:: RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG KETIGA (2001-2010) ::
BAB 06 : PELABURAN DALAM SUMBER MANUSIA

III : KEPENDUDUKAN, TENAGA BURUH DAN GUNA TENAGA


Kependudukan

6.08 Penduduk Malaysia dijangka meningkat kepada 28.9 juta pada tahun 2010, iaitu pada kadar purata 2.2 peratus setahun. Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan ini adalah lebih perlahan berbanding dengan 2.5 peratus setahun yang dicapai dalam tempoh RRJP2, seperti ditunjukkan dalam Jadual 6-1. Memandangkan lebih ramai wanita meneruskan pendidikan atau latihan di peringkat yang lebih tinggi, kadar kesuburan keseluruhan, iaitu bilangan anak yang boleh dilahirkan oleh wanita dalam lingkungan umur kesuburan, akan terus berkurangan. Di samping itu, perkahwinan pada usia yang lewat, peningkatan pembandaran, kos sara hidup dan taraf hidup yang lebih tinggi dijangka menjadikan saiz keluarga semakin kecil.

6.09 Penurunan kadar kesuburan akan mengubah struktur demografi penduduk dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Penduduk yang berumur di bawah umur 15 tahun dijangka bertambah pada kadar purata 1.1 peratus setahun, iaitu lebih perlahan daripada kadar pertumbuhan dalam tempoh RRJP2. Ini mencerminkan penurunan kadar kesuburan keseluruhan daripada 3.2 peratus pada tahun 2000 kepada 2.8 peratus pada tahun 2010. Oleh yang demikian, peratusan kumpulan



umur ini daripada jumlah penduduk akan berkurang kepada 29.7 peratus pada tahun 2010 daripada 33.1 peratus pada tahun 2000. Sebaliknya, penduduk dalam kumpulan umur bekerja, iaitu 15-64 tahun akan meningkat daripada 62.9 peratus pada tahun 2000 kepada 65.8 peratus pada tahun 2010. Pada masa yang sama, peratusan kumpulan umur 65 tahun ke atas juga akan meningkat berikutan peningkatan jangka hayat hasil daripada kualiti hidup yang lebih baik.

6.10 Perubahan struktur umur penduduk ini akan memberi kesan yang ketara kepada ekonomi. Pertumbuhan penduduk dalam kumpulan umur bekerja menunjukkan perlunya pewujudan peluang pekerjaan serta penyediaan kemudahan pendidikan dan latihan yang lebih banyak. Memandangkan peratusan penduduk dalam umur bekerja dijangka menjadi lebih besar berbanding dengan mereka yang berumur kurang daripada 15 tahun dan 65 tahun ke atas, nisbah tanggungan, iaitu nisbah tanggungan bagi setiap 100 orang penduduk dalam kumpulan umur bekerja, akan berkurangan daripada 59.1 pada tahun 2000 kepada 52.2 pada tahun 2010. Ini menunjukkan bahawa peratusan penduduk yang aktif dari segi ekonomi adalah tinggi dan ini merupakan faktor penyumbang yang positif kepada peningkatan output.

6.11 Umur penengah penduduk akan menjadi 26.7 tahun pada tahun 2010, mencerminkan penduduk yang muda. Ini dijangka membawa kepada pertambahan pembentukan unit keluarga dan bilangan isi rumah dalam tempoh RRJP3. Dengan pertambahan pendapatan dan kadar pembandaran serta jumlah keluarga, permintaan terhadap perumahan dan kemudahan berkaitan seperti telekomunikasi dan sambungan Internet yang lebih berkualiti akan meningkat. Melalui perundangan yang sesuai, Kerajaan akan memastikan pemaju perumahan mematuhi piawaian yang telah ditetapkan dalam pembinaan rumah kediaman dan menyediakan persekitaran tempat tinggal yang kondusif. Di samping itu, bagi memenuhi keperluan kumpulan umur 65 tahun ke atas yang semakin meningkat, dasar akan digubal bagi meningkatkan perkhidmatan penjagaan geriatrik.

Tenaga Buruh

6.12 Saiz tenaga buruh dijangka meningkat sebanyak 3.1 peratus setahun atau tambahan sebanyak 3.3 juta orang dalam tempoh RRJP3, iaitu mencapai 12.9 juta orang pada tahun 2010. Pertambahan tenaga buruh adalah disebabkan oleh meningkatnya bilangan penduduk dalam kumpulan umur bekerja dan peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh daripada 65.5 peratus pada tahun 2000 kepada
68.1 peratus pada tahun 2010. Tenaga buruh akan mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi dengan meningkatnya peratusan tenaga buruh yang mempunyai pendidikan peringkat tertiari sebanyak 35.0 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 6-2. Perluasan kemudahan pendidikan dan latihan serta berkembangnya pembelajaran secara maya akan menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat mendapat pendidikan tertiari.

6.13 Dengan meningkatnya tahap pendidikan dan peluang pekerjaan serta pelaksanaan peraturan kerja yang lebih anjal maka lebih ramai wanita dijangka menyertai secara aktif dalam kegiatan ekonomi. Penyertaan tenaga buruh wanita dijangka meningkat daripada 44.5 peratus pada tahun 2000 kepada 49.0 peratus pada tahun 2010. Memandangkan semakin ramai wanita mendapat pendidikan yang lebih tinggi, kadar penyertaan mereka dalam kumpulan profesional dan teknikal dijangka meningkat. Pada tahun 2000, mereka hanya merupakan 44.5 peratus daripada kategori profesional dan teknikal yang mana sebahagian besarnya bekerja sebagai guru dan jururawat. Peningkatan dalam kadar penyertaan tenaga buruh wanita akan menambah penawaran buruh tempatan dan ini akan mengurangkan keperluan terhadap pekerja dan profesional asing.



Guna Tenaga

Guna Tenaga Mengikut Sektor

6.14 Dalam tempoh RRJP3, dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang lebih pesat, permintaan buruh akan bertambah pada kadar purata 3.1 peratus setahun. Ini akan menghasilkan peningkatan dalam guna tenaga daripada 9.3 juta pada 2000 kepada 12.6 juta pada 2010, seperti ditunjukkan dalam Jadual 6-3. Dengan pertumbuhan purata tenaga buruh sebanyak 3.1 peratus setahun dalam tempoh tersebut, kadar pengangguran dijangka berkurang kepada
2.5 peratus pada tahun 2010 berbanding 3.1 peratus pada tahun 2000. Cabaran dalam menghadapi pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan adalah untuk memastikan pengangguran struktur diminimumkan melalui latihan semula dan penyediaan kemahiran baru.

6.15 Sektor perkhidmatan akan terus merupakan bahagian terbesar daripada jumlah guna tenaga. Menjelang tahun 2010, bahagian guna tenaga dalam sektor perkhidmatan dijangka meningkat kepada 51.5 peratus, iaitu merupakan



59.4 peratus daripada jumlah guna tenaga yang diwujudkan. Sebahagian besar daripada pekerjaan yang diwujudkan dalam sektor kecil perkhidmatan lain termasuk pendidikan swasta dan kesihatan, aktiviti perniagaan lain, riadah, aktiviti kebudayaan dan sukan serta komputer dan aktiviti berkaitan. Sektor kecil perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran juga akan menjadi penjana penting guna tenaga hasil daripada perkembangan industri pelancongan.

6.16 Pertambahan nisbah modal-buruh dan proses pengeluaran yang lebih cekap akan membawa kepada pertumbuhan guna tenaga yang rendah di sektor pembuatan. Walau bagaimanapun, ia masih merupakan sektor penting dalam mewujudkan guna tenaga dalam tempoh RRJP3. Pertumbuhan guna tenaga dalam sektor ini dijangka mencapai kadar purata 4.1 peratus setahun, iaitu meningkat daripada
2.6 juta pada tahun 2000 kepada 3.8 juta pada tahun 2010 yang merupakan 38.2 peratus daripada jumlah guna tenaga yang diwujudkan. Memandangkan sektor ini semakin menuju ke arah keluaran bernilai ditambah yang lebih tinggi dan penggunaan modal secara lebih intensif, permintaan akan lebih tertumpu kepada pekerja yang berkemahiran tinggi dan ini bermakna kemahiran tenaga buruh perlu dipertingkatkan.

6.17 Bahagian guna tenaga dalam sektor pertanian dijangka mencatat 9.8 peratus daripada jumlah guna tenaga pada tahun 2010 berbanding sebanyak 15.2 peratus pada tahun 2000. Penggunaan kaedah penanaman berteknologi tinggi dan perladangan berskala besar serta meningkatnya penggunaan jentera dijangka mengurangkan permintaan terhadap buruh terutamanya untuk penanaman makanan. Walau bagaimanapun, sektor kecil perladangan kelapa sawit, getah dan koko masih memerlukan bilangan buruh yang banyak sehingga proses pengeluaran dan penuaian dapat ditingkatkan kepada tahap mekanisasi yang lebih tinggi.

Komposisi Pekerjaan

6.18 Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi pada masa hadapan bagi semua sektor akan didorong oleh industri berasaskan pengetahuan terutamanya sektor pembuatan dan perkhidmatan. Proses pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan ini akan mencetus bidang baru dalam aktiviti ekonomi yang akan membawa kepada perubahan corak permintaan terhadap tenaga manusia. Dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, industri berasaskan sains dan berteknologi tinggi serta industri berintensif pengetahuan seperti ICT, industri farmaseutikal dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (P&P) akan menjana pekerjaan yang memerlukan pendidikan tertiari terutamanya mereka yang terlatih dalam bidang



sains dan teknologi (S&T). Pertumbuhan pekerjaan yang paling pesat adalah pekerjaan dalam kategori profesional dan teknikal serta kategori pekerja pentadbiran dan pengurusan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 6-4. Pekerjaan ini akan merupakan 32.2 peratus daripada pekerjaan baru yang diwujudkan dalam tempoh tersebut. Peningkatan proses pengeluaran yang semakin canggih hasil daripada kemajuan teknologi akan mewujudkan permintaan terhadap 137,200 jurutera dan 331,700 pembantu jurutera yang terlatih dalam bidang kejuruteraan kimia, mekanikal, elektrikal dan elektronik serta ICT dan teknologi termaju lain seperti fotonik dan teknologi nano, seperti ditunjukkan dalam Jadual 6-5.

6.19 Memandangkan terdapat keperluan untuk terus menyedia dan meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi penduduk, permintaan terhadap kakitangan perubatan dan kesihatan akan kekal tinggi dalam tempoh tersebut. Kakitangan berkenaan akan diperlukan untuk mengisi jawatan di pusat kesihatan awam yang akan diperluas dan dinaik taraf untuk menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah. Dengan meningkatnya tahap pendapatan, sebahagian besar penduduk akan mendapatkan rawatan terutamanya daripada



perkhidmatan pakar. Walau bagaimanapun, bagi memastikan setiap rakyat berpeluang menikmati perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, bilangan kakitangan kesihatan akan ditambah untuk mencapai sasaran nisbah doktor kepada penduduk iaitu 1:800 menjelang tahun 2010. Bilangan rakyat asing yang semakin ramai menggunakan kemudahan kesihatan di Malaysia boleh dijadikan asas untuk membangunkan perkhidmatan penjagaan kesihatan sebagai satu industri dan produk pelancongan. Langkah akan diambil bagi memudahkan kemasukan pesakit dari luar negara serta ahli keluarga mereka. Hospital swasta dan pusat kesihatan juga akan digalak untuk meningkatkan bilangan pelanggan mereka serta mempromosi perkhidmatan mereka di luar negara.

6.20 Penggunaan dan penyebaran ICT yang meluas dalam semua sektor akan memerlukan pekerja yang mempunyai berbagai tahap kemahiran komputer seperti reka bentuk komputer, sistem pengurusan data yang kompleks, komunikasi dan rangkaian data serta pembangunan multimedia dan Internet. Kerja-kerja yang rutin dan berkemahiran rendah akan berkurangan dengan adanya automasi. Pekerjaan baru yang diwujudkan akan memerlukan pekerja yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran teknikal dalam teknologi baru. Penggunaan komputer yang semakin meluas akan membantu pekerja ini menyempurnakan tugas mereka dan seterusnya meningkatkan pulangan daripada penggunaan ICT secara kreatif. Celik komputer dan kemahiran mengguna dan mengolah data merupakan kemahiran yang amat penting dan perlu dimiliki oleh setiap tenaga kerja. Di samping itu, pekerja yang mempunyai kemahiran teras ICT akan diperlukan oleh semua sektor ekonomi khususnya industri ICT. Permintaan terhadap kakitangan utama ICT terdiri daripada jurutera sistem, pemaju perisian, juruanalisa sistem, pengaturcara program komputer dan kakitangan sokongan teknikal yang dijangka sebanyak 306,600 menjelang 2010, seperti ditunjukkan dalam Jadual 6-6. Unjuran penawaran siswazah dalam ICT dijangka mencukupi untuk memenuhi permintaan terhadap kakitangan ICT hasil daripada perkembangan pesat dalam pendidikan ICT di sektor awam dan swasta. Dalam tempoh RRJP3, permintaan terhadap kakitangan ICT yang mempunyai ijazah lanjutan akan meningkat lebih tinggi terutamanya dalam bidang kejuruteraan perkakasan dan perisian. Bagi memenuhi peningkatan permintaan, langkah akan diambil untuk menambah bilangan penawaran kakitangan tersebut daripada institusi pendidikan tinggi.

6.21 Permintaan terhadap ahli sains dan ahli teknologi dalam P&P juga akan meningkat terutamanya dalam teknologi baru seperti teknologi fuel-cell, bioteknologi dan kejuruteraan genetik. Bagi mengekalkan daya saing, Malaysia akan mempergiatkan aktiviti P&P dalam bidang baru tersebut dan langkah yang



lebih kukuh akan dilaksana untuk meningkatkan penawaran ahli sains dan ahli teknologi P&P dengan nisbah 7 bagi setiap 10,000 tenaga buruh pada tahun 2000 kepada 60 bagi setiap 10,000 atau seramai 77,640 orang menjelang tahun 2010. Usaha menambah bilangan ahli sains dan ahli teknologi P&P sedia ada akan diambil dengan menawarkan skim perkhidmatan yang lebih menarik serta melanjutkan tempoh perkhidmatan kakitangan P&P yang cemerlang melebihi umur bersara.

6.22 Bagi meningkat kemampuan negara memperolehi dan menggunakan pengetahuan, taraf pendidikan amat perlu dipertingkatkan dengan memberi penekanan kepada S&T serta membangunkan kemahiran dalam teknologi berasaskan maklumat supaya pengetahuan dapat diperolehi, disebar, ditafsir dan diguna pakai. Sistem pendidikan dan latihan akan dibangun berasaskan keupayaan sedia ada untuk mengeluarkan bilangan yang mencukupi bagi pekerja S&T dan berpengetahuan yang kaya dengan bakat, kebolehan dan daya cipta bagi menyokong pembangunan ekonomi dan pertumbuhan industri baru. Dalam hubungan ini, usaha akan diambil untuk mempercepatkan pencapaian nisbah 60:40 antara pelajar sains dan sastera di peringkat sekolah dan juga peringkat tertiari.

6.23 Bagi menambah lagi bilangan pekerja mahir dan berbakat dalam negara, program membawa masuk cendekiawan dari luar negara akan diperluaskan dalam tempoh RRJP3 untuk mengambil mereka yang berbakat, berkemahiran dan berkepakaran tinggi dengan menawarkan insentif yang lebih baik. Pada peringkat awal, program tersebut akan menumpukan kepada pengambilan kakitangan ICT
yang berkelayakan tinggi dan berbakat termasuk ahli sains dan ahli teknologi P&P. Mereka merupakan pekerja berpengetahuan yang mempunyai mobiliti yang tinggi dan mampu menguasai pasaran antarabangsa. Oleh itu, Malaysia perlu bersaing untuk mendapatkan mereka di pasaran antarabangsa terutamanya bagi kakitangan ICT yang tidak mencukupi bilangannya di seluruh dunia. Bagi memudahkan pengambilan pekerja asing yang berbakat dan berkemahiran tinggi, senarai daftar ahli sains dan jurutera P&P Malaysia yang bekerja di luar negara akan diperluaskan bagi meliputi pakar dan usahawan teknologi dalam bidang lain yang berasaskan pengetahuan. Di samping itu, industri digalakkan untuk menaja pelajar Malaysia yang cemerlang yang sedang mengikuti program ijazah pertama melanjutkan pengajian dalam jurusan teknologi utama.

Upah dan Produktiviti

6.24 Adalah penting bagi kenaikan upah selaras dengan peningkatan produktiviti supaya daya saing ekonomi dapat dipertingkatkan lagi dalam tempoh RRJP3. Kenaikan upah yang mencerminkan peningkatan produktiviti akan memastikan tidak wujud tekanan yang keterlaluan ke atas harga dan pengurangan nilai pendapatan sebenar. Sehubungan dengan ini, Garis Panduan Sistem Reformasi Gaji yang dilaksanakan pada tahun 1996 bagi memastikan kaitan yang lebih rapat antara upah dan prestasi produktiviti akan dipergiat melalui usaha seperti seminar, bengkel dan lawatan ke syarikat. Di samping itu, satu rangkaian talian terus pangkalan data yang menyediakan penanda aras produktiviti dalam sektor pembuatan dan pertanian akan diperluaskan ke sektor-sektor lain.

6.25 Pertumbuhan produktiviti buruh dalam tempoh RRJP3 dijangka meningkat sebanyak 4.2 peratus setahun bagi semua sektor selaras dengan peralihan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Produktiviti buruh dalam sektor pembuatan dijangka meningkat sebanyak 4.0 peratus setahun selaras dengan peralihan industri ke arah aktiviti berteknologi tinggi dan berasaskan pengetahuan dengan penekanan terhadap keluaran bernilai ditambah yang tinggi. Dalam sektor pertanian, produktiviti buruh dijangka berkembang sebanyak 4.8 peratus setahun dalam tempoh RRJP3 berikutan daripada penggunaan teknologi dan amalan agronomi moden yang lebih meluas. Produktiviti buruh dalam sektor perkhidmatan dijangka meningkat sebanyak 4.5 peratus setahun. Penyumbang utama kepada pertumbuhan ini adalah sektor kecil perniagaan borong dan runcit, hotel dan restoran dengan produktiviti dijangka meningkat pada kadar purata sebanyak 5.8 peratus setahun diikuti oleh sektor kecil pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi pada kadar purata sebanyak 5.7 peratus setahun.



CopyrightŪ 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM