuhan mematuhi piawaian prestasi serta syarat dan terma lesen yang dikeluarkan. Di samping itu, pihak berkuasa pelabuhan tersebut akan membantu memudahkan pembangunan pelabuhan dan perkhidmatan berkaitan supaya lebih teratur dan bersepadu berlandaskan kepada kelebihan, keunikan dan pengkhususan masing-masing, terutamanya dari segi liputan kawasan daratan, kepakaran dan kemudahan untuk mengendalikan jenis kargo tertentu serta mengambil kira aspek alam sekitar.

10.77 Pelbagai projek pelabuhan yang mula dilaksanakan semasa RMKe-7 dijangka siap menjelang akhir tempoh RMKe-8. Projek ini termasuk pembinaan dermaga kontena tambahan dan kemudahan gudang penyimpanan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang; tebus guna tanah seluas 25 hektar bagi pembesaran Pengkalan Kontena Butterworth Utara; terminal kontena dan jeti petrokimia cecair yang khusus di Pelabuhan Kuantan; dermaga tambahan sepanjang 360 meter di Pelabuhan Tanjung Pelepas; jeti gas asli cecair ketiga di Pelabuhan Bintulu dan pembinaan pelabuhan tambahan di Ranca-Ranca, Labuan. Bagi menambah keupayaan pelabuhan, perkhidmatan sokongan seperti distripark, bekalan minyak kapal, perbankan, insurans, broker kastam dan agensi perkapalan akan terus dipertingkatkan. Program pembangunan tanah dan lanskap di pelabuhan dan kawasan aktiviti berkaitan juga akan dibangunkan secara bersepadu bagi meningkatkan lagi keupayaan dan penggunaan perkhidmatan tersebut. Bagi menggalakkan pelancongan, operasi kapal persiaran dan pembangunan pelbagai jenis marina serta aktiviti rekreasi lain di sekitar kawasan pelabuhan akan dipertingkatkan.

10.78 Beberapa projek berkaitan pelabuhan akan dilaksanakan di Sarawak dan Sabah sebagai sebahagian daripada pembesaran keupayaan dan pembangunan pengangkutan sungai. Projek ini termasuk kerja pengerukan di muara Sungai Kuala Baram dan Sungai Sarawak bagi mendalamkan lagi laluan masuk ke Pelabuhan Miri dan Pelabuhan Kuching serta pembinaan terminal kontena dan jeti minyak di Teluk Sapangar, Sabah. Pengangkutan sungai sebagai satu pengangkutan alternatif di Sarawak dan Sabah akan dipertingkat bagi memenuhi permintaan yang bertambah daripada pengguna tempatan dan juga pelancong. Bagi mencapai tujuan ini, projek menaik taraf dan meningkat kemudahan membawa penumpang dan kargo seperti pembinaan terminal penumpang dan pengerukan alur pelayaran akan dilaksanakan. Di samping itu, pembinaan feri dengan teknologi jenis low-wash akan digalakkan untuk mengurang kesan hakisan tebing sungai.

10.79 Dalam tempoh Rancangan, lebih banyak usaha akan diambil untuk meningkatkan penggunaan pelabuhan tempatan. Di samping Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas juga akan dibangunkan sebagai hab dan pusat transhipment kargo. Dalam hubungan ini, kelonggaran Dasar Kabotaj akan diperluas ke Pelabuhan Tanjung Pelepas. Agensi Kerajaan dan pengendali terminal akan memberi tumpuan kepada aktiviti promosi untuk menarik lebih ramai pengeksport, pengimport dan masyarakat perkapalan yang lain menggunakan pelabuhan tempatan. Lebih banyak kerjasama dengan pelabuhan antarabangsa lain akan dipertingkat melalui usaha sama, pelabuhan berkembar dan mengadakan kerjasama strategik dengan pengendali pelabuhan dan syarikat perkapalan asing. Inisiatif lain termasuk menawarkan perkhidmatan mesra pengguna, kadar caj pelabuhan yang berdaya saing, rebat, skim keutamaan kapal dan skim dermaga khusus kepada pengusaha kapal induk.

10.80 Usaha seterusnya akan diambil untuk mempertingkat kecekapan dan produktiviti pelabuhan dan perkhidmatan sokongan melalui program latihan pelbagai kemahiran, pemodenan, peningkatan automasi dan pengkomputeran bagi memantap proses dan prosedur pengurusan secara berterusan. Bagi mencapai status pelabuhan berkomputer, kebanyakan pelabuhan Malaysia akan membuat pelaburan dalam sistem pengkomputeran dan menghubungkan dengan sistem pertukaran data elektronik (EDI) serta rangkaian komputer bersepadu yang membolehkan pelabuhan mengurus keseluruhan rantaian logistik. Perniagaan pelabuhan melalui e-dagang akan juga dilaksanakan. Di samping itu, peralatan pelabuhan yang moden seperti kren super post-panamax, kren gantri bertayar getah dan kemudahan lain di darat dan di laut yang menggunakan teknologi canggih dan terkini serta aplikasi komputer setaraf dengan pelabuhan utama dunia juga akan disediakan.

10.81 Menjelang akhir tempoh Rancangan, keupayaan pelabuhan dijangka meningkat pada kadar 9.5 peratus setahun daripada 344.1 juta tan pada tahun 2000 kepada 541.9 juta tan pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-3. Pada masa yang sama, jumlah pengendalian kargo dijangka meningkat daripada 220.8 juta tan pada tahun 2000 kepada 383.0 juta tan pada tahun 2005. Kargo kontena dijangka terus bertambah pada kadar dua angka iaitu 19.8 peratus setahun selaras dengan pertumbuhan pesat kargo kontena dunia pada kadar 8.0 peratus setahun. Bilangan kapal yang singgah dijangka meningkat sebanyak 6.3 peratus setahun daripada 89,462 pada tahun 2000 kepada 121,210 pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-4.

10.82 Dalam sektor kecil perkapalan, tumpuan yang lebih akan diberi untuk memperbesarkan lagi syarikat perkapalan tempatan termasuk perkhidmatan feri bagi pengangkutan kargo dan penumpang. Pelaburan yang besar akan dibuat oleh sektor swasta melalui pajakan, usaha sama, sewa khas dan pembelian kapal tambahan. Bagi meningkatkan lagi produktiviti dan kecekapan operasi perkapalan, Kerajaan akan menggalakkan pengendali kapal supaya memodenkan operasi dan membentuk kerjasama strategik. Di samping itu, syarikat perkapalan tempatan khususnya yang terlibat dengan operasi perkhidmatan sokongan logistik di luar persisiran pantai akan digalak mengguna Tabung Perkapalan bagi menambah keupayaannya.

10.83 Dalam tempoh Rancangan, MISC akan terus menjadi pengendali dan pemilik utama kapal yang dijangka menambah lagi dua buah kapal menjadikan keseluruhannya berjumlah 127 kapal dan meningkatkan keupayaan daripada 3.3 juta GRT kepada 3.4 juta GRT. Syarikat perkapalan lain seperti GMVB, Nepline Bhd. dan Halim Mazmin Bhd. dijangka meningkatkan pelaburan terutamanya bagi kapal roll-on roll-off serta kapal tangki dengan berat antara 2,526 hingga 104,449 GRT. Bagi perkhidmatan feri, Star Cruise akan menambah jumlah kapal daripada tiga feri kepada empat buah pada tahun 2005. Dengan peningkatan pelaburan yang dibuat oleh semua syarikat perkapalan tempatan, jumlah kapal yang didaftarkan di Malaysia dijangka meningkat daripada 3,200 kapal atau 6.5 juta GRT pada tahun 2000 kepada 3,800 kapal atau 8.8 juta GRT pada tahun 2005.

10.84 Bagi membolehkan Jabatan Laut memain peranan yang lebih berkesan di dalam memastikan keselamatan pelayaran dan perairan negara bebas daripada pencemaran, usaha akan terus diambil untuk meningkat aktiviti penguatkuasaan dan pencegahan. Usaha ini termasuk membeli kapal untuk tujuan penguatkuasaan dan alat bantuan pelayaran tambahan, menggalakkan penggunaan Lebuhraya Marin Elektronik serta memperkenalkan Sistem Pengenalan Automatik dan Sistem Perbezaan Kedudukan Global bagi mengenal pasti dan memberikan panduan keselamatan kepada kapal yang belayar di Selat Melaka. Di samping itu, program latihan akan diadakan untuk memenuhi keperluan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Piawaian Latihan, Pensijilan dan Pemantauan bagi Pelaut.

Lapangan Terbang

10.85 Pembangunan lapangan terbang akan terus ditumpu kepada kecekapan, produktiviti dan keselamatan penerbangan serta meningkat keupayaan untuk memenuhi permintaan yang bertambah bagi pengangkutan udara. Dalam tempoh Rancangan, trafik penumpang dijangka meningkat pada kadar purata tahunan 5.2 peratus, manakala trafik kargo sebanyak 7.3 peratus. Trafik penumpang dijangka bertambah kepada 41.6 juta penumpang setahun pada tahun 2005, manakala kargo udara dijangka bertambah kepada 1,129,150 tan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-5.

10.86 Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan kecekapan dan prestasi perkhidmatan di KLIA bagi menjadikan KLIA sebagai hab penerbangan serantau. Di samping itu, pengusaha lapangan terbang dan syarikat penerbangan negara akan mempromosikan KLIA secara bersama dan menggalakkan lebih banyak penerbangan asing mengadakan perkhidmatan penumpang dan kargo di KLIA. Kerjasama strategik akan diadakan di antara pengusaha lapangan terbang dan syarikat penerbangan dengan pengusaha dan syarikat penerbangan lain bagi meningkatkan kerjasama dan rangkaian penerbangan.

10.87 Lapangan terbang lain akan dipertingkat untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap dan menambah aksesibiliti khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Lapangan terbang ini juga berfungsi sebagai lapangan terbang sokongan untuk melengkapi pembangunan KLIA sebagai hab penerbangan. Pembinaan lapangan terbang baru di Tawau, Bintulu dan Limbang akan disiapkan dalam tempoh Rancangan. Lapangan terbang di Alor Setar dan Miri juga akan dinaik taraf untuk meningkatkan keupayaannya.

10.88 Kerajaan akan terus mengadakan rundingan mengenai Perjanjian Perkhidmatan Udara untuk menambah bilangan dan kekerapan penerbangan ke dalam negara serta menambah hak mendarat bagi syarikat penerbangan Malaysia. Dalam hubungan ini, satu pendekatan yang liberal termasuk dasar Open Sky akan diperkenal untuk memberi hak mendarat bagi meningkatkan rangkaian penerbangan dan pada masa yang sama melindungi syarikat penerbangan negara dan pengusaha tempatan lain untuk memastikan akses pasaran dan daya saingnya.

10.89 Penswastaan perkhidmatan kawalan trafik udara akan selesai pada awal tempoh Rancangan. Oleh itu, semua perkhidmatan berkaitan dengan penerbangan akan diurus oleh sektor swasta. Satu badan kawal selia baru iaitu Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan ditubuh untuk menetapkan piawaian prestasi dan penyeliaan operasi lapangan terbang dan perkhidmatan penerbangan. Di samping itu, CAAM akan bertanggungjawab mengenai pensijilan pesawat dan komponen pesawat yang dibuat di Malaysia. CAAM juga akan memasti bahawa semua lapangan terbang dan syarikat yang menyediakan perkhidmatan penerbangan mengekalkan keseimbangan di antara kepentingan komersil dan keperluan pembangunan industri ini.

10.90 Usaha akan diambil oleh MAHB untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan di semua lapangan terbang. Di samping itu, MAHB akan menambah sumbangan pendapatan daripada sumber bukan aeronautik termasuk membangunkan tanah KLIA. Dalam hubungan ini, sebuah hotel, taman tema, padang golf dan muzium udara telah dirancang untuk mempromosikan KLIA sebagai destinasi pelancongan. Sukan bermotor akan dipromosi secara giat untuk menggunakan kemudahan di Sirkit Perlumbaan Formula Satu di KLIA. Di samping itu, pembinaan Pusat Pameran dan Persidangan Negara sebagai sebahagian daripada pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang akan siap dalam tempoh Rancangan.

Komunikasi

10.91 Teras sektor kecil komunikasi akan ditumpukan kepada peningkatan keupayaan bagi menyediakan aksesibiliti yang luas kepada perkhidmatan komunikasi dan multimedia pada kos yang berpatutan khususnya di kawasan luar bandar. Peningkatan dalam teknologi telefoni suara melalui internet (VoIP) akan mengurangkan lagi kos perkhidmatan telefon. Penggunaan Asymmetric Digital Subscriber Line (ADSL) akan membolehkan capaian internet yang berkelajuan tinggi melalui talian tembaga sedia ada dalam lingkungan tempatan. Di samping itu, kemajuan pesat dalam teknologi komunikasi mudah alih seperti General Packet Radio Service dan telefon mudah alih Generasi Ketiga (3G) yang menggunakan teknologi Code Division Multiple Access (CDMA) akan membolehkan penyediaan perkhidmatan baru termasuk capaian internet yang berkelajuan tinggi dan audio-video streaming. Teknologi transmisi baru seperti Power Line Communication (PLC) Technology yang melibatkan penghantaran data melalui talian elektrik akan menyediakan pilihan kepada talian telefon. Teknologi ini akan mengurangkan kos sambungan infrastruktur di samping meningkatkan rangkaian perkhidmatan sambungan.

10.92 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan mengawal pelaksanaan program USP termasuk menentukan sasaran dan jadual masa untuk melaksanakan sepenuhya infrastruktur komunikasi, piawaian perkhidmatan dan penyampaiannya. Oleh yang demikian, kadar penembusan luar bandar dijangka meningkat kepada 17.5 telefon bagi setiap 100 penduduk pada tahun 2005 dan kadar penembusan negara kepada 27.0. Usaha ini akan melibatkan pemasangan 423,800 talian baru dan 88,760 telefon awam di kawasan luar bandar. Sejumlah RM2.1 bilion akan dilaburkan untuk mencapai sasaran USP dengan pembiayaan utama daripada sektor swasta melalui sumbangan kepada Dana USP. Penembusan telefon selular diunjur meningkat kepada 38 bagi setiap 100 penduduk pada tahun 2005 didorong oleh keselesaan mengguna, harga yang berdaya saing dan keupayaan pengkomputerannya.

10.93 Industri komunikasi dan multimedia akan menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia pada kadar yang berdaya saing untuk menghadapi cabaran persaingan global. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, akan memudahkan pengenalan perkhidmatan baru menggunakan teknologi baru melalui peraturan perlesenan yang lebih liberal tanpa mengambil kira jenis teknologi dan perkhidmatan. Dalam hubungan ini, kebanyakan aktiviti e-dagang seperti web hosting, kandungan internet, urusniaga elektronik dan perkhidmatan rangkaian persendirian dikecualikan lesen daripada Suruhanjaya. Akta ini juga memperuntukkan kawalseliaan sendiri oleh industri bagi membolehkan pengusaha bertindak segera kepada tekanan persaingan dan menumpukan kepada produktiviti dan kecekapan. Kerajaan akan menetapkan petunjuk utama prestasi untuk memantau prestasi dan menetapkan garis panduan umum seperti persaingan yang adil untuk melindungi dan menggalakkan kepentingan pengguna serta memastikan matlamat sosial tercapai. Sektor swasta perlu lebih inovatif dan kreatif dalam menyediakan perkhidmatan berlainan dan baru, terutama dalam pasaran yang khusus mengikut keperluan pengguna serta pengkhususan yang memberikan pulangan yang tinggi.

Bekalan Air

10.94 Teras sektor kecil air akan ditumpukan kepada keperluan menguruskan sumber air negara dengan berkesan supaya mempunyai bekalan air selamat yang mencukupi. Bagi tujuan ini, cadangan Dasar Air Negara dan Pelan Induk Sumber Air Negara yang baru yang meliputi tempoh perancangan sehingga tahun 2050, akan menyediakan strategi dan prinsip panduan untuk pembangunan dan pemuliharaan sumber air negara pada masa hadapan. Prinsip ini antara lain akan berasaskan pembangunan bersepadu, pembahagian sumber air yang sama rata di antara kawasan, integriti alam sekitar, penyeragaman peraturan dan amalan air dan struktur tarif air serta nilai ekonomi air. Dalam hubungan ini, Suruhanjaya Air dan Sanitasi yang dicadang akan menguatkuasakan pematuhan objektif kualiti air dan alam sekitar melalui mekanisme kawal selia. Di samping itu, Kerajaan akan mengambil kira perancangan kawasan tadahan air dalam membuat keputusan melibatkan dasar guna tanah bagi menggambarkan nilai ekonomi kawasan tadahan air, hutan simpan dan kawasan lain yang dilindungi serta mewartakan kawasan tadahan air, tapak empangan dan kawasan tebing sungai untuk memelihara bekalan air bagi kegunaan pada masa hadapan. Sumber dan dana yang mencukupi akan disediakan untuk menjalankan program ini dengan berkesan. Perancangan ini akan diselaraskan oleh Majlis Sumber Air Negara menerusi kerjasama yang erat dan penyelarasan melalui dialog dan perkongsian di antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri serta pihak industri.

10.95 Selain memastikan sistem bekalan air yang berkesan dan berdaya harap, keutamaan akan diberi untuk mengurangkan pembaziran dan kerugian. Dalam tempoh Rancangan, pengurusan permintaan dan strategi pemuliharaan yang berkesan dan menyeluruh akan diperkenalkan. Kadar air tidak terhasil dijangka berkurangan daripada 36 peratus pada tahun 2000 kepada 31 peratus pada tahun 2005. Kempen kesedaran awam tentang pentingnya penjimatan air akan dipergiat. Undangundang kecil bangunan akan dipinda untuk memastikan kediaman dan premis perindustrian yang baru dipasang dengan peralatan penjimatan air. Usaha juga akan diambil untuk meningkatkan pemantauan dan kawalan keselamatan empangan. Langkah ini merangkumi pemantauan rapi ciri-ciri empangan seperti hasil hidrologi, jumlah takungan, tahap kritikal dan kaedah pelepasan air yang lebih seimbang di antara permintaan dan bekalan, terutamanya semasa musim kemarau. Di samping itu, lebih banyak kolam takungan akan dibina.

10.96 Permintaan air untuk kegunaan domestik dan industri dijangka meningkat sebanyak 5.4 peratus setahun semasa tempoh Rancangan. Liputan bekalan air negara dijangka meningkat kepada 95 peratus iaitu hampir 100 peratus liputan kawasan bandar dan 91 peratus kawasan luar bandar pada tahun 2005. Di samping untuk memenuhi permintaan yang bertambah di kawasan bandar, Kerajaan akan terus menyediakan air minuman yang berkualiti kepada kelompok kecil di luar bandar. Dalam hal ini, pembangunan kemudahan infrastruktur bagi memperolehi sumber air tanah dan merawat air sungai dan anak sungai akan terus dilaksanakan bagi menambah bekalan air paip. Bekalan air akan dipertingkat lagi di negeri yang mempunyai liputan air yang rendah di kawasan luar bandar. Di samping itu, air permukaan hiliran akan digunakan untuk tujuan industri dan kegunaan bukan kritikal.

10.97 Pelaksanaan projek bekalan air akan dipercepatkan, seperti pembinaan Empangan Chereh dan Bekalan Air Kuantan Raya dan Skim Bekalan Air Tanjung Malim. Pembinaan dua kerja utama punca air iaitu projek Sungai Selangor Fasa III (SSP3) dan Skim Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor akan dimulakan dalam tempoh Rancangan bagi memenuhi peningkatan permintaan air di Lembah Klang. Selain daripada Empangan Sungai Selangor, Projek SSP3 juga mengandungi Loji Rawatan Air Bukit Badong Peringkat 1 dengan keupayaan 400 jlh yang dijangka siap pada tahun 2002 dan Peringkat 2 dengan keupayaan yang sama dijangka siap pada tahun 2004. Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor adalah bertujuan memindahkan air mentah dengan keupayaan maksimum sebanyak 2,400 jlh melalui saluran paip dan terowong dari Pahang ke Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan akhirnya ke Negeri Sembilan.

10.98 Dalam tempoh Rancangan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Sabah dijangka menyempurnakan usaha Kerajaan untuk menswasta atau mengkorporatkan pihak berkuasa bekalan air. Penswastaan pihak berkuasa bekalan air akan dilaksanakan secara bersepadu termasuk kerja rawatan, pengagihan air, urusan bil dan perkhidmatan pelanggan. Badan kawal selia air negeri akan ditubuhkan dengan kuasa yang mencukupi untuk penguatkuasaan kawal selia dari segi ekonomi dan keselamatan bagi memastikan syarikat swasta patuh kepada syarat perjanjian penswastaan. Bagi meningkat keberkesanan mekanisme badan kawal selia negeri, Suruhanjaya Air dan Sanitasi akan ditubuh untuk menasihat kerajaan negeri dalam aspek perundangan dan perkara berkaitan tanggungjawab sosial untuk dilaksanakan oleh pemegang konsesi.

10.99 Penggunaan ICT akan diperluas dengan penubuhan sistem maklumat negara yang diseragamkan dengan rangkaian pangkalan maklumat di peringkat Persekutuan dan negeri. Selain daripada maklumat mengenai kewujudan dan kegunaan air yang sebenar, sistem ini juga merangkumi unjuran permintaan air. Di samping itu, untuk meningkatkan pengurusan dan pengendalian pengagihan air, penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS), Sistem Penyeliaan Kawalan dan Perolehan Data (SCADA), sistem telemetri serta maklumat pelanggan dan sistem urusan bil akan diperluas. Sistem ini, antara lain akan menangani masalah kadar air tidak terhasil melalui pengesanan yang lebih awal.

Pembetungan

10.100 Dalam tempoh RMKe-8, Kerajaan akan melaksanakan program pembangunan pembetungan yang besar dengan pelaksanaan 13 projek pembetungan. Projek ini termasuk menaik taraf 10 loji rawatan pembetungan dan rangkaian pembetungan serta penyediaan tiga kemudahan baru merawat enapcemar untuk memastikan pemberian perkhidmatan yang lebih baik. Projek ini akan menyediakan perkhidmatan pembetungan kepada 1.8 juta lagi penduduk.

10.101 Pelaksanaan kerja membaik pulih kira-kira 2,500 loji rawatan akan menghasilkan kualiti efluen dan persekitaran yang lebih baik. Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan syor kajian pembetungan supaya pemegang konsesi sedia ada menjalankan kerja operasi dan senggaraan perkhidmatan pembetungan termasuk kutipan caj dan urusan bil. Kerajaan pula akan bertanggungjawab bagi perbelanjaan modal yang diperlukan untuk peningkatan sistem, naik taraf dan pemulihan sistem pembetungan. Pilihan ini antara lain akan menjamin bahawa perkhidmatan pembetungan terus disediakan kepada orang awam pada kadar yang mampu dan memastikan pembuangan air sisa dengan selamat.

10.102 Pengambilalihan loji rawatan pembetungan yang baru daripada pemaju akan meningkatkan liputan penduduk yang diberi perkhidmatan oleh pemegang konsesi kepada kira-kira 14.4 juta penduduk pada tahun 2005. Pelaksanaan pelan tadahan pembetungan akan mengurangkan lagi bilangan loji rawatan setempat dan mengoptimumkan sumber bagi pengendalian dan penyenggaraan sistem pembetungan. Di samping itu, sistem rawatan berasingan akan dilaksanakan di lokasi seperti kawasan berbukit dan terpencil di mana kos sambungan kepada sistem pembetungan berpusat adalah tinggi atau mempunyai kesan yang negatif kepada alam sekitar.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM