:: RANCANGAN MALAYSIA KE LAPAN (2001-2005) ::
BAB 22 : PEMBANGUNAN MENERUSI KERJASAMA ANTARABANGSA

II : KEMAJUAN, 1996-2000


22.3 Malaysia bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa dalam tempoh RMKe-7 secara berkongsi pengalaman pembangunan terutamanya dengan negara membangun yang lain dalam semangat kerjasama Selatan-Selatan. Kerjasama dengan negara rakan dua hala diteruskan untuk memperkukuh pembangunan institusi dan sumber manusia serta menggalakkan pembangunan mampan. Kerjasama ini memperkukuhkan hubungan politik dan ekonomi terutamanya antara kumpulan serantau seperti Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Kerjasama Dua Hala

22.4 Malaysia telah menggiatkan lagi usaha untuk mengukuhkan kerjasama yang sedia terjalin dengan semua negara rakan. Sejumlah 12 pejabat perwakilan lagi telah dibuka di luar negara dan kerjasama dua hala terus diperkukuh menerusi pertukaran lawatan Ketua Negara dan Kerajaan, pemeteraian pelbagai perjanjian dua hala dan penubuhan Suruhanjaya Bersama. Dalam tempoh Rancangan, Perjanjian Mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik dan Teknikal telah ditandatangani dengan 19 negara, menjadikan jumlahnya 92. Perjanjian-perjanjian ini telah membantu melicinkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan sumber manusia, sains dan teknologi (S&T) perdagangan dan pelaburan serta pelancongan. Mesyuarat Suruhanjaya Bersama telah diadakan untuk membincang dan memudahkan pelaksanaan aktiviti termasuk perdagangan dan pelaburan.

22.5 Rangka kerjasama dua hala telah diperluas lagi dalam tempoh Rancangan melalui pemeteraian perjanjian perkhidmatan udara dengan 16 negara, perjanjian perdagangan dua hala dengan 22 negara, lima peraturan pembayaran dua hala (BPA) dengan empat negara, lima Tatacara Kredit dan Pembayaran Minyak Sawit (POCPA) dengan lima negara, perjanjian jaminan pelaburan (IGA) dengan 22 negara dan perjanjian pengecualian cukai dua kali (DTA) dengan 10 negara. Di bawah perjanjian ini, prosedur berkaitan perdagangan telah diperkemas untuk meningkatkan akses kepada pasaran. Di samping itu, instrumen fiskal seperti tarif, cukai dan peraturan kewangan yang telah dikaji semula dan pembayaran eksport yang dijamin oleh bank pusat negara peserta telah menyumbang kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan negara tersebut. BPA yang telah ditandatangani dalam tempoh Rancangan termasuk dua dengan Bosnia-Herzegovina dan satu masing-masing dengan Filipina, Cuba dan Sudan.

22.6 Bantuan Pembangunan Rasmi Dua Hala. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia terus menerima bantuan pembangunan rasmi (ODA) dalam bentuk pinjaman dan bantuan teknik. Jumlah pinjaman yang diterima oleh Malaysia daripada sumber dua hala dalam tempoh Rancangan ialah USD4.12 bilion dalam bentuk Yen Jepun untuk projek dalam sektor tenaga, pendidikan, industri dan infrastruktur. Pinjaman ini ialah di bawah Inisiatif Baru Miyazawa yang diumumkan pada Oktober 1998 yang menawarkan pelbagai inisiatif serta kemudahan bagi membantu secara aktif negara Asia yang terjejas akibat krisis kewangan pada tahun 1997. Pinjaman ini diberikan oleh Japan Bank for International Cooperation (JBIC) semenjak tahun 1998 untuk projek di dalam sektor utama seperti tenaga, sumber manusia, industri kecil dan sederhana (SMI) dan infrastruktur serta projek di bawah pinjaman dua peringkat tidak terikat kepada Bank Industri dan Teknologi Malaysia Berhad (BITMB) dan Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad (BPIMB). Malaysia juga menerima bantuan dalam bentuk pinjaman bank perdagangan daripada Bank Sumitomo berjumlah USD635 juta yang dijamin oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Jepun terutamanya untuk projek infrastruktur. Bantuan ini yang diterima pada masa yang tepat dan sesuai telah membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia.

22.7 Bantuan teknik. Malaysia terus menerima bantuan teknik daripada rakan pembangunan dengan Jepun sebagai penyumbang terbesar sebanyak USD291.1 juta atau 66.6 peratus daripada jumlah bantuan teknik yang diterima oleh Malaysia, seperti ditunjukkan dalam Jadual 22-1. Bantuan ini diberikan menerusi kerjasama berbentuk projek, kajian pembangunan, pembekalan peralatan, penghantaran pakar dan sukarelawan, latihan pegawai sejawatan dan geran kebudayaan. Rakyat Malaysia telah menerima latihan di Jepun dalam pelbagai bidang melalui Dasar Pandang ke Timur dan di bawah program bantuan kerjasama teknik Japan International Cooperation Agency (JICA).

22.8 Dalam tempoh Rancangan, Malaysia juga bekerjasama dengan Denmark di bawah Danish Cooperation for Environment and Development (DANCED) yang menyalurkan bantuan teknik berjumlah USD51.1 juta. Di bawah program ini, bantuan teknik ditumpukan kepada pengurusan sumber asli dan alam sekitar. Program ini merangkumi projek penggalakan teknologi yang lebih bersih bagi sektor industri, pengurusan lembangan sungai, penggalakan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga, peningkatan pengurusan taman negara dan pembangunan bandar secara mampan. Kerajaan Jerman juga menyumbang bantuan teknik kepada Malaysia berjumlah USD47.7 juta. Bidang kerjasama termasuk projek berkaitan alam sekitar, pengurusan hutan secara mampan dan pembangunan sumber manusia terutamanya latihan kemahiran di peringkat tinggi. Di bawah program ini, Institut Malaysia-Jerman (GMI) telah memperluaskan lagi latihan pembangunan kemahirannya bagi merangkumi program latihan separuh masa.



22.9 Penyumbang tradisi terus menyediakan bantuan teknik kepada Malaysia dalam penubuhan institusi latihan kemahiran peringkat tinggi seperti Institut Malaysia-Perancis (MFI), Institut Teknikal Malaysia-Jepun (JMTI) dan Institut Malaysia-British (BMI). Kursus yang ditawarkan oleh institusi ini termasuk kemahiran di peringkat tinggi dalam bidang kejuruteraan komputer, teknologi pembuatan dan teknologi kapal terbang. Program bantuan teknik juga diteruskan dengan Australia dalam penyelidikan pertanian dan Kanada dalam pembangunan rangkaian sektor swasta.

Kerjasama Serantau

22.10 Malaysia meneruskan komitmen terhadap regionalisme terbuka yang menggalakkan kerjasama ekonomi di kalangan negara anggota tanpa mengurangkan kerjasama dengan negara lain. Ini ditunjukkan menerusi penglibatan aktif Malaysia dalam kumpulan serantau seperti ASEAN, APEC, Inisiatif Pertumbuhan Segitiga serta kumpulan antara rantau khususnya ASEM.

22.11 Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara. Keanggotaan Malaysia dalam ASEAN menyumbang ke arah mengeratkan hubungan Malaysia dengan negara anggota lain. Dalam tempoh Rancangan, keanggotaan ASEAN diperluas dengan merangkumi Vietnam, Laos, Cambodia dan Myanmar. Dengan penyertaan negara anggota baru, kerjasama serantau dipertingkatkan lagi melalui pelbagai inisiatif dalam bidang pelancongan, pembangunan sumber manusia, pembangunan gas dan arang batu serta pertanian. Pelan Tindakan Strategik Kerjasama ASEAN Dalam Sektor Pertanian Dan Perhutanan telah diluluskan pada tahun 2000 untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor ini. Beberapa perjanjian penting telah dimeterai termasuk Framework Agreement in ASEAN Investment Area dan ASEAN Framework on Mutual Recognition Arrangements. Berikutan krisis kewangan pada tahun 1997, Ketua-Ketua Kerajaan ASEAN dalam Kenyataan Wawasan 2020 ASEAN telah bersetuju untuk bekerjasama memantapkan lagi penyatuan serantau dan integrasi ekonomi. Semasa Sidang Kemuncak ASEAN Keenam pada Disember 1998, Pelan Tindakan Hanoi telah dilancarkan bagi melaksana Wawasan ini. Pelan ini mengandungi langkah yang perlu diambil sebagai tindak balas kepada globalisasi dan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi serantau serta pembangunan ASEAN. Di samping itu, Proses Pengawasan ASEAN (ASP) telah diwujudkan pada Oktober 1998 bagi meningkatkan keupayaan merangka dasar dan menggalakkan kestabilan kewangan serta mencegah berulangnya krisis kewangan dengan memantau perkembangan di peringkat kebangsaan, serantau dan global.

22.12 Krisis kewangan telah juga menjejaskan pelaksanaan projek yang dipersetujui di bawah Inisiatif Kerjasama Lembangan ASEAN Mekong. Projek yang terjejas pelaksanaannya termasuk projek latihan pengurusan air bawah tanah dan projek Keretapi Trans Asian.

22.13 Dalam tempoh Rancangan, Malaysia mendapat manfaat daripada hubungan berterusan ASEAN dengan rakan dialognya, iaitu Australia, Kanada, Republik Rakyat China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Republik Korea, New Zealand dan Amerika Syarikat. Kerjasama dengan rakan dialog terjalin terutamanya dalam meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan, pembangunan sumber manusia dan memperkukuhkan rantaian dengan pihak swasta. Dalam usaha memperkukuhkan hubungan dengan rakan dialog, kumpulan serantau lain dan agensi pelbagai hala, satu kajian semula telah dijalankan mengenai strategi untuk meningkatkan manfaat kepada negara anggota. Satu inisiatif penting ialah penubuhan ASEAN+3 yang melibatkan penyertaan Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea dalam beberapa projek ASEAN seperti program pertukaran untuk sektor swasta dan menggalakkan peningkatan hubungan ekonomi. Semasa Mesyuarat Pertama Menteri-Menteri Kewangan ASEAN+3 pada Mei 2000, Inisiatif Chiang Mai telah dilancarkan. Inisiatif ini merupakan satu peraturan kewangan serantau untuk memperkukuhkan mekanisme bantu diri dan sokongan di Asia Timur. Di bawah Inisiatif ini, ASEAN Swap Arrangement telah diperluas untuk merangkumi kesemua sepuluh anggota ASEAN dan kemudahan pembiayaan ini ditambah menjadi USD1 bilion. Satu rangkaian kemudahan bilateral swaps dan perjanjian pembelian semula antara anggota ASEAN+3 telah juga ditubuhkan. Inisiatif lain termasuk kerjasama dalam pembangunan sumber manusia terutama melalui latihan dan seminar berkaitan sektor kewangan.

22.14 Mesyuarat Asia-Eropah. Malaysia juga memperkukuhkan hubungan dengan Eropah melalui proses ASEM dengan memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan, kerjasama ekonomi dan kewangan, interaksi dengan masyarakat perniagaan dan pembangunan ekonomi dunia. Tabung Amanah ASEM telah ditubuhkan pada Jun 1998 oleh pemimpin-pemimpin ASEM untuk membiayai bantuan teknik berhubung dengan penyusunan semula sektor kewangan, korporat dan sosial bagi membantu pemulihan negara Asia Timur yang terjejas akibat krisis kewangan serantau. Tabung Amanah ini yang berjumlah USD45 juta mendapat sumbangan daripada pelbagai sumber, iaitu Suruhanjaya Eropah sebagai penyumbang terbesar, Denmark, Finland, Perancis, Itali, Luxembourg, Netherlands, Republik Rakyat China, Sweden dan United Kingdom. Malaysia mendapat manfaat daripada lima projek dalam bidang pemulihan krisis korporat, dasar berkaitan pasaran buruh, daya saing industri dan eksport, dasar kesihatan dan pengukuhan kawal selia sektor kewangan melalui penubuhan sistem amaran awal serta kajian insurans untuk simpanan.

22.15 Forum Asia Timur-Amerika Latin. Malaysia menyertai Forum Asia Timur-Amerika Latin (EALAF) yang ditubuhkan pada tahun 1999 untuk meningkatkan kerjasama antara dua rantau. Forum ini dianggotai 27 negara termasuk 10 negara ASEAN, Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea dari rantau Asia; Argentina, Brazil, Bolivia, Mexico, Peru dan Uruguay dari rantau Amerika Latin. Australia dan New Zealand turut menganggotainya walaupun mereka di luar rantau Asia Timur. EALAF bertujuan menggalakkan hubungan ekonomi dan perdagangan serta mengadakan rundingan mengenai isu sosial, budaya dan politik. Beberapa projek telah dicadangkan dalam mesyuarat yang diadakan di Singapura dan Chile termasuk kajian ekonomi untuk meningkatkan perdagangan antara rantau, seminar mengenai kerjasama ekonomi serantau di Chile dan Republik Rakyat China serta pemberian biasiswa yang boleh menyumbang ke arah persefahaman yang lebih baik antara rakyat kedua-dua rantau ini.

22.16 Inisiatif Pertumbuhan Segitiga. Penglibatan Malaysia dalam entiti rantau kecil, iaitu Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Singapura (IMSGT) diteruskan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam kawasan yang kurang membangun di rantau kecil tersebut. Aktiviti yang dijalankan menerusi pelbagai mekanisme termasuk forum antara Kerajaan dengan Kerajaan dan perbincangan antara pihak Kerajaan dengan sektor swasta serta antara sektor swasta negara anggota. Di peringkat Kerajaan, usaha dibuat untuk menyeragamkan peraturan dan prosedur berhubung perdagangan dan pelaburan manakala sektor swasta digalakkan untuk mengenal pasti rakan kongsi projek usaha sama serta meluaskan lagi perniagaan di negara anggota. Melalui kerjasama pertumbuhan segitiga tersebut, beberapa projek usaha sama telah dilaksanakan terutamanya dalam bidang pembangunan sumber manusia, pelancongan, infrastruktur, pembuatan, perladangan serta sektor pengangkutan dan perlombongan.

22.17 Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik. Malaysia menjadi tuan rumah kepada Persidangan Kemuncak APEC pada November 1998. Di bawah pimpinan Malaysia, Persidangan Kemuncak APEC telah menerima Deklarasi Kuala Lumpur yang bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan beberapa keputusan termasuk Pelan-Pelan Tindakan Individu (IAP). Dalam hubungan ini, Malaysia telah memilih pembinaan keupayaan sebagai tema IAPnya dengan tujuan mengurangkan jurang ekonomi antara negara. Malaysia juga menjadi tuan rumah kepada Persidangan Kesepuluh Menteri-Menteri APEC pada November 1999 dan Mesyuarat Keenam Menteri-Menteri Kewangan APEC pada Mei 1999. Di samping itu, Malaysia terus menyertai Kerjasama Ekonomi dan Teknikal (ECOTECH) yang memberi penekanan kepada pembangunan sumber manusia, teknologi dan industri kecil dan sederhana.

Kerjasama Pelbagai Hala

22.18 Dalam tempoh Rancangan, Malaysia terus bekerjasama di peringkat pelbagai hala dengan menengahkan pandangan negara membangun dan keperluan mereka mendapat layanan yang khusus dan berbeza dalam rundingan pelbagai hala. Pandangan Malaysia mengenai isu antarabangsa telah diketengahkan melalui penyertaan dalam program agensi pelbagai hala seperti agensi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Komanwel dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) serta bank pembangunan, iaitu Bank Pembangunan Asia (ADB), Bank Dunia dan Bank Pembangunan Islam (IDB).

22.19 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Malaysia terus menyuarakan pandangan mengenai isu global terutama yang berkaitan dengan penyusunan semula PBB dan kerangka kewangan antarabangsa, integrasi negara membangun dalam ekonomi dunia, pembiayaan untuk pembangunan termasuk kedudukan hutang negara miskin serta penyelesaian secara aman pertikaian antarabangsa. Dalam hubungan ini, Malaysia mengambil bahagian secara aktif dalam Perhimpunan Agung PBB, Forum Kumpulan 77 (G-77) dan persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh PBB termasuk Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), Sesi Khas Perhimpunan Agung mengenai Gender, Sesi Khas Perhimpunan Agung mengenai Pembangunan Sosial dan Perhimpunan Alaf. Malaysia memberi sokongan padu kepada persidangan ini sebagai landasan untuk negara membangun mengkaji semula perkembangan semasa dunia supaya dapat menyusun langkah positif secara bersama termasuk melaksanakan dasar yang bersesuaian serta merundingkan strategi yang membolehkan negara Selatan mendapat manfaat daripada globalisasi secara saksama.

22.20 Bagi menyokong usaha menjaga keamanan PBB, seramai 5,250 anggota tentera serta 487 anggota polis Malaysia telah menyertai pasukan pengaman PBB di Sahara Barat, Kosovo, Republik Demokratik Congo, Mozambique, Bosnia-Herzegovina dan Angola. Malaysia juga menyertai Misi Pemerhati PBB di Liberia, Sierra Leone dan Iraq-Kuwait serta Pentadbiran Peralihan PBB di Timor Timur (UNTAET). Perlantikan Malaysia sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 1999-2000 merupakan satu pengiktirafan kepada peranannya dalam meningkatkan keamanan dunia.
22.21 Dalam tempoh Rancangan, beberapa pegawai Malaysia telah dilantik memegang pelbagai jawatan penting di PBB, iaitu sebagai Presiden Sesi Ke 51 Perhimpunan Agung PBB, Utusan Khas PBB ke Myanmar dan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB. Pengiktirafan terus diberi kepada Malaysia di atas sumbangannya dalam hubungan antarabangsa melalui perlantikan sebagai anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB bagi penggal 2001-2003 pada tahun 1999.

22.22 Pertubuhan Perdagangan Dunia. Amalan perdagangan yang lebih menguntungkan negara maju tanpa memberi manfaat yang ketara kepada kebanyakan negara membangun dalam konteks globalisasi terus membimbangkan Malaysia. Dalam hubungan ini, Malaysia telah bekerjasama dengan pertubuhan pelbagai hala seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam usaha untuk mencapai pendirian bersama dengan negara membangun mengenai isu perdagangan bagi memastikan kepentingan mereka tidak terpinggir dalam sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan. Malaysia berpendirian bahawa pusingan baru rundingan perdagangan memerlukan agenda seimbang dan menyeluruh yang mengambil kira kepentingan semua anggota WTO. Isu tidak berkaitan dengan perdagangan seperti peraturan pelaburan, dasar persaingan dan perolehan kerajaan serta isu buruh, sosial dan piawaian alam sekitar yang di luar bidang kuasa WTO tidak sesuai untuk dibincangkan. Kegagalan Mesyuarat Kedua Peringkat Menteri WTO di Seattle pada tahun 1999 menunjukkan bahawa kerangka sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan perlu dikaji semula dengan mengambil kira kepentingan semua anggota khususnya negara membangun.

22.23 Komanwel. Malaysia telah dipilih sebagai salah satu daripada lapan anggota Kumpulan Bertindak Peringkat Menteri Komanwel (CMAG) pada tahun 1999 bagi memantau perlanggaran peraturan yang serius kepada prinsip Deklarasi Harare seperti demokrasi dan urustadbir yang baik. Dalam tempoh Rancangan, Malaysia juga menyertai Misi Pemerhati Komanwel dalam pilihan raya di Fiji, Nigeria,Afrika Selatan dan Zimbabwe. Bagi kerjasama penganjuran acara, Malaysia telah dengan jayanya menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel ke XVI – Kuala Lumpur ‘98 dengan 6,000 peserta mengambil bahagian dalam 15 jenis sukan. Dalam bidang pembangunan sumber manusia, 65 pegawai Malaysia mengikuti latihan dalam pelbagai bidang menerusi pembiayaan di bawah Tabung Komanwel bagi Kerjasama Teknik (CFTC). Kursus jangka pendek telah dianjurkan oleh CFTC di Malaysia bagi pegawai daripada negara Komanwel sebagai pengiktirafan kepakaran Malaysia.

22.24 Pertubuhan Persidangan Islam. Malaysia sebagai salah sebuah negara pengasas Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) terus memainkan peranan aktif ke arah menjadikannya sebuah badan yang lebih berkesan dan relevan. Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ke 27 Menteri-Menteri Luar Islam (ICFM) pada Jun 2000 yang meletakkan asas bagi pencapaian kemajuan ummah pada masa hadapan. Dalam persidangan ini, Malaysia telah menggesa supaya OIC memberi tumpuan, antara lain, kepada usaha untuk merapatkan hubungan antara anggotanya supaya bersedia menghadapi cabaran masa hadapan sebagai tindak balas kepada kemajuan teknologi dan proses globalisasi.

22.25 Kumpulan Membangun-8. Kumpulan Membangun–8 (D-8) yang ditubuhkan pada tahun 1997 yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki, bertujuan menggalakkan kerjasama pembangunan yang lebih erat di kalangan negara Islam. Malaysia telah dipertanggungjawab untuk memberi pengetahuan serta memasarkan konsep dan aplikasi takaful kepada anggota D-8 dan OIC dengan matlamat membantu menubuhkan syarikat takaful di seluruh dunia. Bagi tujuan ini, Malaysia telah menganjurkan beberapa persidangan untuk negara anggota, iaitu persidangan mengenai Re-takaful dan perbankan Islam serta latihan untuk mempermudahkan prosedur kastam, perbankan konvensional dan pembangunan pasaran modal. Pengendali syarikat takaful Malaysia aktif dalam menjalankan program latihan dalam dan di luar negara serta menyediakan bantuan teknik untuk menubuh dan mengurus syarikat takaful baru.

22.26 Bantuan Pembangunan Rasmi Pelbagai Hala. Malaysia menerima pinjaman daripada bank pembangunan dan institusi kewangan pelbagai hala bagi menampung jurang perbelanjaan pembangunan. Bantuan teknik yang diperolehi daripada agensi tersebut tertumpu kepada pembinaan keupayaan, terutamanya dalam perolehan teknologi, pengetahuan dan kemahiran.

22.27 Malaysia menerima pinjaman Pemulihan Ekonomi dan Sektor Sosial daripada Bank Dunia sebanyak USD300 juta pada tahun 1998 yang diagihkan secara segera bagi membantu pemulihan ekonomi negara. Pinjaman tambahan sebanyak USD254.94 juta diterima pada tahun 1999 daripada Bank Dunia bagi membiayai projek dalam sektor pendidikan dan Pepijat Alaf (Y2K). Selaras dengan kerjasama di kalangan negara Islam, bantuan kewangan berjumlah USD92.01 juta diterima daripada IDB. Pembiayaan ini adalah dalam bentuk bayaran ansuran seumpama pajakan tetapi peminjam terus menerima hak milik aset. Pembiayaan ini digunakan untuk pembelian peralatan Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Di samping itu, pinjaman berjumlah USD66.3 juta diperolehi daripada ADB bagi projek tebatan banjir dan projek pendidikan teknikal.

22.28 Agensi pelbagai hala terus memberi bantuan teknik kepada Malaysia dalam tempoh Rancangan. Kira-kira USD40.1 juta atau 88.7 peratus daripada bantuan teknik telah disumbang oleh pertubuhan dan agensi khusus di bawah PBB, iaitu Program Pembangunan PBB (UNDP), Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kependudukan PBB (UNFPA). Bantuan ini tertumpu kepada pembinaan keupayaan dalam bidang utama termasuk kepelbagaian biologi, perubahan iklim, daya saing, industri kecil dan sederhana, pelancongan desa dan dasar kesihatan. Kerajaan memberi sumbangan kewangan berjumlah USD2.3 juta dan sumbangan bukan kewangan bagi menyokong pelaksanaan UNDP Country Programme berdasarkan perkongsian kos.

22.29 Sumbangan kepada Pertubuhan dan Institusi Pelbagai Hala. Dalam tempoh Rancangan, Malaysia menyumbang RM244.07 juta kepada pertubuhan dan institusi pelbagai hala, seperti ditunjukkan dalam Jadual 22-2. Sumbangan tersebut adalah dalam bentuk yuran keahlian tahunan dan sumbangan untuk menyokong program pembangunan agensi berkaitan.

Kerjasama Selatan-Selatan

22.30 Dalam tempoh Rancangan, Malaysia mengambil beberapa langkah untuk menggalakkan kerjasama Selatan-Selatan. Ini termasuk perkongsian pengalaman dalam bidang pembangunan dengan negara membangun yang lain, perluasan Program Kerjasama Teknik Malaysia (PKTM) yang terus memberi tumpuan kepada pembangunan sumber manusia dan kerjasama berbentuk projek serta bantuan kemanusiaan.

22.31 Kumpulan 15. Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan kepentingan negara membangun terutamanya melalui aktiviti di bawah Kumpulan 15 (G-15). Aktiviti ini termasuk Pusat Pertukaran Data Pelaburan, Perdagangan dan Teknologi Selatan (SITTDEC) yang menyediakan perkhidmatan maklumat berkaitan perdagangan, pelaburan dan pemindahan teknologi kepada negara anggota. Bagi memperkukuh dan meningkatkan keberkesanannya, SITTDEC telah distruktur semula dan seterusnya diswastakan. Sementara SITTDEC terus memainkan peranannya sebagai pejabat perhubungan antara G-15 dan negara anggota SITTDEC, sebuah syarikat usaha sama, iaitu Sibexlink Sdn Bhd telah ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan secara komersil berhubung dengan maklumat perdagangan, pelaburan dan teknologi termasuk perkhidmatan memberi maklumat secara terus, penyelidikan pasaran, pemadanan perdagangan dan seminar. Pangkalan datanya termasuk maklumat daripada Pusat Galakan Pelaburan dan Teknologi Asia-Afrika serta profil bagi kira-kira 30,000



syarikat daripada lebih 100 negara membangun.

22.32 Inisiatif lain G-15 yang telah dilaksanakan termasuk penubuhan pusat kecemerlangan pendidikan dalam pelbagai bidang. Malaysia telah dipilih oleh anggota G-15 untuk menjadi negara penggerak bagi melaksanakan inisiatif ini. Selain daripada institusi antarabangsa, tiga institusi tempatan telah dikenal pasti sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, iaitu Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Universiti Malaya dan Institut Aminuddin Baki. Pada tahun 1997, INTAN telah menganjurkan Kursus Metodologi Antarabangsa yang diterima baik oleh peserta daripada negara anggota G-15 manakala pada tahun 1998, dua biasiswa peringkat sarjana telah diberi kepada anggota G-15 bagi mengikuti kursus dalam bidang pentadbiran awam di Universiti Malaya.

22.33 Forum Asia-Afrika. Antara aktiviti susulan daripada Persidangan Kedua Antarabangsa Tokyo Ke Atas Pembangunan Afrika (TICAD) pada tahun 1998, Forum Pertama Perniagaan Afrika-Asia telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1999 dengan sokongan daripada Kerajaan Jepun, UNDP dan Bank Dunia telah menghasilkan beberapa persetujuan perniagaan. Malaysia telah menganjurkan Forum Ketiga Asia-Afrika pada Mei 2000 dengan sokongan daripada Kerajaan Jepun, UN/Office of Special Coordinator for Africa and Least Developed Countries (UN/OSCAL), UNDP dan Global Coalition for Africa (GCA). Forum ini yang telah disertai oleh 10 negara Asia, 50 negara Afrika, 14 negara penyumbang dan 14 pertubuhan antarabangsa, serantau dan rantau kecil memudahkan pelaksanaan Tokyo Agenda for Action yang dipersetujui oleh TICAD II dan meningkatkan kerjasama Asia-Afrika dan seterusnya memberi sumbangan kepada pembangunan negara-negara Afrika. Dalam hubungan ini, mesyuarat menerima Kenyataan Alaf Baru Kuala Lumpur yang mengesahkan komitmen negara daripada Asia dan Afrika untuk terus memperkukuhkan perkongsian antara kawasan serantau dan rangkaian kerjasama. Tumpuan kerjasama adalah dalam bidang pertanian dan pembangunan sektor swasta yang melibatkan isu pembinaan keupayaan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyeluruh. Mesyuarat juga telah menimbang strategi pertumbuhan yang menyeluruh dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi oleh negara Asia dan Afrika.

22.34 Dialog Perkongsian Pintar. Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dimulakan oleh Malaysia berasaskan konsep kerjasama beberapa peringkat, iaitu antara syarikat dengan syarikat, di kalangan sektor awam dengan sektor swasta dan antara sektor awam sendiri telah diadakan setiap tahun semenjak tahun 1995 kecuali tahun 1998. Falsafah dan amalan perkongsian pintar ini melibatkan perkongsian pendapat dan pengalaman dalam isu dan arah aliran antarabangsa. Antara tema yang dibincangkan ialah peranan Kerajaan dan teknologi dalam perkongsian pintar, pengurusan pemulihan ekonomi serta strategi untuk menghadapi cabaran globalisasi dan ekonomi baru. Rangkaian Perniagaan Perkongsian Pintar telah diasaskan di kalangan pemimpin korporat dalam LID ’99. Dialog ini juga memupuk nilai bersama dan membantu merangka pendirian bersama mengenai isu antarabangsa serta membincangkan potensi kesannya ke atas negara membangun. Penyertaan yang semakin meningkat daripada negara membangun dalam dialog ini telah merintis kepada penganjuran beberapa dailog lain di Barbados, Afrika Selatan, Namibia dan Mozambique.

22.35 Sektor Swasta dan Kerjasama Selatan-Selatan. Selaras dengan konsep semangat Persyarikatan Malaysia, sektor swasta telah melaksanakan beberapa langkah untuk membantu melengkapkan usaha Kerajaan dalam kerjasama Selatan-Selatan. Dalam tempoh Rancangan, Persatuan Selatan-Selatan Malaysia (MASSA) mempunyai 86 ahli individu dan korporat. Syarikat pelaburan MASSA, iaitu Perbadanan Selatan-Selatan Malaysia Berhad (MASSCORP) mempunyai modal berbayar sebanyak RM53.95 juta. Beberapa projek usaha sama telah dilaksanakan iaitu Bekalan Air Binh-An dan Zon Perindustrian Danang di Vietnam, Hotel Micasa di Yangon, Myanmar, projek pembangunan perumahan dan komersil di Santiago, Chile serta perusahaan kulit di Buenos Aires, Argentina.

22.36 Program Kerjasama Teknik Malaysia. Selaras dengan komitmen Kerajaan yang berterusan kepada semangat kerjasama Selatan-Selatan, Program Kerjasama Teknik Malaysia (PKTM) telah diperluas dari segi liputan dan bidang kerjasama teknik. Dalam tempoh Rancangan, bilangan negara peserta PKTM meningkat daripada 92 kepada 121. Negara peserta baru termasuk lima belas negara dari benua Afrika, dua masing-masing dari Asia dan Latin Amerika dan satu dari Timur Tengah. Negara-negara ini ialah Algeria, Brazil, Burkina Faso, Cameroon, Republik Afrika Tengah, Cote D’Ivoire, Comoros, Djibouti, Timor Timur, Ethiopia, Gabon, Guinea-Bissau, Sierra Leone, Togo, Madagascar, Mali, Mexico, Nepal, Niger dan Yemen. Bagi melaksanakan program PKTM, sejumlah RM94.3 juta telah dibelanjakan dalam tempoh Rancangan.

22.37 Seramai 2,674 peserta telah mengikuti kursus jangka pendek di 18 institusi latihan dan agensi kerajaan. Institusi latihan yang menyertai PKTM termasuk INTAN, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Perbadanan Produktiviti Negara (NPC), Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR), Institut Penilaian Negara (INSPEN), Maktab Kerjasama Malaysia, Akademi Percukaian Negara (APN) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Antara agensi kerajaan yang mengendalikan latihan di bawah PKTM ialah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Arkib Negara dan Jabatan Penerbangan Awam. Dalam tempoh Rancangan, kursus baru yang ditawarkan ialah galakan pelaburan, penilaian dan memadam kebakaran. MIDA telah mengendalikan lima kursus khas mengenai galakan pelaburan kepada 200 peserta daripada 57 negara. Kursus teknikal juga telah dianjurkan oleh Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan untuk 62 peserta daripada 30 negara. Pada tahun 1996, Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja telah melatih lima peserta dari Namibia dalam bidang pengurusan dan pembangunan zon perdagangan bebas untuk eksport. Berhubung dengan kursus jangka panjang, seramai 101 peserta dari Asia, Afrika dan Timur Tengah telah diberi biasiswa untuk mengikuti kursus lepasan ijazah di lima universiti, iaitu Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

22.38 Bantuan khas telah diberi kepada Ghana dan Republik Kyrgyz, Algeria dan Cambodia bagi menyediakan pelan pembangunan dengan memberi penekanan khusus kepada penswastaan, galakan pelaburan dan perindustrian. Beberapa pasukan pakar yang terdiri daripada pegawai kanan dan wakil sektor swasta telah dihantar bagi membantu menyediakan pelan pembangunan ekonomi. Bantuan dalam bentuk khidmat nasihat juga diberi melalui penghantaran pakar dalam perbankan pusat, pencegahan rasuah, tenaga, perundangan dan perancangan strategik ke Namibia dan pengurusan kredit mikro ke Afrika Selatan serta pengurusan pertanian bersepadu ke Malawi. Di samping itu, pegawai daripada INTAN dan BNM telah dihantar ke Sudan dan Uzbekistan untuk mengendalikan kursus dalam bidang pengurusan strategik dan kepimpinan serta perbankan pusat.

22.39 Dalam tempoh Rancangan, terjalin kerjasama yang lebih erat antara PKTM dengan penaja bersama seperti Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik (ESCAP). PKTM memberi peluang latihan kepada anggota ESCAP menerusi dua kursus jangka pendek. Sejumlah 62 lawatan sambil belajar telah ditaja oleh PKTM dan pihak penaja seperti UNDP dan IDB. Di samping itu, terdapat peningkatan perkongsian dengan sektor swasta dalam melaksanakan projek seperti projek perumahan di Afrika Selatan serta pembinaan jalan dan bangunan di Bosnia-Herzegovina. Usaha ini meningkatkan lagi pelaburan oleh sektor swasta.

22.40 PKTM menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara membangun yang memerlukan. Usaha ini termasuk penempatan semula pelarian Bosnia melalui pembaikan semula infrastruktur dan pemberian barang keperluan serta bantuan kecemasan kepada mangsa banjir di Mozambique. Bantuan khas juga telah dihulurkan kepada Timor Timur dalam membantu usaha membina negara. Bantuan ini termasuk latihan dan penghantaran pakar ke Timor Timur dalam bidang pembangunan yang penting seperti pembiayaan kredit mikro, pembiayaan awam, pentadbiran awam dan diplomasi.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM